05 January, 2010

NIZAR GEMBIRA PERAK DIKARTUNKAN


Hairan benar saya bagaimana Nizar Jamaluddin tergamak mempersendakan kemuliaan nama Perak Darul Ridzuan dengan melancarkan buku kartun berjodol Perak Darul Kartun. Keindahan nama Perak yang diberi jolokan Darul Ridzuan yang bermaksud ‘bumi beradab’ sewenang-wenangnya dihina oleh Nizar dengan mengiktiraf buku yang melabelkan negeri beraja itu sebagai ‘bumi kartun’.

Nizar telah melancarkan buku karya kartunis Zunar setebal 80 mukasurat itu di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak di Taman Melawati, Hulu Kelang 13 Disember lepas.


 "Maka wajar sekali Perak kini digelar Perak Darul Kartun," ucap Nizar.
Lihat di sini

Kemudian Nizar dengan bangganya melancarkan pula buku itu di peringkat Parlimen Lenggong dalam program ceramah parti Pas di Kampung Malau, Lenggong pada 4 Januari lalu. Tanpa sedikitpun rasa kesal apabila nama Perak Darul Ridzuan dimomok dan dikartunkan, Nizar turut sama menurunkan tandatangan di buku tersebut tanda merestui satu penghinaan terhadap negerinya sendiri.
 


Buku Perak Darul Kartun terhasil dari kegagalan penerbit Sepakat Efektif mendapatkan permit dari Kementerian Dalam Negeri bagi menerbitkan Gedung Kartun.



Perak mengambil nama Darul Ridzuan, bahasa Arab yang bermaksud Bumi Beradab atau boleh juga Bumi Beradat. Dalam bahasa Inggeris makna Darul Ridzuan diterjemahkan sebagai The Land of Grace. Betapa indah dan harumnya nama Darul Ridzuan yang diberikan kepada Perak bumi berdaulat ini.

Beradab Perak kerana di bumi ini penuh dengan adab budaya yang dijunjung sejak sekian lama. Beradat Perak kerana di dalamnya wujud institusi Kesultanan Melayu Perak yang penuh dengan adat istiadat dan sentiasa dihormati oleh rakyat jelata yang berlindung di bawah payung baginda Sultan.

Betapa hinanya Perak yang beradab dan beradat itu apabila dileluconkan sebagai bumi kartun? Bumi bersultan ini dikartunkan demi memenuhi nafsu serakah politik golongan yang sedang meroyan dan kecewa.

Tambah malang apabila Nizar yang pernah dinobatkan sebagai peneraju Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan turut bergembira apabila negeri tumpah darahnya ini dilabelkan dengan nama yang amat menjelekkan.

Saya tidak berminat mahu melihat isi kandung buku yang meloyakan itu, kerana tajuknya sudah cukup membuatkan saya nak termuntah. Tetapi sebuah laman web, anilnetto.com melaporkan begini - "This time, they are launching an 80-page cartoon book titled Perak Darul Kartun focusing on the power grab and associated antics in Perak – which undoubtedly offer rich material for satire".

Ketika melancarkan buku itu di Hulu Kelang, Nizar berkata episod 'rampasan kuasa' oleh BN di Perak terlalu bobrok sehinggakan ia tidak dapat dibayangkan oleh akal sihat seseorang manusia. "Apa yang dilakukan oleh BN di Perak adalah sangat jelek sehinggakan Perak kini jadi bahan ketawa masyarakat dunia. Malah jika sasuatu watak kartun dapat hidup, watak itu pun akan ketawa melihat tingkah laku pemimpin BN. Maka wajar sekali Perak kini digelar Perak Darul Kartun," ucap Nizar.


 Kartun-kartun bersama buku kartun

Sebenarnya jika kartun itu hidup, mereka akan ketawa berguling-guling melihat Nizar, Ngeh Ko Ham, Nga Kor Meng dan Sivakumar begitu pandai melakonkan watak-watak mereka. Ini dapat dibuktikan dengan sikap Nizar dan pemimpin Pas lain menyokong penerbitan buku ini, kerana sekali lagi mereka membenarkan diri dikartunkan. Mereka pernah dikartunkan oleh DAP selama 11 bulan memerintah Perak Darul Ridzuan, malah masih berlarutan dikartunkan oleh parti chauvinis itu hingga kini.



Nizar pernah mengkartunkan dirinya apabila memekik-mekik di dalam Parlimen selepas mengangkat sumpah. Nizar, Ngeh, Nga dan Sivakumar pernah mengkartunkan diri mereka dan Adun-Adun pakatan pembangkang yang lain apabila mengadakan sidang DUN haram di bawah pokok dan di hotel. Mereka juga mengkartunkan diri dalam sidang DUN Perak dengan mengadakan sidang lain di waktu Dewan berhenti rehat.

Nizar bertepuk seronok melihat Sivakumar mengkartunkan dirinya memakai jubah dan songkok Speaker Dewan walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan itu. Nizar dan pemimpin pembangkang lain di Perak tidak membantah tindakan penyokongnya yang mengkartunkan diri berbaring di atas jalan bagi menghalang kenderaan DYTM Raja Muda Perak.

Nizar dan juak-juaknya juga mengkartunkan diri mereka dengan melaungkan slogan Bubarkan DUN Perak dan Kembalikan Hak Rakyat sedangkan senario peralihan kuasa di Perak pada tahun lalu hampir sama mengikut skrip bagaimana pakatan DAP-PAS-PKR mengambil alih Kerajaan Negeri sebaik PRU12 lalu.


Memang layak Zunar berikan lakaran wajah Nizar yang dikartunkan.


Antara kartun-kartun di Perak

Maka tajuk buku itu tidak wajar melabelkan Perak sebagai Darul Kartun. Apa yang wajar adalah DAP-PAS-PKR Pakatan Kartun, Nizar Pemimpin Kartun, 3N + Siva Kartun Perak, atau apa sahajalah perkataan kartun yang banyak boleh dikaitkan dengan mereka. Label itu tidak sesuai langsung diberikan kepada sebuah negeri berdaulat dan beraja seperti Perak Darul Ridzuan.

Walaupun KDN tidak boleh mengambil tindakan terhadap penerbitan tidak berkala, tetapi perbuatan penerbit menghina nama dan menjatuhkan maruah sesebuah negeri berdaulat adalah amat tidak wajar. Jika perkara seumpama ini dibiarkan, tidak hairan jika ada penerbit yang lebih berani untuk menghina nama-nama khas lain seperti Yang Di Pertuan Agong, Duli Yang Maha Mulia, Kelantan Darul Naim, Kedah Darul Aman malahan mungkin akan ada yang lebih jauh daripada itu memberikan nama lain kepada Mekah Al-Mukarramah atau Madinah Al-Munawarah.

Saya dan seluruh rakyat jelata Negeri Perak Darul Ridzuan berasa cukup terhina dengan label Perak Darul Kartun. Kami mendesak supaya KDN mengambil tindakan tegas terhadap penerbitan buku ini yang jelas menghina kedaulatan sebuah negeri bersultan bernama Perak Darul Ridzuan.

Hidup Perak Darul Ridzuan!!! Daulat Tuanku!!!

MENGEPUNG PEMUDA BESOUT 5

Pada suatu hari sekitar awal tahun 1998, saya membonceng motosikal Jaafar mengelilingi kawasan perumahan di Felda Gunung Besout 5 dalam keadaan tergesa-gesa dan tercari-cari. Masa sudah semakin suntuk kerana Umno Cawangan itu mahu memulakan mesyuarat agung tahunannya tak sampai sejam lagi.

Di dewan sudah ada tujuh orang ahli Pemuda dikepung. Kini hanya memerlukan dua orang lagi bagi mencukupkan korum mesyuarat. Setelah puas mengelilingi kawasan perumahan rancangan Felda itu, akhirnya saya dan Jaafar berasa kecewa. Dua orang lagi ahli Pemuda yang dicari tidak ditemui.

JAAFAR


Mesyuarat cawangan dijalankan. Disebabkan peraturan Umno menetapkan mesyuarat sayap-sayap perlu diadakan sebelum mesyuarat cawangan, maka Pemuda Umno Cawangan itu dikira gagal mengadakan mesyuarat tahunannya dan tidak layak menghantar perwakilan ke Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian tahun itu.

Ketika itu saya bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjong Malim. Pemuda Felda Besout 5 pimpinan Cikgu Mahhadee Ramlee adalah antara cawangan Pemuda yang kuat menyokong saya untuk jawatan itu. Ketika itu ahli Pemuda di cawangan berkenaan hanya sekitar 15 ke 20 orang. Sememang itulah jumlah yang berada dalam lingkungan usia Pemuda iaitu antara 18 – 40 tahun, kerana kebanyakan anak peneroka di situ masih di bangku sekolah.

Setahun selepas itu, ketika saya sudahpun memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian, bilangan ahli Pemuda Umno di Cawangan Felda Besout 5 masih boleh dibilang dengan jari. Gerakan mengepung ahli-ahli Pemuda yang sedikit itu terpaksa dilakukan setiap tahun bagi membolehkan mesyuarat dijalankan.

Setelah 11 tahun berlalu, anak-anak peneroka di tanah rancangan itu sudah semakin remaja. Ketika peristiwa saya membonceng motosikal Jaafar pada tahun 1998, usia mereka hanyalah sekitar 8 hingga 15 tahun, dan masih belum layak mendaftar sebagai ahli parti. Kini usia mereka kebanyakannya sudah mencecah antara 19 hingga 26 tahun.

Pada 3 Januari lalu, saya hadir ke mesyuarat khas Pemuda Umno Cawangan Felda Besout 5 bagi membentuk jawatankuasanya yang baru, setelah dua tahun gagal mengadakan mesyuarat. Selain 30 orang Pemuda yang sudah sedia menjadi ahli Umno, saya menerima borang keahlian daripada 70 ahli baru Pemuda di cawangan itu.



 Menerima borang kemasukan 70 orang ahli baru Pemuda Umno

 Nampaknya cabaran saya terhadap Pemuda Umno Bahagian Tanjong Malim supaya mewujudkan semula 40 cawangan Pemuda (bilangan yang sama seperti ketika saya memimpin Pemuda dahulu) sebelum berlangsungnya Mesyuarat Cawangan-cawangan pada Mei nanti sudah semakin dapat ditunaikan. Ketua Pemuda Bahagian, Saudara Mohd Amin Osman memberitahu saya, kini sudah ada 36 cawangan dan yakin menjelang Mei nanti, angka 40 itu akan dapat dicapai.

Kualiti Pemuda juga menjadi perkiraan. Tiada guna sekiranya sayap Pemuda wujud di sesebuah cawangan jika tiada sebarang komitmen Pemuda kepada parti dan masyarakat.

Syukur Alhamdulillah, saya lihat ahli-ahli dan barisan kepimpinan baru Pemuda Felda Besout 5 begitu aktif, komited dan fokus terhadap peranan mereka. Banyak aktiviti kemasyarakatan dan sukan telah mereka anjurkan. Jaafar yang berada di penghujung usia Pemuda ternyata menjadi pemudahcara kepada adik-adiknya dalam beraktiviti.

Syabas saya ucapkan kepada Pemuda Umno Cawangan Felda Gunung Besout 5. Teruskan usaha murni anda demi membela nasib agama, bangsa dan tanahair tercinta.

Selepas ini tidak perlulah lagi mengepung Pemuda Besout 5 untuk mencukupkan korum mesyuarat, kerana bukan sahaja ahlinya sudah ramai, tetapi mereka juga berkualiti dan komited.


Saya bersama Jaafar (kanan) dan 
Ketua Pemuda Cawangan baru, Jamaluddin Md Nor (kiri sekali)


 


03 January, 2010

YB ZUL BIDAS KHALID SAMAD

Saya turunkan di bawah kritikan pedas Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Baru, YB Zulkifli Noordin terhadap pendirian Ahli Parlimen PAS Shah Alam, YB Khalid Samad yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh puak Kristian. Saya mengucapkan syabas kepada YB Zulkifli. Allahu Akbar!

YB ZULKIFLI NOORDIN


"Saya merujuk kepada kenyataan YB Khalid Samad yang menyatakan persetujuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31.12.2009 yang membenarkan permohonan puak Kristian melalui akhbar The Herald untuk menggunakan perkataan ALLAH bagi ganti nama "God" dalam penerbitan mereka. Hujjah YB Khalid menyokong puak Kristian menggunakan perkataan ALLAH boleh disimpulkan kepada 3 iaitu:

1. Nama "ALLAH" bukan milik ekslusif umat Islam;
2. Bahawa Al Quran sendiri membenarkan dan menggalakkan Kristian menggunakan perkataan ALLAH berdasarkan Surah Az Zukhruf: 86-87 dan Al Ankabut: 63;
3. Rasulullah sendiri tidak menghalang orang 'arab musyrikin Quraisy menggunakan perkataan ALLAH.


KHALID SAMAD




Apa yang menghairankan saya bagaimana orang terpelajar saperti YB Khalid Samad yang duduk didalam PAS yang memperjuangkan Islam boleh menyokong keputusan Mahkamah ini. Saya diberitahu bahawa pandangan YB Khalid Samad tidak mewakili pandangan PAS sebagai parti. Malahan YB Ust Taib Azzamuddeen, mantan Imam Besar Masjid Negara dan Ahli Parlimen Baling, seorang ulama' yang dihormati lagi disegani telah secara terbuka menegur YB Khalid Samad didalam Parlimen (rujukan boleh dibuat didalam Hansard Parlimen).

Apakah YB Kahlid Samad selepas ini redho kalau segala gurdwara, gereja dan lain-lain rumah peribadatan bukan Islam mempamerkan perkataan ALLAH di rumah 'ibadat mereka. Apakah beliau redho Kristian mencatat perkataan ALLAH disalib mereka. Apakah beliau redho golongan punjabi mengukir nama ALLAH diatas gurdwara mereka. Kalau itu berlaku saya akan persalahkan YB Khalid Samad.

Malahan saya akan pergi lebih jauh dan menyeru YB Khalid Samad supaya menimbang semula keahlian beliau dalam PAS, sebaliknya saya mencadangkan kepada YB Khalid Samad supaya menimbang menyertai parti lain pilihan beliau, termasuk DAP. Ini adalah kerana saya lihat tindak tanduk YB Kahlid Samad akhir-akhir ini, terutamanya sejak diberi anugerah dan amanah oleh ALLAH menduduki kerusi empuk Parlimen Shah Alam lebih banyak yang merosakkan nama dan imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Beliau adalah orang yang memalukan PAS termasuk Presiden YB Tuan Guru Haji Hadi apabila menarik balik usul yang diluluskan mu'tamar agung PAS yang mengkritik golongan Sisters In Islam setelah segelintir golongan membantah usul tersebut. Beliau mendakwa berlaku kesilapan walaupun setelah mu'tamar agung PAS menerima dan meluluskannya dan YB Presiden telah membuat tindakan susulan berdasarkan usul tersebut.

Kedua, beliau mengambil sikap menyokong tindakan penganut hindu untuk membina kuil hindu di Seksyen 23, kawasan perumahan yang majoritinya orang Melayu beragama Islam walaupun sudah ada tapak gantian yang siap disediakan di Seksyen 18 Shah Alam. Orang Melayu yang membantah dan memprotes dikritik oleh beliau dan diberi pelbagai macam label.

Beliau turut memalukan PAS apabila mendedahkan kepada umum amalan dikalangan sebahagian wakil rakyat PAS yang mengangkat bai'ah akan menceraikan bini dengan talaq 3 jika keluar daripada PAS dan mneyertai UMNo. Walaupun pimpinan PAS telah menegur dan cuba menafikan isu itu, beliau tetap berkeras mengakuinya sehingga menjejaskan imej PAS khususnya dikalangan wanita Islam.

Beliau mengkritik secara terbuka kepimpinan PAS Selangor khususnya Pesuruhjaya PAS Negeri YB Datuk Hassan Ali yang telah menegur Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam beberapa isu saperti penjualan minuman arak, Selcat dan lain-lain. Malahan beliau telah memalukan YB Datuk Hassan Ali apabila menuntut supaya YB Datuk Hassan meletakkan jawatan!

Jadi saya melihat tindak tanduk dan sikap yang ditunjuk oleh YB Khalid Samad ini tidak selaras dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Malahan respon yang diterima jelas menunjukkan ada orang Melayu yang beragama Islam mula mempertikaikan perjuangan ikhlas PAS dalam memartabatkan Islam kerana ujudnya karektor-karekor saperti YB Khalid Samad. Saya sendiri dihujani dengan pelbagai kritikan kerana dilihat bersekongkol dengan YB Khalid kerana beliau duduk didalam barisan YB Pakatan Rakyat.

Maka ingin saya perjelaskan kepada umat Islam khususnya, dan rakyat umumnya bahawa saya bermufaraqah pendirian dengan YB Khalid Samad, dan saya tidak redho apatah lagi bersekongkol dengan beliau dalam pandangan-pandangan dan sikap beliau yang pada pendapat saya bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam yang saya yakini.

Oleh itu saya mendesak supaya:

1. YB Khalid Samad supaya menimbang keluar daripada PAS dan menyertai mana-mana parti lain pilihan beliau termasuk DAP;

2. kepimpinan PAS perlu mengambil tindakan disiplin yang jelas terhadap YB Khalid Samad agar memberi mesej yang jelas kepada umat Islam khususnya bangsa Melayu bahawa PAS tidak bersekongkol dengan beliau dalam beberapa isu tersebut diatas. Malahan saya mencadangkan kepada kepimpinan PAS supaya menimbang mengambil tindakan memecat keahlian YB Khalid Samad daripada PAS. Kegagalan kepimpinan PAS mengambil tindakan akan memberi gambaran negatif terhadap kepimpinan PAS, dan menjejaskan imej dan persepsi PAS sebagai wadah perjuangan Islam.

3. Kepada rakan-rakan bukan Islam khususnya penganut Kristian dan Punjabi yang beriya-iya mahu menggunakan perkataan ALLAH, saya seru kamu semua supaya marilah kita menyembah ALLAH Tuhan yang Satu. Marilah kamu memeluk agama Islam. Apabila kamu memeluk Islam dan mengangkat syahadah mengaku ALLAH Tuhan yang Satu, kamu boleh menggunakan nama ALLAH sebanyak mana yang mungkin, dan kamu boleh menulis nama ALLAH sebesar mana yang kamu mahu."

Artikel penuh boleh dilihat di sini dan DI SINI.

02 January, 2010

DR ZAMBRY JAWAB SUARA KEADILAN

Semalam Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir dengan tegas berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Suara Keadilan milik parti pembangkang kerana melemparkan tuduhan kononnya beliau dihalang di Lapangan Terbang San Francisco dari memasuki Amerika Syarikat kerana namanya tersenarai dalam pengkalan data pengganas.

Saya siarkan tulisan Dr. Zambry dalam blog rasminya untuk tatapan kita bersama.

PERIHAL LAWATAN KE US
Nukilan/Posted by : Dr Zambry Abd Kadir


Saya mengharapkan bila fajar 2010 menyinsing akan memberi sinar kejayaan, kemakmuran dan keamanan kepada sekelian rakyat jelata. Termasuk di dalamnya kehidupan berpolitik yang lebih segar, penuh kematangan, dan berwibawa samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Tiba-tiba saya dikejutkan dengan sebuah berita dari Suara Keadilan dengan tajuk "Zambry disyaki pengganas". Pertama kali pemberita bertanya saya tentang hal itu ialah sewaktu saya melakukan lawatan kerja ke Parit Buntar pada 31hb Disember, 2009 selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Bt 5, Titi Serong.

Saya tidak komen panjang sebab saya belum membaca berita yang disiarkan itu. Keesokan harinya sewaktu menghadiri program Baiduri di Pangkor wartawan bertanya sekali lagi hal berkenaan dan kebetulan pula saya sudah membaca berita tersebut.

Saya sangat terkejut kerana Suara Keadilan yang kononnya selama ini memperjuangkan keadilan dan kebenaran sanggup merendahkan martabat mereka sampai ke tahap yang paling jijik dan menghinakan. Selama ini akhbar-akhbar dan blog-blog pembangkang menghina, memaki-hamun, dan memanggil saya bermacam-macam, saya hanya melemparkan senyuman atas kebobrokan moral politik mereka.

Tetapi kali ini nampaknya Suara Keadilan ini benar-benar main kasar dan meninju saya habis-habisan dengan tekad agar saya tumbang dengan pukulan TKO.Saya ingin menegaskan kepada mereka bahawa kalau itu yang mereka jangkakan, maka mereka silap sama sekali.

Saya tidak akan tunduk kepada manusia yang isin kuasa, manusia tidak takut kepada Tuhan, manusia yang hilang akhlak, manusia yang hidup dengan penuh menyilang kata, manusia yang pepat di luar rencung di dalam.

Saya dikatakan telah pulang semula ke Malaysia kerana tidak dibenarkan masuk ke US kerana disyaki berada dalam senarai pengganas. Rakyat menyaksikan dan membaca sendiri lawatan saya ke Amerika. Pertemuan demi pertemuan diadakan dengan pelbagai pihak bagi menarik pelaburan ke Perak.

Saya terharu dengan sambutan yang diberikan kerana dapat bertemu kumpulan pelabur yang berada di Silicon Valley dan San Francisco. Demikian juga dengan lawatan saya ke Boston meninjau pusat kajian teknologi solar selain bertemu dengan pelabur-pelabur Boston dalam satu jamuan makan malam, selain dapat berbincang ringkas dengan Dekan Sloan Business School, MIT.Selain itu dapat pula melawat Harvard Business School dan mengadakan pertemuan ringkas dengan seorang Profesornya.

Pembohongan besar yang mereka lakukan ini benar-benar menghapuskan sama sekali sisa-sisa wibawa yang masih terlekat pada tubuh badan mereka. Saya harap rakyat akan membuka mata melihat dengan hikmah dan berani menanggalkan topeng-topeng yang dipakai oleh parti Keadilan selama ini.

Nukilan asal sila lihat di http://www.zambry.com/2010/01/perihal-lawatan-ke-us.html

01 January, 2010

MASYAALLAH!! KALIMAH ALLAH DIPERSENDA

Keputusan yang amat mengejutkan kepada umat Islam di negara ini telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan semalam (31hb Disember 2009) apabila membenarkan Gereja Katolik menggunakan khalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald - The Catholic Weekly.

Berikut saya siarkan berita berkaitan perkara ini yang dipetik dari Utusan Online. Bersatulah umat Islam!!


GEREJA DIBENAR MENGGUNA KALIMAH ALLAH

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Gereja Katolik dibenarkan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald - The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan permohonan tersebut berkata, Gereja Katolik selaku pemohon mempunyai hak untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang bukan Islam untuk menggunakan perkataan Allah kepada umat Islam untuk menyebarkan agamanya.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu sesama mereka bagi tujuan agama mereka.

Hakim tersebut juga bersependapat dengan pemohon bahawa Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam selaku agama rasmi tidak memberi kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menghalang gereja tersebut daripada menggunakan perkataan Allah.

Penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu juga, menurut beliau, merupakan sebahagian daripada hak untuk bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam penghakiman lisannya, hakim itu menyatakan, perintah larangan yang dikeluarkan menyatakan penggunaan perkataan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham di kalangan umat Islam serta menggugat ketenteraman negara.

‘‘Pihak responden dalam hujahnya bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti bagaimana penggunaan perkataan Allah boleh mengganggu ketenteraman awam,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan itu menggunakan perkataan ‘Allah’ adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Hakim Bee Lan memutuskan demikian dalam semakan kehakiman oleh Gereja Katolik yang difailkan melalui Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Gereja Katolik antara lain menuntut perisytiharan bahawa keputusan responden pada 7 Januari 2009 yang melarang penggunaan perkataan Allah dalam Herald-The Catholic Weekly adalah menyalahi undang-undang dan perkataan Allah bukan eksklusif untuk kegunaan agama Islam sahaja.

Sejurus keputusan itu diumumkan, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said meminta penjelasan sama ada ketetapan tersebut mempengaruhi permit penerbitan berkenaan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2010.

Ini kerana, katanya, permohonan itu dibuat berdasarkan larangan terhadap permit bertarikh 1 Januari hingga 31 Disember 2009.

Peguam Porres Royan yang mewakili gereja itu sebaliknya menyatakan keputusan telah pun dikeluarkan hari ini dan terpulang kepada pihak-pihak yang terlibat untuk mentafsirkannya.- Oleh SUWARNI MOKHTAR


KERAJAAN DIGESA CEPAT BUAT RAYUAN

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kerajaan digesa mempercepatkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggunakan saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu yang disifatkan merobek sensitiviti umat Islam.

“ABIM juga memohon campur tangan Majlis Raja-Raja untuk menghentikan segera polemik penggunaan kalimah Allah ini. Gesaan ini selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa raja-raja Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Mohamad Raimi berkata, keputusan itu tidak bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di antara agama-agama lain di negara ini.

“Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau autoriti agama Islam adalah tidak sah,” katanya.


Musa Awang dan Muhamad Burok

Timbalan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula berkata, keputusan itu bukan sahaja satu pukulan yang hebat terhadap agama Islam.

Menurutnya, PGSM tetap berpendirian perkataan Allah hanya eksklusif kepada penganut Islam.

“Bagaimanapun, PGSM akur dengan keputusan tersebut kerana menghormati mahkamah, namun akan mengkaji keputusan itu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk membawanya ke mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim, Muhamad Burok turut kecewa dengan keputusan itu dan mahu kerajaan mengambil langkah sewajarnya kerana perkataan Allah bukan satu mainan terutamanya untuk orang bukan Islam.

Menurutnya, perkataan Allah ditauhidkan sebagai ‘satu’ dan bukannya tuhan seperti yang difahami orang bukan Islam. Umat Islam memahami penggunaan perkataan Allah mengikut syahadah iaitu Allah adalah satu dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah dan ini bertentangan dengan pemahaman orang bukan Islam,” katanya.

Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berkata, keputusan itu dilihat bertentangan dengan undang-undang yang terdapat di 10 negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“JIM berasakan perlu penglibatan Mahkamah Syariah dalam isu melibatkan penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan bersama KDN untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Menurutnya, dalam konteks masyarakat Malaysia dan Melayu, kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang hanya merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja.


PERKASA MOHON MAJLIS RAJA-RAJA BINCANG ISU

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) memohon Majlis Raja-Raja supaya membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, urusan berkaitan Islam adalah di bawah Majlis Raja-Raja dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan yang mempunyai kedudukan istimewa dalam negara.

"Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153. Inilah masanya raja-raja Melayu bertindak melindungi Islam dan umat Islam menanti tindakan itu dengan penuh harapan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Ibrahim hairan kenapa urusan hal ehwal Islam boleh dicabar di mahkamah sivil.

Justeru katanya, Perkasa mendesak kerajaan supaya segera memperbetulkan keadaan itu agar agama itu tidak mudah dicabar oleh orang bukan Islam.

Rujuk juga di sini.

31 December, 2009

KARANGAN SEORANG PELAJAR DI SABAH



Kepada pelajar yang mahu memasuki alam persekolahan awal tahun 2010, saya mengucapkan selamat menempuh dunia baru. Kepada guru-guru, bersabarlah. Khidmat baktimu amat dihargai untuk membina generasi gemilang.

Ini karangan dari seorang pelajar di Sabah disiarkan oleh rakan Facebook, Miracle S. Bulkiah.

"Tajuk terima kasih datuk (4)

Pada suatu hari, saya ikut datuk saya pigi sawah, kerana datuk saya pigi tingu air mana tau takering sudah. Nanti kena makan suruk nanti tu akar padi dia bilang.

Selepas itu, saya pun jalan-jalan di sawah. Punya saya tekajut, dekat sudah saya terinjak seketul ular talampau betul besar. Saya pun palan-palan gustan. Tapi ular itu tedengar saya tekantut. Trus dia tingu saya. Buduh, kenapa saya bolih tekantut ni? Itulah sepa suruh mama saya kasi makan saya telur tadi pagi. Tingu nga saya tekantut.

Saya sangat takut. Punyalah saya begagar. Saya tidak semua dapat becakap. Saya takut kalau ular itu bubut saya macam karabau dulu. Matilah ni. Saya nampak ular itu bejalan sudah pigi tampat saya. Sayapun sembayang harap-harap ada tikus limpas supaya tu ular pigi tangkap trus saya boleh lari. Tapi teda juga tikus limpas. Nasib baik datuk saya datang dan memukul ular itu. Terima kasih datuk."

Teringat zaman saya di Sabah 1986-1994. Banyak bahasa yang digunakan oleh pelajar ini adalah bahasa seharian di sana. :)