10 September, 2017

FELDA PERLU TUBUH TABUNG BENCANA LADANG DI WILAYAH

Petang tadi saya meninjau kesan serangan ulat bungkus terhadap pokok sawit di Felda Gugusan Besout, Perak dalam DUN Slim yang menjadi isu utama sejak beberapa bulan lalu.

Turut serta Pengurus Besar Felda Wilayah Trolak Encik Haidir Moin, dan pengurus dari kelima-lima tanah rancangan di Felda Gugusan Besout. 

Apa yang saya dapati, kerja-kerja kawalan secara semburan udara dan suntikan batang yang dilaksanakan oleh pihak Felda sebelum ini telah menunjukkan tanda positif. Pucuk muda mula tumbuh, bermakna penghasilan buah akan kembali normal dalam tempoh enam bulan.

Saya berharap agar Felda dapat mewujudkan Tabung Bencana Ladang di setiap pejabat Wilayah supaya langkah kawalan dapat dilakukan dengan kadar segera tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan Ibupejabat. Sebelum ini difahamkan tempoh kelulusan dari Bahagian Kewangan Ibupejabat agak lambat sehingga memakan masa lebih sebulan, sementelah di masa itulah ulat-ulat bungkus bermaharajalela di ladang. 

Sepatutnya langkah kawalan dilakukan segera sebaik sahaja ada tanda-tanda serangan ulat bungkus. Dengan wujudnya Tabung Bencana Ladang,  pejabat Wilayah hanya perlu memaklumkan kepada ibupejabat Felda, dan melaporkan pelan tindakan segera yang akan diambil.  Wilayah tidak perlu lagi menunggu lama untuk bertindak.

Masalah ulat bungkus adalah bencana besar kepada ekonomi nasional, kerana eksport minyak sawit adalah antara sumber utama hasil negara. Lebih penting lagi, sumber kehidupan majoriti daripada kira-kira 112,000 keluarga peneroka Felda di seluruh negara adalah bergantung kepada pokok sawit. 

Mencegah daripada awal pastinya lebih baik berbanding merawat setelah parah. Perkara ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Felda pada 26 September nanti. Lebih baik lagi jika pengurusan Felda dapat menyediakan kertas board berkaitan penubuhan Tabung Bencana Ladang di Wilayah ini untuk dibincang dan diputuskan.

InsyaAllah, doakanlah yang terbaik buat kesejahteraan peneroka Felda di seluruh negara.

#felda #ulatbungkus #besout

No comments: