18 December, 2012

DUN PERAK : ISU BLACKOUT DI BESOUT


HANSARD JAWAPAN KEPADA SOALAN 3 SIDANG DUN PERAK (17/12/2012) BERKAITAN GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK DI FELDA GUGUSAN BESOUT

YB DATO’ YANG DIPERTUA : Slim

YB DATO’ MOHD KHUSAIRI BIN ABDUL TALIB : Terima kasih Dato’ Yang Dipertua. Soalan  saya nombor 3 (Kejadian bekalan elektrik terputus sering berlaku di Felda Gugusan Besout disebabkan penggunaan melebihi kapasiti bekalan tenaga. Apakah langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengatasi masalah ini dan bilakah boleh dilaksanakan?)

YB DATO’ RAMLY BIN ZAHARI : Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, izinkan saya menjawab soalan Yang Berhormat daripada Slim. Kawasan Felda Gunung Besout menerima bekalan elektrik dari Stesen Suis Prah melalui sistem talian atas tidak bertebat. Berdasarkan rekod, terdapat beberapa insiden gangguan bekalan elektrik yang berlaku melibatkan kawasan Felda Gunung Besout pada bulan Februari 2012 hingga November 2012.

Punca gangguan bekalan yang berlaku adalah disebabkan oleh faktor cuaca di mana hujan lebat dan petir telah menyebabkan sistem pepasangan TNB mengalami gangguan sementara. Selain itu, ia juga adalah disebabkan oleh talian tidak bertebat TNB yang putus disebabkan kilat. Namun begitu, pihak TNB telah mengambil tindakan pembaikan ke atas semua gangguan bekalan elektrik tersebut pada hari yang sama.

Berikut adalah statistik gangguan bekalan Voltan Sederhana di mana terdapat pengurangan gangguan bekalan sebanyak 79 peratus bagi tahun 2011 dan 2012 berbanding tahun 2009/2010 untuk tempoh September hingga Ogos manakala untuk tempoh September hingga November 2012 hanya terdapat dua (2) gangguan sahaja.

Statistik yang dimaksudkan adalah statistik gangguan bekalan Voltan Sederhana melibatkan kawasan Besout :-


Pengurangan tersebut adalah hasil daripada tindakan berdasarkan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang seperti berikut. Pelan Tindakan Jangka Pendek, bagi mengatasi masalah gangguan bekalan di kawasan tersebut, pihak TNB sedang menjalankan senggaraan berjadual dan menyeluruh melibatkan pembekal ke kawasan Felda Gunung Besout.

Manakala untuk Pelan Tindakan Jangka Panjang selain daripada yang di atas, bekalan baru dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bidor ke Pencawang Pembahagian Utama (PPU) di Trolak Jaya telahpun siap di mana bekalan elektrik ke kawasan Felda Gunung Besout telah diberikan sepenuhnya dari PPU baru tersebut pada 25 Mei 2012.

Bagi pelan tindakan jangka panjang yang lain, pihak TNB akan mengambil inisiatif bagi menggantikan talian atas tidak bertebat tersebut kepada sistem talian atas bertebat yang lebih berdaya secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015.

Dengan terlaksananya kerja-kerja pengukuhan sistem pembekalan elektrik seperti yang tersebut di atas, dijangkakan kekerapan gangguan bekalan di kawasan Felda Gunung Besout akan dapat diatasi.

YB DATO’ YANG DIPERTUA : Slim

YB DATO’ MOHD KHUSAIRI BIN ABDUL TALIB : Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberikan jawapan yang begitu jelas sekali. Saya ingin mengemukakan soalan tambahan. Kebiasaannya apabila berlaku gangguan bekalan elektrik ataupun dengan izin blackout. Sedikit sebanyak boleh mengakibatkan kerosakan kepada barang-barang elektrik seperti televisyen, mesin basuh dan lain-lain. Bolehkah rakyat atau pengguna yang menghadapi masalah kerosakan elektrik akibat daripada bekalan terputus ini memohon ganti rugi dan kalau boleh bagaimanakah caranya?

YB DATO’ RAMLY ZAHARI : Terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Slim. Secara perundangan yang jelas Tenaga Nasional ini tidak ada menyatakaan bahawa sebarang kerosakan secara automatiknya boleh dibayar gantirugi tetapi pihak Tenaga Nasional ada ruang yang tertentu seperti memberi pertolongan secara wang ehsan kepada pengguna yang telah mengalami kerosakan pada peralatan elektrik kesan daripada gangguan bekalan tersebut. Cuma yang pentingnya saya menyarankan kepada pengguna yang terlibat di kawasan-kawasan manapun di Negeri Perak, pastikan dalam masa yang cepat berjumpa dengan pusat operasi TNB yang berhampiran dan menyenaraikan sebarang aduan kerosakan dan sebagainya dan InsyaAllah pihak TNB akan turun menyiasat dalam waktu yang segera dan ada kadar yang tertentu yang boleh dilangsaikan oleh pihak TNB.

07 November, 2012

NURUL IZZAH DIBELASAH


Tulisan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Dato' Zulkifli Nordin begitu menarik dalam menjawab polemik yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah anak Anwar Ibrahim mengenai 'hak kebebasan beragama bagi orang Melayu'.

Saya siarkan semula tulisan YB Zul mengenai isu ini untuk kita kongsikan bersama :

Salam 2 all. 

Kenyataan Nurul Izzah Binti Anwar Ibrahim bahawa hak kebebasan memilih agama sepatutnya tidak terhad kepada non-Muslim tetapi juga kepada orang Melayu yang beragama Islam memcetuskan kembali satu isu fundamental, iaitu adakah orang Melayu beragama Islam boleh murtad? Teman berpendapat samada Izzah bercakap dalam keadaan jahil ataupun sengaja cuba mencetuskan isu yang boleh membangkitkan kemarahan umat Islam bangsa Melayu khususnya.Dan teman berharap Izzah tidak membuat kenyataan itu sekadar untuk meraih undi non-Muslim, terutamanya daripada kalangan penganut Kristian! 


Persoalannya mengapa Izzah memilih membuat kenyataan tersebut? Teman juga mendesak Izzah mengesahkan samada benar lapuran yang menyatakan ucapan dan dialog tersebut dianjurkan oleh sebuah badan pemikir kristian iaitu Oriental Hearts & Mind Study Institute dan diadakan di premis Gereja Full Gospel Tabenacle, Subang Jaya, Selangor? Apa yang jelas,majlis itu diberi lapuran terperinci oleh sebuah laman web kristian iaitu www.1christians.blogspot.com! Laman portal pro-Anwar iaitu www.malaysiakini.com juga telah menyiarkan lapuran mengenai majlis tersebut! Kalau ini benar,teman berasa sangat kesal kesempatan untuk menyampaikan risalah Islam yang sebenar tidak digunakan sebaik mungkin.Dan teman mendesak pihak Jabatan Agama Islam Selangor menyiasat kesahihan lapuran tersebut dan mengambil tindakan yang perlu menurut lunas undang-undang sedia ada. Berbalik kepada isu memberi kebebasan kepada orang Melayu untuk memilih agama, Izzah sepatutnya mengetahui impak dan kesan kepada pandangan beliau itu iaitu: 

1. Pertama yang perlu kita faham ialah kewujudan bangsa Melayu dengan status Melayu adalah kerana agama Islam. Hubungan Melayu dan Islam sangat sinonim,sehinggakan peruntukkan Perlembagaan dibuat di Artikel 160 bahawa salah satu ciri Melayu, selain mengamal adat resam Melayu dan berbahasa Melayu, ialah dia mesti beragama Islam! Seseorang tidak boleh mengaku dia Melayu melainkan dia seorang Islam. Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan! Menyatakan orang Melayu boleh menukar agama selain Islam adalah sama kesannya dengan menghapuskan bangsa Melayu itu sendiri! Dan jika pandangan Izzah itu mahu diterjemahkan, maka Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan wajib dipinda dengan menghapuskan ciri “Melayu itu wajib Islam”. Adakah PAS bersetuju dengan pandangan ini? Dan adakah itu yang diingini oleh umat Islam bangsa Melayu dalam negara ini? Tepuk dada tanyalah iman yop! 

2. Kedua, pandangan Izzah dalam isu ini adalah sama dengan agenda yang didalangi oleh Majlis Peguam dalam usaha mereka mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama, atau lebih dikenali sebagai IFC, dengan sokongan beberapa NGO lain. Antara lain agenda penubuhan IFC ini ialah semua warganegara Malaysia termasuk bangsa Melayu beragama Islam wajar diberikan hak memilih agama masing-masing! Persoalannya ialah adakah Izzah menyedari kenyataan beliau itu sekadar menterjemahkan agenda IFC itu? Kedua, apakah pendirian para ulama dan pimpinan PAS! Teman ingat lagi betapa PAS mengambil pendirian sangat tegas menentang cadangan IFC ini. Malah PAS telah mengadakan bantahan besar-besaran terhadap cubaan yang dianggap mengkhianati dan menghina Islam ini! Hinggakan ada pemimpin kanan PAS yang ditangkap polis dan dikenakan pertuduhan jenayah dan dihukum! Begitu pemimpin PAS bertegas, hingga ada yang mengisytihar ‘perang jihad’ terhadap penganjur IFC ni! Jadi teman nak tanya pemimpin PAS; apakah pendirian mereka sekarang dengan kenyataan Izzah ini? Adakah mereka bersetuju? Bersetuju bermakna mereka mentongsampahkan perjuangan dahulu. Kalau tidak bersetuju, mereka wajib mendesak meminta penjelasan dan kata-putus adakah itu dasar pakatan pembangkang? Jika benar memang menjadi dasar dan agenda pembangkang mahu memberi kebebasan memilih agama kepada orang Melayu, maka PAS tidak ada pilihan melainkan bermufarakah dan memisahkan diri daripada pakatan songsang ini! 

3. Selanjutnya, isu kebebasan beragama ini sebenarnya adalah agenda pejuang kebebasan Barat! Ini tercatat dalam Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu dimana ia menyatakan “tiap-tiap individu berhak memilih agama masing-masing dan mengamalkannya, dan tertakluk kepada hak untuk menukar agama itu”! Persoalannya, adakah Izzah berkongsi pendapat dengan pejuang kebebasan Barat ini? Adakah pimpinan PAS juga turut berkongsi pendapat yang sama? 

4. Sebenarnya isu hak kebebasan memilih agama ini adalah juga agenda perjuangan yang dibawa oleh segelintir umat Islam yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisma! Fahaman liberalisme dan puralisma adalah satu fahaman baru yang telah difatwakan sebagai sesat, yang membawa idea bahawa semua agama adalah sama! Maknanya Islam sama dengan Kristian, Hindu sama dengan Budha, Sikh sama dengan Yahudi, Kristian sama dengan Hindu, Sikh sama Yahudi, Islam sama dengan Budha! Pendekkata, semua agama sama! Tidak ada yang lebih, dan tidak ada yang kurang! Berdasarkan fahaman liberal dan pluralisma ini, adalah tidak menjadi kesalahan bagi orang Islam menukar agamanya kepada agama Hindu, Kristian, Budha, Sikh, Yahudi atau lain-lain; sebab semua agama sama! Begitulah sesatnya fahaman ini. Malah ada pengamalnya mempunyai keluarga yang cacamerba. Suami Kristian, isteri Islam, anak Hindu! Malahan kepercayaan penganut fahaman liberalisme dan pluralisma ialah mana-mana agama yang mengaku ianya benar dan lebih baik daripada agama lain “tempatnya di neraka”! Persoalannnya ialah adakah Izzah berkongsi pandangan dan bersetuju dengan fahaman penganut liberalisme dan pluralisma ini? 

5. Selanjutnya, kenyataan Izzah ini sama dengan pendirian bapanya iaitu Anwar Ibrahim. Dalam kes Azlina Jailani, seorang wanita Melayu beragama Islam telah murtad dengan memeluk agama Kristian dan mengambil nama Lina Joy! Kes ini menjadi satu isu besar dan dibawa ke Mahkamah! Anwar Ibrahim, dalam satu wawancara oleh media asing telah ditanya apa pandangan beliau tentang isu murtad Azlina Jailani! Jawapan Anwar, Azlina Jailani berhak memilih agamanya! Maknanya Azlina Jailani boleh murtad daripada Islam untuk memilih agama lain! Jadi, apabila Izzah membuat kenyataan bahawa orang Melayu juga patut diberi hak memilih agamanya, tujuan dan maksudnya sama saperti kenyataan bapanya! Persoalannya, adakah ini kes “bapak borek anak rintik”? 

RUMUSAN 

Persoalan yang lebih besar untuk rakyat Malaysia, khususnya umat Islam bangsa Melayu ialah apakah dasar pakatan DAP-PKR-PAS dalam isu hak orang Melayu beragama Islam untuk murtad? Nurul Izzah bukan calang orang! Nurul Izzah adalah anak Anwar Ibrahim, Ketum PKR! Nurul Izzah adalah anak orang yang diwar-warkan untuk menjadi PM oleh pembangkang! Nurul Izzah adalah anak kepada Presiden PKR! Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR! Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen PKR! Dan pandangan Nurul Izzah sama dengan pandangan bapanya yang dikompangkan sebagai calon bakal PM untuk pembangkang! Dalam keadaan itu, kenyataan yang dibuat Nurul Izzah boleh ditafsirkan sebagai mewakili suara, hasrat, rancangan, agenda & dasar PKR dan pakatan pembangkang! 

1. Persoalannya, adakah menjadi dasar pembangkang akan meminda Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk membuang ciri-ciri Melayu tidak termasuk “wajib beragama Islam?” untuk membolehkan Melayu mendapat hak kebebasan memilih agama sendiri selain Islam? 

2. Adakah pembangkang akan menggubal undang-undang untuk memberi kebebasan kepada orang Melayu beragama Islam untuk murtad dan memilih agamanya? 

3. Adakah menjadi dasar pembangkang akan menerima desakan Majlis Peguam bersama beberapa NGO lain untuk menerima tuntutan penubuhan IFC untuk. memberi kebebasan agama dan murtad kepada orang Melayu beragama Islam! 

4. Adakah menjadi dasar pakatan pembangkang menerima pakai dan akan melaksanakan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia yang menerima hak kebebasan memilih agama, dan membenarkan murtad? 

5. Persoalannya ialah adakah pimpinan dan para ulama dan ustad PAS sebagai parti rakan sebantal sekatil pembangkang ini bersetuju dengan pandangan dan pendirian Nurul Izzah ini? 

Jika mereka bersetuju,teman cadangkan supaya satu muktamar khas diadakan bagi membolehkan ahli akar umbi PAS dimaklumkan mengenainya, dan untuk mendapat persetujuan mereka kerana ini membabitkan satu isu dasar yang sangat besar ; iaitu satu dasar yang akan sekaligus menghapuskan bangsa Melayu itu sendiri! 

Kenyataan Nurul Izzah tersebut jelas bercanggah dengan status dan kedudukan orang Melayu yang sudah diterima umum sebagai beragama Islam. Malahan sudah dimaktubkan begitu rupa didalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan bangsa Melayu wajar berbangga dan bersyukor kerana ia satu-satunya bangsa didunia ini yang bukan sahaja kewujudannya dikait-rapat dengan agama Islam; malah ia merupakan satu-satunya bangsa yang ditakrif ciri-ciri bangsanya dengan agama Islam saperti yang tercatat dalam Artikel 160 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan! Mencadangkan bangsa Melayu wajar diberi kebebasan memilih agamanya selain Islam, boleh murtad dari agamanya Islam sama saperti cuba menghapuskan bangsa Melayu itu sendiri! Ianya satu penghinaan kepada bangsa Melayu, agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan. Malah ianya mencabar aqidah bangsa Melayu secara langsung! 

Pada teman, cadangan, pandangan dan pendirian Nurul Izzah ini adalah sangat merbahaya kepada keharmonian agama dan kaum! Sudah pasti ianya akan mencetuskan satu polemik yang bakal mengundang rasa tidak puas hati dan kemarahan orang Melayu beragama Islam. Kepada umat Islam bangsa Melayu, teman berharap dan berdoa supaya bukalah mata! Sudah terlalu banyak isyarat, keterangan dan bukti yang telah ALLAH hantarkan untuk menyedarkan kita! Sudah banyak solat hajat dan doa kita minta supaya ALLAH tunjukkan kebenaran! Dan ALLAH telah pun menunjukkan kebenaran itu dengan pelbagai bukti, keterangan dan isyarat!! Janganlah jadi kaum yang disebut ALLAH sebagai PBB-Pekak, Bisu & Buta kepada kebenaran! 

Wallahua’lam & Wassalam. 

Adios amigos, grasias senor! 

Zulkifli Bin Noordin Isnin 20 Zulhijjah 1433 05 Nov 2012 

07 October, 2012

LAGI AHLI PKR SERTAI UMNO



Lagi ahli PKR meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO.

Petang tadi, seramai 63 ahli PKR dari Kampung Pasir, Kampung Sungai Muda dan Kampung Ulu Slim dalam Bahagian Tanjong Malim menyerahkan borang untuk menyertai UMNO. Mereka diketuai Puan Jamilah Hayat, 40.

Dikhabarkan lebih ramai akan mengikut jejak langkah rakan-rakan mereka itu.  Malahan ketika majlis berjalan, seramai 5 orang lagi bekas ahli PKR menyerahkan salinan kad pengenalan mereka untuk menganggotai UMNO, menjadikan jumlahnya kepada 68 orang.

Ketiga-tiga kampung itu terletak dalam DUN Behrang yang dimenangi PKR dalam PRU12 lalu. BN tewas 40 undi di Peti Undi Ulu Slim kesan daripada peralihan sokongan pengundi dari kampung-kampung berkenaan.

Dalam PRU11 2004, BN menang di peti undi berkenaan dengan memperolehi 457 undi berbanding 150 undi yang diterima PKR. Namun dalam PRU12 2008, keputusannya terbalik di mana BN hanya memperolehi 294 undi, berbanding PKR 334 undi.

Penyertaan mereka ke dalam UMNO meningkatkan lagi keyakinan BN untuk memenangi kerusi DUN Behrang dalam PRU13 nanti. InsyaAllah.

(TERKINI hari ini (8 Oktober), 10 lagi rakan mereka menyerahkan borang untuk menyertai UMNO menjadikan jumlahnya hingga kini 78 orang.)
 

09 August, 2012

DRB-HICOM - BANDAR AUTOMOTIF RM1B DI TANJONG MALIM


DRB Hicom Bhd bercadang membangunkan semula projek bandar automotif bernilai lebih RM1 bilion di yang tergendala sejak 15 tahun yang lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan, selepas melalui perbincangan dengan kerajaan negeri, DRB Hicom bersetuju untuk menjadikan kawasan seluas 4,000 ekar di Tanjung Malim sebagai pusat industri automotif.

“Syarikat berkenaan telah membentangkan pelan baru yang cukup komprehensif  bagi menjadikan Tanjung Malim sebagai pusat pengeluaran utama Proton,” katanya.

Beliau juga dimaklumkan bahawa satu pasukan khas telah ditugaskan untuk melawat beberapa bandar automotif terbesar di luar negara seperti Jerman yang menjadi bandar pengeluar kereta berjenama Volkswagen.

Dengan adanya perancangan besar yang dikemukan DRB-Hicom, beliau percaya projek  Proton City yang dilaksanakan di kawasan itu bakal menjadi salah satu mercu tanda setelah terbiar sekian lama.

“Saya percaya dengan pengurusan baru DRB-Hicom dan komitmen yang ditunjukkan juga begitu baik sekali,” ujarnya.

Dr Zambry berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, beliau katanya, pasti kesungguhan pengurusan DRB-Hicom yang ingin menjadikan Tanjung Malim sebagai pusat pengeluaran kereta dan bandar automotif mampu dilaksanakan.

Di samping itu, perbincangan mengenai keperluan mendirikan sekolah serta kemudahan pendidikan yang lain akan diadakan  memandangkan berlakunya penambahan penempatan penduduk di situ.

“Kawasan 4,000 ekar itu termasuk kawasan Universti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dijangka penduduk kampus mencapai 20,000 atau lebih ditambah dengan pembangunan hartanah oleh DRB melalui anak syarikatnya,” jelasnya lagi.

Sehingga kini, projek pembangunan di kawasan tersebut sudah mencapai hingga 30 peratus dan untuk pelaksanaan secara menyeluruh, DRB-Hicom memerlukan kawasan tanah yang baru untuk mendirikan kawasan komersial di Tanjung Malim.

Sumber : Perak Today

30 July, 2012

LAJIM UKIN DALAM KENANGAN


Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Janang Gayuh kaum Bisaya di Beaufort, Sabah dengan jelas telah menunjukkan haluan politiknya menjelang Pilihanraya Umum Ke-13. Beliau tidak lagi akan berada dalam kapal Barisan Nasional (BN), sebaliknya akan bersama Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang ditubuhkannya bersama seorang lagi Ahli Parlimen yang meninggalkan BN, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing. PPS hampir pasti akan bersekongkol dengan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Itulah politik Lajim sebenarnya. Bermula daripada 1985 ketika memenangi kerusi DUN Klias,sehinggalah semalam ketika Ahli Parlimen Beaufort itu mengumumkan perletakan jawatannya daripada beberapa posisi penting BN dan UMNO, Lajim adalah tokoh politik Sabah yang tidak punya rasa setia kepada parti politik yang dianggotainya.

Mengenali Lajim sejak 1986 dan pernah menghasilkan buku autobiografinya ketika saya di Sabah, beliau dilihat seorang ahli politik opportunis yang sentiasa mengambil kesempatan yang menguntungkan dirinya sendiri, tanpa menghiraukan kepentingan partinya.

Lajim bertanding atas tiket PBS di DUN Klias pada 1985 setelah hasratnya untuk menjadi calon parti Berjaya dipandang sepi oleh Datuk Harris Salleh yang menjadi Presiden parti dan Ketua Menteri Sabah ketika itu. Beliau menang dan kemudiannya menjadi anak emas kepada Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan (kini Tan Sri).

Pairin mengangkat Lajim ke jawatan penting bermula daripada Pembantu Menteri hinggalah Menteri penuh dalam Kerajaan PBS.  Sepanjang di dalam Kerajaan PBS, Lajim bercita-cita besar untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri yang mewakili kuota Bumiputera-Islam, tetapi hasrat beliau itu selalu dibayangi oleh seorang lagi anak emas Pairin, iaitu Datuk Bahrom Abu Bakar Titingan, pemimpin suku kaum Suluk dari Tawau. Kaum Suluk, yang hampir keseluruhannnya beragama Islam adalah suku kaum Bumiputera-Islam yang terbesar di Sabah, mengatasi kaum Bisaya.

Selepas Pilihanraya Negeri 1990, biarpun Bahrom tewas di Balung atas tiket PBS, tetapi Pairin masih melantiknya ke jawatan ADUN dan mengekalkan jawatannya selaku Timbalan Ketua Menteri  mewakili Bumiputera-Islam yang menyebabkan Lajim mengamuk semasa upacara angkat sumpah di Istana. Lajim ketika itu menang di Klias menewaskan calon USNO, Azizah Mohd Dun dengan majioriti 791 undi.

Sepanjang penguasaan PBS di Sabah, bukan rahsia lagi berlaku perebutan jawatan penting antara Lajim dan Bahrom bagi kuota Bumiputera-Islam, samalah keadaannya di antara Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Chau Tet On bagi kuota kaum Cina. Dalam setiap kali pertandingan, kemenangan berpihak kepada Bahrom. Teck Lee pula berjaya menewaskan Tet On yang kemudiannya mengerakkan MCA di Sabah.

Lajim memendam rasa sejak sekian lama di dalam PBS, walaupun beliau memegang jawatan Menteri dalam kabinet Pairin. Sebaliknya Teck Lee bertindak menjelang Pilihanraya Negeri Sabah pada 1994 dengan meninggalkan PBS dan menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP). Tindakan Teck Lee itu agak menghairankan kerana beliaulah antara individu yang kuat mempengaruhi Pairin supaya membawa PBS keluar daripada BN menjelang Pilihanraya Umum 1990.

Lajim, walaupun menang sekali lagi kerusi DUN Klias dalam Pilihanraya Negeri 1994, telah mula menunjukkan reaksi untuk mengkhianati PBS dan Pairin. Bukan rahsia lagi ketika ADUN-ADUN PBS berkampung di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri dalam peristiwa di luar pintu pagar Istana sebaik selesai pilihanraya itu, Lajim sudah menghantar mesej mahu meninggalkan PBS dan melompat ke BN. Dalam pilihanraya tersebut, PBS menang tipis dengan 25 kerusi, berbanding 23 dimenangi BN.

Ketika itu Pairin menunggu dalam kereta di luar pintu pagar Istana selama 36 jam bersama penyokong-penyokong PBS untuk masuk mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Yang Di-Pertua Negeri Sabah ketika itu, Tun Haji Said Keruak. Lajim yang berada di Sri Gaya dalam keadaan ‘terkurung’ bersama ADUN-ADUN PBS yang lain berjaya meloloskan mesej untuk mengkhianati partinya itu yang menjadi antara sebab upacara angkat sumpah Ketua Menteri tertangguh.

Ketika itu, Lajim sudah merasakan bahawa keinginannya untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri bagi kuota Bumiputera-Islam tidak akan kesampaian kerana anak Tun Mustapha, Datu Amirkahar juga turut menang di DUN Banggi atas tiket PBS. Jelas, Pairin melantik Amirkahar selaku Timbalan Ketua Menteri bagi kuota Bumiputera-Islam yang meningkatkan api kemarahan Lajim terhadap Pairin dan PBS.

Biarpun Pairin berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, kekuasaannya tidaklah kekal lama apabila Lajim bertindak melompat ke parti UMNO bersama dengan ADUN Kemabong, Rubin Balang dan ADUN lantikan, Haji Zaini Md Isa.

Biarpun jasa Lajim dilihat begitu besar hingga menyebabkan peralihan kuasa daripada PBS kepada BN di Sabah, tetapi dia menyimpan cita-cita pula untuk menjadi pemimpin nombor satu Sabah, iaitu sebagai Ketua Menteri dalam sistem penggiliran jawatan itu yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Penggiliran pertama pastinya bukan milik beliau kerana Tun Sakaran Dandai lebih senior dan mempunyai hairaki kepimpinan yang lebih kanan dalam UMNO Sabah.  Selepas 11 bulan, atas faktor kesihatan, Tun Sakaran melepaskan jawatan itu tetapi kuota UMNO itu tidak singgah kepada Lajim, sebaliknya Datuk Salleh Tun Said Keruak dilantik.

Selepas Yong Teck Lee dan Tan Sri Bernard Giluk Dompok mengambil giliran bagi kuota Cina dan Bumiputera Bukan-Islam, jawatan itu tidak jatuh juga kepada Lajim, tetapi kepada Datuk Osu Sukam.  Selepas digilirkan kepada Dato’ Chong Kah Kiat, kemarahan Lajim semakin membuak-buak apabila jawatan idamannya itu jatuh pula ke tangan Datuk Musa Aman yang menjadi Ketua Menteri Sabah sejak Mac 2003 hingga sekarang.

Ketika ini Lajim mempersalahkan semua pihak. Baik Musa yang dilihat menjadi musuh ketatnya dalam politik Sabah, mahupun Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang diwar-warkan tidak akan mencalonkan lagi Lajim dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Lajim tidak boleh menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah sampai ke dinding.  Sikapnya yang tidak istiqamah kepada perjuangan parti sudah dapat dihidu sejak beberapa tahun lalu. Ugutan kepada pucuk pimpinan parti bukanlah cara yang baik bagi kelangsungan politik peribadi.

Lajim kini mahu mencari landasan lain untuk meneruskan kerier politiknya.  Bagi Lajim, sejak sekian lama hidup dan matinya adalah bergantung kepada politik. Selaku ahli politik opportunis, beliau sentiasa merangka langkah politik yang boleh menguntungkannya.

Perhitungan Lajim meninggalkan Berjaya dan bertanding atas tiket PBS terbukti mengena pada cita-cita politiknya apabila PBS menang dalam Pilihanraya Negeri 1985. Tindakannya meninggalkan PBS dan melompat ke UMNO juga ternyata mengena sehingga membolehkan BN mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah dari PBS pada 1994 dan seterusnya menyambung nasib politik beliau.

Entah apalah pula perhitungan dan bacaan politik Lajim kali ini sehingga sanggup meninggalkan BN dan mahu bersekongkol pula dengan PR. Tetapi Lajim perlu akui pepatah Melayu akan tiba ke atas dirinya – sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Hari ini Kabinet akan membuat keputusan terhadap kedudukan Lajim, sebagaimana dinyatakan oleh Najib semalam. Setelah tokoh Bisaya itu mengumumkan perletakan pelbagai jawatannya dalam UMNO dan BN, apalah gunanya lagi beliau duduk di kerusi Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan. Apa gunanya juga beliau kekal menjadi ahli UMNO.

Pecatlah sahaja Lajim, kerana kaum Bisaya di Sabah selama ini menyokong Lajim bukan kerana dirinya, tetapi kerana parti yang diwakilinya. Lajim akan  menjadi seperti Yong Teck Lee, yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai paramount leader (pemimpin agung) kepada kaum Cina di Sabah, tetapi akhirnya tersungkur dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sandakan yang majoriti pengundinya di kalangan kaum tersebut. Ironinya, Teck Lee tewas di tangan seorang wanita yang tidak menonjol dalam arena politik Sabah.

Akan muncul Janang Gayuh yang baru bagi kaum Bisaya di Beaufort. Lajim akan  menjadi kenangan dalam lipatan sejarah politik Sabah selepas PRU-13 nanti.

11 July, 2012

495 ISTERI PENEROKA FELDA BESOUT 2 KUMPULAN PERTAMA TERIMA DURIAN RUNTUH RM5,000


"SLIM RIVER - Seramai 495 isteri peneroka Felda Gunung Besout 2 dekat sini dipercayai menjadi kumpulan pertama dari seluruh tanah rancangan yang menerima durian runtuh Fasa 2 pagi ini.

Setiap mereka menerima cek RM5,000 yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Rata-rata mereka merasa terkejut kerana dalam ucapan pengurus Felda Besout 2, Encik Fadhil Mansor sebelum itu berkata cek durian runtuh itu hanya akan disampaikan beberapa hari lagi setelah mendapat keputusan mesyuarat antara Pengurus Besar Wilayah (RGM) seluruh negara hari ini.

Mohd Khusairi menyampaikan berita yang menggembira para isteri peneroka itu, setelah beliau mengetahui bahawa cek-cek berkenaan sudah ada di pejabat pengurus rancangan dan telah mendapat lampu hijau daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan sejurus sebelum memulakan ucapan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim hadir ke program perhimpunan bulanan peneroka (roll-call) tanah rancangan itu pagi ini bagi menyampaikan cek peruntukan RM100,000 untuk membina menara Masjid Saidina Umar Al-Khattab yang telah diluluskan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada April lalu.
Mohd Khusairi menyampaikan cek kepada Pengerusi Masjid Felda Besout 2
Dalam ucapannya, Mohd Khusairi berkata beliau bersimpati melihat kehadiran hampir keseluruhan isteri peneroka tanah rancangan itu, kerana beberapa hari lalu ada yang menghebahkan kononnya cek durian runtuh akan disampaikan dalam program berkenaan.

“Biarlah saya mendahulukan keputusan mesyuarat RGM dan bertanggungjawab atas perkara ini demi menggembirakan isteri-isteri peneroka yang begitu berharap untuk mendapatkan cek itu hari ini. Saya minta cek itu diserahkan hari ini juga,” katanya dalam ucapan disambut sorakan dan tepukan gemuruh.

Ketika berucap melancarkan prospektus saham Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberitahu bahawa penyampaian wang durian runtuh Fasa 2 kepada isteri-isteri peneroka akan dilaksanakan pada 7 Julai bersempena sambutan Hari Peneroka 2012 dan perasmian Menara Felda.
 
Seorang isteri peneroka Felda Besout 2, Puan Khatijah Awang Desa, 49 melahirkan rasa gembira dan terkejut apabila mendapat berita bahawa cek durian runtuh itu diserahkan hari ini.

“Terima kasih kepada wakil rakyat kami kerana berusaha supaya cek tu disampaikan kepada kami pada hari ini. Terima kasih juga kepada Perdana Menteri kerana telah mempertimbangkan supaya kami isteri peneroka juga menerima durian runtuh RM5,000 ini,” katanya yang juga Pengerusi GPW tanah rancangan berkenaan.

Puan Masnah Othman, 48 yang juga isteri peneroka turut bersyukur menerima cek durian runtuh itu hari ini dan berhasrat untuk menyimpan wang berkenaan dalam akaun Tabung Haji miliknya." - Berita Felda