28 April, 2010

KEPUTUSAN PENUH PRK HULU SELANGOR


Keputusan penuh Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor
Sila klik di sini

Kesemua lima daerah mengundi di mana Negeri Perak menjadi bapa angkat dimenangi oleh BN. Daerah-daerah mengundi itu ialah Kawasan SKC, Ladang Lima Belas, Gedangsa, Sungai Selisek dan Kampung Gesir.

Di kelima-lima daerah mengundi ini, calon BN, P. Kamalanathan memperolehi 2,364 undi berbanding calon PKR, Dato' Zaid Ibrahim mendapat 1,268 undi. Majoriti BN di sini adalah 1,096 undi. Kesemua 12 saluran dimenangi calon BN.

Tahniah saya ucapkan kepada semua 248 anggota jentera BN Negeri Perak yang bertugas seawal 14 April. Begitu juga kepada 800 anggota Pemuda Wira Bangsa dan 200 anggota Puteri Sangsaka Bangsa yang datang sehari sebelum pembuangan undi bagi membantu menguatkan semangat pengundi dan petugas. 

Insyaallah, jentera BN Negeri Perak akan kembali ke setiap daerah mengundi untuk mengadakan kenduri kesyukuran sebagai menghargai kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh para pengundi kepada BN.
 
GEGAR! GEMPUR! (atau dalam loghat Peraknya GEGOR! GEMPOR!)


26 April, 2010

HS - KE PUSAT MENGUNDI

Foto kenangan tinjauan ke pusat-pusat pembuangan undi di Zon 2, Hulu Selangor sempena Pilihanraya Kecil P094 bersama Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Ismail Saffian.

25 April, 2010

PKR ANIAYA WANITA UZUR

"Mak cik rasa sebak sangat dianiaya begini"

Badariah bte Haji Sulaiman – bukanlah satu nama popular. Nama itu hanya dikenali sebilangan rakan taulan di sekitar tanah rancangan Felda yang didiaminya, selain sanak saudara. Tetapi nama itu menjadi perhatian khas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Puan Badariah kini berusia 65 tahun, tinggal di alamat 486-4 Kampung Bukit, Felda Gedangsa. Wanita ini uzur sejak lebih 13 tahun lalu akibat serangan jantung. Suaminya, Mohd Nor bin Judi adalah peneroka di tanah rancangan itu.

Walaupun uzur dan pergerakannya terbatas, Puan Badariah hidup penuh ceria bersama keluarganya sehinggalah keceriaannya itu diragut oleh sepucuk surat dan segulung sijil penghargaan yang dikirimkan oleh PKR kepadanya pada awal Januari 2010.

Sijil penghargaan bertarikh 31 Disember 2009 itu mengesahkan Puan Badariah telah menjadi ahli parti PKR dengan nombor keahlian B030000703. Sejak itu, hidup Puan Badariah penuh dengan tandatanya dan emosinya begitu teruk terganggu.

Dia hampir tidak dapat bersuara ketika wartawan RTM menemuramahnya. Perasaannya bercampur baur antara sebak, geram, marah, kecewa dan sedih. Namun dikuatkannya semangatnya untuk menzahirkan kebenaran.

“Mak cik tak pernah minta jadi ahli PKR. Siapa punya kerja ini? Orang yang buat kerja ini letak otaknya di lutut. Mak cik rasa geram sangat. Menipu mak cik dan mahu menganiaya mak cik,” katanya dalam suara tersekat-sekat. Air jernih mula berginang di kelopak mata, lantas tak dapat ditahan dari mencucuri pipinya.

“Mak cik dah masuk Umno dari tahun 70 (1970). Mak cik tak pernah keluar dari Umno, kenapa pula mak cik boleh diberi surat masuk parti PKR ni?” katanya sambil meramas surat dan sijil dengan perasaan geram lalu mencampakkannya.

Pagi ini Puan Badariah akan menunaikan tanggungjawabnya membuang undi dalam Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor. Dalam PRU12 lalu beliau tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu kerana keuzurannya. Tetapi dia bertekad mahu ke pusat pembuangan undi kali ini kerana mahu membalas perbuatan yang dilakukan oleh PKR terhadapnya.

Apa yang pasti, perasaan geram dan marah Puan Badariah terhadap penipuan PKR tidak cukup hanya sekadar meramas dan membuang surat serta sijil yang diterimanya. Hatinya akan lebih puas sekiranya berpeluang memasuki bilik mengundi, dan memangkah calon BN sebagai tanda membalas penipuan PKR terhadapnya.

“Tolonglah hantar kenderaan ambil mak cik esok (hari ini). Mak cik nak mengundi BN. Mak cik nak lepas geram semasa mengundi,” katanya.

Selamat mengundi Puan Badariah. Dan selamat mengundi kepada semua pengundi P094 Hulu Selangor. Undi ditangan anda bagi memastikan BN kembali di Parlimen ini.


22 April, 2010

NGA KOR MENG PATUT INSAF

ADUN Pantai Remis, Nga Kor Meng sewajarnya semakin insaf bahawa rasa meluat terhadap sikap tidak beradab sebahagian besar rakan seperjuangannya yang bergelar ‘Yang Berhormat’ bukan sekadar membusung di hati rakyat akar umbi, malah sudah sampai ke peringkat tertinggi dalam institusi beraja di Negeri Perak.

Sikap mereka sudah lama diperhati dan diteliti. Sudah sekian lama Nga Kor Meng dan rakannya di dalam pakatan pembangkang yang bergelar ADUN menunjukkan sikap tidak beradab secara terbuka, bukan sahaja terhadap sistem kehakiman dan Sidang DUN yang mulia, malahan sehingga mengetuk pintu kedaulatan Raja-Raja dan istana.

Sudah beberapa kali mereka bersikap kebudak-budakan dan tidak beretika semasa berada dalam Sidang DUN, termasuk yang terbaru pada 31 Mac lalu apabila mereka menjerit-jerit, memaki hamun, mahu memukul Menteri Besar, menunjukkan 'risalah' seolah-olah berada dalam demontrasi jalanan, berlegar di ruang yang tidak dibenarkan, tidak mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan dan memboikot dewan sebagaimana sebelumnya.

Atas sikap buruk seperti itu, sukar untuk sesiapa sahaja mahu menilai diri mereka dari sudut yang positif. Tidak perlulah Nga Kor Meng berasa hairan kenapa mereka tidak dijemput menghadiri majlis Istiadat Menjunjung Kasih dan Penganugerahan Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak di Istana Iskandariah pada 19 April lalu.

Adalah hak Istana untuk menjemput sesiapa sahaja yang difikirkan layak untuk menghadiri majlis gilang-gemilang dan penuh dengan adat istiadat dan adab sopan itu. Maka tiada hak untuk Nga Kor Meng mempertikaikan kenapa dirinya dan rakan-rakan 'Yang Berhormat'nya tidak dijemput.

Pandai-pandailah mengukur baju di badan sendiri.

20 April, 2010

DUA WANITA PKR PERAK KELUAR PARTI


Dato' Ahmad Maslan bercakap sesuatu dengan Roshanita (berbaju pink) dan Suraya (coklat). Suami Roshanita (kiri) turut keluar PKR dan menyertai Umno. Dato' Rusnah (baju putih) dan Puan Zanazat (kanan sekali)

Dua pemimpin PKR Negeri Perak keluar parti dan menyertai Umno. Mereka ialah Puan Suraya Sulaiman dari Tanjong Malim dan Roshanita Mohd Basir dari Bagan Serai. Mereka berbuat demikian di Rumah Umno Perak, Kampung Masjid Sungai Selisek, dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Pengisytiharan itu mereka buat di hadapan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato' Ahmad Maslan yang turut dihadiri oleh ramai rakan media.
Suraya berjawatan Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Pengarah Pilihanraya Wanita PKR dan Ketua Wanita Cabang (Bahagian) PKR Tanjong Malim. Beliau bekas exco Wanita PKR Pusat.
Roshanita pula adalah Timbalan Ketua Wanita PKR Bagan Serai, Timbalan Pengerusi Pilihanraya Wanita PKR Perak dan ahli Jawatankuasa Strategik Wanita PKR Perak.
Mereka keluar PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu dan akan membantu jentera Wanita Umno Perak berkempen dalam PRK P094 Hulu Selangor.
Turut hadir menerima kemasukan mereka adalah Ketua Wanita Umno Perak, Dato' Hajah Rusnah Kassim dan Ketua Wanita Umno Bahagian Bukit Gantang, Puan Zanazat Abdul Samad (yang memainkan peranan penting kemasukan kedua-dua mereka).

Ramai pemimpin Wanita Umno Perak dan pemimpin Wanita Umno Cawangan dari Hulu Selangor turut menyaksikan penyertaan rakan baru mereka ke dalam Umno.

Antara Ketua Umno Bahagian yang turut hadir adalah Dato' Yusoff Kassim (Batu Gajah) dan Dato' Zaim Abu Hassan (Parit).

19 April, 2010

DAULAT TUANKU!


Patik dan seluruh rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Slim dan Parlimen Tanjong Malim menjunjung kasih dan mengucapkan selamat menyambut ulangtahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Didoakan semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan ke bawah duli Tuanku sekeluarga. 
Amin Ya Rabbal 'Alamin.