Ura-ura Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu melantik Presiden ANAK, Mazlan Aliman mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Felda pastinya melegakan 119,293 peneroka di seluruh negara.
Biarpun Negara China mengurangkan pembelian minyak sawit dari Malaysia sehingga menjejaskan harga komoditi itu dengan begitu teruk sejak PH berkuasa, para peneroka percaya Mazlan boleh melakukan sesuatu yang dianggap 'magic' terhadap Felda sebaik beliau dilantik.
Harga buah sawit di pasaran Malaysia ketika ini berada pada paras purata RM300 satu tan, dan minyak sawit RM2,100 satu tan. Lambakan bahan mentah itu begitu ketara sejak China, yang merupakan pembeli utama kini beralih arah ke negara pembekal baru, Indonesia.
Felda mempunyai 837,843 hektar keluasan tanaman, di mana kelapa sawit mendominasi dengan 585,276 hektar, getah 187,370 hektar dan selebihnya koko, tebu dan kopi.
Sejak beberapa hari lalu, nama Mazlan disebut-sebut bakal menerajui Felda. Para peneroka dari 323 tanah rancangan Felda di seluruh negara pastinya bertepuk tangan kerana PH telah membuat pilihan yang tepat.
Kelantangan Mazlan mengkritik pentadbiran Felda di bawah Kerajaan BN sebelum ini bukanlah satu perkara asing. Anak peneroka Felda Bukit Ramon, Johor ini sering mengajukan idea-idea hebat untuk membangunkan Felda, dan dalam masa sama menempelak pentadbiran Felda ketika itu kerana gagal dalam serba serbi.
Malah tuduhan bahawa Felda bankrap juga telah banyak kali diluahkan mulut Mazlan, walaupun Felda masih menunjukkan prestasinya membayar wang sara hidup peneroka setiap bulan, membayar zakat perniagaan, melaksanakan kerja-kerja tanam semula, wang raya, insentif hujung tahun, projek menaiktaraf bekalan air, menurap dan membina jalan baru dan pelbagai lagi yang tak mungkin dapat dilakukan oleh sebuah syarikat yang telah bankrap.
Sememang diakui berlaku beberapa kelemahan dalam pentadbiran Felda, termasuk isu-isu seperti projek pembangunan KLVC di tanah milik Felda di Jalan Semarak, pembelian hotel di London, projek ternakan ikan sturgeon di Korea dan beberapa lagi, namun isu-isu ini telah dan sedang ditangani oleh Felda ketika BN memerintah. Malah beberapa keputusan telah dibuat di mahkamah, dan beberapa individu telah dihukum.
Kini tiba pula masa untuk Mazlan melaksanakan idea-idea hebatnya sebelum ini bagi memacu Felda mengikut acuan Malaysia Baru. Tidak ada lagi halangan bagi beliau membantu PH untuk memenuhi janji sebelum PRU14 iaitu menghapuskan hutang tidak wajar yang ditanggung oleh peneroka di era BN. Malah semasa kempen lalu, janji yang tertera pada bunting dan flyers PH lebih drastik lagi, iaitu untuk menghapuskan sama sekali hutang peneroka Felda yang jumlahnya menjangkau RM10 bilion. Ini antara 10 janji utama PH yang telah berjaya mempengaruhi rakyat supaya menukar kerajaan. Laksanakanlah sementelah 100 hari itu hanya tinggal 20 hari saja lagi.
Mazlan dan Felda sudah boleh mengambil semula peserta baru Felda, termasuk di kalangan keturunan peneroka, dan menempatkan mereka di tanah-tanah yang diusahakan oleh Felda Plantations seluas lebih 300,00 hektar. Mazlan juga boleh membuka lot-lot baru untuk diisi oleh peneroka daripada semua kaum bersesuaian dengan perjuangan utama PH, sama rata sama rasa mengikut acuan Malaysian Malaysia gagasan DAP.
Mazlan juga boleh aplikasi semula idea hebatnya menanam pokok sentang sebagai ganti sawit ketika proses tanam semula, sebagaimana yang dilakukan di tanah 10 ekar milik ibunya di Bukit Ramon. Mungkin ketika itu ideanya gagal, tetapi dengan kedudukan selaku Pengerusi Felda, ianya boleh dilaksanakan pada skala besar di seluruh negara. Tambahan lagi, ulat bungkus bukanlah musuh pokok sentang, sebagaimana dihadapi pokok kelapa sawit, yang sebelum ini Felda dituduh gagal mengatasi masalah serangan makhluk perosak itu.
Selaku anak peneroka, saya sendiri tertunggu-tunggu Mazlan melaksanakan idea-idea hebatnya. Tak mustahil dengan kredibiliti Mazlan, beliau mampu menebus kegagalan Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Robert Kuok dalam usaha memujuk China untuk kembali membeli minyak sawit Malaysia, khususnya yang dihasilkan oleh Felda. Presiden China, Xi Jinping pasti tunduk dengan kredibiliti Mazlan yang jauh lebih hebat berbanding Daim dan Kuok.
Itulah sebabnya di awal tulisan ini, saya nyatakan para peneroka Felda berasa amat lega dengan kebijaksanaan PH mahu melantik Mazlan selaku Pengerusi Felda, kerana sejak sekian lama, idea-ideanya begitu membuak-buak ibarat aliran air Sungai Nil untuk membela nasib peneroka dan generasi baru Felda.
Sama-sama kita nantikan.
#felda #malaysiabaru

No comments:
Post a Comment