06 November, 2009

RAYUAN NIZAR - LAPORAN AGENDA DAILY


Khamis …ramai yang tertunggu-tunggu untuk mendengar apa cerita usaha terakhir Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menerusi mahkamah bagi mendapat balik jawatan sebagai Menteri Besar Perak yang kini disandang oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kader.

Bagaimanapun panel lima hakim yang mendengar rayuannya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menangguhkan pengumuman keputusannya ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak setelah mendengar penghujahan secara panjang lebar selama lebih enam jam daripada tiga pihak yang terlibat dalam isu perlembagaan Perak itu.

Nizar hadir di mahkamah itu manakala Dr Zambry diwakili oleh peguamnya.

Sebelum itu penal hakim mahkamah berkenaan sebulat suara menolak permohonan Nizar agar rayuannya didengar oleh 11 hakim.

Lima orang anggota panel hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim-hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Krisis politik Perak bermula apabila dua anggota dewan undangan negeri daripada PKR -- Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) keluar daripada parti itu pada 30 Jan, diikuti tindakan anggota dewan undangan negeri daripada DAP Hee Yit Foong (Jelapang) meninggalkan parti itu empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb bagi memohon baginda membubarkan dewan undangan negeri, tetapi permohonan beliau ditolak.

Pada 6 Feb, Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru dan berikutan itu, Mohammad Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan memohon perintah mahkamah menghalang Zambry daripada melakasanakan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak mempunyai kuasa untuk memecat Mohammad Nizar daripada jawatannya kerana beliau (Mohamad Nizar) tidak memegang jawatan itu atas dasar perkenan Sultan.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya ketika menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah bertindak betul apabila baginda melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru berpandukan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Negeri Perak, setelah baginda berpuas hati bahawa Zambry mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mengemukakan rayuan.

Dalam hujahnya hari ini, peguam utama Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata Mahkamah Rayuan terkilaf dalam keputusannya kerana tidak mengguna pakai pendekatan yang tepat berhubung peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Katanya Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan dan satu-satunya cara yang boleh menyingkirkan beliau ialah melalui undi tidak percaya oleh anggota dewan undangan negeri.

"Undang-undang Tubuh Negeri Perak tidak memperuntukkan budi bicara bagi melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar," kata beliau.

Dalam hujah balasnya, Peguam Negara Abdul Gani Patail berkata Sultan Perak telah menimbang dengan teliti fakta serta keadaan yang wujud sebelum mengisytiharkan pada 5 Feb bahawa Barisan Nasional (BN)mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri.

"Jelas sekali, Sultan Perak telah menunaikan tanggungjawab baginda dengan cara paling berhemah," kata beliau.

Sementara itu, dalam hujah beliau, peguam ,Dr Zambry,Datuk Cecil Abraham berkata tidak terdapat peruntukan secara tegas dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang menyebut bahawa kehilangan majoriti oleh seseorang Menteri Besar hanya boleh ditentukan oleh undi tidak percaya.

"Dalam kes ini, ia juga boleh ditentukan oleh Sultan setelah beliau memanggil menghadap 31 anggota dewan undangan negeri bagi memastikan siapa yang mendapat sokongan majoriti di dalam dewan," katanya. - Agenda Daily 5/11/2009

05 November, 2009

NIZAR, MAHKAMAH DAN PENIPUANNYA


Ketika ini Mahkamah Persekutuan di Putrajaya sedang bersidang bagi mendengar rayuan bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin yang membantah perlantikan Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai MB Perak yang sah.

Ini adalah rentetan beberapa kes yang dibawa oleh Nizar dan kuncu-kuncunya dari DAP yang terus-terusan berasa tidak puas hati dengan perlantikan Dr. Zambry selaku Menteri Besar Perak. Sehingga kini, beberapa keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah memihak kepada Dr. Zambry. Tetapi setiap kali itulah Nizar, Ngeh, Nga dan Sivakumar tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah.

Terbaru, Mahkamah Persekutuan telahpun membuat penghakiman bertulis mengesahkan perlantikan Dato’ R. Ganesan selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, berdasarkan pemilihan yang dibuat oleh Sidang Dewan Negeri pada 7 Mei 2009. Dalam sidang itu, Sivakumar telah digugurkan oleh majoriti Ahli Dewan kerana gagal menjalankan tugasnya dengan berkesan dan mengikut etika selaku Speaker.

Tetapi Sivakumar yang peguam itu tidak mahu menghormati keputusan Mahkamah, malahan masih menganggap dirinya sebagai Speaker, mempertahankan jubah yang dilarikan sehingga sanggup bertempur dengan pihak polis, menggunakan letterhead Speaker dan berlagak seperti Speaker dalam Sidang DUN Perak pada 28 Oktober lalu.

Mereka masih menuduh Kerajaan Negeri yang diterajui Barisan Nasional sebagai kerajaan haram, Dr. Zambry mereka gelarkan lanun, perompak dan MB haram. Walhal Mahkamah Rayuan telahpun membuat keputusan bahawa Dr. Zambry adalah MB Perak yang sah.

Saya pasti, Nizar, Ngeh, Nga dan Sivakumar akan menunjukkan sikap yang sama jika Mahkamah Persekutuan kali ini juga membuat keputusan memihak kepada Dr. Zambry.

Kes rayuan ini dibawa oleh Nizar dan didengar oleh lima orang panel hakim, iaitu Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim-hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Mahkamah pagi ini telahpun membuat keputusan menolak permohonan Nizar untuk menambah bilangan panel hakim kepada 11 orang. Kenapa Nizar mahukan panel seramai itu? Kerana dalam jiwa dan hatinya sarat dengan daki syak wasangka, hasad dengki dan sukar mempercayai orang lain. Dalam pemikirannya sentiasa menganggap orang lain (termasuk hakim) mahu menipu dan menganiaya dirinya.

Nizar mempunyai pemikiran yang sama dengan Ngeh, Nga dan Sivakumar (ketiga-tiganya peguam), bahawa hakim-hakim yang tidak memihak kepada mereka adalah disogok atau dibeli. Jika itulah yang ditanam dalam otak pengikut-pengikut parti mereka, maka akhirnya mereka tidak akan menghormati sistem penghakiman di negara ini.

NIZAR DAN GENG KERASNYA, NGA KOR MING, SEPUPU NGEH KO HAM

Hakikatnya, Nizarlah yang telah banyak menipu rakyat di Perak. Dia telah menipu rakyat di DUN Pasir Panjang dan Parlimen Bukit Gantang yang telah mengundinya. Nizar dihalau keluar pada hari pertama beliau memasuki Parlimen kerana bersikap di luar tabi’i anggota Parlimen dengan menjerit-jerit di dalam Dewan Rakyat yang mulia sebaik mengangkat sumpah. Beliau juga memboikot Sidang DUN Perak pada 28 Oktober lalu dan enggan mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet Negeri 2010.

Rakyat di kedua-dua kawasan tertipu dengan Nizar kerana memilih individu yang gagal mewakili dan membantu menyelesaikan masalah mereka.

02 November, 2009

KHIDMAT BERGERAK DI FELDA BESOUT


Program Khidmat Bergerak Untuk Masyarakat Adun Slim di Pasar Isnin, Felda Gugusan Besout petang tadi dapat memberi saya peluang mendengar banyak masalah rakyat di sana, dan seramai 50 pengundi baru mendaftar sebagai pemilih pilihanraya.

Antara masalah yang dikemukakan adalah : Permohonan borang untuk membina rumah di bawah skim SPNB, longkang tidak dibina atau tersumbat, permohonan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan haiwan ternakan, geran hak milik tanah, permohonan perkakas memasak dan pinggan mangkuk untuk Persatuan Ibu Tunggal, permohonan peralatan surau, tadika dan dewan serbaguna, memasang soyok gerai Felda, permohonan pengecualian bayaran perubatan di hospital, cukai tanah tapak rumah, kerusi roda, pertukaran daftar pemilih pilihanraya, aduan mengenai keahlian Umno yang bertukar ke cawangan lain, sokongan temuduga kerja di Majlis Daerah, sokongan pertukaran tempat kerja anak, sehinggalah sekecil permohonan untuk membuat cop rasmi Setiausaha JKKR.

Ada juga aduan mengenai projek bernilai RM200,000 yang saya pohon melalui peruntukan PIA bagi mengatasi masalah banjir di Peringkat 4 Felda Besout 1 yang tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi serta kerja-kerja membaikpulih rumah yang tidak sempurna oleh kontraktor sehingga berlakunya keretakan.

Insyaallah, semua aduan dan permohonan ini akan ditangani sebaik mungkin. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Rujuk juga : http://www.sinarharian.com.my/perak/content/story5573420.asp



















KREATIVITI SEORANG SAHABAT

RUSLAN SEMASA DI WATAN 1987



RUSLAN YANG DAH LAMA SAYA TAK TEMUI


Ruslan Mamat, atau dalam Facebook menggunakan nama Antapanis Ruslan adalah sahabat lama saya ketika sama-sama menjadi wartawan di akhbar Watan sekitar 1986-1987. Sejak saya meninggalkan Kumpulan Karangkraf pada hujung 1987, saya tidak lagi berjumpa Ruslan. Hanya kini kami berhubung melalui Facebook.

Ini hasil kreativitinya yang amat saya hargai. Ruslan, walaupun dah 22 tahun tak bersemuka, kita akan terus bersahabat.











01 November, 2009

GARA-GARA PERTAHAN JUBAH CURI

Situasi dalam video di bawah ini berlaku hanya disebabkan sikap manusia mahu mempertahankan barang curi. Adun-Adun DAP-PKR-PAS di Perak sanggup bertempur dengan pihak polis dan masuk lewat di Sidang DUN Perak pada 28hb Oktober lalu kerana mahu mempertahankan jubah dan songkok Speaker yang dicuri oleh Adun Tronoh, V. Sivakumar.



Sivakumar yang masih menganggap dirinya Speaker telah cuba memakai jubah dan songkok Speaker yang dibawa lari selepas beliau dilucutkan dari jawatan berkenaan dalam Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu. Selain jubah dan songkok, Siva juga membawa lari kepala surat (letterhead) Speaker.

Adun-Adun pakatan pembangkang berulang alik beberapa kali dari Pejabat DAP Perak yang terletak 50 meter dari Bangunan SUK yang menempatkan Dewan Negeri, hanya kerana mahu mengelak tindakan polis yang mahu mengambil barang kes (jubah dan songkok Speaker) dari tubuh Sivakumar.

SIVA DAN ADUN-ADUN PEMBANGKANG ENGGAN MASUK KE DEWAN KERANA MAHU MEMPERTAHANKAN JUBAH SPEAKER YANG DICURI


Ketika insiden di tapak letak kereta Bangunan SUK ini berlaku, sidang Dewan Negeri Perak sudahpun dimulakan pada jam 10.00 pagi dan Menteri Besar Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sedang membentangkan Bajet Negeri Perak 2010.

Adun-Adun pakatan pembangkang bersungguh-sungguh mahu mempertahankan jubah dan songkok Speaker curi yang melekat di tubuh Sivakumar. Mereka lupa tugas hakiki mereka iaitu untuk mengambil bahagian dalam sessi Sidang DUN. Mereka sanggup dan lebih rela bertempur dengan pihak polis, daripada 'bertempur' membawa masalah rakyat yang diwakili di dalam Dewan Negeri.

SIVA KELUAR DARI KAWASAN SUK SELEPAS JUBAHNYA DIAMBIL


Inilah gara-gara menderhakai titah dan perkenan Sultan, enggan menghormati keputusan Dewan Negeri yang mulia serta menghina keputusan Mahkamah mengenai kedudukan Speaker, Menteri Besar, Exco-Exco, 3 Adun bebas dan beberapa keputusan lain.

Sebaik masuk ke dewan, Sivakumar yang berlakon mengendalikan Sidang DUN menipu lagi dengan berkata polis telah mencekiknya semasa mahu mengambil jubah dari tubuhnya. Perkara ini telah dinafikan oleh Ketua Polis Perak.

BENARKAH DAKWAAN SIVAKUMAR DIA DICEKIK? FOTO YANG DIJADIKAN BUKTI OLEH SIVA INI TIDAK MENAMPAKKAN TANDA-TANDA SIVA DICEKIK. BERLAKON DAN TERUS BERLAKONLAH WAHAI SIVA.


Adun Pantai Remis, Nga Kor Meng pula dalam sidang akhbarnya mendakwa bahagian sulitnya telah dicabul ketika mahu melepasi metal screening di pintu masuk Dewan. Apakah ada bebola besi di situ yang menyebabkan mesin pengimbas berbunyi?

Sudahlah tu wahai Siva, Nizar, Ngeh, Nga.... rakyat boleh ditipu sekali, tetapi jika penipuan itu diulang-ulang, akhirnya rakyat akan sedar permainan politik kamu semua. Kembalilah kepada tugas sebenar kamu apabila dipilih oleh rakyat pada Mac 2008 lalu, iaitu berkhidmat kepada rakyat dengan penuh kesungguhan. Masih terlalu banyak masalah rakyat di kawasan kamu yang belum diatasi.

KHIDMAT BERGERAK KE FELDA BESOUT PULA


Pada 2hb November 2009 nanti (Isnin), program "Khidmat Bergerak Untuk Masyarakat DUN Slim" akan diteruskan di Felda Gugusan Besout. Tempat program adalah Tapak Pasar Isnin, Felda Besout 1. Program akan bermula dari jam 3.30 petang.

Sebagaimana di Felda Trolak Utara pada 22 Oktober lalu, program ini akan menawarkan khidmat Adun, pemeriksaan kesihatan percuma, pendaftaran pemilih pilihanraya, kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kaunter Jabatan Belia dan Sukan dan Tekun. Alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh rakyat di Gugusan Trolak ketika itu amat baik.

Saya berharap supaya program di Felda Gugusan Besout juga mendapat sambutan. Silalah bantu mewar-warkan program ini pada keluarga, saudara mara dan sahabat handai, khususnya mereka yang berada di gugusan berkenaan.

Program ini akan diteruskan ke tempat-tempat lain dalam Parlimen Tanjong Malim, dan hanya akan tertumpu di pasar sehari dan pasar minggu.

Di bawah ini disiarkan foto-foto semasa program tersebut diadakan di Felda Trolak Utara.