17 October, 2009

SIDANG DUN PERAK KECOH LAGI?


Maka jelas sungguh Nizar Jamaluddin itu boneka DAP. Kali ini Nizar bukan sekadar boneka biasa, tetapi boneka yang terpaksa menjilat air kencingnya sendiri. Pada 24 September dia bersungguh-sungguh menyokong Pengerusi DAP Perak, Ngeh Ko Ham mahu memboikot Sidang DUN akan datang, tetapi pada 14 Oktober dia menelan semula kata-kata kencingnya itu.

Dengan sedikit tindakan putar belit DAP, kini Nizar begitu bersemangat mahu menghadiri Sidang DUN akan datang. DAP melalui Nga Kor Ming berkata di dalam Malaysian Insider bahawa Adun Tronoh, V. Sivakumar yang masih dianggap mereka sebagai Speaker akan memanggil Sidang DUN pada tarikh dan tempat yang sama seperti ditetapkan oleh Speaker yang sah, R. Ganesan.

Maka benarlah pertanyaan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kepada wartawan yang memintanya memberikan komen terhadap kenyataan Ngeh dan sokongan Nizar mengenai tindakan mereka hendak memboikot Sidang DUN yang akan dipanggil oleh Speaker R. Ganesan. Pertanyaan Dr. Zambry mudah saja, "Anda semua percaya?".

Ironinya, Ganesan sudahpun mendapat titah perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak supaya Sidang DUN dipanggil pada 28 Oktober di Bangunan SUK, dan Nga berkata bahawa Sivakumar akan menggunakan titah berkenaan untuk mengadakan sidang yang sama.
Dijadualkan Dr Zambry akan membentangkan Bajet Negeri 2010, dan Nga juga berkata bahawa Nizar akan membentangkan ‘bajet’nya.

Adun Pantai Remis itu juga berkata bahawa Sivakumar akan menghantar notis panggilan persidangan, tetapi hanya 49 dari 59 Adun akan menerimanya. Selebih 10 orang lagi, katanya adalah Dr Zambry dan enam exconya, dan 3 lagi Adun bebas yang sudahpun melepaskan jawatan.

Seperti diduga, Nga juga berkata kumpulannya tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker, maka menurutnya Sivakumar akan duduk di kerusi berkenaan ketika Sidang DUN nanti.

Tidak hairanlah jika Nizar sebelum ini berkata Sidang DUN akan datang akan lebih buruk dari Sidang DUN pada 7 Mei lalu. Apakah yang mereka rancang dan akan lakukan? Tidak cukup burukkah sidang 7 Mei lalu apabila buat pertama kalinya dalam sejarah negara, Pemangku Sultan terpaksa menunggu lebih lima jam untuk menyampaikan titah perasmian Sidang DUN?

SIVAKUMAR DISERET KELUAR DEWAN SETELAH BERDEGIL ENGGAN MENINGGALKAN KERUSI SPEAKER

Tidak cukup burukkah Sidang DUN pada 7 Mei lalu apabila pihak pembangkang datang menyerang tempat duduk pihak Kerajaan, menghalang Menteri Besar dan Setiausaha Dewan dari bercakap, mengkasari Setiausaha Kerajaan Negeri, menolak hingga jatuh tercedera Bentara Dewan, merosakkan pembesar suara, berdiri di atas meja, makan di dalam Dewan, campurtangan polis untuk mententeramkan keadaan dan mengheret bekas Speaker dan Adun keluar Dewan, menghina kecacatan pada diri Timbalan Speaker yang juga seorang wanita, membaling buku, menjerit kata-kata kesat dan lucah, menyerang fizikal secara curi dan lain-lain perbuatan buruk yang telah dilakukan berpunca sikap pihak pembangkang.


Jika berpandu kepada kata-kata Nga itu, tidak hairanlah jika mereka merancang untuk sekali lagi menghuru-harakan Sidang DUN pada 28 Oktober nanti. Sudah dapat dibayangkan apa yang pakatan pembangkang akan lakukan. Mahu masuk lebih awal ke dalam Dewan dan merampas kerusi Speaker, kerusi Menteri Besar dan kerusi-kerusi yang dikhaskan kepada Exco dan Adun pihak Kerajaan, mahu menghalang Speaker, Menteri Besar, enam Exco dan tiga Adun bebas dari memasuki Dewan dan seterusnya mahu membentangkan bajet ‘haram’.

Jika itulah perancangan mereka, maka tidak hairan Sidang DUN akan lebih kecoh dari apa yang berlaku pada 7 Mei lalu. Memang menjadi hasrat mereka untuk menggagalkan Sidang DUN akan datang, menghalang Bajet Negeri 2010 dari dibentangkan yang akhirnya akan membantutkan pertumbuhan pembangunan negeri dan merugikan rakyat.

Ternyata mereka sudah tidak menghormati keputusan Mahkamah mengenai kedudukan Speaker, Menteri Besar, anggota Exco dan tiga Adun bebas yang kini berpihak kepada BN. Bukan sekadar itu, mereka juga menderhakai perkenan Sultan Perak dalam menggunakan budi bicara baginda menentukan siapa yang layak menerajui Kerajaan Negeri.

Apakah sebenarnya nilai politik pada pakatan pembangkang? Apakah yang hendak mereka pertontonkan kepada rakyat dan media di seluruh dunia? Hendak mencari simpati rakyat melalui tindakan biadap dan tidak mengikut peraturan Dewan?

Atau apakah pakatan pembangkang berfikir bahawa Adun-Adun BN akan berdiam diri dan bersabar dengan segala kekasaran dan provokasi seperti yang mereka lakukan dalam Sidang DUN pada 7 Mei lalu? Jika itulah yang mereka fikirkan, maka mereka silap.

NIZAR, NGEH DAN SIVAKUMAR DIHALANG DARI MEMASUKI BANGUNAN SUK UNTUK MENGADAKAN SIDANG DUN HARAM PADA 2 SEPTEMBER LALU

12 October, 2009

PETUNJUK KEPUTUSAN BAGAN PINANG


Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu memberi banyak pengajaran dan petunjuk terhadap arus semasa politik tanahair. Majoriti 5,435 undi adalah jauh dari apa yang disasarkan oleh BN.

Atas konsep rakyat didahulukan, pemilihan Tan Sri Isa Samad selaku calon BN memberi kesan positif terhadap kemenangan besar ini, kerana pemimpin veteran ini begitu popular dan disenangi oleh majoriti rakyat di Bagan Pinang. Jika aura Anwar Ibrahim begitu kuat di Permatang Pauh, maka di Teluk Kemang, aura itu ada pada Tan Sri Isa.

Tidak dinafikan bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap Umno dan BN semakin meningkat, samalah dengan apa yang ditunjukkan mereka dalam PRK Manek Urai dan PRK Bukit Gantang. Pas kini bukanlah asset yang kuat di dalam pakatan pembangkang untuk meraih pengundi Melayu. Bagan Pinang memperkukuhkan lagi petunjuk yang dibuat oleh pengundi Melayu di Manek Urai dan Bukit Gantang. Pas bergantung kepada pengundi Cina untuk menang, ketika pengundi Melayu semakin jauh menyisihkannya.

Bagan Pinang juga memberi sedikit kelegaan terhadap arus sokongan kaum India terhadap BN yang agak negatif dalam beberapa PRK sebelum ini. Kesemua peti undi di kawasan majoriti kaum India di Bagan Pinang dimenangi oleh BN dengan majoriti yang agak besar. Petanda bahawa konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri semakin dapat diterima oleh kaum berkenaan.

Kempen kasar dan ganas yang dibawa oleh penyokong Pas di Bagan Pinang telah membantu meningkatkan rasa benci pengundi terhadap parti itu. Perbuatan memukul pemimpin dan penyokong parti lawan, mengkasari pemandu Ketua Polis Negeri sehingga berdarah, menghimpunkan samseng dari luar dan mengganggu perjalanan lalulintas sehari sebelum pengundian adalah sikap dan wajah baru Pas yang tidak disenangi oleh pengundi. Pas sering mendakwa parti itu adalah parti Islam, tetapi sikap dan pembawaannya tidak seperti apa yang dituntut oleh agama Islam, sebaliknya menjatuhkan martabat dan maruah agama suci itu.

AHLI MT UMNO, DATO' AZEEZ RAHIM DITUMBUK PENYOKONG PAS

PEMANDU KETUA POLIS NEGERI DIPUKUL PENYOKONG PAS HINGGA BERDARAH

Arus sokongan pengundi Cina terhadap BN masih belum dapat dibaca, kerana peratusan kaum tersebut yang kecil di Bagan Pinang.

BN tidak wajar terlalu bergantung dengan petunjuk di Bagan Pinang ini untuk berasa terlalu yakin dalam PRU13 nanti. Lain padang, lain belalangnya. Kekuatan BN di Bagan Pinang banyak bergantung kepada populariti calonnya, selain strategi kempen yang mengenai sasaran. Begitu juga dengan kewujudan kem tentera di situ.

Komposisi pengundi di Bagan Pinang jauh berbeza dengan banyak kawasan lain, seperti kawasan DUN Pantai Remis atau DUN Pasir Panjang di Perak yang kini masing-masing diwakili oleh Nga Kor Meng (DAP) dan Nizar Jamaluddin (PAS).

BN perlu mencari formula untuk berkempen di kawasan yang mempunyai ramai pengundi Cina. Belum dapat dipastikan sama ada faktor pengundi Cina di Kuala Sepetang yang memenangkan Nizar dalam PRK Parlimen Bukit Gantang akan berubah dalam PRU13 nanti.

Jika BN berjaya menawan semula hati pengundi Cina, konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri akan lebih mudah tercapai.

10 October, 2009

PAS KANTOI DI BAGAN PINANG

Pas kantoi lagi. Dalam keadaan terdesak di PRK Bagan Pinang, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelirukan pengundi. Semalam tersebar gambar seorang penyokongnya dengan 'darah' di muka kononnya akibat dibelasah oleh penyokong BN. Gambar itu tersebar dan disiarkan oleh akhbar pro-Pas. Tetapi taktik dan lakonan itu tidak menjadi.

Petang tadi Pas kantoi lagi. Pihak polis telah menahan serta merta (red handed) beberapa petugas Pas yang memasukkan wang palsu ke dalam peti-peti surat penduduk di sekitar Teluk Kemang. Niat mereka bertujuan hendak memberi tahu pengundi di Bagan Pinang bahawa BN memancing undi menggunakan wang. Tetapi mereka terperangkap. Mengedarkan wang palsu adalah salah di sisi undang-undang.

Petang tadi penyokong Pas sudah mula berkumpul di kiri kanan jalan menuju ke Teluk Kemang. Mereka menahan kenderaan yang lalu untuk mengedarkan risalah. Jalan menjadi sesak. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa tak sampai 10 minit, terpaksa memakan masa sehingga lebih sejam akibat perbuatan tidak bertanggung jawab penyokong Pas.

Rakyat di Bagan Pinang sudah tentu dapat menilai, parti Pas sebenarnya suka menimbulkan kesusahan kepada rakyat.

06 October, 2009

CHIN PENG DAN UNDI POS BAGAN PINANG


Antara persoalan yang boleh dijawab dari keputusan Pilihanraya Kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober nanti adalah sama ada anggota tentera, bekas tentera dan keluarga mereka yang menguasai sebilangan besar undi boleh menerima desakan pihak tertentu supaya bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) dibenarkan pulang dan menghabiskan sisa hidupnya di Malaysia.

Pengundi pos di DUN Bagan Pinang seramai 4,854 orang akan membuang undi pada 8 Oktober nanti dan kesemuanya adalah anggota tentera dari Kem Sirusa, Pord Dickson. Bilangan ini adalah 34.79% dari keseluruhan 13,953 pengundi.

Dalam Pilihanraya Umum Mac 2008, Barisan Nasional (BN) menguasai 63% dari undi pos di DUN Bagan Pinang, selebihnya iaitu kira-kira 1,600 undi diperolehi oleh calon dari Parti Pas.

CHIN PENG KETIKA RUNDINGAN BALING

TUNKU ABDUL RAHMAN KETIKA RUNDINGAN BALING

Antara faktor kenapa Kerajaan Malaysia tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia adalah atas menghormati desakan kuat yang diterima dari pesara tentera yang pernah berkhidmat mempertahankan negara dari ancaman komunis. Chin Peng selaku peneraju PKM adalah orang yang bertanggungjawab ke atas semua serangan gerila sehingga menyebabkan ramai rakyat yang tidak berdoa kehilangan nyawa dan cedera, khususnya di kalangan anggota tentera.

Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal dalam MPAJA yang dipimpin oleh Chin Peng telah bertindak keluar hutan untuk membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti penghulu dan imam di kampong-kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Mereka ini lebih dikenali dengan “Bintang Tiga”.

Ramai bekas anggota keselamatan, khususnya anggota tentera yang terbunuh akibat kekejaman Chin Peng. Ramai isteri anggota tentera yang menjadi janda dan anak-anak kehilangan bapa tempat bernaung dan bermanja. Ada di kalangan tentera yang hidup sehingga kini dalam kecacatan akibat tembakan, bom dan jerangkap samar yang dilakukan oleh Chin Peng dan anggota gerilanya.

Malangnya ada di kalangan pemimpin pembangkang, termasuk Anwar Ibrahim yang cuba membela Chin Peng kononnya atas sifat kemanusiaan. Apakah nilai kemanusiaan wujud dalam diri Chin Peng ketika dia dan anggota gerila PKM membunuh dan menyiksa anggota tentera dan rakyat yang cuba mempertahankan tanahair atas dasar cintakan negara?

Malahan rasa simpati tidak bertempat Anwar terhadap Chin Peng itu juga dibidas oleh Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Nordin. Menurutnya, "Beliau (Chin Peng) adalah kepala teroris. Beliau tidak layak menjejak kaki ke bumi Malaysia ini walaupun sesaat, apatah lagi diberi tempat walau se inci. Beliau tidak pernah melahirkan rasa insaf dan sedar atas keganasan yang telah beliau lakukan. Kini beliau dan balaci-balacinya menagih simpati untuk menghabiskan usia tua kononnya di Malaysia."

Sebaliknya pemimpin Pas tidak membantah Anwar. Sebaliknya Mursyidul Amnya, Nik Aziz Nik Mat menyamakan pula parti Umno seperti komunis. Beliau cuba mengalih persoalan sebenar kepada satu perkara yang tidak masuk akal. Komuniskah Umno jika ketika kekejaman Chin Peng dan PKM, parti Umno berada dipihak yang mempertahankan kemerdekaan negara bersama-sama anggota keselamatan termasuk tentera dan polis?

Pengundi pos di Bagan Pinang menjadi tumpuan ketika ini untuk menilai siapakah sebenarnya Chin Peng dan apakah yang telah dilakukannya dalam lipatan sejarah hitam negara. Mereka perlu menolak calon Pas, parti yang bersekongkol dengan Anwar dan DAP yang bersimpati dengan Chin Peng.

WAJARKAH DIA KEMBALI? ATAU MENAMBAH LUKA DI HATI?

03 October, 2009

TAN SRI ISA SELEPAS DICALONKAN









BAGAN PINANG - PAS MULA GELABAH

Hairan sungguh kenapa calon Pas, Zulkefli Mohd Omar memaksa dirinya untuk masuk ke pusat penamaan calon PRK Bagan Pinang seawal jam 4.40 pagi. Penamaan calon hanya dibuka pada jam 9.00 pagi. Presiden Pas, Hadi Awang mengiringi calon Pas sebelum subuh lagi.

Apa yang mereka bimbangkan? Takut dengan bayang-bayang sendiri? Ataupun dah mula bingung dengan arus sokongan terhadap BN dan calonnya, Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang.

Tan Sri Isa tiba di pusat penamaan calon tepat jam 9.00 pagi diiringi Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hujan lebat tidak mematahkan semangat hampir 10,000 penyokong BN untuk berarak mengiringi calon ke Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Semangat penyokong BN, khususnya generasi muda dari Teluk Kemang jelas terserlah dengan pelbagai sepanduk dan billboard yang menyokong pencalonan Tan Sri Isa. Antaranya "Kami Sokong Tan Sri Isa" dan "Kami Mahu Isa".



Bekas ahli PKR, Shahrudin masuk ke dewan untuk menawarkan diri sebagai calon tanpa membawa pencadang dan penyokong. Beliau tidak layak bertanding tanpa pencadang dan penyokong.

Selepas lapan pilihanraya kecil sejak PRU12, Bagan Pinang menjadi tumpuan khas, kerana Teluk Kemang adalah kubu kuat Umno dan BN.

Proses penamaan calon sedang berjalan dan nama-nama calon akan dipamerkan pada jam 11.00 pagi disusuli dengan bantahan sebelum diumumkan oleh Pengurus Pilihanraya pada kira-kira jam 12.00 tengahari.

Hujan yang reda sekejap tadi sudah mula menunjukkan akan turun semula.