Seperti diduga, Nizar Jamaluddin akan membuat pelbagai ragam dan provokasi sebaik sahaja pihak mahkamah memaklumkan bahawa keputusan Nizar vs Zambry akan diumumkan pada 9 Februari nanti. Sepantas kilat beliau bertindak untuk mempengaruhi keputusan mahkamah dengan mewar-warkan bahawa Mahkamah Persekutuan akan memihak kepadanya.
Malahan blog-blog pembangkang membuat pelbagai spekulasi, malahan nampak terlalu yakin kononnya keputusan memihak 4-1 kepada Nizar. Maka watak ‘kartun’ dalam diri Nizar sekali lagi terpacul. Gerak-geri dan kenyataan akhbarnya nampak seolah-olah mengiakan apa yang dispekulasikan.
Malahan dalam nada sinis, beliau mencabar supaya DUN Perak dibubarkan tanpa mengira sama ada beliau atau Dr. Zambry menang dalam kes ini. Inilah provokasi yang langsung tak masuk akal dan agak kekartunan dari pemikiran seorang bekas Menteri Besar yang sudahpun menamakan negerinya ‘Perak Darul Kartun’.
Kes yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ini telah dibawa oleh Nizar sebagai rayuan bagi mengetepikan keputusan sebulat suara 3-0 Mahkamah Rayuan yang memutuskan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada 22 Mei 2009.
Seperti biasa, Dr. Zambry tidak mudah melatah dengan provokasi Nizar. Pendiriannya tetap istiqamah dengan menyerahkan keputusan terhadap kes ini kepada kebijaksanaan badan kehakiman.
Sebaliknya, sikap Nizar yang terlalu yakin keputusan akan memihak kepadanya hanyalah satu psi-war bertujuan cuba mempengaruhi rakyat untuk mempertikaikan kredibiliti badan kehakiman. Beliau cuba memberitahu rakyat kononnya dia mempunyai saluran bagi menembusi ‘bilik kebal’ kehakiman sehingga boleh mengetahui sesuatu keputusan yang belum diumumkan.
Adalah di luar logik akal sekiranya individu yang mengetahui dirinya akan diumumkan pemenang bertindak menghebahkan ‘keputusan’ itu ke setiap pelusuk dunia. Kebiasaannya individu berkenaan akan cuba menutup mulut sehinggalah keputusan itu diumumkan. Tetapi berbeza sungguh dengan Nizar.
Apapun biarlah pihak Mahkamah Persekutuan membuat keputusannya tanpa dipengaruhi oleh provokasi. Kita masih yakin dengan konsep kerahsiaan badan kehakiman dan ketelusan para hakim dalam memutuskan sesuatu kes.
Janganlah Nizar mahu mengkartunkan Mahkamah pula. Cukuplah beliau mengkartunkan Perak Darul Ridzuan.
No comments:
Post a Comment