24 December, 2009

ISU MASJID - MANA SATU SENARAI ASAL?

Tergelak besar saya membaca artikel putar alam yang ditulis oleh beberapa pemimpin Pas berkaitan isu pertukaran nama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa masjid di Negeri Perak, khususnya di Mukim Slim dan Hulu Bernam. Begitu juga dengan kenyataan rasmi oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang disiarkan oleh blog Cina Muslim milik Adun Pas Titi Serong, YB Khalil Idham Lim Abdullah.

Saya turunkan semula beberapa petikan kenyataan putar belit yang amat mengelirukan daripada mereka untuk tatapan semua :

GELAK 1


"UMNO yang berpura-pura taat setia menjunjung titah Raja dengan slogan “Daulat Tuanku” sekali lagi menzahirkan sifat derhakanya kepada DYMM Sultan Perak, apabila beria-ia membantah perlantikan AJK kariah (masjid) negeri Perak Darul Ridzuan bagi sessi 2009-2012.

Kini AJK kariah yang telah dipersetujui perlantikannnya bagi seluruh negeri Perak oleh persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, hendak dirampas kuasa pula oleh UMNO, terutamanya di beberapa daerah pentadbiran agama seperti Slim River, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Lenggong dan Bagan Serai.

Zambry MB UMNO itu tahu bahawa senarai AJK kariah yang dikemukakan partinya tidak dibuat berdasarkan Kaedah-kaedah J/kuasa Kariah 1998, iaitu mengikut kaedah 3 (1) yang memperuntukkan bahawa Pegawai Tadbir Agama (PTA) dan Penghulu, setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan (OBJ) hendaklah mencadangkan kepada Majlis, melalui Pengerusi J/kuasa Agama Islam (kini Zambry sendiri penjawatnya) senarai nama cadangan AJK kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam sub-kaedah (2) yang berkaitan.

UMNO selama-lamanya menyalahguna kuasa dengan mengemukakan senarai AJK kariahnya sendiri tanpa melalui PTA dan Penghulu apatah lagi OBJ.

Merujuk kepada kenyataan rasmi mengenai permasalahan perlantikan AJK kariah berkenaan yang dikeluarkan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perak Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansor Al-Hafiz bertarikh 21 Disember 2009, jelaslah membuktikan bahawa UMNO Perak cuba hendak menimbulkan permasalahan dan fitnah terhadap pentadbiran Agama Islam Perak khususnya terhadap PTA yang kononnya memandai-mandai menukarkan nama-nama dalam senarai AJK yang telah diluluskan dengan menggantikannya dengan nama-nama baru yang tidak disenaraikan. - dari blog Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang.


GELAK 2


"Umno Perak didakwa cuba memutar belit dan mempolitikkan isu perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Masjid di negeri itu selepas mereka tidak berpuas hati dengan senarai baru yang telah disahkan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Perkara sebenar disebalik itu adalah kerana Umno tidak berpuas hati apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini membiarkan kaedah betul diguna semasa membuat pemilihan untuk disenaraikan.

Selain tuduhan tersebut berniat jahat dan tidak berasas, ianya juga satu penderhakaan terang terangan terhadap senarai yang telah diperkenan Tuanku Raja Muda Perak. Tindakan UMNO mempertikai senarai yang diumumkan adalah bagi saya telah menderhakai perkenan DYTM Raja Muda Perak.

Pengarah dan pegawai JAIP tidak semudah tuduhan yang dilemparkan itu untuk meminda senarai yang telah diperkenan Tuanku.

Umno cuba mengenepikan Istana demi mencapai hasrat mereka menguasai masjid. Kalau ikutkan, orang Umno memang tidak layak, orang kampung sendiri pun tak mahu orang Umno jadi Ajk masjid sebab mereka tak pergi masjid pun." - kenyataan YB Khalil Idham Lim kepada Harakahdaily.

GELAK 3


"Adun BN Slim River, Datuk Khusairi Abdul Talib telah bertindak melampaui bidang tugasnya sebagai ADUN. Tugas beliau menjaga dan memperjuangkan hak rakyat di DUNnya. Tetapi beliau telah bertindak biadab dan ingkar apabila mempertikaikan perkenan Tuanku dan menuduh JAIP mengubah senarai yang telah diluluskan oleh MAIP.

Beliau begitu lantang mengecam JAIP yang kononnya mengubah keputusaan Tuanku kerana memasukkan beberapa ahli PAS menganggotai Jawatankuasa Masjid tersebut. Pada hal senarai yang diluluskan oleh MAIP itulah yang sebenarnya.

Tindakan Adun Slim yang mahu nama-nama ahli PAS digugurkan dalam senarai tersebut menyebabkan Pengarah JAIP terpaksa turun untuk berunding dengan Adun tersebut. Pada saya tidak sepatutnya Pengarah JAIP melayan Adun tersebut untuk tunduk mengikut telunjuk UMNO BN. Isu ini menjadi kecoh sehingga orang ramai tidak puas hati. Ikuran tindakan Adun BN yang biadab, sombong, angkuh dan ingkar itu menyebabkan majlis penyerahan watikah perlantikkan terpaksa ditangguhkan.

Berikutan itu, Tuanku Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak telah menitahkan supaya perlantikkan Jawatankuasa Qaryah bagi mukim Slim, Batang Padang kekal berdasarkan senarai asal yang dipersetujui pada 2hb. Ogos 2009, bukannya senarai yang mengikut telunjuk UMNO BN.

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan berkata beliau telah menerima arahan dari Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya membuat pelantikan jawatankuasa masjid dalam mukim Slim berdasarkan senarai asal yang dipersetujui sebelum ini.

Pada hal beliaulah (Khusairi) yang paling tidak beretika dan membelakangkan senarai yang telag diperkenankan oleh Tuanku Raja Dr. Nazrin. Kalaulah Adun PAS apatah lagi YB Hj Nizar yang berbuat demikian, sudah pasti UMNO akan jaja merata kampung sampai ke luar negara menuduh Hj Nizar derhaka pada Tuanku. Sekarang siapa sebenarnya yang derhaka dan biadab pada Tuanku?" - dari blog Misbahul Munir

GELAK 4

"Syukur Alhamdulillah, kerana 'Raja Nazrin arah guna senarai asal'. Semoga Allah berkati Tuanku!

Keputusan tersebut diambil selepas Baginda mempengerusikan satu mesyuarat MAIAIMP yang telah diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kelmarin.

Tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh pihak PTA atau JAIP dalam pengendalian senarai Jawatankuasa Masjid bagi sesi 2009 – 2012.

Berikutan itu, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama (PTA) daerah berkenaan supaya mengeluarkan surat pelantikan secepat mungkin". - dari blog Alhusseyn

GELAK 5


"Oleh kerana senarai yang dikemukakan oleh ketiga-tiga pihak ini berbeza dengan senarai yang dicadangkan oleh pihak yang memberikan cadangan awal tersebut, maka ianya dijadikan isu seolah-olah Pegawai Tadbir Agama berniat jahat membuat pindaan dan pertukaran daripada senarai asal yang pada hakikatnya tidakpun diperkenankan oleh pihak Majlis.

Apa yang pasti, pindaan yang dikatakan dilakukan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah dilakukan dengan berdasarkan peruntukkan undang-undang dan dilakukan sebelum ianya dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Tidak berlaku langsung apa yang didakwa sebagai pertukaran dibuat setelah mendapat perkenan DYTM Raja Muda Perak, sebagai Yang Dipertua Majlis memandangkan tidak ada pihak yang mengetahui senarai yang dikemukakan kepada Majlis melainkan pihak Jabatan Agama Islam Perak". - kenyataan rasmi dari laman web Jabatan Agama Islam Perak (JAIP)

INI PULA ARTIKEL MALAYSIAKINI YANG DIPUTARBELITKAN OLEH PEMIMPIN DAN BLOGGER PAS


"Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan berkata beliau telah menerima arahan dari Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya membuat pelantikan jawatankuasa masjid dalam mukim Slim berdasarkan senarai asal yang dipersetujui sebelum ini.

Raja Dr Nazrin juga merupakan yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak (MAIAIMP).

Berikutan itu, Yeop Junior berkata, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama (PTA) daerah berkenaan supaya mengeluarkan surat pelantikan secepat mungkin.

Katanya, beliau berharap majlis penyerahan watikah pelantikan tersebut dapat disempurnakan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, senarai yang dipersetujui itu adalah bertarikh 2 Ogos 2009.

"Senarai yang dipinda itu tidak diterima," katanya ketika dihubungi Malaysiakini mengenai perkembangan terkini isu berkenaan" - dari laman web MALAYSIAKINI

JAWAPAN DAN SOALAN SAYA

Sebelum saya ulas lanjut, lihatlah foto-foto di bawah ini dengan teliti supaya dapat dibuat perbandingan manakah nama asal yang diluluskan dalam mesyuarat MAIAIMP pada 2 Ogos 2009 dan mana pula nama yang telah dimasukkan kemudian.




Nama yang diwarnakan kuning adalah yang telah diluluskan pada 2 Ogos 2009, sementara yang bertulis tangan adalah nama yang dimasukkan kemudian oleh tangan-tangan ghaib pegawai di pejabat PTA dan urusetia MAIPk.

Nama asal berwarna kuning adalah yang dipersetujui hasil perbincangan dengan OBJ, PTA dan Penghulu Mukim untuk dibawa dalam mesyuarat 2 Ogos 2009. Sementara yang bertulisan tangan adalah nama pemimpin Pas tegar di kampung-kampung terbabit yang dimasukkan kemudian, samada selepas mesyuarat dengan OBJ atau selepas DYTM Raja Muda memperkenankan senarai asal.

Beberapa persoalan mudah yang saya ingin kemukakan kepada Ustaz Ahmad Awang, YB Ustaz Idham Lim Abdullah, Ustaz Misbahul Munir, Alhusseyn dan JAIP sendiri -

Soalan 1 - Berapa besarkah keberanian pegawai JAIP dan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River mahu membentangkan satu senarai nama yang berconteng dengan tulisan tangan dan begitu comot untuk kelulusan dan tatapan kebawah DYTM Raja Muda Perak, Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah yang amat dihormati dan disegani oleh seluruh rakyat jelata Negeri Perak Darul Ridzuan? Apakah tiada masa langsung untuk menaip semula pindaan nama sehingga terpaksa mempersembahkan senarai berconteng itu kepada DYTM Tuanku? Adakah senarai berconteng ini boleh dianggap senarai asal?

Soalan 2 - Jika benar berani berbuat demikian, kenapa tiada cop dan tandatangan pegawai terbabit pada nama-nama yang diubah?

Soalan 3 - Kenapa PTA Slim River menyerahkan kepada OBJ Batang Padang, Dato' Seri Yeop Junior Yeop Adlan satu senarai yang dipanggilnya "senarai asal" untuk ditauliahkan pada 21 Disember, di mana nama-nama yang dikuningkan di atas tersenarai semula, tidak seperti senarai yang dikeluarkan pada majlis 11 Disember mengikut senarai berconteng? PTA mengikut semula senarai berwarna kuning setelah OBJ memintanya mengeluarkan tauliah kepada senarai asal. Kedua-dua majlis tauliah itu ditangguhkan.

Pemimpin Pas nampaknya cuba memutarbelit dan spinning isu ini seolah-olah pihak Umno yang menderhakai DYTM Raja Muda, bertujuan untuk menutup sikap buruk mereka yang mempermainkan keputusan yang telah dibuat sama ada di peringkat mesyuarat MAIPk ataupun mesyuarat yang dipengerusikan oleh OBJ dalam menentukan senarai jawatankuasa masjid.

Apapun, sama-samalah kita tunggu mana satukah "senarai asal", samada yang ditaip dengan kemas ataupun yang diconteng oleh tangan-tangan ghaib dari pejabat JAIP dan PTA. Kemudian kita boleh menilai siapakah sebenarnya yang telah memutarbelitkan perkara perlantikan jawatankuasa masjid ini.

Paku buah keras akan dikembalikan. Insyaallah.

21 December, 2009

ISU MASJID - JAWAPAN KEPADA PEMUDA PAS PERAK

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak hari ini mengeluarkan kenyataan media yang membantah pendedahan saya beberapa hari lalu berhubung isu perlantikan Ahli Jawatankuasa Masjid. Pemuda Pas Perak menuduh pula kononnya Umno telah menyusun perlantikan AJK masjid yang telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) pada awal bulan Ogos lalu.

Naib Ketuanya, Salman Haji Saleh juga menuduh UMNO telah menjadikan masjid sebagai medan politik dengan meletakkan "proksi-proksinya" sebagai AJK tanpa melihat kelayakan dan telah menderhakai titah Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Muda Perak supaya masjid yang sepatutnya menjadi alat penyatuan dan bukannya perpecahan.

Siapakah sebenarnya yang telah menjadikan masjid sebagai medan politik?

Kecenderungan Pas menjadikan mimbar masjid sebagai tempat menghentam kerajaan dan menegakkan ideologi Pas dalam khutbah Jumaat dan ketika Hari Raya ‘Idil Fitri dan ‘Idil Adha - adakah itu bukan usaha mempolitikkan masjid?

Tindak-tanduk guru takmir yang pro-Pas mengajar sedikit ilmu agama, tetapi melebihkan ceramah berunsur politik sehingga menimbulkan keresahan khariah - adakah itu tidak dikatakan masjid telah dipolitikkan?

Keghairahan AJK masjid yang dikuasai Pas menjemput pemimpin-pemimpin parti itu memberikan ceramah menghentam Kerajaan BN, termasuk dalam majlis-majlis kebesaran Islam seperti Maulidul Rasul dan Ma’al Hijrah di dalam masjid – bukankah itu menjurus ke arah mempolitikkan masjid?

Tidak cukup dengan pemimpin partinya, Pas juga menjemput pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang yang bukan beragama Islam berceramah mencela pemimpin-pemimpin Islam di dalam masjid – bukankah buruk sangat tindakan sedemikian bertujuan menjadikan masjid sebagai medan politik?

Penyatuan ummah bentuk apakah yang hendak diwujudkan oleh Pas dengan menjadikan masjid sebagai gelanggang untuk mencela orang lain yang tidak sehaluan dengan perjuangannya? Sikap ini telah melebarkan lagi jurang berpuak-puak di kalangan khariah masjid.

Apa yang saya dedahkan baru-baru ini adalah sikap buruk sebilangan pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang sewenang-wenangnya menukar senarai nama Pengerusi dan AJK masjid, sedangkan senarai itu telah mendapat perkenan DYTM Raja Muda Perak dan diluluskan oleh mesyuarat MAIPk.

Tindakan mereka yang tidak beretika inilah sebenarnya boleh dianggap telah menderhakai titah Tuanku. Mereka mewar-warkan kononnya pemimpin Pas mengamalkan ajaran Islam secara syumul, walhal sebenarnya mereka telah menjadi penipu kerana mengubah keputusan yang telah dibuat dalam satu mesyuarat jawatankuasa yang cukup dihormati di Negeri Perak. Mereka menyalahgunakan kuasa untuk satu perbuatan yang cukup tidak berintegriti dan amat meloyakan.

INILAH CONTOH PENIPUAN YANG DILAKUKAN TERHADAP SENARAI ASAL AJK MASJID EHSANIAH, KAMPUNG KELAN, SLIM RIVER. NAMA ENAM JAWATANKUASA BERSTATUS HAJI TELAH DIPOTONG DAN DIGANTIKAN DENGAN NAMA LAIN DENGAN TULISAN TANGAN. APAKAH PEMUDA PAS PERAK NAK KATA "TUAN HAJI" TAK LAYAK DUDUK SELAKU PENTADBIR MASJID?

Motif sebenar senarai itu diubah tidak lain dari ingin bermain politik di rumah Allah dengan meletakkan pemimpin dan penyokong tegar Pas di jawatan penting, dengan harapan mahu menguasai masjid dan kemudiannya bebas untuk melakukan apa sahaja program berbaur kepartian.

Pas perlu mengikis tanggapan bahawa majoriti jemaah yang hadir ke masjid adalah menyokong dan bersimpati dengan perjuangan parti itu. Mereka pergi ke masjid atas keinginan untuk beribadah dan berjemaah secara tenang, bukannya mahu mendengar celoteh politik dari khatib dan guru takmir yang berniat songsang.

Apakah ertinya kata-kata Naib Ketua Pemuda Pas Perak menuduh UMNO cuba mencampuri bidang kuasa DYMM Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri Perak dalam menentukan AJK masjid, sedangkan pemimpin Pas sendiri bersikap cukup buruk dengan mengkhianati persetujuan masyawarah yang melibatkan keputusan DYTM Raja Muda.

Apakah contengan tangan memotong nama yang diperkenankan oleh DYTM Raja Muda selaku Yang Di Pertua MAIPk dan diganti dengan nama-nama pemimpin kanan Pas boleh dikatakan bukan perbuatan penderhaka?

Biar apapun, kita serahkan kepada budi bicara dan tindakan MAIPk yang akan bermesyuarat esok (22 Disember) di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

20 December, 2009

TAULIAH JAWATAN MASJID DIBATALKAN

DAULAT TUANKU

Penyerahan tauliah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid di seluruh Negeri Perak dibatalkan sehingga siasatan mengenai isu pertukaran nama selesai dijalankan.

Pembatalan itu adalah atas titah DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang juga Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk).

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Dato' Seri Yeop Junior Yeop Adlan memberitahu, satu mesyuarat MAIPk akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 22 Disember ini.

Antara perkara penting yang akan dibincangkan adalah mengenalpasti punca berlakunya pertukaran nama pada senarai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda dan Mesyuarat MAIPk sebelum ini.

"Kemungkinan tindakan akan diambil ke atas mereka yang bersalah," kata Dato' Seri Yeop Junior dalam smsnya.

Majlis penyerahan tauliah di Pejabat Agama Islam Slim River yang dijadualkan pada Isnin 21 Disember turut dibatalkan. Ini adalah pembatalan kali kedua selain pada 11 Disember lalu.

Sehingga kini, difahamkan dua majlis penyerahan tauliah telah dijalankan iaitu bagi Daerah Tapah (10 Disember) dan Bagan Serai (16 Disember).

Tindakan menyemak semula senarai berkenaan sudah pasti dapat meredakan kegelisahan rakyat di beberapa daerah sejak beberapa hari lalu yang berasa tidak puas hati dengan senarai baru Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa masjid di kawasan mereka.

Antara daerah dan mukim yang dilaporkan berlaku perubahan teruk adalah Batang Padang (Mukim Slim dan Hulu Bernam), Bagan Serai dan Sungai Siput selain beberapa masjid di Kampar.

Bagi pihak rakyat negeri Perak, patik semua menjunjung kasih atas keperihatinan DYTM Tuanku kerana mengambil berat masalah ini. Daulat Tuanku.

18 December, 2009

HIDUPLAH BOLASEPAK MALAYSIA!



Malam ini Malaysia ibarat berpesta dengan kemenangan pasukan bolasepak negara merangkul pingat emas dalam Sukan Sea Ke-25 di Vientiane, Laos. Anak buah K. Rajagobal menundukkan keangkuhan pasukan Vietnam dengan jaringan 1-0.

HENRIQUE CALISTO, JURULATIH VIETNAM


Malahan jurulatih Vietnam, Henrique Calisto terpaksa menelan kata-kata angkuhnya, “Malaysia bukanlah barisan yang mampu menghalang hasrat generasi baru bolasepak Vietnam mencipta sejarah merangkul kilauan emas yang diidamkan sejak sekian lama”.

K RAJAGOBAL

Namun Rajagobal yang melatih pasukan bolasepak muda negara Bawah 23 tahun sejak 17 April 2009 tidak memperdulikan keangkuhan Calisto, sebaliknya terus fokus terhadap membina prestasi dan mengatur strategi bagi memerangkap pasukan Vietnam.

Hasilnya gol Malaysia menjelma di minit ke-84 berpunca daripada perebutan di depan gawang Vietnam ketika hantaran lintang daripada Safiq Rahim, yang ditujukan kepada pemain gantian, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, ditampan oleh Mai Xuan Hop dan masuk ke gawangnya sendiri. Maka berpestalah rakyat Malaysia.

Apakan tidak dianggap pesta kerana kali terakhir Malaysia menggenggam emas dalam acara ini adalah pada temasya di Kuala Lumpur pada 1989. Kemenangan ini pula disambut serentak dengan sambutan Awal Muharram 1431 Hijrah.

Laluan pasukan Malaysia bukanlah mudah. Bermula dengan kejayaan besar menewaskan Timur Leste dengan 11-0, pasukan Rajagobal itu ditewaskan oleh Vietnam 1-3 sebelum bangkit semula menewaskan Kemboja 4-0 dan paling manis menang ke atas pasukan kental Thailand 2-1.

Malaysia yang berada ditangga kedua dalam kumpulan selepas Vietnam, terpaksa pula berhadapan dengan sorakan gemuruh penyokong pasukan tuan rumah Laos di peringkat separuh akhir. Dalam situasi tertekan itu, Malaysia mampu menang bergaya 3-1.

CALISTO KEBINGUNGAN

Pasukan Vietnam tidak pernah ditewaskan dalam laluannya ke perlawanan akhir. Itulah yang menjadikan Calisto mendabik dada kononnya barisan Malaysia tidak mampu menghalang negara Vietnam mencipta sejarah buat kali pertama menggenggam emas, setelah empat kali mencuba sebelum ini.

Ketika kali terakhir Malaysia memenangi emas pada 1989, kebanyakan pemain negara yang beraksi malam ini baru berusia sekitar tiga tahun. Semasa itu mereka tidak mengetahui gahnya sukan bolasepak di hati peminat sukan negara. Semangat lagenda bolasepak negara seperti Ghani Minhad, Moktar Dahari, Soh Chin Aun, R. Arumugam, Santokh Singh, Syed Ahmad, Hassan Sani, James Wong dan lain-lain belum meresap masuk ke tubuh mereka. Ketika itu nama-nama ini meniti dibibir rakyat Malaysia.

Pasukan bolasepak Malaysia pernah berada pada tahap yang sama dengan Korea Selatan, malah lebih baik dari Jepun, Negara China, Morocco malahan USA. Pasukan bolasepak Malaysia pernah beberapa kali layak ke Sukan Olimpik.

Namun sejak kebelakangan ini, prestasi pasukan bolasepak negara sentiasa menerima cemuhan peminat, dan diangap tidak mampu untuk mencapai kejayaan, baik di peringkat Asean, jauh sekali di peringkat dunia. Gergasi bolasepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan Negara China sudah berada di kelasnya yang tersendiri, begitu jauh meninggalkan Malaysia.

Kita berharap kejayaan pasukan Malaysia meraih pingat emas di Sukan Sea kali ini dapat menyuntik semula semangat para pemain bolasepak negara untuk kembali berjiwa besar. Semangat juang yang tinggi tanpa mengenal erti mengalah seperti ditunjukkan oleh pemain bolasepak negara di Sukan Sea kali ini patut terus diasah dan dikekalkan.

Begitu juga kejayaan ini pastinya dapat meningkatkan semula minat rakyat terhadap sukan bolasepak tempatan. Peminat-peminat bolasepak tanahair sudah lama ingin melihat bolasepak negara kembali kuat seperti era 1970an dan 1980an. Ia nampaknya kembali berputik malam ini.

Sekali lagi sekalung tahniah kepada pasukan bolasepak negara. Malaysia boleh!

Nama-nama pemain yang mengharumkan nama negara semalam :
Mohd Sharbinee Allawee (penjaga gol), Aidil Zafuan Abdul Radzak (ketua pasukan), Mohamad Muslim Ahmad, Nasriq Rahim, Mohd Sabre Mat Abu, Safiq Rahim, K Gurusamy, S Kunanlan, Baddrol Bakhtiar (Mohamad Amil Muslim), Ahmad Fakri Saarani (Zaquan Adha Abdul Radzak), Norshahrul Idlan Talaha (Amar Rohidan).

17 December, 2009

KUNJUNGAN PENGARAH JAIP


Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato' Sheikh Mohd Nor Mansur Al-Hafiz berkunjung di Pejabat Adun Slim di Slim River pagi tadi. Pertemuan berlangsung selama hampir sejam.

Punca masalah pertukaran nama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid dalam Mukim Slim dan Mukim Hulu Bernam dalam Parlimen Tanjong Malim telah dikenalpasti. Pengarah JAIP akan memberikan kenyataannya pada Isnin nanti.

16 December, 2009

PENGARAH JAIP CUBA POLITIKKAN JAWATAN MASJID







Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato’ Mohamad Nor Mansor cuba bermain politik dalam soal perlantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Khariah Masjid di seluruh negeri, dengan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk).

Perbuatan beliau terbongkar apabila senarai Pengerusi dan Setiausaha Masjid di Mukim Slim dan Hulu Bernam dalam Parlimen Tanjong Malim didapati berlainan dari senarai asal.

Majlis penyampaian watikah yang sepatutnya diadakan pada 11 Disember ditangguhkan setelah Orang Besar Jajahan (OBJ) Daerah Batang Padang, Dato’ Seri Yeop Junior Yeop Adlan mengarahkan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River berbuat begitu. Dato’ Seri Yeop Junior meminta supaya senarai itu disemak semula setelah mendapat bantahan dari pelbagai pihak.

Ternyata tindakan OBJ itu tepat kerana setelah disemak senarai asal, beberapa nama yang diperkenankan sebagai Pengerusi, Timbalan, Setiausaha, Bendahari dan AJK masjid telah dipotong oleh PTA dan memasukkan nama lain dengan tulisan tangan. Nama-nama yang dimasukkan kebanyakannya adalah pemimpin kanan parti Pas dalam khariah masjid berkenaan.

Antara masjid dalam mukim Slim yang dikesan telah bertukar senarai nama adalah Masjid Sultan Idris Shah 11 Slim River, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau.

Sementara dalam mukim Hulu Bernam pula melibatkan Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjong Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen.

Sehingga kini, saya telah mendapat laporan bahawa masjid-masjid dalam beberapa kawasan Parlimen lain turut menerima nasib yang sama, iaitu Bagan Serai, Sungai Siput dan Kuala Kangsar.

Terbaru, ada aduan bahawa tiga buah masjid di Kampar mengalami perubahan besar terhadap senarai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasanya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Siput, Dato’ Zulkifli Harun memberitahu, gambar Setiausaha Pas Kawasan Mohd Husni Abu Bakar telahpun terpampang dalam carta jawatankuasa khariah selaku pengerusi baru Masjid Al-Islah Keledang Utama dalam Mukim Sungai Siput.

Modus operandi Pengarah JAIP adalah dengan mengarahkan PTA supaya memotong nama-nama yang telah diperkenankan oleh DYTM Tuanku Raja Muda dan memasukkan nama-nama pemimpin Pas sebelum senarai itu dihantar semula ke pejabat JAIP. Kemudian JAIP akan membuat senarai baru tanpa merujuknya semula kepada OBJ, yang mewakili baginda Sultan di peringkat daerah.

Senarai baru itu diserahkan kepada PTA yang kemudiannya mengaturkan majlis penyerahan tauliah secara tergesa-gesa bagi mengelakkan gerakan mereka dikesan. Selepas tauliah disampaikan, senarai Jawatankuasa Khariah itu akan dipamerkan di masjid-masjid.

Apabila dipertikaikan, Pengarah JAIP dan PTA bertegas kononnya senarai tersebut telah dipersetujui DYTM Raja Muda, walhal nama-nama baru dimasukkan dengan meminda senarai asal yang telah diperkenankan oleh baginda.

Selaku penjawat awam, tindakan Pengarah JAIP ini amat tidak beretika malah boleh dianggap telah menderhakai perkenan DYTM Raja Muda Perak. Beliau yang dilantik ketika pakatan pembangkang memerintah Negeri Perak telah menunjukkan ketaksubannya terhadap parti Pas dan enggan menghormati keputusan mesyuarat MAIPk, sedangkan beliau sendiri adalah setiausaha kepada majlis yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perak itu.

Ini bukanlah kali pertama Pengarah JAIP cuba mempolitikkan jawatannya. Beliau telah melambat-lambatkan pembayaran saguhati kepada pegawai-pegawai masjid menjelang Hari Raya Aidil Fitri yang lalu, sedangkan Kerajaan Negeri telahpun lebih awal menyerahkan peruntukan untuk tujuan berkenaan kepada JAIP. Tujuannya adalah semata-mata mahu menimbulkan rasa tidak puas hati bilal dan siak kepada pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh BN.

Isu pertukaran nama jawatankuasa masjid ini telahpun dimaklumkan kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang kini berada di luar negara atas misi dagang. Difahamkan beliau telahpun menyembah maklumkan perkara ini kepada DYTM Raja Muda Perak.


Nama yang telah dipotong dan diganti menggunakan tulisan tangan. Nama yang dikuningkan adalah nama asal yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda Perak


Surat jemputan untuk majlis tauliah Mukim Slim dan Mukim Hulu Bernam pada 11 Disember yang ditangguhkan atas arahan OBJ


Senarai edaran di mana beberapa nama Pengerusi dan Setiausaha telah ditukar