09 June, 2017

TERKINI - RAJA AHMAD MENINGGAL DUNIA

Pagi tadi ketika sedang memandu kereta ke pejabat, hati saya begitu tergerak untuk menelefon Dato' Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar. Dah agak lama saya tak menghubunginya. Saya dial tiga nombornya yang tersimpan dalam list, kesemuanya tidak dapat dihubungi. 

Selepas itu saya menghubungi Encik Rozahan Osman, Pegawai Kewangan Majuperak Holdings Berhad bertanyakan satu urusan. Encik Rozahan beritahu saya yang Dato' Seri Raja Ahmad baru sahaja meninggal dunia sejam lalu, iaitu pada 8.45 pagi tadi di Hospital KPJ Ipoh akibat jangkitan virus. Saya amat terkejut dengan berita sedih ini. 

Allahyarham punya rentetan jasa yang tak ternilai harganya kepada negara dan Negeri Perak. Pernah jadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Politik MB Perak, mantan Ketua UMNO Bahagian Larut, aktif dalam dunia bolasepak negeri (Pengurus PAFA) dan negara (Naib Presiden FAM), berjasa kepada syarikat-syarikat kerajaan selaku pengarah seperti di Majuperak Holdings Berhad. 

Jenazahnya dibawa ke kediamannya di Lot 77329, Persiaran Sri Ampang 5, Kg. Sri Ampang B, Ipoh, dan akan disemadikan selepas solat Jumaat. Salam takziah kepada keluarga allahyarham. Innalillahi wa innalillahi rajiun. Al Fatihah.

(Alhamdulillah saya sempat menziarah dan solat jenazah selepas solat Jumaat di surau diri Jumaat bersebelahan kediaman arwah di Sri Ampang, Ipoh.)

No comments: