12 August, 2017

DAP PERTIKAI SIDANG SEHARI, ISU CEC MACAM MANA?

KENYATAAN AKHBAR

DAP Perak tidak wajar mempertikaikan persidangan sehari Dewan Undangan Negeri Perak pada Selasa lalu, sebaliknya perlu menasihatkan pucuk pimpinan partinya mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Saya merujuk kepada kenyataan Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh yang juga ADUN Canning di akhbar Sinar Harian hari ini.

Tindakan mempertikaikan sidang sehari DUN Perak tidak boleh membantu menyelamatkan DAP yang kini berada di hujung tanduk, kerana kemungkinan parti itu diharamkan atas sikap degil para pemimpinnya enggan mematuhi arahan ROS.

Sepatutnya DAP Perak berterima kasih kepada Kerajaan BN Perak kerana dengan bersidang sehari, mereka punya lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian membantu Setiausaha Agung partinya, Lim Guan Eng bagi mengadakan segera mesyuarat pemilihan CEC.

Sebelum ini ROS telahpun membatalkan mesyuarat pemilihan anggota CEC yang diadakan kali kedua pada 29 September 2013 kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.

Pada 17 Julai lalu, ROS telah memberi tempoh 14 hari kepada DAP untuk mengemukakan maklumbalas berkaitan arahan supaya pemilihan anggota CEC dilakukan semula mengikut senarai perwakilan yang berhak hadir dan mengundi seperti mesyuaratnya pada 15 Disember 2012.

Tempoh itu sudah berakhir 31 Julai lalu. Sebaiknya Kah Woh selaku Ketua DAPSY mengambil perhatian lebih terhadap nasib DAP yang sudah hampir berkubur, daripada mempertikaikan sidang DUN Perak yang dijalankan mengikut undang-undang.

Berkaitan label 3P (penakut, penipu dan perosak)  yang diberikan oleh Kah Woh kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, sebenarnya pucuk pimpinan DAPlah yang layak mendapat gelaran itu.

Pucuk pimpinan DAP tidak mahu mengadakan semula pemilihan CEC seperti diarahkan ROS kerana mereka takut kalah. Pemilihan sebelum ini tidak sah kerana mereka telah menipu perwakilan. Mereka telah merosakkan kepercayaan ahli partinya sendiri terhadap slogan CAT yang sering diwar-warkan oleh kepimpinan DAP.

Kah Woh menyatakan kesal dilabel sebagai 3B iaitu benci, bohong dan balun oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana mengkritik perjalanan Sidang DUN yang diadakan sehari hanya untuk memenuhi kehendak undang-undang.

Saya ingin menambah satu lagi label B yang diberikan oleh Menteri Besar Perak kepada DAP, iaitu bengap kerana sukar hendak memahami peraturan dan undang-undang, termasuk yang termaktub di dalam perlembagaan parti itu sendiri.

Banyak lagi B yang boleh diberikan kepada DAP, tetapi cukuplah dahulu tiga B yang diberikan oleh Menteri Besar Perak dan satu B yang saya tambah.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Pengerusi BNBBC Perak
Adun Slim
Ketua Penerangan UMNO Perak
Tanjong Malim
12 Ogos 2017

24 July, 2017

SELAMAT DATANG TUN M

Khabarnya Tun Mahathir akan datang petang ini buat majlis Hari Raya di simpang Kampung Balun, Slim River.

Ramailah juga pemimpin dan penyokong PKR akan hadir mengikut bontot Tun M. Mereka sudah insaf dan menerima hakikat bahawa Tun M bukanlah berkonspirasi pada 1998 menjatuhkan Anwar Ibrahim. 

Wan Azizah dan Nurul Izzah juga sudah sedar bahawa Tun M tidak terlibat sehingga menyebabkan suami dan bapa mereka meringkuk di penjara. 

Mereka kini boleh berbaik dan menerima Tun M kerana telah insaf bahawa Hakim Augustine Paul dan Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang betul tanpa sebarang pengaruh atau konspirasi politik, iaitu memenjarakan Anwar Ibrahim atas kesalahan melakukan liwat dan rasuah. 

Sia-sialah mereka berdemonstrasi di jalanan membela Anwar dan menuduh Tun M selama ini sebagai konspirator. 

Selamat datang Tun M, dan selamat ber'cium mulut' bersama Azizah, Nurul dan pengikut PKR. Selamat ber'cina buta' juga dengan Anwar.

22 June, 2017

CARA NAJIB SENTUH HATI

Tak pernah saya rasa sebak ketika mengikuti berita di TV. 

Malam ini hati saya begitu tersentuh dengan ketulusan PM menyediakan sebuah rumah lengkap dengan perabut baru untuk seorang ibu tunggal, Ummi Kalthom Ayub, 37 dan dua anaknya.

Wanita ini tidak menjangka sebuah unit kediaman di Pangsapuri Putra Damai di Presint 11 Putrajaya yang dia dan anak-anaknya kunjungi dan disambut sendiri oleh PM akan menjadi miliknya.

Ungkapan kata PM ketika menyerahkan tempat berteduh baru kepada wanita ini begitu menyentuh hati dan jiwa. 

Hati saya bertambah sebak melihat wajah dua anak kecil, terutamanya anak bongsunya Sofea Qaisara berusia 5 tahun yang mengalami masalah penglihatan, cacat fizikal dan pembelajaran (dandy walker syndrome). 😭 

PM berkata beliau tersentuh apabila berjumpa Sofea Qaisara ketika beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada golongan kelainan upaya di Bazar Ramadan di Putrajaya pada 8 Jun lalu.

"Setelah mengetahui keadaan rumah yang diduduki mereka, saya meminta pegawai-pegawai untuk mendapatkan unit baharu untuk keluarga kurang bernasib baik ini. Saya harap rumah baharu ini membolehkan anda sekeluarga meneruskan kehidupan dengan lebih selesa," kata Najib.

Syabas dan terima kasih PM. Terbukti insan bernama Mohd Najib Razak sekali lagi mengotakan janji untuk berusaha menyentuh hati rakyat.
#welovepm #najibrazak

09 June, 2017

TERKINI - RAJA AHMAD MENINGGAL DUNIA

Pagi tadi ketika sedang memandu kereta ke pejabat, hati saya begitu tergerak untuk menelefon Dato' Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar. Dah agak lama saya tak menghubunginya. Saya dial tiga nombornya yang tersimpan dalam list, kesemuanya tidak dapat dihubungi. 

Selepas itu saya menghubungi Encik Rozahan Osman, Pegawai Kewangan Majuperak Holdings Berhad bertanyakan satu urusan. Encik Rozahan beritahu saya yang Dato' Seri Raja Ahmad baru sahaja meninggal dunia sejam lalu, iaitu pada 8.45 pagi tadi di Hospital KPJ Ipoh akibat jangkitan virus. Saya amat terkejut dengan berita sedih ini. 

Allahyarham punya rentetan jasa yang tak ternilai harganya kepada negara dan Negeri Perak. Pernah jadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Politik MB Perak, mantan Ketua UMNO Bahagian Larut, aktif dalam dunia bolasepak negeri (Pengurus PAFA) dan negara (Naib Presiden FAM), berjasa kepada syarikat-syarikat kerajaan selaku pengarah seperti di Majuperak Holdings Berhad. 

Jenazahnya dibawa ke kediamannya di Lot 77329, Persiaran Sri Ampang 5, Kg. Sri Ampang B, Ipoh, dan akan disemadikan selepas solat Jumaat. Salam takziah kepada keluarga allahyarham. Innalillahi wa innalillahi rajiun. Al Fatihah.

(Alhamdulillah saya sempat menziarah dan solat jenazah selepas solat Jumaat di surau diri Jumaat bersebelahan kediaman arwah di Sri Ampang, Ipoh.)

07 June, 2017

ZIARAH RAMADHAN DI KUALA SLIM

Petang tadi sempat berkunjung ke 10 buah rumah dalam program 'Ziarah Ramadhan' di Kampung Kuala Slim, sebuah kampung tradisional dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Slim, Perak yang saya wakili.

Baru-baru ini Kampung Kuala Slim dinobatkan sebagai juara pertandingan Anugerah Desa Perdana 2017 Peringkat Negeri Perak. Tahniah saya ucapkan.

Sebagai wakil Negeri Perak ke pertandingan ADP2017 Peringkat Kebangsaan, Kuala Slim kini menjadi tumpuan pelbagai pihak yang datang bagi membantu persiapan. Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri juga turut sama menghulurkan bantuan daripada pelbagai sudut.

Program ziarah sempena bulan Ramadhan telah saya lakukan sejak lebih 10 tahun lalu, termasuk ke Kampung Kuala Slim. Selain sedikit sumbangan wang raya, warga uzur yang saya kunjungi turut menerima kotak makanan yang disediakan oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) Negeri Perak. Bukan sangat pada nilai pemberian, tetapi lebih penting adalah atas rasa keikhlasan dan peluang untuk saya bertanya khabar. 

Petang tadi saya berbuka puasa di Surau Tok Wan, Kampung Jaya, Kuala Slim. Hajat saya untuk berbuka puasa dan bertarawih di masjid baru Kampung Kuala Slim tahun ini masih belum kesampaian. Masjid bernilai RM2.7 juta atas peruntukan khas yang diluluskan oleh Perdana Menteri pada tahun 2014 masih lagi dalam pembinaan. Kontraktor asal telahpun ditamatkan kontraknya dan kini pihak JKR sedang memproses perlantikan kontraktor baru. InsyaAllah semoga tahun hadapan hajat saya tertunai.

02 June, 2017

ZIARAH RAMADHAN DI TROLAK UTARA

Alhamdulillah petang tadi dapat menziarah empat keluarga di Felda Trolak Utara dan menyampaikan sedikit sumbangan. Selebih enam rumah lagi diteruskan oleh Pengarah Seranta Perak, Puan Salina Shamsuddin, kerana saya bergegas pula ke masjid untuk menyerahkan sumbangan beras kepada 40 keluarga yang menunggu.

Sempat juga meninjau ke belakang masjid melihat team memasak menyediakan juadah berbuka puasa. Menu yang saya suka tiap kali berbuka di sini pun ada, daging rebus cicah sambal air asam.

Berbuka pula bersama khariah masjid disertai pegawai-pegawai ibupejabat Felda termasuk Timbalan Pengarah Besar (Komuniti) Encik Anuar Malik.

Terima kasih kepada semua warga Felda Trolak Utara atas layanan mesra.