05 February, 2010

ISU TV1 BERSAMA DR. ZAMBRY

Petikan langsung wawancara TV1 dalam rancangan Isu bersama Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Tuduhan pakatan pembangkang mengatakan Kerajaan BN Perak mengamalkan dasar copycat adalah tidak tepat kerana apa yang dilaksanakan semasa mereka juga kebanyakannya diambil dari apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Pendekatan 3P - 'Padang, Perasaan dan Pengisian'. Pendekatan supaya Exco-exco, wakil-wakil rakyat, pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan turun ke padang. Dari situ akan timbul perasaan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka pada kadar yang segera. Pendekatan ini telah diterapkan oleh mereka dengan sebaiknya.

Menjawab soalan dari seorang pemanggil dari Tanjong Malim mengenai bantuan kepada bayi yang baru dilahirkan, Dr. Zambry berkata Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap kelahiran di mana dalam Bajet 2010 turut mengambil kira peruntukan khas untuk tujuan memberikan sumbangan.

NGO - Dr Zambry berkata dalam sesebuah masyarakat ada gerakan secara langsung dan tidak langsung. Yang ketara adalah gerakan politik. Ada kuasa ketiga yang digerakkan secara tidak langsung oleh NGO. Itulah sebabkan Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Masyarakat Sivil yang dianggotai oleh NGO sebagai langkah mengiktiraf sumbangan yang dilakukan oleh mereka. Malahan gerakan NGO di kalangan generasi muda juga diiktiraf, termasuk menyediakan peruntukan khas di dalam Bajet 2010 sebanyak RM2 juta.

CABARAN SUPAYA 28 ADUN PEMBANGKANG KOSONGKAN KERUSI - Dr. Zambry berkata isu tuntutan supaya DUN Perak dibubarkan dimainkan sejak sekian lama sehingga menyebabkan rakyat merasa 'mangli'. Jadi jika mereka merasakan parti mereka sudah terlalu kuat, kosongkanlah kerusi mereka dan biar rakyat menentukan samada parti mereka benar-benar diterima rakyat. Memang bukanlah sikap kita mahu cabar-mencabar, tetapi apa yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang sejak setahun lalu adalah keterlaluan.

Pendekatan 'Result Oriented Management' dan 'Outcome' adalah KPI Kerajaan Negeri ketika ini. Misalnya berapa banyak masalah kemiskinan dapat diatasi tahun ini. Inilah yang diutamakan oleh Kerajaan BN di Perak.

Bagi kumpulan minoriti, tidak ada pemisahan antara kelompok majoriti atau minoriti, semuanya adalah rakyat Negeri Perak dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan setiap kelompok rakyat, bukan hanya kepada Melayu, Cina atau India sahaja.

Misalnya bantuan kepada masyarakat Orang Asli - tahun lalu kita telah membina 700 buah rumah melalui Jabatan Orang Asli. Mengupayakan anak muda Orang Asli, peruntukan RM1 juta diberikan. Tidak ada istilah menganak tiri di kalangan mana-mana kelompok dalam kamus Kerajaan Negeri.

Begitu juga bajet khas RM500,000 kepada  kaum Sikh.

Sokongan rakyat semakin bertambah kepada BN di Perak, bukan sahaja di kalangan orang Melayu sebagaimana yang disebutkan oleh Nizar. Kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan semua kaum.

No comments: