KENYATAAN AKHBAR
DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
PENGERUSI BN BAHAGIAN TANJONG MALIM
KETUA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM
ADUN BN KAWASAN SLIM, PERAK
Kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong semalam yang mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat majlis tertinggi untuk memutuskan sama ada perlu mengusir UMNO berbanding bertindak keluar daripada gabungan itu adalah amat biadap dan tidak mengenang budi.
UMNO telah banyak berbudi dan menyelamatkan parti Gerakan daripada keadaan nyawa nyawa ikan sejak sekian lama.
Andy perlu mencermin partinya sendiri yang lemah, malahan tidak punya sistem pentadbiran teratur, terutama di peringkat bahagian yang mampu menunjukkan Gerakan sebagai sebuah parti politik yang berpengaruh di kalangan masyarakat Cina.
Di Tanjong Malim, parti Gerakan langsung tidak berfungsi, hanya tinggal seorang ketua tanpa ahli dan gagal membantu kempen BN semasa Pilihanraya Umum yang lalu.
Gerakan ibarat biawak hidup di dalam BN yang terpaksa digendung oleh parti-parti lain terutamanya UMNO, dan hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk terus bernyawa.
Pemimpin Gerakan di peringkat Pusat selama ini hanya pandai beretorik, bercakap seolah-olah parti itu terlalu hebat, sedangkan kenyataannya Gerakan hanya menunggu masa untuk berkubur.
Kemenangan calon-calon Gerakan sebelum ini banyak dibantu oleh jentera pilihanraya UMNO dan pengundi Melayu yang menyokong BN, termasuklah ketika Presidennya Datuk Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014.
Sebaliknya kemenangan calon-calon BN yang lain, terutamanya dari parti UMNO langsung tidak membabitkan bantuan berkesan dari Gerakan yang amat lemah jentera pilihanrayanya.
Oleh itu para pemimpin Gerakan terutamanya kepimpinan Pemudanya tidak layak untuk membuat kenyataan bagi menentukan masa depan BN, termasuk mahu mengusir UMNO dari komponen itu.
Gerakan sudah lama menjadi parti politik jalanan jika tidak dibantu oleh UMNO yang menerajui BN selama ini.
Tanjong Malim
13hb Jun 2018

1 comment:
Amat setuju gerakan dah kaku tak bergerak langsung. Dia tak tahu buat analisis iaitu UMNO adalah parti yang paling tinggi dapat sokongan. Tak tahu malu...
Post a Comment