02 April, 2010

PUASNYA SELEPAS SIDANG DUN

Sidang DUN Perak sudah dua hari berlalu. Walaupun diwarnai kekecohan akibat sikap keterlaluan Adun-Adun pembangkang, tetapi hati saya berasa cukup puas. Saya tidur nyenyak dengan penuh kepuasan di sepanjang perjalanan pergi dan balik menaiki bas dari Ipoh ke Sri Perdana di Putrajaya untuk menghadiri majlis jamuan makan malam Perdana Menteri bersama Kelab ADUN BNBBC seluruh negara. 

Longe-suit yang saya pakai sejak pagi semasa persidangan agak merimaskan, tetapi tidak menghalang diri saya tidur lena dengan rasa puas. Hati saya puas bukan kerana mengingatkan sikap pembangkang yang sekali lagi mensarkaskan persidangan, tetapi puas kerana telah dapat meluahkan isihati saya yang terpendam di Dewan yang mulia. Sudah hampir dua tahun saya tidak mendapat peluang berbahas secara berkesan akibat gangguan dan kekecohan dalam dua persidangan sebelum ini.

Dalam Sidang Dewan pada 28 Oktober lalu, saya berpeluang membahaskan Bajet 2010, tetapi diganggu oleh sikap tidak sopan Adun-Adun pembangkang, khususnya Adun Tronoh, V. Sivakumar yang tiba-tiba bangun menyambung semula sidang haramnya ketika Dewan sebenar sedang bersidang. Apa yang dapat saya bahaskan ketika itu hanyalah mendesak Speaker, Dato’ R. Ganesan mengenakan tindakan tegas terhadap Sivakumar kerana cuba menjadikan Dewan seperti sarkas.

Rabu lalu suasana begitu berlainan sekali. Kesemua Adun pembangkang telah keluar meninggalkan Dewan ketika sessi perbahasan terhadap usul menjunjung kasih ke atas titah perasmian DYMM Pemangku Sultan Perak yang dibawa oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir. Dewan menjadi begitu aman dan amat sesuai bagi perbahasan tanpa diganggu oleh pekik lolong pembangkang.

Sebaik sahaja pembahas pertama, Adun Pengkalan Hulu, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali selesai berbahas, saya lantas bangun mencuba nasib dan mata Timbalan Speaker, YB Hee Yit Foong tertumpu tepat ke arah saya walaupun ketika itu Adun Trong, Datuk Rosli Husin juga bangun. Saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk diberi peluang, tetapi berasa lega apabila mulut YB Hee memanggil “Slim”, nama kawasan yang saya wakili.

Ibarat menyambut buah yang sekian lama ditunggu, saya lantas bertekad di dalam hati untuk menggunakan masa 20 minit itu bagi membawa sebanyak mungkin masalah rakyat di Negeri Perak, khususnya dalam kawasan Slim.

Saya mengambil pendekatan untuk tidak menyentuh isu politik negeri kerana telah banyak disentuh oleh Adun Pengkalan Hulu sebelum itu. Lagipun saya merasakan tiada gunanya bercakap soal politik ketika semua Adun pembangkang berada di luar. Hati dan fikiran saya ketika itu meronta-ronta untuk melaksanakan tugas hakiki selaku wakil kepada rakyat, iaitu membawa masalah rakyat dalam Sidang Dewan.

Saya terus menyentuh masalah pelajar lepasan SPM yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Setiap tahun seramai kira-kira 200,000 remaja lepasan SPM di seluruh negara terkandas dalam pelajaran, dan dalam tempoh lima tahun lalu jumlahnya menjangkau sejuta orang. Kebanyakan mereka tiada hala tuju, yang akhirnya boleh mengheret mereka terjebak dalam aktiviti negatif.

Saya mencadangkan supaya Kerajaan menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran samada dalam bidang akademik mahupun kemahiran. Saya memuji langkah UiTM mengadakan kelas pra-diploma dengan kelulusan minima lima kredit bagi pelajar lepasan SPM mengikutinya.

Saya juga menyarankan Kementerian Belia dan Sukan supaya memberikan lebih tumpuan terhadap belia, berbanding situasi semasa di mana acara sukan terlalu difokuskan dengan peruntukan yang begitu besar.

Saya juga meminta Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri supaya segera menaiktaraf kemudahan infrastruktur dan frasarana pembelajaran di sekolah-sekolah luar bandar kerana itulah antara faktor berlakunya kemerosotan pelajar, sama ada di Sekolah Kebangsaan (SK), SJK (Cina) ataupun SJK (Tamil). Kegagalan pelajar akibat kemiskinan keluarga juga perlu diatasi dengan menyediakan lebih banyak peluang mendapat biasiswa di kalangan mereka.

Saya turut menyarankan supaya pelajar-pelajar di kawasan pendalaman yang berpotensi berjaya dalam pendidikan, khususnya di kalangan masyarakat Orang Asli, disediakan kemudahan asrama supaya mereka dapat belajar dengan tekun tanpa memikirkan pelbagai masalah untuk hadir ke sekolah.

Yayasan Perak pula digesa menyediakan lebih banyak dana bagi membantu pelajar-pelajar miskin untuk meneruskan pelajaran, samada untuk tujuan membayar yuran, menyediakan pakaian, buku rujukan dan juga mendapatkan makanan berkhasiat.

Selain isu pendidikan, buat sekian kalinya saya menyentuh masalah penempatan generasi kedua Felda dan meminta Kerajaan Negeri meluluskan tapak bagi membolehkan rumah-rumah dibina untuk mereka. Kerajaan Negeri juga diminta segera melupuskan status tanah GSA di kawasan yang sesuai dibangunkan penempatan anak-anak peneroka di tanah rancangan Felda. Masalah ini sebenarnya begitu menghimpit kehidupan mereka sejak sekian lama. Kebanyakan anak peneroka sudahpun berkeluarga dan begitu mengharapkan tempat tinggal yang selesa di tanah rancangan Felda.


Di dalam kawasan saya, terdapat lapan buah tanah rancangan Felda, tiga di Gugusan Trolak dan lima di Gugusan Besout. Selain itu dua lagi terletak dalam DUN Behrang dalam Parlimen Tanjong Malim iaitu kampung saya sendiri Felda Sungai Behrang dan Felda Sungai Klah. Bilangan penduduk keseluruhannya menjangkau hampir 40,000 orang.

Pembinaan jalan baru dari Felda Gugusan Besout ke Kuala Slim yang tertangguh pembinaannya sejak Ogos tahun lalu juga sempat saya sentuh. Jalan sepanjang 11 km dengan kos asal RM46 juta begitu penting kepada masyarakat peneroka di Felda Gugusan Besout untuk keluar berurusan di Slim River. Saya meminta supaya kerja-kerja dapat digerakkan semula bagi kepentingan rakyat di kawasan saya.

Selain itu saya meminta Kerajaan supaya menaiktarafkan Jalan Persekutuan antara Slim River ke Tanjong Malim untuk dijadikan dua lorong sebagaimana jalan antara Bidor ke Slim River.

Isu pembalakan dan penerokaan tanah secara haram di SKC dan Hutan Simpan Changkat Ramu juga saya sentuh. Aktiviti ini yang berlaku secara berleluasa sejak bertahun-tahun lalu perlu dibendung secara tegas oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan negeri kehilangan hasil dan rakyat sekitar menggigit jari melihat kerakusan peneroka haram. Saya meminta supaya bahagian penguatkuasa memainkan peranan lebih berkesan bagi mengheret peneroka-peneroka haram ini ke muka pengadilan.

Saya juga meminta supaya perpustakaan awam dapat dibina secepat mungkin di Tanjong Malim bersesuaian dengan kewujudan UPSI, Politeknik Sultan Azlan Shah, MRSM Felda dan Institut Tadbir Tanah Negara (INSTUN) di kawasan ini.

Nasib masyarakat Orang Asli juga saya sentuh dengan menggesa aganesi-agensi kerajaan dan swasta yang mengusahakan tanah-tanah rezab Orang Asli supaya memberikan pendapatan bulanan yang setimpal dengan hasil yang dikeluarkan. Rata-rata keluarga Orang Asli menerima pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan, sedangkan keluasan tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri membolehkan mereka mendapat lebih dari itu.

Niat murni Kerajaan Negeri mahu mengeluarkan masyarakat Orang Asli dari kepompong kemiskinan tidak akan tercapai sekiranya agensi-agensi berkenaan tidak sama membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan. Dengan pendapatan di bawah RM300 sebulan, mereka masih berada jauh di bawah paras kemiskinan.

Saya juga meminta Kerajaan Negeri mempercepatkan penubuhan Institut Tahfiz bagi kepentingan pelajar-pelajar Islam di negeri ini. Ini adalah langkah murni bagi melahirkan lebih ramai tahfiz di kalangan generasi muda Islam.

Dengan celahan soalan dari rakan-rakan Adun BN yang lain, saya berjaya mencuri masa selama hampir 40 minit membahaskan perkara-perkara di atas. Hati saya benar-benar puas kerana dapat meluahkan permasalahan rakyat di dalam Dewan, biarpun apa yang saya bawa itu tidak mendapat tempat dalam akhbar-akhbar arus perdana keesokan harinya. Kesemua akhbar melaporkan episod kekecohan yang dicetuskan Adun-Adun pembangkang.

Maka tidak benarlah dakwaan pembangkang bahawa persidangan DUN Perak kali ini tidak memberikan tumpuan kepada masalah rakyat. Malahan mereka juga berpeluang membawa masalah rakyat di kawasan yang diwakili jika setiap Adun berkenaan berpegang kepada amanah yang telah diberikan oleh pengundi.

Kekecohan yang mereka timbulkan tidak membolehkan persidangan berlangsung lebih lama. Bagaimanakah mahu mengheret persidangan sehingga lima hari sebagaimana yang mereka kehendaki, sedangkan mereka hanya mampu bertahan selama satu jam dan selepas itu bertindak meninggalkan Dewan? Itulah yang saya persoalkan dalam tulisan saya sebelum ini, apakah mereka yakin bahawa sikap mereka akan lebih bertamadun untuk mengheret persidangan selama lima hari sebagaimana Nizar harapkan? Perlakuan mereka Rabu lalu sudahpun memberikan jawapannya.

Kepada seluruh rakyat Negeri Perak, nilaikanlah sikap Adun-Adun DAP, PKR dan PAS ini. Mandat yang telah diberikan untuk membawa dan menyelesaikan masalah rakyat telah mereka abaikan. Keutamaan mereka ketika ini bukanlah membantu menyelesaikan masalah rakyat, tetapi mereka telah menyukarkan lagi Kerajaan Negeri untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Nilaikanlah sebaiknya sebelum membuat keputusan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

01 April, 2010

DUN PERAK – INSIDEN MELAMPAU


Sidang DUN Perak yang berakhir petang tadi menyerlahkan lagi sikap biadap Adun-Adun pembangkang. Rakyat sudah pasti dapat menilai sikap mereka yang lebih mengutamakan politiking dari memikul amanah yang diberikan untuk membawa masalah rakyat di dalam Sidang Dewan.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan sikap biadap dan tidak mengikut tataetika ketika berada di dalam Dewan. Sikap yang sama telah mereka tunjukkan semasa Sidang DUN pada 7 Mei 2009 dan 28 Oktober 2009. Malahan kebiadaban mereka dalam persidangan kali ini lebih lagi ketara dengan menghamburkan kata-kata kesat dan cuba memukul Menteri Besar.

Apabila Speaker, Dato’ R. Ganesan memulakan persidangan, Adun-Adun pembangkang yang diketuai Ngeh Ko Ham, Nga Kor Meng, Nizar Jamaluddin dan Sivakumar terus mengganggu dengan berbuat bising.
Tujuan mereka hanya satu, mahu menggagalkan Sidang DUN dengan alasan kononnya Ganesan tidak berhak mengendalikan persidangan. Nga Kor Meng bangun untuk memulakan episod buruk itu sebaik sahaja Ganesan mahu membuat pengumuman beliau selaku Speaker.
Bermula dari pengumuman Speaker hinggalah selesai sessi soalan lisan, Adun-Adun pembangkang membuat pelbagai provokasi terhadap Speaker, Menteri Besar dan Adun-Adun BN. Mereka menjerit, bangun tanpa kebenaran dan menunjukkan risalah dengan pelbagai tulisan biadap.

Malahan mereka enggan mengemukakan soalan untuk dijawab oleh wakil Kerajaan Negeri ketika soalan-soalan itu tiba pada gilirannya. Antaranya soalan 3 dari Adun Kuala Sepetang, Tai Sing Ng, soalan 5 dari Chang Lih Kang (Teja) dan soalan 8 dari Yee Seu Kai (Pokok Assam).
Di akhir episod-episod itu, Nizar memulakan langkah meninggalkan Dewan dengan melontarkan kata-kata kesat terhadap Speaker dan Menteri Besar.  Nizar memaki Dr. Zambry dengan kata-kata "BABI! PANGKOR" dan Nga Kor Meng menunjukkan isyarat penumbuk kepada Menteri Besar. 

Sebelum keluar, mereka berlegar-legar di ruang tengah Dewan tanpa menghormati sidang yang sedang berjalan. Mereka juga menerjah masuk ke hadapan meja tempat yang dikhaskan kepada kerajaan. Ketika itu, Exco Dato’ Ramli Zahari sedang membawa usul Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Pindaan) 2010.

Tai Sing Ng (Adun Kuala Sepetang) yang mahu memukul Menteri Besar rakyat Perak, YAB Dato’ Seri Dr. Zambry

Adun Kuala Sepetang, Tai Sing Ng bertindak lebih melampau apabila menuju ke hadapan meja Dato’ Seri Dr. Zambry, berkata sesuatu dan cuba menghempas fail tebal yang dibawanya ke tubuh Menteri Besar. Beberapa orang Bentara Dewan segera menghentikan tindakannya itu dan membuat benteng menghalang Tai dan Adun-Adun pembangkang lain merapati Dr. Zambry. Semalam, Adun Kuala Sepetang inilah juga yang enggan bangun ketika doa dibacakan bagi memulakan persidangan sebelum DYMM Pemangku Raja Perak memasuki Dewan untuk menyampaikan titah perasmian.

 Selaku Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan, saya mencadangkan supaya Tai dihadapkan dalam masa terdekat ke jawatankuasa ini supaya satu keputusan tegas dapat diambil sebagai pengajaran kepada Adun-Adun lain. Perbuatan mahu memukul seseorang anggota Dewan adalah satu tindakan melampau dan amat menyalahi tataetika Dewan, apatah lagi perbuatan itu mahu dilakukan terhadap seorang Menteri Besar yang merupakan ketua eksekutif Kerajaan Negeri.


 
Kesemua Adun pembangkang memboikot dan keluar dari Sidang Dewan pada kira-kira jam 11.00 pagi. Amanah yang telah diberikan oleh rakyat di kawasan mereka telah dikhianati.

LUAHAN HATI DR ZAMBRY TERHADAP SEMUA INSIDEN MELAMPAU INI 
BOLEH DIBACA DI SINI

30 March, 2010

MANA KALUNG SPMP NIZAR?

Nizar hadir hari ini tanpa kalung Darjah SPMP
Tetapi hairannya Nizar, Ngeh, Nga dan Sivanesan 
memakai songkok yang daripada segi protokolnya 
design begitu hanya boleh dipakai oleh MB dan Exco

Bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin datang ke Sidang DUN pagi tadi tanpa mengenakan pakaian yang lengkap dengan anugerah  Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang diterimanya dari DYMM Paduka Seri Sultan Perak. 

Darjah SPMP yang membawa gelaran Dato' Seri diterima Nizar pada 2008 ketika beliau menjawat jawatan Menteri Besar, sepatutnya dipakai berserta kalung di badan dan bintang disangkut di tengah poket kiri.

Nizar dan pakaian lengkap Dato' Seri

Ini bukan kali pertama Nizar hadir sebegitu dalam majlis rasmi melibatkan keberangkatan DYMM Sultan Perak ataupun DYTM Raja Muda. Dalam sidang yang kecoh pada 7 Mei 2009, Nizar hadir tanpa memakai selepang.

Nizar hadir pada Sidang DUN tanpa selepang pada 7 Mei 2009

Agak menghairankan kenapakah beliau tidak mengenakan pakaian lengkap dengan bintang kebesaran seperti diwajibkan sebagai tanda penghormatan terhadap anugerah yang diterima daripada DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

Tidak pula dapat dipastikan sejauh mana Nizar menghargai anugerah DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Jawapannya hanya ada pada diri Nizar sendiri. Kita hanya melihat dan membuat penilaian luar tanpa banyak prasangka. 

TAJOL ROSLI JADI TUMPUAN

Ibarat suami gila talak, Adun-Adun pembangkang mengerumuni bekas Menteri Besar, Dato' Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali sebaik sahaja Sidang DUN Perak ditangguhkan hari ini. Yang pasti talak mereka ditolak. Tajol Rosli menjelaskan segalanya kepada Sivakumar, Nizar, Nga Kor Meng dan kuncu-kuncu mereka yang menyerbu beliau. Puncanya di sini.

Tiada insiden yang terlalu serius berlaku di Sidang DUN pagi tadi dan DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah merasmikannya dengan lancar. 

Persidangan akan disambung semula jam 10.00 pagi esok dengan dimulakan dengan sessi soalan lisan. Harap semuanya berjalan lancar untuk kepentingan negeri dan rakyat Perak. 

SIVAKUMAR DAN GILA TALAKNYA


Sambil berbaring-baring mahu melelapkan mata untuk mendapatkan sedikit rehat menjelang Sidang DUN Perak pagi esok, rasa nak tergelak membaca kenyataan Adun Tronoh, V Sivakumar di dalam sebuah blog yang terkinja-kinja menjaja surat jawapan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali. 

Tak tahu bahasa apa yang mahu saya gunakan untuk menggambarkan betapa jahilnya bekas Speaker itu dalam menilai satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan. Ketawa besar Sivakumar kerana umpannya dengan menyamar menggunakan kepala surat Speaker sudah mengenai ‘ikan besar’. 

Maka dimanipulasilah oleh Sivakumar kononnya Tajol Rosli mengiktiraf dirinya Speaker kerana menjawab jemputannya untuk menghadiri sidang DUN esok. Dan kononnya Tajol Rosli berpegang kepada prinsip dan mengiktiraf Sivakumar, sedangkan Dr. Zambry pula mengiktiraf R. Ganesan selaku Speaker.

Lalu digambarkan oleh bacaan politik dangkal puak-puak Nizar ini kononnya Dr. Zambry dan Tajol Rosli sudah tidak sehaluan. Berkompanglah mereka meraikannya dengan harapan itu petanda keruntuhan BN di Perak dan Nizar boleh kembali dijulang selaku Menteri Besar dan Ngeh Ko Ham akan terus tersengih sementara Nga Kor Meng akan terus terngaga menunggu udang harimau akuakultur melompat masuk ke mulutnya.

Begitulah lazimnya sikap seorang suami yang gila talak terhadap isterinya. Isteri membuka pintu untuk melihat bulan mengambang disangkanya mahu membenarkan dirinya masuk ke rumah. Tulang ikan yang dibaling isterinya tersilap sasaran disangka mahu mengguraui dirinya minta dirujuk semula.

Kasihanlah saya melihat sikap politikus yang gila talak seperti Sivakumar ini. Tak hairan jika dia terus meracau dalam Sidang DUN pagi esok. Sabar sajalah yop!

27 March, 2010

SIDANG DUN PERAK - LAKONAN NIZAR


Bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan Adun-adun pembangkang lain mahu berselindung lagi. Kononnya atas jemputan bekas Speaker, V. Sivakumar, maka beliau dan kuncu-kuncunya bersetuju menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perak bermula pada 30 Mac nanti.

Ironinya, jemputan yang dibuat oleh Sivakumar itu sama tarikh dengan perkenan yang telah diberikan oleh DYMM Sultan Perak kepada Speaker yang sah, Dato’ R. Ganesan untuk mengadakan sidang DUN. Ini kali kedua Sivakumar bertindak serupa itu setelah kali pertama ia berbuat demikian menjelang sidang 28 Oktober 2009.

Hakikatnya mereka bimbang kerusi yang disandang ketika ini menjadi kosong sekiranya tidak menghadiri Sidang DUN. Maka berselindunglah dengan apa cara sekalipun, asalkan mereka dapat memasuki Dewan dan menandatangani borang kehadiran.

Atas sifat mahu menjaga air muka dan tidak dimalukan sekiranya menjawab surat jemputan Speaker Ganesan, maka jemputan palsu Sivaji Sivakumar dijadikan galang ganti. "Kami buat keputusan untuk hadir berdasarkan surat Speaker yang sah YB V. Sivakumar pada perasmian dan perbahasan 31 haribulan,” kata Nizar dalam sidang akhbarnya.

Nizar lupa agaknya, apabila beliau menghantar surat kepada Dato’ Seri Dr. Zambry bagi memohon diadakan satu mesyuarat dengan Menteri Besar itu dan Ganesan pada 29 Mac jam 9.00 pagi di Dewan Bandaraya Ipoh dengan tujuan “untuk kepentingan negeri perak yang lebih cemerlang”, itu bermakna beliau telahpun mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker yang sah.

Apakah perlunya Nizar menjemput Ganesan bersama dalam mesyuarat itu jika beliau tidak mengiktirafnya sebagai Speaker yang sah?

Nizar, Ngeh Ko Ham, Nga Kor Meng dan lain-lain Adun dari parti pembangkang sepatutnya tidak perlu risau dengan perjalanan sidang DUN pada 30 Mac nanti, selagi diri mereka sendiri tidak mula mencetuskan huru-hara sebagaimana yang berlaku dalam dua sidang sebelum ini. Rakyat sebenarnya sudah muak dengan perlakuan sumbang mereka meladeni persidangan.

Dua sidang sebelum ini sepatutnya berlangsung selama lebih dari dua hari, tetapi atas sikap luar batasan Adun-adun pakatan pembangkang maka ianya hanya mampu bertahan selama sehari. Apakah mereka yakin bahawa sikap mereka akan lebih bertamadun untuk mengheret persidangan selama lima hari sebagaimana Nizar harapkan?

Nizar mengatakan bahawa Adun pakatan pembangkang telah menghantar 216 soalan untuk sidang DUN nanti tetapi kepada siapakah soalan-soalan itu dihantar? Soalan itu tidak dihantar melalui prosedur yang telah ditetapkan oleh Speaker dan Setiausaha Dewan, sebaliknya dihantar kepada Sivakumar. Adun Tronoh itu pula bertindak seperti posmen menghantar soalan-soalan itu kepada Setiausaha Dewan.

Menurut Ganesan, hanya 7 daripada 28 Adun pembangkang yang menghantar soalan melalui e-mail yang telah ditetapkan, maka sewajarnya hanya soalan-soalan itu yang perlu dimasukkan dalam senarai soalan yang sah.

Dewan tidak perlu terjerat dengan perangkap yang dibuat oleh Sivakumar, Nizar, Ngeh dan Nga. Memasukkan kesemua 216 soalan itu ke dalam senarai bermakna Dewan secara tidak langsung mengiktiraf Sivakumar sebagai Speaker kerana soalan-soalan itu dihantar kepada beliau.

Sivakumar perlu akur bahawa dirinya bukan lagi Speaker setelah dilucutkan oleh Sidang DUN pada 7 Mei 2009. Apa lagi mahu ditegakkan benang yang basah dengan membangkitkan persoalan yang tidak masuk akal semata-mata mahu mengekalkan jawatan yang sudah tiada?

Mahu mengatakan bahawa perlucutan jawatannya tidak sah kerana ianya turut diundi oleh 10 Adun yang dikatakan tidak layak memasuki Sidang DUN ketika itu? Siapakah yang memutuskan bahawa mereka tidak layak memasuki Dewan? Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan? Keputusan jawatankuasa itu yang menggantung Dr. Zambry dan enam exco lain adalah tidak berkuatkuasa selagi ianya tidak dibawa ke dalam Sidang Dewan untuk disahkan.

Mengatakan tiga Adun bebas sudahpun meletakkan jawatan dan tidak layak memasuki Dewan ketika itu? Mahkamah Tinggi sudahpun memutuskan bahawa surat perletakan jawatan tidak bertarikh yang mereka tandatangani adalah tidak sah dan kedudukan ketiga-tiganya selaku Adun adalah dikekalkan.

Jadi tidak timbul tuduhan Sivakumar mengatakan Timbalan Speaker tidak boleh mengambil alih peranan dalam pengundian usul undi tidak percaya terhadap Speaker yang dibawa oleh Menteri Besar. Hee Yit Foong berhak atas kedudukannya selaku Timbalan Speaker mengambil tugas itu ketika Speaker gagal memainkan peranannya mengawal suasana Dewan.

Mahkamah juga telah membuat keputusan bahawa Ganesan adalah Speaker yang sah. Jadi apa lagi yang mahu dipertikaikan oleh Nizar dan kuncu-kuncunya?