31 August, 2017

OON THOO SEEN 'HERO TAK DIDENDANG'

Tidak banyak diceritakan perihal nilai positif seorang 'hero tak didendang' di negara kita, Malaysia yang serba majmuk ini. Semalam ianya sekali lagi terjadi, sehari sebelum sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-60 tanahair.

Kemalangan jalanraya di selekoh maut Gunung Paku, Klian Intan berhampiran Pengkalan Hulu, Perak hampir meragut nyawa seorang wanita Melayu. Dalam kejadian sekitar jam 2.00 petang itu, dua kenderaan bertembung mengakibatkan seorang wanita terperangkap di dalam kereta yang dipandunya tanpa sedarkan diri.

Api gila mula marak di kereta sebelah yang terletak begitu hampir dengan kereta mangsa. Seorang kontraktor pembinaan rumah, Oon Thoo Seen yang sering berulang alik antara Sungai Petani ke Pengkalan Hulu sampai di tempat kejadian, dan melihat situasi cemas akibat kemalangan itu. Dia segera mendekati kereta wanita malang itu dan cuba membuka pintu pemandu tetapi tidak berjaya. Dia tidak dapat membuka pintu penumpang kerana api dari kereta sebelah berada begitu hampir.

Tanpa berfikir panjang, Oon berlari mengambil kapak di kenderaan hiluxnya dan segera kembali lantas memecahkan pintu kereta mangsa. Sebaik sahaja Oon berjaya menarik keluar wanita itu, kereta sebelah meletup dan api segera menyambar kereta wanita berkenaan. Kedua mereka terselamat. Oon mempertaruhkan nyawanya bagi menyelamatkan seorang wanita Melayu.

Oon ini 'the unsung hero'. Dia sedar api yang marak di kenderaan sebelah boleh pada bila-bila masa menerjah dirinya dan wanita yang sedang pengsan di tempat duduk pemandu. Namun atas sikap prihatin dan murni, dia mempertarungkan nyawanya untuk menyelamatkan seorang insan yang amat memerlukan pertolongan.

Wanita Melayu itu tak sedarah, tak sebangsa dan tak seagama dengan Oon. Namun Oon dan wanita itu ada satu ikatan, iaitu sehati sejiwa warga Malaysia, yang pintalnya telah disimpul mati sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, enam puluh tahun lalu. Walaupun ada usaha pihak tertentu mahu merungkai simpul ikatan ini, namun syukur kita masih boleh bertahan hingga kini, dan diharapkan pertahanan kita ini kekal kukuh sehingga ke titisan darah terakhir, kerana inilah tanah tumpahnya darah kita.

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Oon Thoo Seen. Selamat Merdeka 60 tahun.

#NegarakuMalaysia #negarakusehatisejiwa #OonThooSeen #disinitempattumpahnyadarahku

(Ada maklumat terbaru saya terima. Setelah mengamati foto, saya syak ada lebih dari seorang dalam kereta wanita berkenaan. Saya dapatkan nombor telefon bimbit Encik Oon dari YB Aznel Ibrahim, ADUN Pengkalan Hulu.

Sebentar tadi saya dapat bercakap dengan Encik Oon dan bertanya lebih detail. Benar telahan saya. Selain wanita itu, sebenarnya ada tiga lagi di dalam kereta berkenaan, iaitu suami wanita itu yang memandu kereta dan dua anak mereka masing-masing berusia sekitar 4 dan 6 tahun. Kedua suami isteri berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, sementara kedua-dua anak mereka yang berada di tempat duduk belakang menangis ketakutan. 

Menurut Encik Oon, setelah pintu kereta berjaya dibuka, beberapa orang pemuda Melayu turut membantunya mengeluarkan kesemua mangsa. Sebaik kesemua mangsa dibawa keluar, api dari kereta sebelah menyambar dan membakar kereta mereka.

Saya telah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Encik Oon atas sikap berani, prihatin dan sanggup bertindak pantas walaupun membahayakan dirinya. Saya juga memberitahunya bahawa ramai yang komen di wall Facebook ini mengucapkan terima kasih dan memuji keberaniannya. Balas Encik Oon, “Ya sama-sama. Kalau nampak ini macam punya hal, kita mesti tolong.” 

Encik Oon berusia 66 tahun, lahir pada 24 Mei 1951, itu maklumat dari carian saya di akaun Facebooknya yang sudah lama tak dikemaskini.

Nama pemandu Rosefakhzan Saleh berasal dari Tumpat, Kelantan dan isterinya Seri NurShela dari Perlis, kedua-duanya berusia 37 tahun. Anak mereka Mohd Aqil Azim, 9 tahun dan Naurah Kaisara, 5 tahun.

Saya mohon maaf atas maklumat awal yang tidak begitu tepat. Selamat Hari Raya Aidil Adha. Terima kasih.) 1/9/2017 5.50 petang.


3 comments:

Unknown said...

Moga perpaduan berkekalan..ini secara sepontan atas sifat kasih sayang dan tanggungjawab..usaha lebih keras, sgt2 diperlukan utk membina nilai2 perpaduan yg segera meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia yg sdg berhadapan dgn dugaan dan terjahan melulu yg cemburu dgn kestabilan negara kita ini

Anonymous said...

Humanity does exists. Salute to the Unsung Hero
ND

Unknown said...

kadang2 yg sedarah dn sebangsa lg x boleh diharap.. lebih teruk lg smpi x boleh tengok org lain lebih drpd mereka