KENYATAAN AKHBAR
DAP Perak tidak wajar mempertikaikan persidangan sehari Dewan Undangan Negeri Perak pada Selasa lalu, sebaliknya perlu menasihatkan pucuk pimpinan partinya mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Saya merujuk kepada kenyataan Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh yang juga ADUN Canning di akhbar Sinar Harian hari ini.
Tindakan mempertikaikan sidang sehari DUN Perak tidak boleh membantu menyelamatkan DAP yang kini berada di hujung tanduk, kerana kemungkinan parti itu diharamkan atas sikap degil para pemimpinnya enggan mematuhi arahan ROS.
Sepatutnya DAP Perak berterima kasih kepada Kerajaan BN Perak kerana dengan bersidang sehari, mereka punya lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian membantu Setiausaha Agung partinya, Lim Guan Eng bagi mengadakan segera mesyuarat pemilihan CEC.
Sebelum ini ROS telahpun membatalkan mesyuarat pemilihan anggota CEC yang diadakan kali kedua pada 29 September 2013 kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.
Pada 17 Julai lalu, ROS telah memberi tempoh 14 hari kepada DAP untuk mengemukakan maklumbalas berkaitan arahan supaya pemilihan anggota CEC dilakukan semula mengikut senarai perwakilan yang berhak hadir dan mengundi seperti mesyuaratnya pada 15 Disember 2012.
Tempoh itu sudah berakhir 31 Julai lalu. Sebaiknya Kah Woh selaku Ketua DAPSY mengambil perhatian lebih terhadap nasib DAP yang sudah hampir berkubur, daripada mempertikaikan sidang DUN Perak yang dijalankan mengikut undang-undang.
Berkaitan label 3P (penakut, penipu dan perosak) yang diberikan oleh Kah Woh kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, sebenarnya pucuk pimpinan DAPlah yang layak mendapat gelaran itu.
Pucuk pimpinan DAP tidak mahu mengadakan semula pemilihan CEC seperti diarahkan ROS kerana mereka takut kalah. Pemilihan sebelum ini tidak sah kerana mereka telah menipu perwakilan. Mereka telah merosakkan kepercayaan ahli partinya sendiri terhadap slogan CAT yang sering diwar-warkan oleh kepimpinan DAP.
Kah Woh menyatakan kesal dilabel sebagai 3B iaitu benci, bohong dan balun oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana mengkritik perjalanan Sidang DUN yang diadakan sehari hanya untuk memenuhi kehendak undang-undang.
Saya ingin menambah satu lagi label B yang diberikan oleh Menteri Besar Perak kepada DAP, iaitu bengap kerana sukar hendak memahami peraturan dan undang-undang, termasuk yang termaktub di dalam perlembagaan parti itu sendiri.
Banyak lagi B yang boleh diberikan kepada DAP, tetapi cukuplah dahulu tiga B yang diberikan oleh Menteri Besar Perak dan satu B yang saya tambah.
Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Pengerusi BNBBC Perak
Adun Slim
Ketua Penerangan UMNO Perak
Tanjong Malim
12 Ogos 2017
No comments:
Post a Comment