18 October, 2018

DAKWA ZAHID - USAHA PH MAHU BUNUH UMNO

KENYATAAN MEDIA
18hb Oktober 2018

1. Sekian lama sejak 1998 Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya memberi label jahat kepada ramai pemimpin termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sebagai peliwat dan tidak layak menjadi pemimpin. Rentetan itu, ramai pemimpin Islam menerima akibat dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala tokoh koporat dan usahawan menanggung banyak kerugian dan lingkup perniagaan.

2. Dr Mahathir kini nampaknya masih berusaha keras supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dianggap jahat oleh masyarakat apabila cuba memburukkan imej pemimpin Islam itu kononnya Yayasan Akal Budi yang diasaskannya menerima dana dari 1MDB. Salah satu aktiviti yayasan itu adalah mewujudkan sebuah sekolah tahfiz berhampiran rumah keluarganya di Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk, dan sumber dananya adalah dari wang Dr Zahid sendiri selain sumbangan sahabat-sahabatnya.

3. Dr Zahid yang sebelum ini dilihat bersih dan kuat berpegang dengan ajaran agama, menyatukan alim ulama, menyuburkan aktiviti agama dan membela anak-anak tahfiz, kini cuba dicalarkan imejnya. 

4. Jawatan Presiden UMNO sudah dianggap sebagai satu institusi dalam UMNO sejak parti keramat itu ditubuhkan pada 1946. Pakatan Harapan mahu membunuh imej Dr Zahid dengan tujuan memberikan gambaran buruk terhadap UMNO dan seterusnya membunuh parti yang selama ini menjadi sandaran orang-orang Islam dan memelihara kesejahteraan serta nasib rakyat pelbagai kaum dan agama. Itulah juga yang dilakukan terhadap mantan Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sehingga menyebabkan BN gagal mempertahankan kerajaan dalam PRU14.

5. Tindakan zalim Dr Mahathir ini tidak lain hasil dari kekecewaan beliau yang sebelum ini gagal memujuk Dr Zahid supaya membubarkan UMNO yang menjadi ancaman utama politik keluarga Dr Mahathir, kroni dan PPBM. 

6. Kita percaya tindakan Dr Mahathir tersebut adalah bertujuan melenyapkan UMNO dan mendorong orang Melayu berpaut kepada PPBM dan menjadikan partinya itu sebagai satu-satunya parti Melayu terkuat dalam negara ini.

7. Saya menyeru ahli-ahli UMNO, orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat mempertahankan Dr Zahid yang kini dizalimi oleh kerajaan Malaysia Baru melalui pendakwaan bermotif politik yang kejam dan tidak masuk akal.

DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim

06 October, 2018

RM2.6B HANYA SEKELUMIT DERMA ARAB SAUDI

Sejak empat dekad sehingga berita ini disiarkan pada 2015, Arab Saudi telah menderma USD115 bilion untuk membantu 90 negara. Jika mengikut anggaran tukaran USD1=RM4.1 ketika ini, USD115 bilion sama dengan RM471.5 bilion. Jumlah berkenaan didermakan hanya dalam tempoh 40 tahun oleh sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak itu. 

Baru-baru ini, ketika menjawab soalan pengacara BBC News, Zeinab Badawi dalam program Hardtalk, seorang ketua negara mengemukakan pertanyaan balas meminta Arab Saudi jelaskan bagaimana negara Timur Tengah itu mendapat wang sebanyak RM2.6 bilion (USD681 juta) untuk didermakan kepada Dato' Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. 

Dia mendakwa tidak ada sesiapa yang memberikan wang sebanyak itu kepada sesiapa di dalam sejarah dunia. "Saya tak pernah baca ada kisah orang terima wang sebanyak itu," tambahnya. Derma USD115 bilion dari Arab Saudi itu telah lama tercatat dalam sejarah dunia. Malang jika beliau tak pernah terbaca.

RM2.6b ibarat sebutir nasi dalam dulang emas kerabat diraja Arab Saudi. Sejak sekian lama, sudah berpuluh mangkuk nasi mereka dermakan. Itu sejarah yang gagal dibaca oleh Mahadewa.

Amat memalukan di kacamata Arab Saudi untuk melayan soalan yang hanya membabitkan sejumlah kecil wang berbanding beratus billion ringgit yang telah mereka dermakan. 

Sebenarnya Arab Saudi perlu sedar, bahawa pemimpin berkenaan datangnya dari sebuah negara yang sudah hampir bankrap dan terpaksa memohon belas ihsan rakyat melalui Tabung Harapan untuk menghulurkan derma bagi membayar hutang negaranya. 

Arab Saudi perlu akui bahawa RM2.6 bilion begitu besar bagi pemimpin negara itu, walaupun pada hakikatnya kekayaan beliau dan keluarganya dikatakan mencecah angka trillion.

Harap kerabat diraja Arab Saudi tidak terlebih ketawa apabila dikemukakan soalan 'bodoh' dari seorang yang telah berusia 93 tahun. Sama-samalah terima hakikat kejadian Allah swt.

http://www.arabnews.com/saudi-arabia/news/815851

24 September, 2018

TINGGALKAN MCA DALAM BN

Ahli parti MCA patut rasa malu mempunyai Presiden yang bongkak dan tak tau malu seperti Liow Tiong Lai. 

Sejarah membuktikan bahawa UMNO banyak berkorban kerusi dan undi bagi memastikan MCA terus relevan dalam komponen BN. 

Dalam PRU14, biarpun UMNO meneruskan tradisi membantu MCA, malangnya parti MCA sendiri gagal menarik sokongan pengundi Cina. 

Malah ramai pemimpin dan ahlinya sendiri berpaling tadah dan tidak mengundi BN, walaupun calon yang diletakkan adalah dari MCA sendiri. 

Kerusi P077 Tanjong Malim adalah bukti nyata, apabila Setiausaha Agung MCA sendiri mempengaruhi penyokongnya untuk menolak calon BN yang juga Pengerusi MCA Perak selepas pengumuman calon dan sepanjang tempoh berkempen. 

Lupakanlah MCA. Tak perlu tunggu dia halau UMNO keluar BN, UMNOlah sepatutnya terlebih dahulu meninggalkan MCA dalam BN, komponen yang dah tak ada apa2 erti dalam landskap politik semasa. 

Sebaiknya UMNO dan PAS bersama2 menuju ke arah membina gagasan politik baru, dengan lambang kesepakatan baru, komponen baru, dengan penyertaan parti2 yang mempunyai idealisma yang sama. 

MCA hanya sebatang mancis dalam kotak pemikiran pengundi Cina, berbanding ratusan batang yang dihuni oleh DAP dalam ruang yang sama. Adios MCA. 

UMNO carilah lambang baru. Jangan harapkan lagi dacing yang dah semakin senget dengan pemberatnya hanya UMNO ketika ini, sedangkan MCA ibarat kapas ditiup angin dan hinggap tak menentu.

http://m.utusan.com.my/berita/politik/umno-digesakan-lupakan-mca-1.753810

26 July, 2018

FELDA PASTI HEBAT DI BAWAH MAZLAN ALIMAN

Ura-ura Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu melantik Presiden ANAK, Mazlan Aliman mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Felda pastinya melegakan 119,293 peneroka di seluruh negara.

Biarpun Negara China mengurangkan pembelian minyak sawit dari Malaysia sehingga menjejaskan harga komoditi itu dengan begitu teruk sejak PH berkuasa, para peneroka percaya Mazlan boleh melakukan sesuatu yang dianggap 'magic' terhadap Felda sebaik beliau dilantik.

Harga buah sawit di pasaran Malaysia ketika ini berada pada paras purata RM300 satu tan, dan minyak sawit RM2,100 satu tan. Lambakan bahan mentah itu begitu ketara sejak China, yang merupakan pembeli utama kini beralih arah ke negara pembekal baru, Indonesia.

Felda mempunyai 837,843 hektar keluasan tanaman, di mana kelapa sawit mendominasi dengan 585,276 hektar, getah 187,370 hektar dan selebihnya koko, tebu dan kopi.

Sejak beberapa hari lalu, nama Mazlan disebut-sebut bakal menerajui Felda. Para peneroka dari 323 tanah rancangan Felda di seluruh negara pastinya bertepuk tangan kerana PH telah membuat pilihan yang tepat.

Kelantangan Mazlan mengkritik pentadbiran Felda di bawah Kerajaan BN sebelum ini bukanlah satu perkara asing. Anak peneroka Felda Bukit Ramon, Johor ini sering mengajukan idea-idea hebat untuk membangunkan Felda, dan dalam masa sama menempelak pentadbiran Felda ketika itu kerana gagal dalam serba serbi.

Malah tuduhan bahawa Felda bankrap juga telah banyak kali diluahkan mulut Mazlan, walaupun Felda masih menunjukkan prestasinya membayar wang sara hidup peneroka setiap bulan, membayar zakat perniagaan, melaksanakan kerja-kerja tanam semula, wang raya, insentif hujung tahun, projek menaiktaraf bekalan air, menurap dan membina jalan baru dan pelbagai lagi yang tak mungkin dapat dilakukan oleh sebuah syarikat yang telah bankrap.

Sememang diakui berlaku beberapa kelemahan dalam pentadbiran Felda, termasuk isu-isu seperti projek pembangunan KLVC di tanah milik Felda di Jalan Semarak, pembelian hotel di London, projek ternakan ikan sturgeon di Korea dan beberapa lagi, namun isu-isu ini telah dan sedang ditangani oleh Felda ketika BN memerintah. Malah beberapa keputusan telah dibuat di mahkamah, dan beberapa individu telah dihukum.

Kini tiba pula masa untuk Mazlan melaksanakan idea-idea hebatnya sebelum ini bagi memacu Felda mengikut acuan Malaysia Baru. Tidak ada lagi halangan bagi beliau membantu PH untuk memenuhi janji sebelum PRU14 iaitu menghapuskan hutang tidak wajar yang ditanggung oleh peneroka di era BN. Malah semasa kempen lalu, janji yang tertera pada bunting dan flyers PH lebih drastik lagi, iaitu untuk menghapuskan sama sekali hutang peneroka Felda yang jumlahnya menjangkau RM10 bilion. Ini antara 10 janji utama PH yang telah berjaya mempengaruhi rakyat supaya menukar kerajaan. Laksanakanlah sementelah 100 hari itu hanya tinggal 20 hari saja lagi.

Mazlan dan Felda sudah boleh mengambil semula peserta baru Felda, termasuk di kalangan keturunan peneroka, dan menempatkan mereka di tanah-tanah yang diusahakan oleh Felda Plantations seluas lebih 300,00 hektar. Mazlan juga boleh membuka lot-lot baru untuk diisi oleh peneroka daripada semua kaum bersesuaian dengan perjuangan utama PH, sama rata sama rasa mengikut acuan Malaysian Malaysia gagasan DAP.

Mazlan juga boleh aplikasi semula idea hebatnya menanam pokok sentang sebagai ganti sawit ketika proses tanam semula, sebagaimana yang dilakukan di tanah 10 ekar milik ibunya di Bukit Ramon. Mungkin ketika itu ideanya gagal, tetapi dengan kedudukan selaku Pengerusi Felda, ianya boleh dilaksanakan pada skala besar di seluruh negara. Tambahan lagi, ulat bungkus bukanlah musuh pokok sentang, sebagaimana dihadapi pokok kelapa sawit, yang sebelum ini Felda dituduh gagal mengatasi masalah serangan makhluk perosak itu. 

Selaku anak peneroka, saya sendiri tertunggu-tunggu Mazlan melaksanakan idea-idea hebatnya. Tak mustahil dengan kredibiliti Mazlan, beliau mampu menebus kegagalan Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Robert Kuok dalam usaha memujuk China untuk kembali membeli minyak sawit Malaysia, khususnya yang dihasilkan oleh Felda. Presiden China, Xi Jinping pasti tunduk dengan kredibiliti Mazlan yang jauh lebih hebat berbanding Daim dan Kuok.

Itulah sebabnya di awal tulisan ini, saya nyatakan para peneroka Felda berasa amat lega dengan kebijaksanaan PH mahu melantik Mazlan selaku Pengerusi Felda, kerana sejak sekian lama, idea-ideanya begitu membuak-buak ibarat aliran air Sungai Nil untuk membela nasib peneroka dan generasi baru Felda.

Sama-sama kita nantikan.

#felda #malaysiabaru


24 June, 2018

BAGUSLAH GERAKAN KELUAR BN

Tindakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) semalam adalah dibuat atas kehendak parti itu sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak termasuk UMNO.

Pendapat saya, adalah bagus dan sewajarnya Gerakan berbuat demikian kerana telah gagal memberi sumbangan berkesan bagi membantu BN dalam kempen PRU14 dan beberapa pilihanraya umum sebelum ini.

Gerakan telah gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihanraya umum sejak PRU13.

Parti itu hanya nampak kembali bernafas apabila Presidennya, Datuk Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014, tetapi kembali lemas dalam PRU14 lalu.

Dengan keluar daripada BN, Gerakan boleh bebas merangka pembinaan semula kekuatan parti itu, terutamanya dalam menstrukturkan kembali kepimpinan di peringkat bahagian.

Gerakan sudah lama berkubur di kebanyakan bahagian. Di Tanjong Malim contohnya, hanya tinggal seorang pemimpin yang berjawatan Ketua Bahagian, itupun atas sebab mahu mengisi kuota jawatan Ahli Majlis Daerah.

Dalam PRU14 lalu, tidak ada sebarang komitmen yang ditunjukkan oleh Gerakan bagi membantu calon-calon BN yang bertanding di Tanjong Malim.

UMNO dan BN sudah lama menanggung parti Gerakan seperti 'biawak hidup', parti yang sudah hilang hala tuju, tidak mendapat sokongan masyarakat Cina yang mahu diwakilinya, dan berjuang semata-mata untuk mendapatkan kerusi semasa Pilihanraya Umum.

Semoga Gerakan lebih berjaya dan dapat memberikan saingan terhadap DAP selepas keluar dari BN. 

DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
KETUA PENERANGAN BN DAN UMNO NEGERI PERAK
PENGERUSI BN BAHAGIAN TANJONG MALIM

13 June, 2018

GERAKAN IBARAT BIAWAK HIDUP DALAM BN

KENYATAAN AKHBAR

DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
PENGERUSI BN BAHAGIAN TANJONG MALIM
KETUA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM 
ADUN BN KAWASAN SLIM, PERAK

Kenyataan  Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong semalam yang mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat majlis tertinggi untuk memutuskan sama ada perlu mengusir UMNO berbanding bertindak keluar daripada gabungan itu adalah amat biadap dan tidak mengenang budi.

UMNO telah banyak berbudi dan menyelamatkan parti Gerakan daripada keadaan nyawa nyawa ikan sejak sekian lama.

Andy perlu mencermin partinya sendiri yang lemah, malahan tidak punya sistem pentadbiran teratur, terutama di peringkat bahagian yang mampu menunjukkan Gerakan sebagai sebuah parti politik yang berpengaruh di kalangan masyarakat Cina.

Di Tanjong Malim, parti Gerakan langsung tidak berfungsi, hanya tinggal seorang ketua tanpa ahli dan gagal membantu kempen BN semasa Pilihanraya Umum yang lalu.

Gerakan ibarat biawak hidup di dalam BN yang terpaksa digendung oleh parti-parti lain terutamanya UMNO, dan hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk terus bernyawa. 

Pemimpin Gerakan di peringkat Pusat selama ini hanya pandai beretorik, bercakap seolah-olah parti itu terlalu hebat, sedangkan kenyataannya Gerakan hanya menunggu masa untuk berkubur.

Kemenangan calon-calon Gerakan sebelum ini banyak dibantu oleh jentera pilihanraya UMNO dan pengundi Melayu yang menyokong BN, termasuklah ketika Presidennya Datuk Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014.

Sebaliknya kemenangan calon-calon BN yang lain, terutamanya dari parti UMNO langsung tidak membabitkan bantuan berkesan dari Gerakan yang amat lemah jentera pilihanrayanya.

Oleh itu para pemimpin Gerakan terutamanya kepimpinan Pemudanya tidak layak untuk membuat kenyataan bagi menentukan masa depan BN, termasuk mahu mengusir UMNO dari komponen itu.

Gerakan sudah lama menjadi parti politik jalanan jika tidak dibantu oleh UMNO yang menerajui BN selama ini.

Tanjong Malim
13hb Jun 2018