18 December, 2012

DUN PERAK : ISU BLACKOUT DI BESOUT


HANSARD JAWAPAN KEPADA SOALAN 3 SIDANG DUN PERAK (17/12/2012) BERKAITAN GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK DI FELDA GUGUSAN BESOUT

YB DATO’ YANG DIPERTUA : Slim

YB DATO’ MOHD KHUSAIRI BIN ABDUL TALIB : Terima kasih Dato’ Yang Dipertua. Soalan  saya nombor 3 (Kejadian bekalan elektrik terputus sering berlaku di Felda Gugusan Besout disebabkan penggunaan melebihi kapasiti bekalan tenaga. Apakah langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengatasi masalah ini dan bilakah boleh dilaksanakan?)

YB DATO’ RAMLY BIN ZAHARI : Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, izinkan saya menjawab soalan Yang Berhormat daripada Slim. Kawasan Felda Gunung Besout menerima bekalan elektrik dari Stesen Suis Prah melalui sistem talian atas tidak bertebat. Berdasarkan rekod, terdapat beberapa insiden gangguan bekalan elektrik yang berlaku melibatkan kawasan Felda Gunung Besout pada bulan Februari 2012 hingga November 2012.

Punca gangguan bekalan yang berlaku adalah disebabkan oleh faktor cuaca di mana hujan lebat dan petir telah menyebabkan sistem pepasangan TNB mengalami gangguan sementara. Selain itu, ia juga adalah disebabkan oleh talian tidak bertebat TNB yang putus disebabkan kilat. Namun begitu, pihak TNB telah mengambil tindakan pembaikan ke atas semua gangguan bekalan elektrik tersebut pada hari yang sama.

Berikut adalah statistik gangguan bekalan Voltan Sederhana di mana terdapat pengurangan gangguan bekalan sebanyak 79 peratus bagi tahun 2011 dan 2012 berbanding tahun 2009/2010 untuk tempoh September hingga Ogos manakala untuk tempoh September hingga November 2012 hanya terdapat dua (2) gangguan sahaja.

Statistik yang dimaksudkan adalah statistik gangguan bekalan Voltan Sederhana melibatkan kawasan Besout :-


Pengurangan tersebut adalah hasil daripada tindakan berdasarkan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang seperti berikut. Pelan Tindakan Jangka Pendek, bagi mengatasi masalah gangguan bekalan di kawasan tersebut, pihak TNB sedang menjalankan senggaraan berjadual dan menyeluruh melibatkan pembekal ke kawasan Felda Gunung Besout.

Manakala untuk Pelan Tindakan Jangka Panjang selain daripada yang di atas, bekalan baru dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bidor ke Pencawang Pembahagian Utama (PPU) di Trolak Jaya telahpun siap di mana bekalan elektrik ke kawasan Felda Gunung Besout telah diberikan sepenuhnya dari PPU baru tersebut pada 25 Mei 2012.

Bagi pelan tindakan jangka panjang yang lain, pihak TNB akan mengambil inisiatif bagi menggantikan talian atas tidak bertebat tersebut kepada sistem talian atas bertebat yang lebih berdaya secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015.

Dengan terlaksananya kerja-kerja pengukuhan sistem pembekalan elektrik seperti yang tersebut di atas, dijangkakan kekerapan gangguan bekalan di kawasan Felda Gunung Besout akan dapat diatasi.

YB DATO’ YANG DIPERTUA : Slim

YB DATO’ MOHD KHUSAIRI BIN ABDUL TALIB : Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberikan jawapan yang begitu jelas sekali. Saya ingin mengemukakan soalan tambahan. Kebiasaannya apabila berlaku gangguan bekalan elektrik ataupun dengan izin blackout. Sedikit sebanyak boleh mengakibatkan kerosakan kepada barang-barang elektrik seperti televisyen, mesin basuh dan lain-lain. Bolehkah rakyat atau pengguna yang menghadapi masalah kerosakan elektrik akibat daripada bekalan terputus ini memohon ganti rugi dan kalau boleh bagaimanakah caranya?

YB DATO’ RAMLY ZAHARI : Terima kasih soalan tambahan daripada Yang Berhormat Slim. Secara perundangan yang jelas Tenaga Nasional ini tidak ada menyatakaan bahawa sebarang kerosakan secara automatiknya boleh dibayar gantirugi tetapi pihak Tenaga Nasional ada ruang yang tertentu seperti memberi pertolongan secara wang ehsan kepada pengguna yang telah mengalami kerosakan pada peralatan elektrik kesan daripada gangguan bekalan tersebut. Cuma yang pentingnya saya menyarankan kepada pengguna yang terlibat di kawasan-kawasan manapun di Negeri Perak, pastikan dalam masa yang cepat berjumpa dengan pusat operasi TNB yang berhampiran dan menyenaraikan sebarang aduan kerosakan dan sebagainya dan InsyaAllah pihak TNB akan turun menyiasat dalam waktu yang segera dan ada kadar yang tertentu yang boleh dilangsaikan oleh pihak TNB.

No comments: