05 July, 2012

UNCLESEEKERS DITAHAN. SYABAS POLIS. DAULAT TUANKU!!


JOHOR BAHRU 5 Julai - Pengamal paranormal, Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau dikenali sebagai Uncle Seekers yang didakwa mengaibkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di dalam blognya baru-baru ini ditahan di Plaza Tol Senawang malam tadi.

Difahamkan, dia ditahan oleh polis dari kontinjen Johor pada pukul 9.45 malam dan kini dibawa ke negeri ini dipercayai bagi siasatan lanjut ekoran laporan dibuat sekumpulan 30 individu mengenai tulisannya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, 1 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perkara itu hari ini. - UTUSAN

18 June, 2012

BEKAS ISTERI PENEROKA LAYAK TERIMA DURIAN RUNTUH

Melegakan. Felda memutuskan bekas isteri atau janda peneroka layak menerima durian runtuh yang bakal diserahkan pada 7 Julai nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, walaupun peratusan peneroka berkahwin lebih dari satu adalah kecil, namun Felda mengambil perhatian sewajarnya berkaitan isu tersebut.

Semasa 'klinik rakyat' pada Selasa lalu, lima janda peneroka datang ke pejabat saya mengadukan bahawa Felda sebelum itu memutuskan bahawa durian runtuh fasa 2 sebanyak RM5,000 hanya untuk isteri peneroka, dan bekas isteri peneroka (janda) tidak layak menerimanya.

Saya juga merasakan perkara itu tidak adil memandangkan isteri peneroka yang diceraikan ini telah lama bertungkus-lumus membangunkan ladang bersama-sama suami mereka.

Saya mengadukan hal ini kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ahmad Maslan supaya keputusan lain dibuat oleh Felda agar janda peneroka juga diberikan kelayakan untuk menerima durian runtuh berkenaan.


Selepas merasmikan Karnival dan Penjenamaan Kolej serta Pelancaran Alumni Yayasan Felda di Kolej Yayasan Felda Kampus Mempaga semalam, Mohd Isa berkata pembahagian durian runtuh sebanyak RM5,000 itu hendaklah sama rata iaitu RM2,500 setiap seorang, antara isteri dan janda peneroka.

“Begitu juga sekiranya isteri  pertama atau kedua-duanya mempunyai anak, wang agihan durian runtuh turut membabitkan semua anak,” katanya.

Mohd Isa berkata, bagi memastikan urusan penyerahan durian runtuh berjalan lancar, mereka (bekas isteri peneroka) diminta tampil ke pejabat rancangan untuk memberi maklumat.

Menurutnya, bantuan ketua peneroka juga diperlukan untuk mengesan kes seperti itu. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Felda akan mempergiatkan aktiviti turun padang bertemu peneroka untuk menjelaskan
kekeliruan terutama berkaitan pembahagian saham.

Menurutnya, beliau yakin peneroka faham dengan jelas berhubung perkara itu dan tidak lagi terpengaruh dengan pembangkang yang nyata ketandusan isu.

Lihat SINAR HARIAN


12 June, 2012

LAWATAN KE POS KEDING, GESAU DAN TIBANG


Pada 9-10 Jun 2012, saya mengadakan lawatan ke perkampungan Orang Asli Pos Gesau, Pos Tibang dan Pos Keding. Pada masa yang sama, program perkelahan bersama rakyat dari Kampung Ulu Slim dan Kampung Pasir juga diadakan di kawasan rekreasi Kuala Keding.


Terima kasih Yok Singgee A/L Bah Dong dan isterinya, Hanasan A/P Yok Hirun kerana sudi menerima dan menyediakan ruang tamu untuk saya tidur di rumahnya malam tadi di Kampung Keding, Ulu Slim. Pertama kali saya tidur bersama keluarga masyarakat Orang Asli, dan ianya satu pengalaman yang akan kekal dalam ingatan.


 

 








02 June, 2012

DURIAN RUNTUH RM15,000 - KENAPA PENEROKA FELDA DI MELAKA TAK IKUT FASA?

SEBAHAGIAN peneroka Felda menunjukkan replika cek yang disampaikan Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd. Ali Rustam (tengah) pada Majlis Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad di Felda Tun Ghafar Kemendor, Melaka, kelmarin.

Syabas diucapkan kepada para peneroka Felda di Negeri Melaka yang telah menerima sepenuhnya RM15,000 durian runtuh tanpa perlu menunggu fasa demi fasa, berbanding dengan negeri-negeri lain. Mungkin ada kriteria lain yang membolehkan peneroka seramai 1,330 orang ini menikmati keistimewaan tersebut, berbanding lebih 111,000 peneroka lain.

Ketika melancarkan prospektus Felda Global Ventures (FGV) semalam, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak turut mengumumkan bahawa durian runtuh fasa kedua kepada isteri peneroka sebanyak RM5,000 akan dilaksanakan pada 7 Julai 2012 bersempena Hari Peneroka dan perasmian Menara Felda yang gah di ibukota Kuala Lumpur itu.

Sebelum ketibaan Perdana Menteri ke majlis itu, saya dikejutkan oleh maklumat yang disampaikan oleh seorang individu berjawatan penting di Ibupejabat Felda (yang juga orang Melaka) bahawa para peneroka di negerinya telahpun menerima keseluruhan RM15,000 durian runtuh itu.

Kerana tidak yakin dengan berita itu, saya membelek akhbar Utusan Malaysia dan ternyata berita itu adalah benar. Berita itu seperti yang tertera di bawah : 

JASIN 23 Mei - Seramai 1,330 peneroka Felda di negeri ini menarik nafas lega apabila durian runtuh yang dijanjikan oleh kerajaan berjumlah RM19.95 juta kepada mereka kini telah berada di depan mata.

Tambah menggembirakan, setiap keluarga diberikan terus RM15,000 berbanding beberapa negeri lain yang penyampaian insentif itu dilakukan dalam tiga fasa iaitu RM5,000 bagi setiap fasa.

Durian runtuh itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada Majlis Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Felda Tun Ghafar Kemendor, di sini semalam.

Habuan berjumlah RM19.95 juta itu melibatkan 380 peneroka Felda Tun Ghafar Kemendor dan Air Kangkong, Felda Tun Ghafar Machap (120), Felda Tun Ghafar Menggong (97), Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh (448) dan Felda Tun Ghafar Hutan Percha (285). (Berita penuh di SINI)

Tidak pula ada rasa cemburu dengan apa yang diterima oleh para peneroka di Melaka itu, kerana itu sudah ditakdirkan untuk mereka. Cumanya selaku wakil kepada rakyat di kawasan yang mempunyai ramai peneroka Felda, bertambahlah satu tugas untuk saya menjelaskan kenapa peneroka di Melaka mendapat layanan sedemikian. Sehingga kini saya tidak mendapat satu bentuk jawapan yang pasti.

Alangkah baiknya jika berita seumpama ini tidak disiarkan di media massa, tambahan media arus perdana. Bukankah elok disiarkan untuk berita dalaman Melaka sahaja atau di dalam buletin tanah-tanah rancangan itu semata-mata?

Dalam masa hendak menonjolkan betapa hebatnya kepimpinan di Negeri Melaka yang sememangnya hebat itu, dan beruntungnya 1,330 peneroka Felda di sana, ianya sedikit sebanyak telah mencuit hati dan menimbulkan tanda tanya kepada lebih 111,000 keluarga peneroka di negeri-negeri lain. Sesungguhnya berita itu menggembirakan kumpulan kecil peneroka sahaja, tetapi tidak pada kumpulan besar yang lain.

Apa yang telah dijadualkan oleh Perdana Menteri dan Felda untuk pengagihan durian runtuh mengikut fasa ini sudah molek sangat dan tidak wujud pertikaian di kalangan ketua keluarga, isteri ataupun anak-anak peneroka. Mereka akur dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan Felda.

Cumanya apabila ada sedikit perkembangan luar biasa, mereka pasti akan tertanya-tanya. Tetapi mereka yakin, bahawa rezeki itu akan datang juga akhirnya mengikut fasa yang telah ditetapkan. Kesabaran dan ketabahan golongan peneroka dan keluarga mereka menghuni kawasan pendalaman yang serba serbi kekurangan ketika mula menjejakkan kaki ke tanah rancangan Felda pastinya tidak menjejaskan arah tumpuan mereka.

Majoriti mereka bersyukur dengan rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih kepada Allahyarham Tun Abdul Razak yang mengasaskan Felda.


29 May, 2012

VIDEO - SAJAK SPONTAN SEORANG PENEROKA


NAMA PENYAJAK : Haji Ujang Man
PEKERJAAN         : Peneroka Felda
JAWATAN              : Bendahari UMNO Cawangan Felda Sungai Behrang


22 May, 2012

TRAGEDI TANAH RUNTUH DI BESOUT


Mangsa tanah runtuh tengahari tadi, Mohd Nor Fitri Musa, 25 bersama dua rakannya melakukan kerja-kerja pemasangan kabel telekom di tapak projek membaikpulih jalan yang sebelum ini hampir terputus berhampiran masjid Felda Besout 2.

Kerja-kerja membaikpuih jalan berkenaan telah dimulakan sejak lebih sebulan lalu dengan peruntukan kira-kira RM140,000, dan hampir siap. Jalan yang sudah ditambak sepenuhnya dan menunggu untuk ditabur batu dan diturap oleh pihak kontraktor, terpaksa dikorek semula oleh pihak Telekom Malaysia untuk membaiki kabel yang dikatakan terputus.

Ketika tiga pekerja syarikat pembinaan itu memasang kabel di dalam lubang yang baru dikorek sedalam kira-kira empat meter, runtuhan tanah yang dikorek berlaku dan telah jatuh menimpa mereka.

Tubuh Mohd Nor Fitri tertimbus sepenuhnya, dan bantuan orang ramai untuk mengeluarkannya segera dari timbunan tanah menjadi buntu kerana dihalang oleh seketul batu besar, sehinggalah pihak bomba tiba.


Dua lagi rakannya hanya tertimbus di paras pinggang dan lutut, dan diberikan rawatan pesakit luar di Pusat Kesihatan Felda Besout 3. Bagaimanapun Mohd Nor Fitri gagal diselamatkan.

Mohd Nor Fitri yang berasal dari Kampung Mak Teh, Tapah Road adalah anak ke-8 daripada sembilan adik beradik. Ibu dan bapanya yang ditemui di Pusat Kesihatan Felda Besout 3, sempat menceritakan petanda anih pagi tadi kerana gayung yang digunakan oleh allahyarham patah ketika mandi.

"Mak cik dah tiga hari rasa berdebar-debar. Bila tanda itu berlaku ke atas anak makcik pagi tadi, mak cik dah dapat rasa sesuatu," katanya dengan nada sugul.

Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan roh allahyarham dan semoga ditempatkan di kalangan para solehin. Al-Fatihah.

Menemui bapa Mohd Fitri dan ibunya yang bergegas ke Pusat Kesihatan Felda Besout 3

Bernama melaporkan :

IPOH : Seorang pekerja sebuah syarikat pembinaan maut, manakala dua lagi cedera apabila tertimbus dalam timbunan tanah sedalam empat meter ketika melakukan kerja-kerja mengorek lubang di Jalan Masjid, Felda Besaut 2, Sungkai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Osman Nayan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika mangsa yang meninggal dunia, Mohd Nor Fitri Musa, 25, serta dua lagi rakannya Nuzul Mohamad Shaari, 25, dan Mohd Shahril Zaidi Mohd Ismail, 24, sedang melakukan kerja-kerja mengorek lubang untuk menanam kabel di kawasan berkenaan.

Beliau berkata Mohd Nor Fitri meninggal dunia di Klinik Kesihatan Felda Besaut akibat cedera parah di bahagian kepala manakala dua lagi rakannya yang cedera turut dirawat di klinik yang sama.

Katanya ketiga-tiga mangsa tertimbus apabila tanah di bahagian tepi tebing lubang yang dikorek runtuh.

Dua pekerja Telekom Telekom Malaysia Bhd yang berada di tempat kejadian bagi memantau pekerja terbabit yang melakukan kerja-kerja mengorek lubang untuk syarikat berkenaan cuba membantu mangsa tetapi gagal. Mereka kemudiannya menghubungi pihak polis.

Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan mengunakan jentera pengorek dan kesemua mangsa dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan.

Mayat Mohd Nor Fitri kemudiannya di hantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut. - Bernama