28 July, 2010

SIDANG DUN PERAK : ISU RM30 JUTA

Antara perkara penting yang akan dibincangkan semasa Sidang DUN Perak pada 3 Ogos nanti adalah pembentangan bil bagi meluluskan perbelanjaan tambahan sebanyak RM30 juta untuk tujuan pembangunan. Perkara ini telahpun dimaklumi oleh Adun-Adun pembangkang dari DAP, Pas dan PKR di Negeri Perak. Maka berdegar-degarlah mereka mempertikaikan langkah Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir hendak menggunakan wang sebanyak itu.

Mereka menuduh kononnya Kerajaan Negeri tidak cekap sehingga memerlukan dana tambahan untuk menguruskan pentadbiran. Maka dituduhlah juga kononnya kerajaan pimpinan Dr. Zambry mahu membazirkan wang rakyat, satu slogan standard dari pihak pembangkang. Mungkin mereka lupa bagaimana ketika mereka mentadbir Kerajaan Negeri dahulu, sejumlah besar wang rakyat digunakan hanya untuk memberikan keselesaan kepada barisan Exco Kerajaan Negeri menukar kereta rasmi daripada Proton kepada Toyota Camry.

Untuk pengetahuan Adun-Adun pembangkang, wang RM30 juta ini adalah sebahagian daripada lebihan pendapatan Kerajaan Negeri pimpinan Dr. Zambry yang berjumlah lebih RM100 juta.

Lebihan pendapatan ini juga berlaku hasil daripada kecekapan kerajaan BN Perak menggerakkan jentera pentadbiran, khususnya daripada pungutan hutang tertunggak daripada jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti Felda dan Felcra. Sumber-sumber pendapatan ini sebelumnya tidak nampak tetapi kini dapat dikesan, terutamanya daripada segi cukai dan premium tanah. Selain itu, pungutan cukai oleh kerajaan-kerajaan tempatan juga meningkat.

Perbelanjaan tambahan RM30 juta ini akan digunakan untuk melaksanakan projek-projek kecil yang membabitkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Sebahagian daripadanya mungkin akan disalurkan kepada wakil-wakil rakyat dalam bentuk peruntukan tambahan setelah peruntukan dari Kerajaan Negeri sebanyak RM200,000 untuk setiap Adun BN (termasuk Adun bebas) sebelum ini kebanyakannya telah dibelanjakan. Tumpuan sudah pasti diberikan kepada projek-projek kecil luar bandar seperti pembekalan air dan elektrik, membaikpulih jalan kampung serta membekalkan lampu jalan.

Adalah tidak benar mengatakan BN tidak cekap sehingga memerlukan dana tambahan, kerana wang RM30 juta itu diperolehi hasil daripada kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga memperoleh lebihan pendapatan. Sementara baki kira-kira RM70 juta lagi akan dibawa dalam pembentangan Bajet 2011 oleh Menteri Besar pada persidangan sebelum hujung tahun.

Apa yang lebih membanggakan, dalam tempuh satu setengah tahun pemerintahan BN di Perak, Kerajaan Negeri telah berjaya meningkatkan rizab kepada kira-kira RM900 juta.

Kerajaan Negeri boleh menyimpan wang RM30 juta itu dalam bentuk rizab dan meningkatkan lagi jumlah rizab yang terkumpul. Tetapi daripada segi pertumbuhan ekonomi negeri, Kerajaan memikirkan adalah lebih baik wang itu dibelanjakan bagi merancakkan aliran tunai dalam pasaran, selain membantu kontraktor-kontraktor PKK Kelas F yang ketandusan projek ketika ini akibat pembekuan projek PIA dan PIAS oleh Kerajaan Persekutuan tahun ini.

Jadi atas alasan apakah pihak pembangkang hendak melontarkan tohmahan kononnya Kerajaan BN Perak di bawah teraju Dr. Zambry tidak cekap dan mahu membazirkan wang rakyat? Apapun, sama-samalah kita menunggu hujah selanjutnya daripada mereka semasa Sidang DUN pada 3 Ogos nanti.

Cumanya janganlah Nizar Jamaluddin, Ngeh Koh Ham dan Nga Kor Meng  sekali lagi mencetuskan suasana sarkas dalam persidangan kali ini sebagaimana tiga sidang sebelumnya. Rakyat Perak sudah muak dengan gelagat tuan-tuan ahli Yang Berhormat.


Lotte Hotel, Seoul, Korea.

07 July, 2010

SAH! FELDA SAMAN SUARA KEADILAN

Di pentas majlis perasmian Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2010 hari ini, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak melontarkan bom kepada akhbar Suara Keadilan. Disebabkan akhbar milik PKR itu enggan memohon maaf dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan, maka PM mengesahkan bahawa Felda akan mengemukakan saman sebanyak RM200 juta terhadap Suara Keadilan kerana menyiarkan berita fitnah bertajuk 'Felda bankrap'.

"Hari ini genap tujuh hari tempoh yang diberikan kepada Suara Keadilan, kebetulan jatuh pada Hari Peneroka. Disebabkan akhbar ini enggan memohon maaf, kita membuat keputusan untuk meneruskan saman terhadap akhbar ini RM200 juta," kata Perdana Menteri lantas bertanya kepada kira-kira 10,000 peneroka Felda yang hadir samaada bersetuju ataupun tidak. Laungan 'setuju' memenuhi kanopi gergasi itu.

Hari Peneroka tahun ini disambut di tanah lapang dalam kawasan Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) di Trolak, Perak. Selepas melancarkan majlis itu, Perdana Menteri merasmikan pula MRSMF bernilai RM123 juta itu yang dibiayai sepenuhnya oleh Felda.

Kalau mahu dikatakan buku bertemu ruas, tidaklah dipastikan samada Suara Keadilan itu punya kredibiliti setanding Felda yang telah bertapak selama 54 tahun dalam persada ekonomi negara. Suara Keadilan bergerak dalam lingkungan untuk menegakkan perjuangan sebuah parti dan individu bernama Anwar Ibrahim, sedangkan Felda bergerak dalam lingkungan lebih luas untuk membela nasib 225,270 keluarga peneroka, 1.6 juta generasi baru, 23,000 petugas berkaitan agensi itu dan 40,000 pekerja kontrak di ladangnya.

Itu belum diambil kira kepentingan Felda di 12 buah negara yang mungkin terjejas kesan fitnah kononnya agensi itu bankrap. Sudah pasti akan timbul kebimbangan di kalangan negara-negara yang bergantung kepada minyak sawit Felda. Kredibiliti Felda akan dipertikaikan sehingga memberi kesan negatif terhadap aliran pendapatannya.

Sebenarnya jumlah RM200 juta itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan nilai maruah dan kredibiliti Felda, sebuah agensi kedua terbesar di negara ini, selepas Petronas. Ada desakan supaya Felda mengenakan saman yang lebih tinggi terhadap Suara Keadilan sehingga berbilion ringgit, sesuai dengan aset yang dimilikinya.

Apapun, RM200 juta itu mungkin memeningkan Suara Keadilan. Nampaknya Anwar perlu mengadap taikoonnya lagi di USA dan Israel.

Berita berkaitan sila lihat blog YEOPPARIT.

05 July, 2010

MRSM FELDA, HARI PENEROKA DAN ISU SAMAN



Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) yang terletak di Trolak, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Slim akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada Rabu, 7 Julai 2010.

Perasmian MRSMF ini dilakukan serentak dengan majlis Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan tahun ini, melibatkan kehadiran kira-kira 12,000 peneroka dari 317 tanah rancangan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

MRSMF adalah satu lagi lambang kejayaan Felda meningkatkan taraf kehidupan rakyat, khususnya di kalangan peneroka dan generasinya. Kos pembinaannya menjangkau RM120 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Felda, menjadikan MRSMF sebagai yang tercanggih, termoden dan termahal jika dibandingkan dengan MRSM lain di negara ini.

Terletak di tapak seluas kira-kira 20.2 hektar berhampiran Felda Jaya Utara yang menempatkan pejabat pentadbiran Felda Wilayah Trolak, dan bersebelahan jajaran Lebuhraya Utara Selatan (Plus), MRSMF kini menjadi satu lagi mercu tanda kemajuan pendidikan anak bangsa di Selatan Negeri Perak.

Inilah satu-satunya MRSM yang dikhususkan kepada generasi Felda untuk menimba ilmu dalam suasana lebih selesa dan moden. Seramai 1,050 pelajar boleh ditempatkan di sini, di mana 80 peratus daripadanya adalah anak-anak generasi Felda serta kakitangan yang bertugas dengan Felda. 20 peratus lagi dipilih di kalangan pelajar cemerlang di luar lingkungan Felda.

Ketika ini MRSMF mempunyai seramai 763 pelajar. Daripada jumlah itu, 174 orang pelajar berada di Tingkatan Satu, 135 (Tingkatan Dua), 195 (Tingkatan Tiga) dan 259 (Tingkatan Empat). Menjelang awal tahun hadapan, jumlah 1,050 pelajar itu akan dipenuhi. (Lihat juga di SINI)

MRSMF ini dirasmikan ketika pihak pembangkang begitu rakus menuduh kononnya Felda akan bankrap. Para pemimpin PKR dan akhbar rasminya Suara Keadilan secara melulu membuat pembohongan yang jauh menyimpang dari realiti sebenar kejayaan Felda sejak 54 tahun lalu.

Selaku anak peneroka Felda, saya berbangga dengan apa yang telah disumbangkan oleh Felda selama ini untuk mengeluarkan masyarakat luar bandar dari kepompong kemiskinan. Kebanyakan peneroka Felda datangnya dari perkampungan terpencil di luar bandar yang sebelum ini hidup serba miskin dan melarat.

Tidak pernah mereka bayangkan suatu hari nanti pendapatan mereka boleh menjangkau sehingga RM4,000 sebulan, jauh lebih baik berbanding pendapatan anak-anak mereka yang keluar dari pusat pengajian tinggi berjawatan guru berijazah. Malahan ketika harga barang komoditi seperti sawit dan getah meningkat, ada di kalangan peneroka yang memperolehi pendapatan lima angka.

Lihatlah taraf kehidupan peneroka di tanah-tanah rancangan Felda hari ini. Di peringkat awal kehidupan mereka, mungkin ada di antara generasi Felda yang malu hendak mengaku sebagai anak peneroka Felda, tetapi hari ini rata-rata mereka berbangga. 

Anak generasi Felda hari ini dapat melihat sendiri bagaimana perkembangan taraf sosio-ekonomi ibubapa dan keluarga mereka. Daripada tinggal di pondok buruk di perkampungan tradisi, berpindah ke rumah ala Felda di tanah rancangan dan hari ini rumah berkenaan telah melalui proses baikpulih atau dibina baru menjadi bunglow spara mewah.

Pusat Jalur Lebar Komuniti - Projek baru Felda

Kalau dahulu ada pinangan anak teruna Felda ditolak kerana mereka berstatus anak peneroka yang tinggal serba-serbi kekurangan, hari ini saham generasi Felda sudah melonjak yang sukar ditolak dan dinafikan lagi. 

Terlalu banyak pengalaman dan cerita yang mahu saya kongsi bersama mengenai kehidupan awal di tanah rancangan Felda untuk tatapan semua, kerana saya adalah salah seorang insan dalam proses awal perjalanan kehidupan di tanah rancangan. Insyaallah saya akan menceritakannya apabila ada masa senggang yang terluang.

Jadi penipuan apakah yang telah dilakukan oleh Felda kepada peneroka seperti didakwa oleh pembangkang, termasuk Mazlan Aliman yang menjadi presiden persatuan haram ANAK yang tidak berdaftar? 

Tidak hairanlah jika Felda akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pemimpin PKR dan akhbar Suara Keadilan kerana membuat tuduhan melulu bahawa Felda akan bankrap. Rasanya tempoh tujuh hari yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan untuk mereka meminta maaf sudahpun berlalu. 

Maka samanlah mereka sebagai satu pengajaran.

23 June, 2010

PKR MEMBISU, KESHVINDER PULA MELOMPAT

Zulkifly Ibrahim

Pada 14 Jun 2010 saya telah melontarkan cabaran kepada PKR dan Ketua Penerangan PKR Negeri Perak, Zulkifly Ibrahim begini -  

"Selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, saya mencabar PKR dan Zulkifly menamakan tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu, selain menamakan 12 Ketua Umno Bahagian yang didakwanya sudah hilang kepercayaan kepada Dr. Zambry sebagaimana yang disebutkannya kepada wartawan dalam sidang media itu. Saya beri tempuh kepada PKR dan Zulkifly sehingga detik 2359 tengah malam pada 15 Jun 2010 atau hari Selasa ini untuknya mendedahkan nama-nama itu kepada media.


Jika PKR dan Zulkifly gagal menyebutkan nama-nama yang didakwa itu sehingga waktu berkenaan, maka seluruh rakyat yang bermastautin di bumi Malaysia dan negeri bertuah Perak (termasuk ahli-ahli parti PKR) bebas untuk melebalkan parti pimpinan Anwar Ibrahim ini sebagai parti penipu, parti isu murahan, parti peliwat fakta, parti bobrok, parti muflis idea dan apa sahaja gelaran yang menggambarkan sikap tidak profesional PKR berpolitik.


Saya menanti dan akan terus menanti sehingga masa yang ditetapkan. Beranikanlah diri anda wahai Zulkifly, supaya telur yang berbau hapak itu bertukar bau kasturi." Lihat artikel penuh di SINI.

Hari ini sudahpun bertarikh 23hb Jun 2010. Apa yang diwar-warkan oleh PKR dan Zulkifly itu ternyata hanya omong-omong kosong dan satu penipuan terhadap rakyat. Kini rakyat bebas untuk memberikan apa sahaja label buruk kepada PKR.

Sebaliknya, bukannya Adun BN yang melompat ke sebelah sana, tetapi Adun DAP dari Malim Nawar, Keshvinder Singh yang mengambil tindakan keluar daripada parti itu dan menyokong Barisan Nasional (BN) sehari selepas itu, iaitu pada 15 Jun 2010.
ADUN MALIM NAWAR, YB KESHVINDER SINGH

Badan Perhubungan Umno Negeri Perak mengalu-alukan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Malim Nawar, Keshvinder Singh A/L Kashmir Singh keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
 
Tindakannya itu sudah pasti meningkatkan lagi tahap kestabilan politik di Negeri Perak, dan membolehkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir melaksanakan dasar-dasar pentadbiran dengan lebih berkesan berlandaskan konsep Perak Amanjaya.
 
Tindakan beliau itu juga membolehkan konsep 1Malaysia dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak diperkukuhkan, khususnya yang melibatkan penglibatan rakyat dari keturunan Sikh.
 
Langkah Keshvinder itu mengukuhkan lagi bukti bahawa kepimpinan DAP tidak mampu membendung perpecahan di kalangan pemimpinnya, sehingga seorang lagi Adunnya mengambil tindakan keluar dari parti itu dan menyokong BN.
 
Sebelum ini, ADUN Jelapang Dato’ Hee Yit Foong mengambil tindakan yang serupa akibat kegagalan DAP memberikan tempat yang sesuai terhadap kepimpinan wanita di Negeri Perak.

Terlalu banyak kelemahan dalam parti DAP, sehingga menyebabkan pemimpinnya berasa kecewa dan tidak yakin bahawa parti itu mampu mentadbir negeri dengan adil kepada semua kaum sebagaimana yang ditunjukkan oleh BN sejak sekian lama.
 
“Saya pasti Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan kepada Keshvinder supaya beliau boleh menyumbangkan peranan lebih berkesan bagi membangunkan kawasan Malim Nawar yang diwakilinya”.
 
Saya mengalu-alukan supaya lebih ramai pemimpin dari pakatan pembangkang mengikut jejak Keshvinder demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat menjalankan peranan lebih berkesan membangunkan negeri dan rakyat.

14 June, 2010

ISU LOMPAT - TEMBELANG PKR SEMAKIN BUSUK


 
Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim

Waktu sekarang sudah lebih 1.00 pagi tarikh 14 Jun 2010, iaitu 12 jam meninggalkan waktu yang diwar-war oleh PKR Perak hendak mengumumkan nama-nama Adun BN dari Umno yang mereka dakwa mahu melompat ke parti pimpinan Anwar Ibrahim itu. Nampaknya tembelang PKR itu kini membusung pekung dan semakin busuk baunya.

Semalam Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim dengan penuh yakin membuat kenyataan bahawa 3 Adun BN dari parti Umno akan melompat ke partinya, dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat pada jam 1.00 tengahari tadi (waktu Malaysia) dalam satu sidang media di Ipoh.

Telur tembelang PKR itu diarak serata pelosok kampung dan negeri sejak beberapa hari lalu, dijaja sehingga ke beberapa dada akhbar dan diiklankan di blog-blog pro-pembangkang. Maka bertalu-talulah panggilan dan sms (termasuk menjadi topik hangat dalam mesej Blackberry)  yang saya terima bertanyakan perkara itu.

Seperti yang saya jangka, itu semua adalah mainan politik murahan sebuah parti politik yang semakin muflis isu dan idea, bertujuan mahu mewujudkan suasana tidak keruan terhadap politik Negeri Perak. Idea bobrok dan tidak berasas ini timbul dari perasaan hasad dengki melihat suasana politik Negeri Perak yang semakin damai sejak Mahkamah Tinggi menolak rayuan Nizar Jamaluddin untuk mengisytiharkan perlantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah.

Ketika jari-jari saya mengetuk butang-butang laptop di tengah malam ini, saya masih ternanti-nanti jika ada panggilan atau sms kecemasan memberi tahu Adun-Adun BN yang didakwa mahu melompat itu sudahpun berbuat demikian.  Penantian saya rasanya terlalu panjang, sejak jam 1.00 tengahari tadi lagi.

Kira-kira jam 2.45 petang tadi seorang wartawan dari akhbar Sinar Harian menelefon saya untuk mendapatkan komen mengenai tembelang PKR yang mula membusuk ketika itu. Menurutnya, sememangnya PKR mengadakan sidang media sekitar jam 1.00 tengahari tadi di Ipoh dan berjaya menghimpunkan ramai wartawan yang begitu ghairah mahu melihat wajah tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu.

Tetapi menurut wartawan itu, mereka kecewa kerana tidak ada satupun batang hidung Adun BN dalam sidang media berkenaan. Yang ada adalah batang hidung Zulkifly dan juak-juak PKRnya yang telah mengusung telur busuk itu sejak beberapa hari lalu. Zulkifly terus bersilat, tetapi nadanya semakin tidak meyakinkan para wartawan. Seluruh bilik tempat sidang media itu semakin membusuk dengan bau telur tembelang Zulkifly yang tiba-tiba pecah.

Selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, saya mencabar PKR dan Zulkifly menamakan tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu, selain menamakan 12 Ketua Umno Bahagian yang didakwanya sudah hilang kepercayaan kepada Dr. Zambry sebagaimana yang disebutkannya kepada wartawan dalam sidang media itu. Saya beri tempuh kepada PKR dan Zulkifly sehingga detik 2359 tengah malam pada 15 Jun 2010 atau hari Selasa ini untuknya mendedahkan nama-nama itu kepada media.

Jika PKR dan Zulkifly gagal menyebutkan nama-nama yang didakwa itu sehingga waktu berkenaan, maka seluruh rakyat yang bermastautin di bumi Malaysia dan negeri bertuah Perak (termasuk ahli-ahli parti PKR) bebas untuk melebalkan parti pimpinan Anwar Ibrahim ini sebagai parti penipu, parti isu murahan, parti peliwat fakta, parti bobrok, parti muflis idea dan apa sahaja gelaran yang menggambarkan sikap tidak profesional PKR berpolitik.

Saya menanti dan akan terus menanti sehingga masa yang ditetapkan. Beranikanlah diri anda wahai Zulkifly, supaya telur yang berbau hapak itu bertukar bau kasturi.

(Saya telah hantar artikel ini dalam inbox Facebook Zulkifly Ibrahim).

03 June, 2010

KISAH CEMAS DI ATAS KAPAL MAVI MARMARA

Kesemua 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel dua hari lepas sudah dibebaskan dan kini berada di Jordan, kata wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, yang juga merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia yang turut berada di atas kapal itu semasa ia diserang.

Dalam satu lintas langsung dengan stesen itu pagi ini, Ashwad berkata, mereka berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan.

Mereka dihantar dengan bas bersama sukarelawan daripada beberapa negara lain ke sempadan Israel-Jordan, dan kini dalam perjalanan ke Amman.

"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, pihak kedutaan (di Jordan) dan masyarakat antarabangsa yang banyak berusaha untuk keluarkan kami," kata Ashwad, 25, yang dihubungi oleh stesen itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan agar mereka selamat dan mengadakan sembahyang hajat.

Mavi Marmara, sebuah kapal Turki ialah satu daripada konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.

Ketika ditanya pengalaman sepanjang insiden itu, Ashwad berkata, layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas.

Katanya, kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu di luar perairan Israel pada pukul 4.20 pagi.

"Tentera Israel mengepung kami dari semua pelosok... mereka menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter," katanya.

Menurut beliau, tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata, seperti air dari pili bomba.

"Kami diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Samsul (jurukamera) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu," katanya.

"Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah...ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian... kami hanya orang awam," tambah beliau.

Ditanya keadaan Samsulkamal Abdul Latip, Ashwad berkata, beliau selamat tetapi kedua-dua mereka terpisah selepas mereka ditahan dan digari oleh tentera Israel, dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan.

Beliau berkata, kesemua 12 rakyat Malaysia itu akan bertemu dengan Duta Malaysia di Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz sebelum mengatur rancangan pulang ke tanah air.

Dari blog kamalfarsya