20 December, 2009

TAULIAH JAWATAN MASJID DIBATALKAN

DAULAT TUANKU

Penyerahan tauliah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid di seluruh Negeri Perak dibatalkan sehingga siasatan mengenai isu pertukaran nama selesai dijalankan.

Pembatalan itu adalah atas titah DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang juga Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk).

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Dato' Seri Yeop Junior Yeop Adlan memberitahu, satu mesyuarat MAIPk akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 22 Disember ini.

Antara perkara penting yang akan dibincangkan adalah mengenalpasti punca berlakunya pertukaran nama pada senarai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda dan Mesyuarat MAIPk sebelum ini.

"Kemungkinan tindakan akan diambil ke atas mereka yang bersalah," kata Dato' Seri Yeop Junior dalam smsnya.

Majlis penyerahan tauliah di Pejabat Agama Islam Slim River yang dijadualkan pada Isnin 21 Disember turut dibatalkan. Ini adalah pembatalan kali kedua selain pada 11 Disember lalu.

Sehingga kini, difahamkan dua majlis penyerahan tauliah telah dijalankan iaitu bagi Daerah Tapah (10 Disember) dan Bagan Serai (16 Disember).

Tindakan menyemak semula senarai berkenaan sudah pasti dapat meredakan kegelisahan rakyat di beberapa daerah sejak beberapa hari lalu yang berasa tidak puas hati dengan senarai baru Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa masjid di kawasan mereka.

Antara daerah dan mukim yang dilaporkan berlaku perubahan teruk adalah Batang Padang (Mukim Slim dan Hulu Bernam), Bagan Serai dan Sungai Siput selain beberapa masjid di Kampar.

Bagi pihak rakyat negeri Perak, patik semua menjunjung kasih atas keperihatinan DYTM Tuanku kerana mengambil berat masalah ini. Daulat Tuanku.

18 December, 2009

HIDUPLAH BOLASEPAK MALAYSIA!



Malam ini Malaysia ibarat berpesta dengan kemenangan pasukan bolasepak negara merangkul pingat emas dalam Sukan Sea Ke-25 di Vientiane, Laos. Anak buah K. Rajagobal menundukkan keangkuhan pasukan Vietnam dengan jaringan 1-0.

HENRIQUE CALISTO, JURULATIH VIETNAM


Malahan jurulatih Vietnam, Henrique Calisto terpaksa menelan kata-kata angkuhnya, “Malaysia bukanlah barisan yang mampu menghalang hasrat generasi baru bolasepak Vietnam mencipta sejarah merangkul kilauan emas yang diidamkan sejak sekian lama”.

K RAJAGOBAL

Namun Rajagobal yang melatih pasukan bolasepak muda negara Bawah 23 tahun sejak 17 April 2009 tidak memperdulikan keangkuhan Calisto, sebaliknya terus fokus terhadap membina prestasi dan mengatur strategi bagi memerangkap pasukan Vietnam.

Hasilnya gol Malaysia menjelma di minit ke-84 berpunca daripada perebutan di depan gawang Vietnam ketika hantaran lintang daripada Safiq Rahim, yang ditujukan kepada pemain gantian, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, ditampan oleh Mai Xuan Hop dan masuk ke gawangnya sendiri. Maka berpestalah rakyat Malaysia.

Apakan tidak dianggap pesta kerana kali terakhir Malaysia menggenggam emas dalam acara ini adalah pada temasya di Kuala Lumpur pada 1989. Kemenangan ini pula disambut serentak dengan sambutan Awal Muharram 1431 Hijrah.

Laluan pasukan Malaysia bukanlah mudah. Bermula dengan kejayaan besar menewaskan Timur Leste dengan 11-0, pasukan Rajagobal itu ditewaskan oleh Vietnam 1-3 sebelum bangkit semula menewaskan Kemboja 4-0 dan paling manis menang ke atas pasukan kental Thailand 2-1.

Malaysia yang berada ditangga kedua dalam kumpulan selepas Vietnam, terpaksa pula berhadapan dengan sorakan gemuruh penyokong pasukan tuan rumah Laos di peringkat separuh akhir. Dalam situasi tertekan itu, Malaysia mampu menang bergaya 3-1.

CALISTO KEBINGUNGAN

Pasukan Vietnam tidak pernah ditewaskan dalam laluannya ke perlawanan akhir. Itulah yang menjadikan Calisto mendabik dada kononnya barisan Malaysia tidak mampu menghalang negara Vietnam mencipta sejarah buat kali pertama menggenggam emas, setelah empat kali mencuba sebelum ini.

Ketika kali terakhir Malaysia memenangi emas pada 1989, kebanyakan pemain negara yang beraksi malam ini baru berusia sekitar tiga tahun. Semasa itu mereka tidak mengetahui gahnya sukan bolasepak di hati peminat sukan negara. Semangat lagenda bolasepak negara seperti Ghani Minhad, Moktar Dahari, Soh Chin Aun, R. Arumugam, Santokh Singh, Syed Ahmad, Hassan Sani, James Wong dan lain-lain belum meresap masuk ke tubuh mereka. Ketika itu nama-nama ini meniti dibibir rakyat Malaysia.

Pasukan bolasepak Malaysia pernah berada pada tahap yang sama dengan Korea Selatan, malah lebih baik dari Jepun, Negara China, Morocco malahan USA. Pasukan bolasepak Malaysia pernah beberapa kali layak ke Sukan Olimpik.

Namun sejak kebelakangan ini, prestasi pasukan bolasepak negara sentiasa menerima cemuhan peminat, dan diangap tidak mampu untuk mencapai kejayaan, baik di peringkat Asean, jauh sekali di peringkat dunia. Gergasi bolasepak Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan Negara China sudah berada di kelasnya yang tersendiri, begitu jauh meninggalkan Malaysia.

Kita berharap kejayaan pasukan Malaysia meraih pingat emas di Sukan Sea kali ini dapat menyuntik semula semangat para pemain bolasepak negara untuk kembali berjiwa besar. Semangat juang yang tinggi tanpa mengenal erti mengalah seperti ditunjukkan oleh pemain bolasepak negara di Sukan Sea kali ini patut terus diasah dan dikekalkan.

Begitu juga kejayaan ini pastinya dapat meningkatkan semula minat rakyat terhadap sukan bolasepak tempatan. Peminat-peminat bolasepak tanahair sudah lama ingin melihat bolasepak negara kembali kuat seperti era 1970an dan 1980an. Ia nampaknya kembali berputik malam ini.

Sekali lagi sekalung tahniah kepada pasukan bolasepak negara. Malaysia boleh!

Nama-nama pemain yang mengharumkan nama negara semalam :
Mohd Sharbinee Allawee (penjaga gol), Aidil Zafuan Abdul Radzak (ketua pasukan), Mohamad Muslim Ahmad, Nasriq Rahim, Mohd Sabre Mat Abu, Safiq Rahim, K Gurusamy, S Kunanlan, Baddrol Bakhtiar (Mohamad Amil Muslim), Ahmad Fakri Saarani (Zaquan Adha Abdul Radzak), Norshahrul Idlan Talaha (Amar Rohidan).

17 December, 2009

KUNJUNGAN PENGARAH JAIP


Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato' Sheikh Mohd Nor Mansur Al-Hafiz berkunjung di Pejabat Adun Slim di Slim River pagi tadi. Pertemuan berlangsung selama hampir sejam.

Punca masalah pertukaran nama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid dalam Mukim Slim dan Mukim Hulu Bernam dalam Parlimen Tanjong Malim telah dikenalpasti. Pengarah JAIP akan memberikan kenyataannya pada Isnin nanti.

16 December, 2009

PENGARAH JAIP CUBA POLITIKKAN JAWATAN MASJID







Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato’ Mohamad Nor Mansor cuba bermain politik dalam soal perlantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Khariah Masjid di seluruh negeri, dengan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk).

Perbuatan beliau terbongkar apabila senarai Pengerusi dan Setiausaha Masjid di Mukim Slim dan Hulu Bernam dalam Parlimen Tanjong Malim didapati berlainan dari senarai asal.

Majlis penyampaian watikah yang sepatutnya diadakan pada 11 Disember ditangguhkan setelah Orang Besar Jajahan (OBJ) Daerah Batang Padang, Dato’ Seri Yeop Junior Yeop Adlan mengarahkan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River berbuat begitu. Dato’ Seri Yeop Junior meminta supaya senarai itu disemak semula setelah mendapat bantahan dari pelbagai pihak.

Ternyata tindakan OBJ itu tepat kerana setelah disemak senarai asal, beberapa nama yang diperkenankan sebagai Pengerusi, Timbalan, Setiausaha, Bendahari dan AJK masjid telah dipotong oleh PTA dan memasukkan nama lain dengan tulisan tangan. Nama-nama yang dimasukkan kebanyakannya adalah pemimpin kanan parti Pas dalam khariah masjid berkenaan.

Antara masjid dalam mukim Slim yang dikesan telah bertukar senarai nama adalah Masjid Sultan Idris Shah 11 Slim River, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau.

Sementara dalam mukim Hulu Bernam pula melibatkan Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjong Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen.

Sehingga kini, saya telah mendapat laporan bahawa masjid-masjid dalam beberapa kawasan Parlimen lain turut menerima nasib yang sama, iaitu Bagan Serai, Sungai Siput dan Kuala Kangsar.

Terbaru, ada aduan bahawa tiga buah masjid di Kampar mengalami perubahan besar terhadap senarai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasanya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Siput, Dato’ Zulkifli Harun memberitahu, gambar Setiausaha Pas Kawasan Mohd Husni Abu Bakar telahpun terpampang dalam carta jawatankuasa khariah selaku pengerusi baru Masjid Al-Islah Keledang Utama dalam Mukim Sungai Siput.

Modus operandi Pengarah JAIP adalah dengan mengarahkan PTA supaya memotong nama-nama yang telah diperkenankan oleh DYTM Tuanku Raja Muda dan memasukkan nama-nama pemimpin Pas sebelum senarai itu dihantar semula ke pejabat JAIP. Kemudian JAIP akan membuat senarai baru tanpa merujuknya semula kepada OBJ, yang mewakili baginda Sultan di peringkat daerah.

Senarai baru itu diserahkan kepada PTA yang kemudiannya mengaturkan majlis penyerahan tauliah secara tergesa-gesa bagi mengelakkan gerakan mereka dikesan. Selepas tauliah disampaikan, senarai Jawatankuasa Khariah itu akan dipamerkan di masjid-masjid.

Apabila dipertikaikan, Pengarah JAIP dan PTA bertegas kononnya senarai tersebut telah dipersetujui DYTM Raja Muda, walhal nama-nama baru dimasukkan dengan meminda senarai asal yang telah diperkenankan oleh baginda.

Selaku penjawat awam, tindakan Pengarah JAIP ini amat tidak beretika malah boleh dianggap telah menderhakai perkenan DYTM Raja Muda Perak. Beliau yang dilantik ketika pakatan pembangkang memerintah Negeri Perak telah menunjukkan ketaksubannya terhadap parti Pas dan enggan menghormati keputusan mesyuarat MAIPk, sedangkan beliau sendiri adalah setiausaha kepada majlis yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perak itu.

Ini bukanlah kali pertama Pengarah JAIP cuba mempolitikkan jawatannya. Beliau telah melambat-lambatkan pembayaran saguhati kepada pegawai-pegawai masjid menjelang Hari Raya Aidil Fitri yang lalu, sedangkan Kerajaan Negeri telahpun lebih awal menyerahkan peruntukan untuk tujuan berkenaan kepada JAIP. Tujuannya adalah semata-mata mahu menimbulkan rasa tidak puas hati bilal dan siak kepada pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh BN.

Isu pertukaran nama jawatankuasa masjid ini telahpun dimaklumkan kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang kini berada di luar negara atas misi dagang. Difahamkan beliau telahpun menyembah maklumkan perkara ini kepada DYTM Raja Muda Perak.


Nama yang telah dipotong dan diganti menggunakan tulisan tangan. Nama yang dikuningkan adalah nama asal yang telah diperkenankan oleh DYTM Raja Muda Perak


Surat jemputan untuk majlis tauliah Mukim Slim dan Mukim Hulu Bernam pada 11 Disember yang ditangguhkan atas arahan OBJ


Senarai edaran di mana beberapa nama Pengerusi dan Setiausaha telah ditukar

09 December, 2009

KOR MING BERMAIN API LAGI



Nga Kor Ming comes from an old Ayer Tawar Methodist family and was christened David by the late Rev. Koh Gie Bing. – Alvinology http://sgblogs.com/entry/ming/252968


Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming (gambar atas) nampaknya sekali lagi cuba bermain dengan api keagamaan. Kali ini beliau mencetuskan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu dengan menyentuh isu-isu berkaitan pembinaan masjid.

Nga ketika berbahas di Dewan Rakyat mempersoalkan langkah Kerajaan Pusat membelanjakan RM748.26 juta bagi membina 611 buah masjid dalam tempoh 2000 hingga 2008, tetapi dalam tempoh yang sama gagal membina rumah ibadat bagi agama lain.

Beliau kesal kerana rakyat bukan Islam telah dianaktirikan sedangkan mereka juga pembayar cukai. Setiausaha DAP Perak itu mahukan Kerajaan Pusat belajar dari kerajaan campuran DAP, Pas dan PKR di Perak yang banyak menawarkan tapak tanah kepada kuil-kuil Hindu, gereja dan tokong.

Nga juga meminta Kerajaan Pusat mencontohi Kerajaan Pas Kelantan yang membenarkan pembinaan tokong terbesar di Asia Tenggara.

Sikap Nga mempertikaikan usaha Kerajaan Pusat dan Negeri membina masjid dan surau bukanlah satu perkara baru. Sejak saya dipilih rakyat DUN Slim pada 2004 untuk berada dalam Sidang DUN Perak, sudah beberapa kali Nga selaku Adun Pantai Remis, serta sepupunya, Adun Sitiawan Ngeh Ko Ham mempertikaikan perbelanjaan bagi pembinaan terlalu banyak masjid dan surau di Perak.

Kini isu yang sudah menjadi barah dalam hati dan jiwa Nga dan Ngeh itu dibawa pula ke Parlimen. Mereka sudah lupa bahawa agama Islam adalah agama rasmi di negara ini sebagai termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, dan sudah semestinya mendapat keistimewaan tertentu bagi kemudahan penganutnya. Mempertikaikan usaha Kerajaan Pusat menjalankan tanggungjawab mengembangkan syiar Islam samalah dengan mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi negara.

NGA DAN KIT SIANG MEMIJAK GAMBAR TIGA ADUN BEBAS

Nga juga terlupa bahawa Perlembagaan telah meletakkan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak mempunyai Raja (Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan), dan Sultan pula adalah Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.

Mempertikaikan aktiviti syiar Islam termasuk pembinaan masjid dan surau di negara ini samalah dengan mempertikaikan peranan Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah Kor Ming sekali lagi mahu menunjukkan sikap biadap dan mahu menderhakai Agong dan Raja-Raja Melayu?

Jangan hairan jika Kor Ming dan DAP meminta maaf selepas ini, kerana stail politik mereka sejak dahulu sama sahaja....meminta maaf atas kesilapan yang mereka sengajakan, tetapi mesej yang hendak mereka sampaikan sudah tersebar, khususnya di kalangan penyokong dari kaum Cina. Mereka mahu memberitahu pengundi Cina bahawa DAP sentiasa menjuarai isu kaum dan agama, dan tidak takut menyentuh kedudukan Melayu dan Islam.

Kor Ming boleh memuji sikap Pas yang sehingga kini tidak membina masjid, biarpun di Kelantan yang diperintah parti itu sejak sekian lama. Sikap Pas itu sewajarnya Kor Ming war-warkan kepada masyarakat Cina, bagi menunjukkan bahawa Pas sebenarnya bukanlah parti yang bersungguh-sungguh memperjuangkan Islam, maka dengan itu akan bertambahlah sokongan masyarakat Cina terhadap Pas.

Kor Ming juga boleh memberitahu penyokong-penyokongnya bahawa Pas jauh lebih mudah dikawal berbanding Umno. Katakan kepada pengikut DAP bahawa Pas sudah terbukti mahu mengikut telunjuk DAP sepanjang 11 bulan memerintah Perak. Katakan bahawa Pas, berbanding dengan Umno, bersikap amat lemah kerana tidak mampu untuk menghalang enam Adun DAP dari menduduki kerusi Exco Kerajaan Negeri, malahan pada peringkat awalnya tidak membantah jika DAP mahu meletakkan lapan ADUNnya sebagai Exco.

NIZAR SANGGUP DIBONEKAKAN OLEH NGA DAN KUNCU-KUNCU DAP DI PERAK

DAP juga boleh mewar-warkan kepada masyarakat Cina di Perak dan seluruh negara bahawa betapa lemahnya PAS sehingga boleh membenarkan penduduk Kampung Baru mendapat hak milik tanah kekal selama 999 tahun, sedangkan tidak ada seorangpun peribumi Melayu yang mendapat keistimewaan seperti itu sebelum ini, termasuk di kawasan Felda dan Felcra.

Kor Ming yang beragama Kristian itu boleh beritahu kepada penyokong DAP bahawa Nizar ketika dibonekakan selaku Menteri Besar begitu bermurah hati memberi peluang kepada Ngeh Ko Ham menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Negeri yang sebelum ini dipegang oleh Menteri Besar sendiri, dan buat pertama kalinya diwujudkan Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam di Perak.

Kor Ming perlu terus mewar-warkan bahawa ketika mereka menguasai pemerintahan Kerajaan Negeri Perak, telah banyak tindakan yang mereka ambil untuk kepentingan masyarakat Cina termasuk meluluskan tanah seluas 2,000 ekar hanya untuk menampung tabung 9 buah sekolah SUWA Cina, biarpun dalam masa yang sama lebih 700 Sekolah Agama Rakyat di Perak tidak diberikan peluang memiliki sebidang tanah.

Dan sepatutnya Kor Ming dengan penuh bangga menghebahkan kepada masyarakat Cina bahawa Nizar sepanjang menjadi Menteri Besar telah tidak memberikan tumpuan untuk membina masjid dan surau di Perak demi menjaga sensitiviti rakan kongsinya, iaitu DAP dan PKR.

Teruskanlah Kor Ming dengan isu-isu yang menyentuh hati dan nurani masyarakat Islam itu. Dan dalam masa yang sama kamu bacalah surah-surah Al-Quran di atas pentas untuk mengabui mata penyokong Pas dari sikap sebenar kamu yang anti-Islam. Insyaallah, mereka akan bertepuk dan bersorak gembira apabila kamu melakukan begitu.

05 December, 2009

PULAU PINANG AKAN JADI SINGAPURA?

Berikut saya paparkan pengalaman penulis veteran, bekas wartawan dan mantan Presiden NUJ, Yazid Othman mengenai kemungkinan Pulau Pinang akan menjadi Singapura di mana suara Melayu akan diminimakan.

"PULAU PINANG DALAM BAHAYA, IA AKAN TERLEPAS MACAM SINGAPURA"

YAZID OTHMAN



Para pemimpin utama negara ini terutama yang terdiri dari bangsa Melayu hendaklah menumpukan perhatian serta merta kepada negeri kita Pulau Pinang ,salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu asalnya dan kini dalam Persekutuan Malaysia.

Mari kita segera melupakan kegilaan para pemimpin DAP, Keadilan dan PAS, kerana mereka kini sedang membuat lakonan untuk menarik perhatian Kerajaan Barisan Nasional terutamanya para pemimpin UMNO untuk mengaburi mata semua orang ; sedangkan pada masa yang sama mereka kini bertungkus lumus untuk menghapuskan kuasa Melayu di negeri Pulau Pinang buat selama-lamanya.

DAP Pulau Pinang kini memulakan usaha ‘rezoning’ atau mengezon semula atau membuat garis persempadanan semula semua penempatan penduduk Pulau Pinang. Rancangan di sebalik itu ialah menjadikan semua kawasan majoriti pengundi Melayu berpecah menjadi secil-kecil dan tidak ada suara majoriti di semua tempat.

LIM GUAN ENG





Untuk ini orang Melayu akan dipindahkan dalam bentuk kumpulan –kumpulan kecil dan diletakkan ketengah-tengah kawasan pengundi Cina . Manakala para pengundi Cina pula dalam bentuk kumpulan yang besar dipindahkan kekawasan penduduk Orang Melayu untuk menjadikan bilangan mereka melebihi bilangan penduduk Melayu. Cara ini bila pilihanraya nanti semua calon DAP dan pakatan mereka akan menang mudah.

Cara inilah yang telah dibuat oleh Lee Kuan Yew di Singapura sebaik saja dia keluarkan dirinya dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 lalu.

Semasa saya mula keluar dari Universiti Malaya dan melapur diri bertugas dengan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu pada awal tahun 1981, saya dihantar ke Biro Selatan Utusan di Johor Bharu, dengan tugas khusus masuk ke Singapura setiap hari membuat sebarang laporan berita di sana.

Kebetulan masa itu Lee Kuan Yew Perdana Menteri Singapura sedang melakukan kerja-kerja ‘Rezoning’ penduduk Melayu ditahap kemuncak sekali iaitu memecahkan kawasan-kawasan penduduk Melayu di Gaylang Serai , Kaki Bukit, Tanjung Katong , Kalang, Kampung Ubi , Kampung Kandang Kerbau, Bedok, Arab Street dan lain-lain.

LEE KUAN YEW SEMASA MUDA




Rancangan Lee Kuan Yew ini amat berjaya, kerana selepas itu tidak seorang pun orang Melayu yang boleh bertanding mewakili penduduk Melayu, kerana mereka sudah dipisahkan dalam kelompok yang amat kecil ketempat-tempat berjauhan.

Dalam isu ini semua orang Melayu di Singapura membantah dan saya membuat laporan dan disiarkan secara meluas setiap hari segala bantahan itu ke dalam akhbar Kumpulan Utusan Melayu, tentang bantahan ketua-ketua Masyarakat Melayu, termasuk ketua –ketua persatuan penduduk, pertubuhan-pertubuhan belia, pelajar, Pertubuhan Kebajikan di setiap kampong dan persatuan-persatuan khairat kematian di setiap masjid di Singapura.

Kerja dan tugas saya yang diarahkan dari Kuala Lumpur menjadi mudah dengan pertolongan dan kerjasama dari rakan-rakan saya para wartawan di Singapura sendiri terutamanya wartawan dari Kumpulan Straits Times Singapore yang membawa jalan untuk menemui pihak-pihak berkenaan di Republik itu.

Bagaimanapun saya terkejut besar, bila satu pagi, sebaik saja saya tiba di tempat wartawan Singapura selalu minum-minum , seorang wartawan Berita Harian Singapura Noryati Duriat berkata kepada saya; “Zid, Che gu talifon saya malam tadi katanya, Noryatri, tolong tanyakan pada Yazid, dia suka tak Orang Melayu jadi Menteri di Singapura ini, kalau dia suka, tolong jangan datang jumpa saya dan tolong jangan menalifon saya lagi..kalau tidak saya akan diberhentikan dari jawatan ini..”

Che Gu yang yang dimaksudkan oleh Noryati itu ialah Menteri Hal Ehwal Masyarakat Singapura, Dr.Ahmad Mattar, di mana sebelum menjadi wakil rakyat dan menteri, beliau adalah seorang guru. wartawan Singapura bahasakannya Che Gu bila bercakap mengenainya atau bila bercakap dengannya.

Ertinya Lee Kuan Yew sudah pasang pengintip atau spy mengenai apa yang saya lakukan di Singapura beliau tidak suka , dan menteri kanan Singapura Dr. Ahmad Matar telah diberi amaran oleh Lee Kuan Yew agar tidak menemui atau bercakap melalui talifon kerana takut terlepas kepada saya sebarang maklumat tentang rancangannya untuk menghilangkan kuasa politik orang-orang Melayu di Singapura.

LEE KUAN YEW KINI




Seorang kenalan saya (bukan Melayu) dalam pentadbiran Lee Kuan Yew member isyarat jelas bahawa setiap kali saya melepasi Woodlands (sempadan utama selepas masuk ke Singapura melalui pintu Tambak Johor) ada sebuah kereta sentiasa mengekori ke mana saja saya berada.

Pada akhirnya, yang menjelaskan betapa saya tidak digalakkan masuk ke Singapura ialah, bila saya dikenakan peperiksaan 100% oleh anggota Polis Singapura satu hari sebaik saja saya tiba di laluan Imigresen Singapura di Woodlands itu, tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Alhamdulillah , berikutan kepayahan itu saya diarahkan oleh Ibu Pejabat di Kuala Lumpur untuk berrtukar Ke Pulau Pinang. Selepas itu segala kerja-kerja Lee Kuan Yew tidak kedengaran lagi dibantah oleh Orang-orang Melayu di Singapura.

Kembali ke Pulau Pinang, rancangan Lim Guan Eng adalah 100% mengikut jejak Lee Kuan Yew. Saya mempunyai bukti , bahawa Lim Guan Eng hampir setiap minggu terbang ke Singapura mengadap Sifu atau guru besarnya bagaimana hendak menghapuskan kuasa politik Melayu di Pulau Pinang.


Lim Guan Eng pernah terkeluar cakap kepada orang-orangnya di Pulau Pinang mengenai apa yang dituturkan oleh Lee Kuan Yew kepadanya semasa mengadap Sifu Agungnya di Singapura itu.

Lee Kuan Yew berkata kepadanya.. ”You don’t worry. I’ll teach you step by step”…ertinya, jangan bimbang saya akan ajar kamu selangkah demi selangkah (bagaimana hendak menghancurkan pengaruh dan politik kaum Melayu di Pulau Pinang).

Hubaya..hubaya para pemimpin UMNO..awas dan waspadalah dan atasilah !!!