19 January, 2011

MISTERI KEHILANGAN NOOR AISYAH


Kehilangan Noor Aisyah Umairah, berusia 2 tahun di Kampung Lintah, Slim Village, Perak terus menjadi misteri. Kanak-kanak perempuan itu hilang sejak tengahari semalam (18hb Januari 2011) dan operasi mencari yang dihentikan pada jam 3.30 pagi tadi disambung semula pagi ini.

Noor Aisyah ditinggalkan bersama seorang lagi kanak-kanak seusianya di rumah, sementara neneknya keluar untuk menjemput seorang lagi cucunya pulang dari sekolah berdekatan. Setibanya nenek itu ke rumah, beliau mendapati Noor Aisyah sudah hilang dan rakannya berada di tepi jalan berhampiran sebuah anak sungai.

Pasukan bomba yang bergegas ke tempat kejadian berusaha mencari sekiranya Noor Aisyah terjatuh ke dalam anak sungai, tetapi tiada apa-apa petanda sebegitu. Pihak polis dengan bantuan Unit Anjing Pengesan cuba menjejaki kanak-kanak itu di sekitar pinggir kampung sehingga 10.30 malam tadi tetapi tidak membuahkan apa-apa hasil. 

Ada sikap anih yang tidak pernah ditunjukkan oleh anjing pengesan seperti dilaporkan oleh pelatihnya. Haiwan itu berpusing di sekitar satu tempat yang sama beberapa kali dengan aksi seolah-olah sasaran yang dicari berada hampir di depan mereka. Namun tiada apa-apa yang ditemui.

Walaupun ada beberapa petanda misteri hasil bantuan beberapa orang bomoh termasuk yang datang dari Kuala Lumpur sejak malam tadi, namun usaha mengembalikan Noor Aisyah ke pangkuan keluarga masih menemui jalan buntu.

Noor Aisyah tinggal bersama datuk dan neneknya di kampung berkenaan, sementara kedua ibubapanya yang bekerja menetap di Ipoh. Kampung Lintah adalah penempatan tradisional sejak lebih 100 tahun lalu, dan dipinggir kampung itu dipenuhi tanaman kelapa sawit, getah dan hutan belukar.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan ke manakah Noor Aisyah menghilang, samada beliau masih berada di sekitar kampung atau telah dilarikan ke tempat lain.

Pihak keselamatan dengan bantuan orang ramai meneruskan usaha mencari kanak-kanak malang itu sehingga kini. Jika ada sebarang maklumat, silalah menghubungi Balai Polis Slim Village di talian 054528335.

Berbincang dengan pihak keselamatan setelah operasi mencari dijalankan
Antara pasukan keselamatan dan orang ramai yang menyertai operasi mencari

BERITA TERBARU YANG DITERIMA

Ketua UMNO Cawangan Lintah Piong, Raja Razak Raja Ahmad yang baru dihubungi sebentar tadi memberitahu, Noor Aisyah telah ditemui kira-kira jam 7.30 pagi tadi di kawasan berpaya di pinggir ladang getah terletak kira-kira 3 kilometer dari tempat dia dikesan hilang. Seorang penoreh getah yang dalam perjalanan ke kebunnya terdengar bunyi tangisan, dan apabila beliau meninjau tempat tangisan itu, didapati seorang kanak-kanak perempuan yang sedang kesejukan berada di satu kawasan berpaya dan berlumpur. Beliau menghubungi penduduk kampung. Pasukan keselamatan dan orang ramai kemudiannya bergegas ke tempat Noor Aisyah ditemui.

Noor Aisyah yang mengalami calar-calar kecil dan kesan gigitan nyamuk, dibawa balik ke rumah datuknya sebelum dibawa ke Hospital Slim River untuk pemeriksaan kesihatan.

SYUKUR ALHAMDULILLAH.

 Menziarah Noor Aisyah di Hospital Slim River. Kelihatan ayah, ibu dan datuk kanak-kanak ini.
Siti Aisyah Umairah sedang nyenyak tidur

04 January, 2011

KOKOK SI NIZAR ...BIARKAN ...BIARKAN!!


Sumbang benar bunyi kokok Nizar Jamaluddin di akhbar Sinar Harian hari ini.  Bersandarkan enam kerusi yang dimenangi PAS di Negeri Perak dalam PRU12 lalu, bekas Menteri Besar Perak itu berkokok sekeliling kampung menjaja konon partinya mampu meruntuhkan Kerajaan Negeri yang ditarajui BN ketika ini. 

Entah apalah pula alasan Nizar mengatakan populariti Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menjunam, sedangkan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh peneraju negara ini begitu disenangi rakyat sehingga amat menggerunkan Khalid Ibrahim di Selangor yang terpaksa bertindak mengharamkan penggunaan logo gagasan itu di premis-premis dalam negerinya.

Dengan penuh kebebalannya, Nizar sekali lagi mengaitkan isu ancak kononnya dilakukan oleh Dr. Zambry serta kelulusan tanah ibu beliau di Pangkor sebagai alasan menyebabkan orang UMNO sendiri ragu-ragu dengan UMNO. Sudah berbuih mulut Dr. Zambry menjelaskan kepadanya mengenai kedua-dua isu tersebut di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini, namun Nizar terus bebal.   Videonya DI SINI.

Semuapun tahu dari mana datangnya bunyi kokok si Nizar ini. Derai sumbangnya dikawal dari seberang Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sebuah bangunan berlambangkan roket yang di dalamnya dua orang sepupu Ngeh dan Nga sedang bergelut menyelesaikan masalah rumahtangga mereka sendiri. Nizar rela menjadi tukang sabung DAP, dengan harapan gandingan 3N dapat diteruskan selepas PRU13 nanti, dan dirinya kembali menduduki kerusi MB.

Mungkin Nizar terlupa kenyataan Ngeh Ko Ham mahu meletakkan “calon Melayu berstatus ustaz” bertanding atas tiket DAP dalam PRU13 nanti. Apakah Nizar masih memikirkan bahawa dirinya bakal dinobatkan selaku MB jika pakatan DAP-PAS-PKR menang di Perak? Dungu sangatkah beliau mahu membaca strategi DAP mencalonkan orang Melayu bertanding atas lambang parti itu?

Buat Nizar saya mahu mengajar sedikit kiraan matematik kepada beliau. 6 kecil sangat jika nak dibandingkan dengan 28. 18 pula kini dah jadi 16, itupun masih jauh besar dari 6 tapi tak juga mengatasi 28. Tambahan lagi 28 ini disokong 4  yang lain menjadikannya 32. 

Urutan parti yang mencapai kemenangan dalam PRU12 di Perak pula begini (yang menang besar didahulukan) : UMNO – 27; DAP – 18 (kini 16), PKR - 7 (kini 5), PAS - 6 dan MCA - 1.  Ikut logiknya, parti mana yang menang dalam PRU12 lalu? Parti mana pula yang menang tak seberapa tapi kokoknya bak ayam betina – bertelur sebiji riuh sekampung?.

Harap Nizar tak bebal mengira matematik di atas.

28 December, 2010

BEST! VIDEO MALAYSIA GANYANG INDONESIA

Tiga gol yang dijaringkan oleh pasukan Malaysia ke atas Indonesia dalam perlawanan akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki sewajarnya membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Anak buah K. Rajagopal sudahpun mengganyang Indonesia di Stadium Bukit Jalil.

Ayuh!! ganyang mereka di bumi Indon pula pada 29 Disember ini.


Aksi dalam video ini begitu membanggakan. Sewajarnya semua blog warga Malaysia menjadikannya posting istimewa dalam blog masing-masing.

25 December, 2010

FELDA DAN HARTAWAN GETAH

 

Pekebun-pekebun kecil getah menerima durian runtuh kesan daripada kenaikan harga bahan komoditi itu. Samada mereka peneroka tanah-tanah rancangan (Felda, Risda, Felcra dan lain-lain), atau pekebun kecil yang mempunyai kebun sendiri, pastinya kenaikan mendadak harga getah membuatkan mereka lapang hati.

Harga semasa getah beku (atau sekerap) adalah antara RM5.00 hingga RM6.50 sekilogram, berbanding kira-kira dua bulan lalu yang berada pada tahap RM1.20 sekilogram. Harga getah sekerap pernah pada tahap RM0.50 beberapa tahun lalu.

Di tanah rancangan Felda yang masih lagi menjadikan getah sebagai tanaman utamanya, rata-rata pendapatan bulanan peneroka lebih tinggi dari guru berijazah, malahan mengatasi elaun asas seorang wakil rakyat yang mereka pilih dalam Pilihanraya Umum lalu.

Din Baung (nama gelaran), seorang anak generasi kedua di Felda Sungai Behrang berkata, dengan harga sekerap RM5.00 sekilo, pendapatan peneroka berada pada paras purata RM4,500 sebulan, itupun setelah ditolak 40 peratus bayaran kepada pekerja atau pemajak. Jika peneroka mengusahakan ladangnya sendiri, pendapatan mereka boleh mencecah RM7,500 sebulan!. 

Perkiraan Din begini – purata ladang peneroka seluas lapan ekar boleh menghasilkan 100 kilogram sekerap sehari torehan. Dengan harga RM5.00 sekilogram, pendapatan sehari adalah RM500. Dalam setahun, pokok getah boleh ditoreh kira-kira 180 hari (atau enam bulan) setelah mengambil kira faktor cuaca. Ini bermakna pendapatan tahunan seorang peneroka yang mengusahakan ladangnya sendiri adalah RM90,000, bersamaan RM7,500 sebulan. 

“Kiralah jika harga pada paras RM6.50 sekilo. Bagi setiap tin minyak tanah yang diisi sekerap, nilainya sekitar RM100,” kata Din.

Kenaikan harga getah meningkatkan juga aktiviti tidak sihat, iaitu kegiatan pencuri getah sekerap. Aktiviti ini cukup merisaukan pekebun-pekebun kecil getah dan peneroka-peneroka, khususnya bagi mereka yang menjual hasil torehan dalam bentuk getah sekerap. Kerja agak mudah, tetapi berdepan dengan risiko kecurian. Menoreh pagi, pencuri datang mengutip hasil sebelah petang. Menoreh petang, mereka datang pula mencuri di waktu malam. 

Ramai juga di kalangan pekebun kecil dan peneroka yang lebih suka menjual hasil torehan dalam bentuk susu cair (latex) untuk mengelakkan hasil kerja mereka dicuri, khususnya semasa harga getah melambung seperti ketika ini. Kerja ini agak remeh dan memakan masa yang agak lama untuk pekebun berada di ladang, tetapi ianya dapat mengelakkan aktiviti pencuri, selain harga getah cair lebih tinggi.

Apa yang diharapkan, pekebun dan peneroka sentiasa berjimat cermat dengan rezeki yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. ini. Panas tidak selalunya sampai ke petang. Harga getah berkait rapat dengan harga di pasaran dunia. Kenaikan harga getah biasanya berkait rapat dengan kenaikan harga petroleum di pasaran antarabangsa, menyebabkan tumpuan pengeluar barangan berasas getah sentetik yang diperbuat dari petroleum bertukar kepada getah asli. Maka permintaan terhadap getah asli meningkat secara mendadak menyebabkan harganya juga meningkat. Pastinya harga getah akan menurun semula sekiranya berlaku penurunan terhadap harga petroleum di pasaran antarabangsa.

Dahulu pernah muncul kisah lawak popular kononnya ada peneroka Felda membakar note RM50 untuk menyuluh kunci rumah yang terjatuh. Popular juga cerita peneroka menyimpan pakaian di dalam peti sejuk sedangkan tanah rancangan itu belum dibekalkan tenaga elektrik. Walaupun cerita-cerita itu tidak benar dan hanya lawak, tetapi semuanya bertujuan mahu menggambarkan kisah kemoncahan peneroka ketika hasil pendapatan mereka melambung.

Semoga kali ini peneroka dan anak generasi baru Felda lebih berjimat cermat. Gunakanlah rahmat ini untuk memenuhkan kuota simpanan Koperasi Permodalan Felda (KPF), bukannya berlumba-lumba memenuhkan kuota beristeri baru. 

1Malaysia, 1Felda.

19 December, 2010

KAMPUNG MASJID DAN KEBEBALAN NIZAR


Sekitar awal 1970an sewaktu usia kebudakan, saya biasa mengunjungi Kampung Masjid di Pulau Pangkor. Ibu saudara saya, Mak Andak Zaiton berkahwin dengan Pak Ngah Yusof Manan, penduduk tempatan yang bekerja sebagai pemandu teksi di pulau pelancongan itu. Disebabkan begitu manja dengan Mak Andak Zaiton sejak kecil, maka setiap musim cuti sekolah saya selalu mengambil peluang menemuinya di Pulau Pangkor dengan menaiki bot ikan milik tauke Cina dari jeti Bagan Datoh.

Mak Andak dan Pak Ngah Yusof (kedua-duanya sudah meninggal dunia) tinggal di Kampung Teluk Kecil, tak jauh dari Kampung Masjid yang terletak bersebelahan Pekan Pangkor. Setiap kali ke sana, saya tak melepaskan peluang berjumpa rakan-rakan sebaya di Kampung Masjid, sebuah perkampungan setinggan nelayan yang serba daif. Di situ saya bermain getah dan hoki yang kayunya diperbuat daripada dahan pokok. Selain itu saya pergi ke sana untuk menonton TV hitam putih di sebuah rumah nelayan dengan 'tiket' 10 sen.

Saya juga sering pergi ke sebuah gerai kecil di Kampung Masjid yang menjual mee laksa, makanan berkuah ala-Pangkor yang cukup terkenal di pulau itu. Mak Andak Zaiton menggemari makanan itu dan selalu memberikan saya wang untuk membeli beberapa bungkus mee laksa itu.

Tidaklah pula dapat saya pastikan sama ada Zambry Abd Kadir berada dalam kelompok budak-budak sebaya saya yang bermain getah dan hoki atau sama-sama menonton TV di Kampung Masjid ketika itu. Tidak pasti juga samada gerai yang menjual mee laksa itu milik ibu Dr Zambry kerana ibu dan bapa beliau memang terkenal pandai memasak. Jauh sekali dapat saya memikirkan ketika itu bahawa perkampungan nelayan yang penuh dengan kemiskinan ini akan melahirkan seorang pemimpin berjawatan Menteri Besar Perak.

Apa yang saya nampak ketika itu, Kampung Masjid dihuni oleh masyarakat nelayan kaum Melayu yang serba-serbi kekurangan dan berada jauh di bawah paras kemiskinan. Ramai di kalangan mereka bekerja sebagai awak-awak di bot-bot tauke Cina dengan pendapatan tak sampai RM10.00 sehari. Masih dapat saya bayangkan pada awal pagi mereka pulang ke rumah menjinjing seutas tali yang dihujungnya diikat beberapa ekor ikan kembung untuk keperluan keluarga hari itu.

Ketika itu saya tidak faham apa erti setinggan. Apa yang saya nampak hanyalah kesesakan dan kemiskinan. Kini baru saya tahu bahawa beratus-ratus rumah nelayan yang dibina berhimpit-himpit di Kampung Masjid itu adalah rumah setinggan yang tidak bergeran. Mereka membina rumah ditapak tanah milik orang lain, termasuk sebuah rumah tempat Dr. Zambry dilahirkan. Kebanyakan rumah di situ berusia seratus tahun!

Pada tahun 2005, sekali lagi saya berkunjung ke Kampung Masjid. Kali ini bersama Dr Zambry yang ketika itu menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak. Suasana awal 1970an masih wujud di perkampungan nelayan itu tanpa banyak perubahan. Rumah ibu Dr. Zambry yang saya kunjungi tak jauh bezanya dengan rumah-rumah setinggan lain yang sudah acap kali saya lihat sejak lebih 30 tahun lalu.

Inilah sebenarnya perkampungan nelayan yang dipertikaikan oleh bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 1 Disember lalu. Malahan inilah juga yang dijadikan modal ucapan Nizar sejak kebelakangan ini dengan tujuan mahu menjatuhkan maruah dan mengaibkan seorang anak nelayan dari Kampung Masjid yang kini menjadi Menteri Besar menggantikan tempatnya.

Disebabkan rumah ibu Dr. Zambry terletak dalam perkampungan setinggan yang cuba diselamatkan oleh Kerajaan Negeri, maka Nizar mengganggapnya sebagai satu langkah tidak bermoral dari seorang Menteri Besar. Bagi Nizar, mana mungkin seorang bermaruah boleh menggunakan kuasanya untuk menyelamatkan kedudukan ibunya. Tetapi Nizar tidak pernah memikirkan bahawa perkampungan itu turut dihuni oleh ratusan nelayan lain yang serba miskin dan perlukan pembelaan.

Apa yang diucapkan oleh Dr. Zambry di atas bertujuan menjawab isu perumahan setinggan Kampung Masjid yang dibawa oleh Nizar dalam sessi perbahasan Bajet Negeri Perak 2011. Apa yang saya nampak dalam video di atas hanyalah kebebalan seorang bekas Menteri Besar Perak bernama Nizar Jamaluddin. Namun biarlah dia bebal dengan penjelasan Dr. Zambry, kerana rakyat marhain waima yang berpendidikan rendah sekalipun telah faham situasi sebenar.

Apa yang lebih penting, penduduk setinggan di Kampung Masjid perlu diselamatkan. Semoga tempat kediaman dan kehidupan mereka lebih terjamin dan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. Tidak salah rasanya jika seorang Menteri Besar yang kebetulan berasal dari kampung itu menghulurkan bantuan bagi mengeluarkan penghuninya daripada kepompong kemiskinan tegar yang telah mereka alami sejak sekian lama.

06 December, 2010

PIAGAM BARISAN NASIONAL 2010

Pengerusi Barisan Nasional, Dato' Seri Najib Tun Razak menerima Piagam Barisan Nasional 2010 daripada Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin disaksikan ketua-ketua parti komponen BN yang lain pada Konvensyen BN 2010 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2010.


PIAGAM BARISAN NASIONAL 2010

KAMI Pewaris Bangsa, memperakui betapa para pengasas negara bersatu hati dan berganding bahu, dalam menubuhkan Parti Perikatan demi memperjuangkan kemerdekaan negara dan mencipta prinsip permuafakatan demi kemakmuran bersama.

Hari ini, kami anak Malaysia, pendukung Barisan Nasional, berhimpun atas satu semangat, mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, mendukung Perlembagaan Persekutuan, Institusi Raja Berperlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen serta mengamalkan prinsip-prinsip asas Rukun Negara, bertekad dan berjanji serta berikrar, meneruskan perjuangan untuk bangsa dan negara, berteraskan kepada prinsip-prinsip berikut:

Pertama, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan institusi kehakiman dan membanteras jenayah bagi menzahirkan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat.

Kedua, mempereratkan lagi hubungan antara kaum dan lapisan masyarakat, mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme, demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan 1Malaysia.

Ketiga, meneruskan usaha memajukan ekonomi negara melalui peningkatan daya saing, di samping memberikan komitmen terhadap pembahagian ekonomi yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang, demi memastikan nikmat kemakmuran dan kekayaan negara dapat dikecapi bersama.

Keempat, menjamin pendidikan berkualiti bagi semua, memperkasakan pembudayaan ilmu pengetahuan, sebagai asas pembentukan modal insan yang berketerampilan serta memastikan pendidikan kebangsaan menjadi wahana utama pembentukan insan yang mulia demi pengukuhan perpaduan nasional.

Kelima, meneruskan tradisi membela rakyat dengan mengutamakan pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial, peningkatan infrastruktur asas yang menyeluruh, serta menjadikan peningkatan kualiti hidup rakyat, sebagai penanda aras utama prestasi kerajaan Barisan Nasional.

Keenam, memajukan institusi keluarga, menggalakkan penyertaan wanita, belia, orang kurang upaya dan isi rumah secara berkesan dalam pembangunan sosioekonomi negara, serta memperkasa peranan golongan muda dan masyarakat sivil sebagai rakan utama dalam pembinaan negara; dan

Ketujuh, mendukung prinsip tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dan menghayati konsep "Rakyat Didahulukan" sebagai asas pengwujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat.

Inilah ikrar dan tekad kami, pendukung Barisan Nasional, demi kesejahteraan semua rakyat dan generasi akan datang, dalam meneruskan perjuangan murni mewujudkan perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, dengan keazaman semangat 1Malaysia, dengan mendahulukan rakyat, kami berikrar dan bertekad mencipta kejayaan yang lebih gemilang, bagi negara Malaysia.

Konvensyen Barisan Nasional 2010, Wisma MCA, Kuala Lumpur
5 Disember 2010