25 April, 2010

PKR ANIAYA WANITA UZUR

"Mak cik rasa sebak sangat dianiaya begini"

Badariah bte Haji Sulaiman – bukanlah satu nama popular. Nama itu hanya dikenali sebilangan rakan taulan di sekitar tanah rancangan Felda yang didiaminya, selain sanak saudara. Tetapi nama itu menjadi perhatian khas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Puan Badariah kini berusia 65 tahun, tinggal di alamat 486-4 Kampung Bukit, Felda Gedangsa. Wanita ini uzur sejak lebih 13 tahun lalu akibat serangan jantung. Suaminya, Mohd Nor bin Judi adalah peneroka di tanah rancangan itu.

Walaupun uzur dan pergerakannya terbatas, Puan Badariah hidup penuh ceria bersama keluarganya sehinggalah keceriaannya itu diragut oleh sepucuk surat dan segulung sijil penghargaan yang dikirimkan oleh PKR kepadanya pada awal Januari 2010.

Sijil penghargaan bertarikh 31 Disember 2009 itu mengesahkan Puan Badariah telah menjadi ahli parti PKR dengan nombor keahlian B030000703. Sejak itu, hidup Puan Badariah penuh dengan tandatanya dan emosinya begitu teruk terganggu.

Dia hampir tidak dapat bersuara ketika wartawan RTM menemuramahnya. Perasaannya bercampur baur antara sebak, geram, marah, kecewa dan sedih. Namun dikuatkannya semangatnya untuk menzahirkan kebenaran.

“Mak cik tak pernah minta jadi ahli PKR. Siapa punya kerja ini? Orang yang buat kerja ini letak otaknya di lutut. Mak cik rasa geram sangat. Menipu mak cik dan mahu menganiaya mak cik,” katanya dalam suara tersekat-sekat. Air jernih mula berginang di kelopak mata, lantas tak dapat ditahan dari mencucuri pipinya.

“Mak cik dah masuk Umno dari tahun 70 (1970). Mak cik tak pernah keluar dari Umno, kenapa pula mak cik boleh diberi surat masuk parti PKR ni?” katanya sambil meramas surat dan sijil dengan perasaan geram lalu mencampakkannya.

Pagi ini Puan Badariah akan menunaikan tanggungjawabnya membuang undi dalam Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor. Dalam PRU12 lalu beliau tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu kerana keuzurannya. Tetapi dia bertekad mahu ke pusat pembuangan undi kali ini kerana mahu membalas perbuatan yang dilakukan oleh PKR terhadapnya.

Apa yang pasti, perasaan geram dan marah Puan Badariah terhadap penipuan PKR tidak cukup hanya sekadar meramas dan membuang surat serta sijil yang diterimanya. Hatinya akan lebih puas sekiranya berpeluang memasuki bilik mengundi, dan memangkah calon BN sebagai tanda membalas penipuan PKR terhadapnya.

“Tolonglah hantar kenderaan ambil mak cik esok (hari ini). Mak cik nak mengundi BN. Mak cik nak lepas geram semasa mengundi,” katanya.

Selamat mengundi Puan Badariah. Dan selamat mengundi kepada semua pengundi P094 Hulu Selangor. Undi ditangan anda bagi memastikan BN kembali di Parlimen ini.


22 April, 2010

NGA KOR MENG PATUT INSAF

ADUN Pantai Remis, Nga Kor Meng sewajarnya semakin insaf bahawa rasa meluat terhadap sikap tidak beradab sebahagian besar rakan seperjuangannya yang bergelar ‘Yang Berhormat’ bukan sekadar membusung di hati rakyat akar umbi, malah sudah sampai ke peringkat tertinggi dalam institusi beraja di Negeri Perak.

Sikap mereka sudah lama diperhati dan diteliti. Sudah sekian lama Nga Kor Meng dan rakannya di dalam pakatan pembangkang yang bergelar ADUN menunjukkan sikap tidak beradab secara terbuka, bukan sahaja terhadap sistem kehakiman dan Sidang DUN yang mulia, malahan sehingga mengetuk pintu kedaulatan Raja-Raja dan istana.

Sudah beberapa kali mereka bersikap kebudak-budakan dan tidak beretika semasa berada dalam Sidang DUN, termasuk yang terbaru pada 31 Mac lalu apabila mereka menjerit-jerit, memaki hamun, mahu memukul Menteri Besar, menunjukkan 'risalah' seolah-olah berada dalam demontrasi jalanan, berlegar di ruang yang tidak dibenarkan, tidak mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan dan memboikot dewan sebagaimana sebelumnya.

Atas sikap buruk seperti itu, sukar untuk sesiapa sahaja mahu menilai diri mereka dari sudut yang positif. Tidak perlulah Nga Kor Meng berasa hairan kenapa mereka tidak dijemput menghadiri majlis Istiadat Menjunjung Kasih dan Penganugerahan Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak di Istana Iskandariah pada 19 April lalu.

Adalah hak Istana untuk menjemput sesiapa sahaja yang difikirkan layak untuk menghadiri majlis gilang-gemilang dan penuh dengan adat istiadat dan adab sopan itu. Maka tiada hak untuk Nga Kor Meng mempertikaikan kenapa dirinya dan rakan-rakan 'Yang Berhormat'nya tidak dijemput.

Pandai-pandailah mengukur baju di badan sendiri.

20 April, 2010

DUA WANITA PKR PERAK KELUAR PARTI


Dato' Ahmad Maslan bercakap sesuatu dengan Roshanita (berbaju pink) dan Suraya (coklat). Suami Roshanita (kiri) turut keluar PKR dan menyertai Umno. Dato' Rusnah (baju putih) dan Puan Zanazat (kanan sekali)

Dua pemimpin PKR Negeri Perak keluar parti dan menyertai Umno. Mereka ialah Puan Suraya Sulaiman dari Tanjong Malim dan Roshanita Mohd Basir dari Bagan Serai. Mereka berbuat demikian di Rumah Umno Perak, Kampung Masjid Sungai Selisek, dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Pengisytiharan itu mereka buat di hadapan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato' Ahmad Maslan yang turut dihadiri oleh ramai rakan media.
Suraya berjawatan Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Pengarah Pilihanraya Wanita PKR dan Ketua Wanita Cabang (Bahagian) PKR Tanjong Malim. Beliau bekas exco Wanita PKR Pusat.
Roshanita pula adalah Timbalan Ketua Wanita PKR Bagan Serai, Timbalan Pengerusi Pilihanraya Wanita PKR Perak dan ahli Jawatankuasa Strategik Wanita PKR Perak.
Mereka keluar PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu dan akan membantu jentera Wanita Umno Perak berkempen dalam PRK P094 Hulu Selangor.
Turut hadir menerima kemasukan mereka adalah Ketua Wanita Umno Perak, Dato' Hajah Rusnah Kassim dan Ketua Wanita Umno Bahagian Bukit Gantang, Puan Zanazat Abdul Samad (yang memainkan peranan penting kemasukan kedua-dua mereka).

Ramai pemimpin Wanita Umno Perak dan pemimpin Wanita Umno Cawangan dari Hulu Selangor turut menyaksikan penyertaan rakan baru mereka ke dalam Umno.

Antara Ketua Umno Bahagian yang turut hadir adalah Dato' Yusoff Kassim (Batu Gajah) dan Dato' Zaim Abu Hassan (Parit).

19 April, 2010

DAULAT TUANKU!


Patik dan seluruh rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Slim dan Parlimen Tanjong Malim menjunjung kasih dan mengucapkan selamat menyambut ulangtahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Didoakan semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan ke bawah duli Tuanku sekeluarga. 
Amin Ya Rabbal 'Alamin.

17 April, 2010

GANAS! PENYOKONG PKR BALING BATU.


GANAS! Dua orang ahli Pemuda Umno menderita akibat dibaling dengan batu sebesar penumbuk oleh penyokong PKR semasa penamaan calon Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor pagi tadi.

Penyokong PKR dan PAS yang berkubu di masjid Kuala Kubu Baru tidak dapat menahan provokasi, lalu mengambil tindakan membaling batu ke arah penyokong Barisan Nasional yang berkumpul di hadapan Bangunan Umno Bahagian Hulu Selangor.

Eddy Safuan, 26, ahli Pemuda Umno dari Bahagian Marang bersama seorang lagi ahli Pemuda dari Tanjung Karang dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Baru akibat luka yang agak serius yang mereka alami akibat terkena balingan itu.

Ketika ditemui, Eddy berkata, beliau cuba mengambil gambar dan membuat rakaman video di sekitar pagar masjid berkenaan ketika berlaku kekecohan melibatkan penyokong kedua-dua parti.

Ketika itulah Eddy merasakan satu objek keras mengenai dahi kanannya dan apabila melihat ke bawah, beliau melihat seketul batu sebesar penumbuk bergolek di kakinya.

Eddy terus menjerit memanggil kawannya dan merasai darah mula memenuhi muka. Beliau sempat mendengar dan melihat seorang lagi di hadapannya menjerit kesakitan juga akibat terkena balingan batu dari penyokong PKR.

Eddy berkata, kejadian itu adalah satu sejarah bagi dirinya kerana mengalami kecederaan ketika memikul amanah menyokong parti kesayangannya, BN.

“Kejadian ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan calon BN dalam pilihanraya ini. Malahan sebaik sahaja doktor menjahit luka di dahi saya, saya terus bergegas ke bangunan Umno Hulu Selangor semula bagi mendengar amanat Tan Sri Muhyiddin dan ucapan calon BN, Kamalanathan,” katanya penuh semangat.

Begitulah sikap penyokong fanatik pembangkang. Mereka tidak memikirkan keselamatan orang lain akibat sikap ekstrim dan ganas yang ada dalam diri mereka. 

  Saya mengambil kesempatan bergambar dengan seorang Pemuda Umno berhati waja

16 April, 2010

KAMALANATHAN CALON 1MALAYSIA

Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan berkata, beliau adalah calon 1Malaysia dan akan berpegang teguh kepada konsep muafakat kaum.

Beliau juga bertekad akan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kerusi parlimen itu kepada BN, dan menjadikan kejayaan itu sebagai hadiah MIC kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Calon kali ini bukan calon BN sahaja tetapi calon 1Malaysia. Kita berpegang teguh kepada konsep 1Malaysia ini dan akan memperkukuhkan konsep ini di Hulu Selangor,” katanya kepada pemberita di sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Kamalanathan, 44, yang juga Ketua Penerangan MIC dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera MIC, sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu yang akan diadakan pada 25 April ini.

Sambil berjanji tidak akan mengecewakan BN, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Najib, Muhyiddin, dan semua ketua-ketua parti komponen BN di atas kepercayaan penuh yang diberikan mereka.
“Perjuangan BN biasanya kalau nak bersihkan sungai, dimulakan dari hulu. Kita mulakan dari Hulu Selangor ini untuk membersihkan Selangor,” katanya.

Kamalanathan, atau dikenali lebih mesra dengan panggilan Kamal, bukanlah muka baru dalam politik, di mana blogger aktif itu menyertai MIC sejak 25 tahun lalu.

Beliau dicalonkan bagi merebut kerusi parlimen Hulu Selangor, yang pernah dimenangi oleh Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menjadi Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal, iaitu dari 1990 hingga 2008, sebelum kalah pada pilihan raya umum Mac 2008.

Kamalanathan yang mengendalikan blog http://www.pkamalanathan.com/ pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Majlis Penggalakan Minyak Sawit Malaysia (MPOPC) sebelum menyertai syarikat Serba Wangi Sdn Bhd (JATI),(anak syarikat Bernas) pada 2001.

Pada tahun 2004, beliau diberi penghormatan oleh Institut Perhubungan Awam Malaysia yang memberi pengiktiradan terhadap usahanya membangunkan “Majlis Pelbagai Kaum Terbaik di Malaysia bagi tahun 2004″.

Kamalanathan dilantik sebagai ketua penerangan MIC pada perhimpunan agung parti itu September lepas sebagai sebahagian daripada langkah presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mengukuhkan parti.

Beliau yang berkahwin dengan S.Shobana, seorang pengurus kanan perhubungan awam sebuah hospital swasta, memulakan kariernya sebagai kerani di Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd pada 1985 sebelum menjadi pegawai perhubungan awam dengan MPOPC selama enam tahun.

Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus perhubungan awam bagi syarikat Carotino dan lain-lain syarikat milik kerajaan.

Beliau memiliki sijil dalam bidang perhubungan awam dari London Chambers of Commerce and Industry in England dan juga diploma dalam bindang penterjemahan (Dewan Bahasa dan Pustaka), dan Ijazah Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Edith Cowan University di Australia.

Kamalanathan juga merupakan Anggota Majlis Perbandaran Selayang dari 2004 hingga 2006.

Baru-baru ini beliau menghasilkan sebuah dokumentari yang bertajuk ‘The Truth’ untuk RTM yang memaparkan kejayaan dan pencapaian komuniti India di Malaysia. HS