13 June, 2018

GERAKAN IBARAT BIAWAK HIDUP DALAM BN

KENYATAAN AKHBAR

DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
PENGERUSI BN BAHAGIAN TANJONG MALIM
KETUA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM 
ADUN BN KAWASAN SLIM, PERAK

Kenyataan  Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong semalam yang mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat majlis tertinggi untuk memutuskan sama ada perlu mengusir UMNO berbanding bertindak keluar daripada gabungan itu adalah amat biadap dan tidak mengenang budi.

UMNO telah banyak berbudi dan menyelamatkan parti Gerakan daripada keadaan nyawa nyawa ikan sejak sekian lama.

Andy perlu mencermin partinya sendiri yang lemah, malahan tidak punya sistem pentadbiran teratur, terutama di peringkat bahagian yang mampu menunjukkan Gerakan sebagai sebuah parti politik yang berpengaruh di kalangan masyarakat Cina.

Di Tanjong Malim, parti Gerakan langsung tidak berfungsi, hanya tinggal seorang ketua tanpa ahli dan gagal membantu kempen BN semasa Pilihanraya Umum yang lalu.

Gerakan ibarat biawak hidup di dalam BN yang terpaksa digendung oleh parti-parti lain terutamanya UMNO, dan hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk terus bernyawa. 

Pemimpin Gerakan di peringkat Pusat selama ini hanya pandai beretorik, bercakap seolah-olah parti itu terlalu hebat, sedangkan kenyataannya Gerakan hanya menunggu masa untuk berkubur.

Kemenangan calon-calon Gerakan sebelum ini banyak dibantu oleh jentera pilihanraya UMNO dan pengundi Melayu yang menyokong BN, termasuklah ketika Presidennya Datuk Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014.

Sebaliknya kemenangan calon-calon BN yang lain, terutamanya dari parti UMNO langsung tidak membabitkan bantuan berkesan dari Gerakan yang amat lemah jentera pilihanrayanya.

Oleh itu para pemimpin Gerakan terutamanya kepimpinan Pemudanya tidak layak untuk membuat kenyataan bagi menentukan masa depan BN, termasuk mahu mengusir UMNO dari komponen itu.

Gerakan sudah lama menjadi parti politik jalanan jika tidak dibantu oleh UMNO yang menerajui BN selama ini.

Tanjong Malim
13hb Jun 2018

06 April, 2018

UCAPAN KHAS PM PEMBUBARAN PARLIMEN KE-13

Berikut adalah teks ucapan khas YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen ke-13 berkuatkuasa pada 7 April 2018.

"BismillahirRahmanirRahim,
Alhamdulillahi Rabbil A'lamin wa bihi Nasta'in,
Allahumma Solli A'la Saidina Muhammad Wa A'la A'li Muhammad, 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, 
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku 1Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Dimulai kalam, pada hari yang berbahagia ini, marilah kita memanjatkan pujian, seraya mengangkat rasa syukur ke hadrat Allah SWT, atas keizinanNya jua, maka saya dan Timbalan Perdana Menteri serta Jemaah Menteri, dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sempena ucapan khas ini, yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Hampir 5 tahun lalu, ketika saya mengangkat sumpah semula sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 6 Mei 2013, apabila parti Barisan Nasional telah berjaya membentuk Kerajaan, setelah diisytiharkan menang dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu,... 

Kerajaan dengan gigihnya, telah meneruskan usaha untuk  mentransformasi negara, dengan berpaksikan dua kerangka besar falsafah iaitu Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang dicetuskan pada 2009 dan Dasar Transformasi Nasional, yang dimulakan pada tahun 2010. 

Kemudiannya, diikuti dengan beberapa dasar dan inisiatif utama lain antaranya, Program Transformasi Negara, Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS.

Ternyata, segala ikhtiar dan kerja keras telah membuahkan hasil, sehingga berjaya meraih pelbagai kejayaan manis dan pencapaian yang membanggakan, selain tidak kurang juga berdepan dengan bermacam cabaran getir yang semakin mematangkan kita, dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

Malah, bermula dari 2009 lagi, Kerajaan benar-benar telah melakukan "Transformasi Inklusif lagi Komprehensif", sehingga menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh kejayaan kepada rakyat dan negara. 

Pertama: Mempastikan Ekonomi Malaysia terus stabil dan berdaya tahan. Meskipun sewaktu saya mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan, ekonomi Malaysia telah menguncup sebanyak negatif 1.5 peratus, namun Alhamdulillah, kita telah berjaya mengharungi krisis ekonomi dan kewangan dunia dengan baik, teliti serta teratur.

Buktinya, pada tahun lalu, KDNK negara telah mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, yakni merupakan antara yang tertinggi di dunia. 

Ini sekaligus menyangkal tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa, Malaysia adalah negara yang bakal bankrap. 

Kedua: Pendekatan amalan Kerangka Maqasid Syariah. Sesungguhnya, amalan yang memenuhi roh dan tuntutan Manhaj Maqasid Syariah, sebagaimana yang dianjurkan oleh para Ulama Muktabar sejak beratus-ratus tahun, sekalipun tidak dinyatakan secara tertulis dalam mana-mana dokumen rasmi negara, namun ternyata, pendekatan ke arah berpegang kepada pedoman, roh dan prinsip kerangka ini, amat jelas dirasai dalam sebarang pembentukan falsafah dan penggubalan dasar-dasar penting negara.

Sebagai contoh yang sering diutarakan adalah Dasar Wasatiyyah Negara, yakni pendekatan kesederhanaan atau moderation, yang tidak terlalu ekstrem, dengan menolak ideologi Daesh dan IS, serta bukan pula menjurus kepada fahaman yang terlalu longgar dan liberal, sehingga keberkesanannya turut diakui oleh banyak pemimpin serta negara di serata dunia. Antaranya, Malaysia telah mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Liga Muslim Sedunia atau WML.

Ketiga: Meningkatkan pendapatan rakyat dan peluang pekerjaan. Sebenarnya, Kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat agar setimpal dengan kos sara hidup semasa, agar semua masyarakat dapat mempunyai pekerjaan, seperti melalui pelaksanaan Gaji Minimum Kebangsaan yang terkini pada tahun 2016, telah dinaikkan kepada seribu ringgit sebulan bagi Semenanjung dan 920 ringgit untuk Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga telah berjaya mewujudkan sebanyak 2.26 juta peluang pekerjaan baharu, yang semakin menghampiri sasaran 3.3 juta menjelang 2020, kepada rakyat Malaysia. 

Malahan, pada 28 Mac 2018 lalu, Syarikat Aramco, milik Kerajaan Arab Saudi telah menyuntik 7 bilion dolar Amerika atau berjumlah hampir 30 bilion ringgit dana pelaburan ke negara ini, yang dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda serta rakyat Malaysia.

Keempat: Melaksanakan pembangunan infra-rakyat seperti projek MRT fasa pertama, yang telah mencipta sejarah apabila berjaya disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan, hingga menjimatkan 2 bilion ringgit.

Begitu dengan pembinaan projek  East Coast Rail Link atau ECRL, yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri-negeri di sebelah Pantai Timur.

Selain itu, Kerajaan juga sedang rancak menjayakan projek High Speed Rail atau HSR yang bakal menghubungkan dari Kuala Lumpur ke Singapura, dan projek Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol, dengan jarak lebih 2 ribu kilometer, di Sabah dan Sarawak, yang sudah pasti akan menjadi game changer, selain membuka peluang dan merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi buat masyarakat di sekitarnya.

Jadi, setelah menyaksikan sekian banyak inisiatif dan projek Kerajaan yang bermanfaat untuk rakyat, mengapa masih ada pihak-pihak yang tidak senang hati dan berterusan mentohmah kita sebagai sebuah negara gagal? Di sudut mana yang dikatakan gagalnya?

Kelima: Mensejahterakan kehidupan rakyat. Sebetulnya, Kerajaan begitu memahami cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan telah melakukan sekian banyak inisiatif bagi meringankan beban kehidupan mereka. 

Antaranya melalui bantuan-bantuan kepada golongan masyarakat yang memerlukan, khususnya kepada kumpulan B40 seperti BR1M, memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 dan Jualan Sentuhan Rakyat, yang menawarkan harga barang lebih rendah daripada pasaran, UTC dan RTC  menawarkan perkhidmatan 7 hari seminggu sehingga pukul 10 malam, bantuan khas kepada para petani, nelayan, pesawah, pekebun kecil, imam, bilal, tok siak, dan juga para penjawat awam.

Begitu jugalah dengan inisiatif lain seperti Rumah Mampu Milik, PPR, PR1MA, PPA1M, SPNB, manakala kepada golongan pertengahan pula tidak dilupai dengan pengurangan kadar cukai sebanyak 2 peratus sebagaimana yang telah diumumkan dalam Bajet 2018. 

Ini tidak termasuk perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital Kerajaan yang hanya mengenakan bayaran kepada rakyat serendah 1 ringgit sahaja. Manakala, bagi kos pendidikan pula, bermula dari pra-sekolah hingga ke peringkat menengah, telah Kerajaan berikan secara percuma dan untuk Universiti Awam pula, hampir 90 peratus kos pengajiannya ditanggung oleh pihak Kerajaan.

Dipendekkan, hampir kesemua golongan masyarakat di negara ini, telah benar-benar merasai nikmat dan dasar-dasar yang baik lagi mendatang manfaat kepada rakyat, yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan masa kini.  

Keenam: Merealisasikan Aspirasi Transformasi Nasional 2050 atau TN50. Sejak pertama kali visi TN50 diperkenalkan, ketika saya pembentangan Bajet 2017 yang lalu, demi melakarkan canvas dan halatuju negara yang baharu, untuk tempoh 30 tahun mendatang, supaya tanahair ini diwarisi oleh generasi TN50 yang Khayra Ummah dan berminda Par Excellence, demi membariskan Malaysia sebagai sebuah negara antara yang terunggul di dunia. 

Ketujuh: Kerajaan ini adalah Kerajaan yang boleh dipercayai, menepati dan mengotakan janji-janjinya. Kerana, saya percaya bahawa, politik itu bukanlah sekadar menabur janji-janji. Bahkan, lebih utama dari itu, politik sebenarnya adalah pelaksanaan kata-kata dan keupayaan untuk mengotakan segala janji-janji kepada rakyat. 

Di sudut ini, saya ingin mengatur syukur, apabila Akujanji Kerajaan Barisan Nasional, setakat 28 Februari 2018 sahaja, telah berjaya ditunaikan hingga mencapai 99.4 peratus.

Lantaran itu, saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa, saya telah pun menghadap KeBawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018. 

Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-13 dibubarkan berkuat kuasa pada hari Sabtu 7 April 2018.

Oleh yang demikian, saya menasihatkan kepada Ketua-Ketua Kerajaan Negeri yang berkenaan, untuk menghadap Ketua-Ketua Negeri mereka, bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing, supaya Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Sememangnya, pembubaran ini, menzahirkan komitmen Kerajaan Barisan Nasional terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan pilihanraya umum bagi kali yang keempat belas untuk negara semenjak tahun 1959 dijalankan menurut lunas undang-undang. 

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, yang menjadi tunjang serta sebati dengan pemerintahan, kuasa untuk memilih Kerajaan, berada sepenuhnya di tangan rakyat.  

Apatah lagi, Malaysia sejak merdeka, telah mengamalkan sistem pilihanraya first past the post, yakni berasaskan jumlah kerusi yang dimenangi dan bukannya berdasarkan kiraan undi popular, yang sewajibnya difahami oleh semua pihak, khususnya, melibatkan parti-parti yang akan bertanding dalam pilihanraya di negara ini.

Sehingga saat ini, Kerajaan telah memenuhi mandat dan mematuhi proses demokrasi berparlimen. Kerajaan ini juga menjunjung tinggi keluhuran dan kesucian proses penggubalan serta pelaksanaan undang-undang melalui institusi parlimen yang kita hormati lagi muliakan.

Mulai ketika dan saat ini, saya, bersama dengan Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan rakan-rakan pimpinan Barisan Nasional, akan turun menjelajah untuk bertemu rakyat di seluruh pelosok tanahair, bagi memberi penerangan serta meyakinkan warga Malaysia tentang manifesto dan halatuju negara, yang kami carta serta rencanakan dengan teliti, agar para pengundi memberi mandat dan peluang sekali lagi kepada kami, untuk membentuk sebuah Kerajaan yang kuat lagi stabil, dengan majoriti yang kukuh.     

Dengan izin Tuhan, jika kemenangan sekali lagi berpihak kepada Barisan Nasional, kami sesungguhnya berjanji dan berikrar, akan melakukan yang terbaik, lebih baik daripada sebelumnya, dengan melakukan transformasi yang lebih besar, inklusif lagi komprehensif kepada rakyat serta negara.

Apa yang penting, perjalanan transformasi tidak boleh terhenti setakat di sini sahaja. Dunia pun sudah berubah dan kita tidak harus lagi berundur ke belakang atau kembali semula ke zaman silam yang kelam lagi malap serta penuh kesuraman. 

Sebaliknya kita mesti sama-sama meneruskan kejayaan transformasi inklusif negara ini, untuk menuju masa depan yang lebih cerah serta sudah nampak kelihatan cahaya kegemilangannya.

Maka itu, atas nama Negaraku dan penghayatan prinsip Rukun Negara, saya amat berharap supaya, Pilihanraya kali ini, tidak kira apa jua fahaman atau lambang politik, akan dapat kita sama-sama langsungkan dengan baik, teratur, penuh hemah dan lancar, sehingga tercapai matlamatnya. 

Jikamana,... rakyat dapat berfikir dengan akal yang waras dan bukan dengan emosi, kita menyeru kepada semua agar menilai dengan sewajar-wajarnya akan sekian banyak usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang telah stabil, berpengalaman luas serta berasaskan track record yang terbukti cemerlang sehingga ke persada dunia, sejak 6 dekad lalu, terutama sekali semenjak 9 tahun yang lepas. 

Antara sekian banyak usaha dan pencapaian cemerlang tersebut, kita telah berjaya memastikan keamanan dan keselamatan, keharmonian serta kestabilan dan kemakmuran negara tetap teguh terjamin lagi terpelihara, kita telah berupaya meningkatkan kualiti kehidupan rakyat menjadi lebih bahagia serta sejahtera, malah, kita juga mempunyai pelan rancangan masa depan yang sangat hebat lagi tersusun rapi.

Atas keyakinan itu, saya ingin tegaskan, sepanjang tempoh separuh dekad akhir ini, kita bukan sahaja telah mampu deliver dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan, malah saya dengan beraninya mengatakan bahawa, we have delivered and we will continue to deliver. 

Bahkan, seandainya rakyat terus memberi mandat, memilih Kerajaan Barisan Nasional yang sedia ada, untuk kekal memerintah bagi tempoh 5 tahun ke hadapan ini, maka InsyaAllah, saya bersama pucuk pimpinan, sesungguhnya kami menjanjikan,... 

Akan terus menyempurnakan tugas kita dengan lebih berkesan dan unggul, demi mengangkat maruah dan martabat negara agar terjulang gagah, sebagai 20 negara terbaik lagi terhebat di persada dunia menjelang TN50. 

Lantaran itu, saya berikrar dan berjanji,... selaku Ketua Kerajaan, bersama para pucuk pimpinan bahawa, kita akan membangunkan negara ini dari Perlis sampai ke Sarawak membawa ke Sabah, agar tidak ada satu pun kawasan atau rakyat yang akan ketinggalan, atas prinsip NO ONE IS LEFT BEHIND!  

Atas segalanya, demi rakyat,... demi Negaraku tercinta,... marilah kita teruskan perjalanan kejayaan transformasi yang lebih hebat ini bersama Barisan Nasional,... 

Hari ini milik kita,... Hari esok dan hari-hari berikutnya, mudah-mudahan bakal menjanjikan masa depan yang lebih cerah nan indah, bergemerlangan cahayanya, disinar kejayaan Malaysia di bawah panji Barisan Nasional.

Sehubungan itu, saya dengan penuh kerendahan hati, memohon untuk diberi mandat baharu kepada Barisan Nasional untuk terus membawa Malaysia ke mercu kejayaan.

Akhir kalam, sebagai dipesan oleh orang tua-tua,... saya ingin menanda hari pembubaran yang berkuatkuasa esok, dengan kata-kata kiasan yang berbunyi,... 

Negara Malaysia namamu kini megahlah sudah, 
Dibina dan dibangun berbekal keringat dan air mata, Kerajaan Barisan Nasional berusaha sudah, berbakti pun sudah, 
Kepada rakyat pilihlah yang berhak dan telah berjasa, lalu tawakal diserah kepada Allah. 

Saya berdoa dengan penuh pengharapan, semoga Allah izinkan segala-galanya dan kita beroleh kemenangan, KepadaMu Ya Tuhan, kami memohon pertolongan. Amin Allahumma Amin.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih".

29 January, 2018

MINYAK SAWIT - EU PERKUDA PH, MAHATHIR

Hanya beberapa hari selepas 2,000 peneroka Felda berkumpul di depan Menara Felda di Kuala Lumpur bagi membantah tindakan Kesatuan Eropah (EU) memboikot produk minyak sawit, sekumpulan pemimpin Pakatan Harapan (PH) pula pergi bertemu duta 17 negara EU itu dengan tujuan melobi campurtangan asing dalam usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. 

Bertepuk soraklah negara anggota EU dengan anggapan pertemuan itu sebagai satu pengiktirafan di kalangan politikus tempatan terhadap usaha mereka memboikot minyak sawit Malaysia, antara negara utama dunia yang mengeksport minyak sawit selain Indonesia. 

Keyakinan EU itu ditambah pula dengan kehadiran Tun Dr.  Mahathir Mohamad dalam pertemuan itu, tokoh politik yang telah dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia sekiranya PH memenangi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) tidak berapa lama lagi. 

Pertemuan Dr.  Mahathir dengan 14 duta dan tiga wakil negara anggota EU ke Malaysia pada 25 Januari lalu turut disertai Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar dan Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu. Pertemuan diadakan di kediaman salah seorang duta yang juga Ketua Deligasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernàndez. 

Tindakan Dr Mahathir dan PH itu sangat bertentangan dengan tindakan 2,000 peneroka diketuai Pengerusi Felda,  Tan Sri Shahrir Samad berarak menghantar memorandum bantahan kepada 17 kedutaan negara anggota EU di ibunegara pada 16 Januari lalu. 
Kehadiran peneroka itu tidak sekadar mempertahankan periuk nasi sendiri, malah kantung seluruh peladang dan pekebun kecil yang bergantung pendapatan kepada tanaman kelapa sawit, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara seluruh dunia yang menjadi pengeluar dan pengeksport produk minyak sawit. 

Memorandum bantahan terhadap EU itu turut mengandungi 103,078 tandatangan oleh peneroka dan pekebun kecil sebagai tanda solidariti mereka mempertahankan masa depan industri berasaskan minyak sawit. 

Demi kuasa dan nafsu haloba mahu menjatuhkan Najib dan BN, Dr. Mahathir dan PH mempersetankan nasib rakyat yang bergantung hidup kepada harga sawit. Peduli apa jika harga sawit jatuh akibat lambakan, asalkan matlamat menjatuhkan Najib dan BN tercapai,  biarpun terpaksa berpaut kepada bantuan EU dan kuasa asing yang lain. 

Janganlah lagi berharap kepada Pakatan Harapan untuk membela nasib rakyat yang bergantung rezeki kepada hasil kelapa sawit. Jika sudah sanggup bersekongkol dengan kuasa asing yang hendak merudumkan ekonomi negara, tidak ada sebab mahu meletakkan PH sebagai peneraju pentadbiran negara selepas PRU14 nanti. Tidak mustahil kerajaan PH akan diperalatkan oleh kuasa asing khususnya anggota EU akibat terhutang budi dengan campurtangan mereka menjatuhkan kerajaan sedia ada. EU sudah mula berangan mahu memperkudakan bakal PM Malaysia. 😩

Tidak sesuailah Naib Presiden PH, Mat Sabu mendakwa perjumpaan dengan EU itu sebagai 'major boost' terhadap usaha menjatuhkan Najib dan BN, sebaliknya tindakan itu lebih kepada 'major declined' terhadap perjuangan Najib dan BN membela nasib rakyat, khususnya para peneroka Felda,  Felcra serta pekebun kelapa sawit di negara ini. 

Selamat bersekongkol PH bersama EU. Usah lagi diganggu BN yang bersekongkol bersama rakyat. 

20 January, 2018

HINAKAH GRADUAN JUAL NASI LEMAK, PANDU GRAB?

Pada 1986 saya graduated dari UKM ketika ekonomi negara meleset teruk. Ramai graduan menganggur. Saya dan beberapa kawan yang sama2 keluar UKM bernasib baik diterima jadi wartawan sambilan (stringer) di akhbar tabloid politik Watan, milik Kumpulan Karangkraf di Taman Tun Dr. Ismail. 

Pendapatan? Tak menentu hanya berdasarkan artikel atau berita yang tersiar dan disukat oleh Ketua Pengarang menggunakan pembaris. 20 sen untuk seinci. Maksima dapatlah sekitar RM600 sebulan. 

Namun saya bersyukur kerana nasib saya lebih baik berbanding puluhan ribu graduan yang masih tercari2 kerja. 

Jika semasa itu ada Grab, pasti berlumba2 graduan menjadi pemandu Grab. Tapi tak ada sistem pengangkutan awam seperti Grab ketika itu. 

Nak berniaga nasi lemak juga tak mampu sebab sukar nak dapatkan pinjaman untuk modal. Tak wujud lagi sistem pinjaman bagi membantu peniaga kecil seperti Tekun masa tu. 

Siswazah terbiar, tergapai2 dan tak ada hala tuju untuk sumber rezeki. 

Ada Kementerian Pembangunan Usahawan, tapi dimonopoli usahawan2 besar dan lebih kepada membina golongan konglomerat. Sebahagian konglomerat ini juga terkesan akibat kemelesetan ekonomi. 

Selaku wartawan, saya pernah diminta mewawancara seorang bekas tokoh korporat yang menjual popia bakar di depan rumah ketika bulan Ramadhan. Entah dia bercakap benar atau tidak, tapi semua yang diluahkannya menghentam sistem ekonomi Kerajaan di bawah PM ketika itu. 

Saya kagum jika pada hari ini ada graduan yang masih mampu menjadi pemandu Grab atau menjual nasi lemak di era Najib, peluang yang tak wujud ketika saya dan rakan2 lain keluar menara gading ketika kemelesetan ekonomi sekitar pertengahan 1980an di era Tun Mahathir.

Pokoknya rezeki menjual nasi lemak dan memandu Grab itu halal, berbanding jika melarikan RM32b dan berselindung atas nama perniagaan Forex.  😆

04 January, 2018

MAHATHIRLAH SEBENARNYA MENCIPLAK

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam menuduh kononnya konsep Transformasi Nasional 2050 (TN50) diciplak daripada Wawasan 2020, tapi pada hakikatnya konsep Wawasan 2020 itu sendiri adalah ciplakan dua agenda besar negara sebelumnya, iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Semuapun tahu bahawa daripada segi sejarahnya, Rukun Negara dan DEB diwujudkan selepas tragedi 13 Mei 1969 yang teras utama matlamatnya adalah untuk mewujudkan kestabilan negara, ketenteraman awam dan menyusun semula masyarakat, termasuk daripada segi ekonomi rakyat berbilang kaum.

Tidak ada boleh dianggap luar biasa sebenarnya dalam konsep Wawasan 2020 yang dimulakan oleh pentadbiran Tun Mahathir pada 1991 itu, melainkan sekadar pelengkap kepada hasrat Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) memperkenalkan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 dan DEB selepasnya. Malah kemungkinan konsep Wawasan 2020 itu lahir dari kotak minda para penasihat Tun Mahathir yang 20 tahun sebelumnya turut terlibat memikirkan konsep Rukun Negara dan DEB.

Cubalah bandingkan sembilan matlamat Wawasan 2020 Tun Mahathir dengan semangat dan ikrar Rukun Negara. Malah wawasan ekonominya juga hanya sekadar kesinambungan dan penambahbaikan terhadap matlamat yang ingin dicapai melalui DEB. Konsep Wawasan 2020 hampir sama dengan Rukun Negara dan DEB kerana tidak ada percambahan idea di kalangan pemikir di peringkat atasan. Konsep Wawasan 2020 adalah menyuapkan idea pihak atasan untuk dilaksanakan sehingga ke peringkat rakyat marhain atau 'top down'. 

Wawasan 2020 tidak punya perincian spesifikasi arah tujunya, lebih merupakan kenyataan umum yang sekadar memperkukuhkan semangat pencapaian Rukun Negara dan DEB. Hanya Tun Mahathir  faham apa matlamat di sebalik konsep Wawasan 2020, satu wawasan ciplak yang hanya sedap dan muluk daripada segi bahasa, tetapi lompong daripada segi perincian dan kabur bagaimana ianya mahu dilaksanakan. 

Apa yang berlaku selepas beberapa tahun wawasan itu dilaksanakan, segelintir konglomerat baru berjaya diwujudkan, yang hampir semuanya adalah kroni dan punya hubungan akrab dengan Tun Mahathir. Tak perlulah saya senaraikan nama-nama mereka di sini, kerana itu bukanlah rahsia umum lagi.

Sebaliknya dalam tempoh kira-kira 12 tahun selepas perlaksanaannya, pencapaian ketara Wawasan 2020 lain adalah jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar. Rakyat jelata terus berhadapan dengan ancaman kemelesetan ekonomi, khususnya bermula dari pertengahan 1990an, beberapa tahun selepas wawasan itu dilancarkan. Sedar tidak sedar, kemelesetan teruk ekonomi negara berlaku sebanyak dua kali ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, masing-masing pada sekitar pertengahan 1980an dan 1990an. 

Ketika tempoh kemelesetan inilah Tun Mahathir menyumbatkan sebegitu ramai individu ke dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), terutamanya dalam Operasi Lalang pada 1987. Matlamat Wawasan 2020 untuk menyatupadukan kaum juga gagal dicapai atas faktor antara lain kerana wujudnya usaha negatif sepanjang zaman meniupkan api perkauman oleh DAP, parti rasis dan chauvinist yang kini Tun Mahathir sendiri jadikan kawan. Tun Mahathir sepatutnya menunding jari kepada DAP jika dia merasakan bahawa Wawasan 2020 telah gagal.

Berbanding dengan Wawasan 2020, TN50 mengumpulkan idea dari rakyat merentasi kaum, agama, budaya dan umur. Pendekatan 'bottom up' ini sudah pasti melahirkan idea akar umbi untuk dilaksanakan. Adakah idea-idea rakyat jelata ini nak dikatakan sebagai ciplakan Wawasan 2020 sebagaimana tuduhan Tun Mahathir? 

Saya yakin bahawa matlamat yang mahu dicapai TN50 jauh lebih dinamik berbanding  Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir. Malahan dalam beberapa segi, kejayaan yang telah dicapai oleh negara sejak sepuluh tahun lalu jauh merentasi Wawasan 2020 Tun Mahathir pada 1991.

Tidak perlulah Tun Mahathir mahu menunggu Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum akan datang bagi menunjukkan cara untuk merealisasikan wawasannya yang tak seberapa itu. Lagipun tahun 2020 hanya tinggal dua tahun untuk tiba. Entah apalah 'magic' yang ada dalam kepala bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan ini.

Adakah kita masih ingat sekitar tahun 1994 Tun Mahathir ada menanam amanatnya di satu lokasi sekitar ibunegara? Surat amanat yang hanya Tun Mahathir tahu isi kandungannya itu hanya dibenarkan dibuka dan dibaca pada tahun 2020. Saya yakin bahawa amanatnya itu jauh terkebelakang berbanding apa yang telah dicapai oleh negara ketika ini.

Khusairi Talib
Tanjong Malim
4hb Januari 2018

15 September, 2017

BENDUNGLAH KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ

Saya amat setuju jika pihak polis menyiasat secara terperinci tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kampung Datuk Keramat awal subuh semalam yang mengorbankan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar. Jika didapati wujud kecuaian dan berlaku pelanggaran undang-undang dan peraturan, hadapkanlah mereka ke muka pengadilan.

Amat menghairankan juga bagaimana kebakaran boleh bermula di luar pintu, satu-satunya jalan keluar bagi penghuni di dalam asrama berkenaan, seolah-olah ada unsur jenayah dan sabotaj. Ditambah pula laporan pihak bomba mengatakan kebakaran itu bukan berpunca daripada litar pintas.

Apa perlunya tingkap bangunan tingkat atas dipasang jeriji sepenuhnya tanpa ada satupun tingkap kecemasan, biarpun dah ketara tak ada pintu kecemasan? Apakah pemilik bangunan bimbang perompak masuk melalui tingkap untuk merompak anak-anak pelajar yang pastinya tiada harta bernilai disimpan bersama mereka?

Pihak kerajaan tempatan seperti Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah hendaklah bertegas untuk menghalang sesebuah bangunan yang belum mendapat CF atau CCC daripada beroperasi, tak kira samada bangunan itu untuk tujuan keagamaan dan pengajian berbentuk amal jariah. 

Keprihatinan ibubapa dan penjaga juga penting dalam memastikan keselamatan anak terjamin di asrama sesebuah sekolah atau pusat pengajian. Lihatlah bentuk bangunannya, dan jangan bimbang untuk menegur dan memberi cadangan kepada pentadbir atau membuat laporan kepada penguasa tempatan jika didapati ada unsur-unsur yang boleh mengancam keselamatan pelajar. Begitulah juga peri pentingnya keprihatinan masyarakat yang tinggal di sekitarnya.

Siasatlah semula dari sekarang. Jika keadaan bangunan tidak selamat, arahkan tutup serta merta untuk diubahsuai dan dinaiktaraf. Jangan lagi hanya duduk terconggok dan sedia membilang jari menunggu kejadian berikutnya.

Al Fatihah dan takziah kepada keluarga. Didoakan arwah anak-anak dan tenaga pengajar yang terkorban dicucuri rahmat. Amin