08 February, 2010

NIZAR VS ZAMBRY - SIAPA PEMENANG?





Esok 9 Februari 2010, satu keputusan penting akan diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan mengenai rayuan Dato' Seri Nizar Jamaluddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengisytiharkan Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 22 Mei 2009, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang memihak kepada Dr. Zambry secara sebulat suara dengan undi 3-0 sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak. 

Atas rasa tidak berpuas hati, Nizar merayu pula kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu, sebagai langkah terakhirnya untuk menduduki kerusi penting Kerajaan Negeri Perak.

Laporan Agenda Daily di bawah menarik untuk dibaca : 

"Semua orang menanti apa ceritanya esok bila Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan siapa sebenar yang sah sebagai Menteri Besar Perak.

Keputusan yang dinanti dengan penuh debar itu akan dibuat setelah mahkamah berkenaan menangguhkan penghakimannya pada 5 Nov tahun lepas setelah selesai mendengar hujah para peguam yang mewakili Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ini merupakan rayuan peringkat terakhir bagi Nizar dalam cubaannya mendapatkan semula jawatan Menteri Besar Perak.

Bagaimanapun, pihak yang kalah dalam sesuatu kes mahkamah, boleh memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula penghakimannya mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan bagi mencabarnya berdasarkan hujah daripada sudut perlembagaan.

Itu cerita bab mahkamah.Namun dari segi politiknya apakah keputusan yang dibuat kelak akan diterima baik oleh kedua pihak Dr Zambry dan Nizar.

Dr Zambry yang baru saja menyambut setahun Barisan Nasional kembali berkuasa di Perak selepas tewas dalam pilihanraya umum Mac 2008 nampaknya mengambil sikap ‘ tenang-tenang’ saja an berserah pada mahkamah.

Namun lain pula gerak langkah Nizar dan pakatan pembangkang di Perak.

Segala bentuk perang saraf sudah diambil awal-awal lagi termasuk mengerakan jentera pilihanraya atas andaian pilihanraya mengejut bakal diadakan di Perak ekoran keputusan mahkamah.

Keputusan yang mereka dakwa ‘ bocor’ mengatakan Nizar menang juga disebarkan.

Ini dikatakan sebagai strategi untuk mendakwa jika kalah maka keputusan itu sudah ‘ diterbalikkan”.

Nizar dan pemimpin pakatan juga bagai lipas kudung ke hulu ke hilir mengadakan roadshow ceramah di berbagai tempat di Perak untuk memberi penerangan tentang kes mahkamahnya.

Beliau juga dikatakan akan menurunkan 10 buah bas penyokong pakatan untuk ke Putrajaya esok untuk mendengar keputusan mahkamah.

Kalangan pemimpin BN pula dikatakan geleng kepala melihat gelagat Nizar yang dianggap tidak sudah-sudah nak bikin gempak.

Keputusan Mahkamah Persekutuan esok akan ditentukan oleh panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Selain Alauddin, panel hakim berkenaan dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Penghakiman itu juga akan merungkai isu perlembagaan sama ada ketua negeri boleh membuat pertimbangan dengan mengatasi undang-undang sedia ada, dalam menentukan sama ada ketua kerajaan telah hilang kepercayaan daripada majoriti wakil-wakil yang dipilih.

Konflik tentang siapakah yang sebenarnya berhak menjadi Menteri Besar Perak, timbul tahun lepas apabila tiga wakil rakyat daripada pakatan DAP-PKR-PAS meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil Bebas dan menyebabkan kedua-dua pihak mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 28, dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang mempunyai 59 kerusi.

Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), yang meninggalkan PKR pada 30 Jan dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong BN. Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP mengikut jejak mereka empat hari kemudian.

Berikutan perkembangan itu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Nizar, iaitu anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang, supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar dan menitahkan Dr Zambry mengangkat sumpah menduduki kerusi itu pada Februari tahun lepas setelah mengisytiharkan bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan undangan negeri itu.

Pada 13 Feb tahun lepas, Mohammad Nizar, 52, mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Zambry daripada menunaikan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada Mei tahun lepas, dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengisytiharkan bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak adalah mengikut perlembagaan.

Soalnya apa jadi jika keputusan memihak kepada Dr Zambry dan sebaliknya jika memihak kepada Nizar?

Nizar sudah awal-awal memberitahu jika menang ,beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri agar pilihanraya semula Perak dapat diadakan segera.

Untuk tujuan itu beliau perlu mendapat restu dari dari Sultan Perak kerana kuasa mutlak membubarkan DUN terletak ditangan baginda.

Apa jadi jika beliau tidak dapat restu Sultan Perak?

Ada yang mengatakan kemungkinan besar Nizar tidak memanggil sidang DUN selama enam bulan.Ini kerana mengikut perlembagaan negeri jika sidang DUN tidak diadakan dalam tempoh berkenaan ia terbubar dengan sendirinya.

Dalam pada itu ada yang bertanya bagaimana dari segi teknikal kerana sekalipun (jika) menang beliau tidak mempunyai majoriti di DUN.Pakatan pembangkang tetap 28 manakala BN dan tiga bebas yang sokong BN tetap 31.

Bolehkah beliau pegang jawatan Menteri Besar tanpa majoriti?

Keadaan dikatakan tidak akan berubah apa-apa jika Dr Zambry menang.

Jika demikian beliau sah Menteri Besar dan tetap memegang 31 majoriti di DUN.

Namun Nizar sudah membuat ramalan sendiri-sendiri mendakwa BN merancang untuk mengadakan sidang DUN tergempar Rabu atau Khamis ini bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya sebagai “ Menteri Besar yang sah’.

Apapun tunggu saja Rabu ini dan babak drama seterusnya politik Perak selepas itu.- Agenda Daily 8/2/2010

1 comment:

Saya Rakyat Malaysia said...

tajuk post ini boleh juga jadi "Sultan Perak vs DAP" - Siapa Pemenang?