14 May, 2012

CABARAN KE POS TENAU


Saya dan Ahli Parlimen Tanjong Malim, Dato' Seri Ong Ka Chuan melakukan lawatan ke perkampungan Orang Asli Pos Tenau, yang terletak di kawasan pendalaman Ulu Slim berhampiran Banjaran Titiwangsa bermula hari ini hingga esok.

Lawatan sempena program Juara Rakyat dan penyampaian bantuan persekolahan 1MDB kepada lebih 80 pelajar SK Pos Tenau.

Perjalanan bermula jam 10.00 pagi tadi dan tiba di Pos Tenau jam 1.30 petang. Dalam perjalanan sempat singgah di Pos Bangkong dan Pos Keding bertemu rakyat di sana dan menyampaikan bantuan barangan makanan.

Malam ini semakan daftar pemilih Pusat Daerah Mengundi Pos Tenau diadakan, selain majlis makan malam dan ramah mesra bersama penduduk di sini.



13 May, 2012

PENEROKA BERDEMO DI MAYBANK ESOK


Berpuluh ribu peneroka Felda akan berarak ke cawangan-cawangan Maybank di seluruh negara esok untuk berdemontrasi secara aman. Mereka akan menyerbu kaunter-kaunter pelanggan seawal jam 9.30 pagi, sebaik bank itu mula beroperasi.

Jika demo Bersih menggusarkan golongan peniaga yang menanggung kerugian kerana terpaksa menutup kedai, demo peneroka ini sebaliknya menggembirakan mereka. Malahan peniaga membuka kedai seluas-luasnya dan menawarkan pelbagai promosi jualan bagi menarik demonstran memasuki premis mereka dan berbelanja.

Para peneroka berdemo ke Maybank berikutan kebanjiran cek RM5,000 di tanah rancangan mereka sejak Jumaat lalu. Cek-cek itu bertarikh 9 Mei 2012, sehari selepas Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan durian runtuh kepada lebih 112,000 peneroka di seluruh negara. Maybank adalah bank pembayar bagi durian runtuh itu.

Kebanyakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengambil peluang untuk menyampaikan cek-cek tersebut pada hari cuti umum yang jatuh pada hari Sabtu (semalam) dan hari ini. Mereka berlumba-lumba mahu menyerahkan segera cek-cek berkenaan kepada peneroka, tanpa perlu menunggu tempoh akhir selama dua minggu seperti ditetapkan, iaitu pada 24 Mei depan.

Semua pemimpin BN berfikiran mahu segera menggembirakan warga peneroka. Namun berhati-hatilah ketika berdemo. Harap tak ada yang merempuh pintu cermin sebelum masanya, dan tak ada security guard yang dipukul dan ditendang seperti apa yang berlaku terhadap polis di Dataran Merdeka. Sebab ada yang menerima durian runtuh ini merupakan pendokong Bersih 3.0.

Di PARLIIMEN TANJONG MALIM, pemberian pertama dilakukan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di Felda Besout 2 pada 10 Mei lalu, di mana lima orang peneroka dari 10 tanah rancangan dalam kawasan ini menerima cek berkenaan.

Keesokan harinya, iaitu Jumaat lalu, seramai 399 peneroka Felda Besout 2 menerima cek mereka di sebelah pagi, menyebabkan cawangan-cawangan Maybank di sekitar Slim River, Bidor dan Tanjong Malim diserbu oleh peneroka-peneroka berkenaan sehingga waktu urusniaga berakhir jam 4.00 petang.

Sehingga petang tadi, sebanyak 1,828 cek telah diserahkan kepada para peneroka di enam tanah rancangan Felda dalam Parlimen Tanjong Malim. Jumlah itu merangkumi Felda Besout 2 (399 keping), Felda Besout 1 (520), Felda Besout 3 (271), Felda Besout 4 (197), Felda Besout 5 (97) dan Felda Sungai Behrang (344).

Inilah jumlah peneroka dari kawasan Felda dalam Parlimen Tanjong Malim yang akan berdemo ke Maybank di sekitar Slim River, Bidor dan Tanjong Malim pagi esok, setelah urusniaga bank ditutup dua hari kerana cuti umum.

Empat lagi tanah rancangan dalam Parlimen ini akan menerima cek durian runtuh beberapa hari lagi. Felda Sungai Klah akan menerimanya pada 15 Mei jam 2.30 petang, Felda Trolak Timur dan Trolak Selatan pada 16 Mei masing-masing pada jam 8.30 pagi dan 2.30 petang, sementara yang terakhir Felda Trolak Utara pada 17 Mei jam 8.30 pagi.

Disebabkan cek-cek yang dikeluarkan merupakan cek dalaman (in house cheque) yang boleh ditunaikan serta merta tanpa perlu didepositkan, adalah dinasihat supaya para peneroka tidak terlalu ghairah membawa kesemua wang tunai RM5,000 itu pulang ke rumah. Cukuplah sekadar keperluan, dan selebihnya simpanlah di dalam akaun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti rompakan dan pecah rumah.

Terima kasih PM.

Penyampaian Broom kepada 476 penerima di Felda Sungai Behrang petang tadi.
Kepada 197 penerima di Felda Besout 4 (9.00 pagi tadi)
Jam 11.30 pagi kepada 97 penerima di Felda Besout 5

12 May, 2012

BROOM RM5,000 DI FELDA BESOUT

Dua hari selepas Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan durian runtuh di Felda Jengka 8 pada 8 Mei lalu, majlis penyerahan cek dimulakan bagi Felda Wilayah Trolak yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir di padang awam Felda Besout 2.

Seramai lebih 2,000 peneroka dari 21 tanah rancangan Felda dalam Wilayah Trolak hadir ke majlis tersebut, 17 dari Negeri Perak dan 4 dari Negeri Selangor.

MB Dr. Zambry menyampaikan replika cek kepada cawangan saya, Felda Sungai Behrang

Sehari kemudiannya (11 Mei), saya menyampaikan cek durian runtuh kepada setiap peneroka di Felda Besout 2 seramai 399 orang dan Felda Besout 1 (520 orang). Boleh dikatakan kehadiran penerima seratus peratus.

Ramai juga muka yang saya tak pernah jumpa dalam program-program yang saya hadiri sebelum ini. Hati rasa puas kerana dapat berucap dan menyampaikan mesej Perdana Menteri dan Felda berkaitan penyenaraian FGVH kepada mereka.

Penyampaian Broom di Felda Besout 2 (399 penerima)


Penyampaian Broom di Felda Besout 3 (520 penerima)

Pagi tadi (12 Mei) saya menyampaikan pula durian runtuh kepada 271 penerima di Felda Besout 3. Kerana jumlahnya tidak seramai di Besout 1 dan 2, saya mengambil masa yang agak panjang dalam ucapan. Tambahan lagi, ada di kalangannya yang mungkin pertama kali mendengar saya berucap, atau mungkin pertama kali juga secara live mendengar ucapan pemimpin UMNO.

Syukur, mereka kusyuk mendengar. Semoga hati yang pekat diracun pemimpin pakatan DAP-PAS-PKR sebelum ini semakin sembuh.

Broom di Felda Besout 3 (271 penerima)
Apapun, apa yang saya ucapkan adalah ikhlas lahir dari hati seorang anak peneroka Felda. Walaupun agak pahit, tapi buah pahit yang tak pernah ditelan mungkin menjadi penawar. Saya mahu melihat ayah-ayah dan ibu-ibu saya mengecapi rezeki yang dihidangkan oleh Felda melalui penyenaraian FGVH.

Esok (Ahad) saya akan menyampaikan cek broom di Felda Besout 4 (8.30 pagi), Felda Besout 5 (11.00 pagi) dan kampung saya sendiri Felda Sungai Behrang (2.30 petang).

Saya akan bersama menyampaikan broom di Felda Sungai Klah pada 15 Mei jam 2.30 petang. Kemudian pada 16 Mei di Felda Trolak Timur (8.30 pagi) dan Felda Trolak Selatan (2.30 petang) sebelum yang terakhir, Felda Trolak Utara pada 17 Mei jam 8.30 pagi.

Terima kasih PM. Terima kasih Felda.

Sama-sama kita sedekahkan surah Al-Fatihah kepada pengasas Felda, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussin.


08 May, 2012

PM UMUM DURIAN RUNTUH RM1.68 BILLION


Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengumumkan durian runtuh berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada lebih 112,000 peneroka Felda di seluruh negara.

Durian runtuh itu dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu Fasa 1 kepada ketua keluarga peneroka sebanyak RM5,000, Fasa 2 kepada isteri peneroka RM5,000 dan Fasa 3 kepada anak generasi kedua peneroka juga RN5,000.

Selain itu, Dato' Seri Najib juga mengumumkan apa yang disifatkannya 'durian gugur' berupa tabung saham amanah yang akan membolehkan keluarga peneroka Felda menerima dividen.

Setiap peneroka juga akan mendapat blue form bagi penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Kakitangan Felda dari pelbagai jawatan juga mendapat habuan berupa bonus tambahan iaitu 2.5 bulan gaji dan juga pink form penyenaraian FGVH.

Pengumuman Perdana Menteri itu benar-benar menggembirakan warga Felda, bukan sahaja di kalangan peneroka, malahan isteri mereka, anak-anak generasi kedua serta kakitangan yang bertugas dengan Felda.

Beliau mengumumkannya dalam majlis sejahtera peneroka bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, Pahang sebentar tadi yang dihadiri oleh lebih 40,000 warga peneroka dari seluruh negara.


07 May, 2012

PAS SAMBUT NAJIB KE JENGKA 8


Ketika warga peneroka Felda ternanti-nanti pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai jumlah durian runtuh yang bakal diterima berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Felda Jengka 8 pagi esok, PAS pula sibuk memasang bendera di sepanjang jalan menuju ke Gugusan Jengka.

Tindakan mereka ini nampak seolah-olah mengalu-alukan kehadiran Dato' Seri Najib, walaupun pada hakikatnya kita tahu apa niat yang tersirat. Mereka mahu menunjukkan kepada puluhan ribu warga peneroka dari seluruh negara yang sedang menuju ke Jengka 8 bahawa parti itu mendapat tempat di hati pengundi di situ.

Sebilangan peneroka yang tegar menyokong parti pembangkang telah termakan dengan dakyah mengatakan saham yang bakal mereka terima adalah haram dan kononnya Felda mahu menipu peneroka melalui penyenaraian FGVH. Ada yang mengambil sikap enggan membuka akaun CDS bagi membolehkan mereka berurusniaga di Bursa Malaysia.

Kekeliruan yang ditanam dalam pemikiran peneroka tegar pembangkang ini sebenarnya satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab. Peneroka yang menelan bulat-bulat dakyah pembangkang ini pastinya akan rasa teraniaya apabila melihat perubahan taraf hidup yang bakal dilalui oleh rakan-rakan mereka selepas penyenaraian nanti.

Esok pastinya pengumuman Perdana Menteri mengundang kejutan kepada warga peneroka, dan sudah tentu akan membuka sedikit mata kalangan peneroka yang masih berdegil mahu menolak idea penyenaraian ini.

Janganlah pula nanti mereka terkejut melihat pemimpin-pemimpin peneroka berhaluan kiri berbondong-bondong menelan nikmat penyenaraian, sedangkan insan yang dihasut terus terkapai-kapai dalam kekeliruan.

BR1M sewajarnya mengajar mereka, kerana sebilangan besar tokoh pemimpin pembangkang di kalangan peneroka berbaris menerima baucer RM500, walaupun sebelum itu mulut mereka berapi-api mengatakan wang itu haram.


01 May, 2012

PKR HALAU LELAKI CINA - MANA KEBEBASAN BERSUARA?


Nak lihat bukti tiada kebebasan bersuara di dalam Pakatan Rakyat (PR)? Video di bawah adalah bukti sahih. Seorang pemuda berbangsa Cina bernama Benjy Lim yang ikut serta perhimpunan Bersih 3.0 telah hadir dalam satu sidang akhbar Anwar Ibrahim di Ibupejabat PKR malam tadi.

Dia hadir untuk mendengar penjelasan Anwar kepada wartawan bagaimana Bersih 3.0 pada 28 April lalu yang dia (Benjy) dijanjikan aman dan hanya "duduk bantah" oleh pihak penganjur, boleh bertukar menjadi huru hara.

Disebabkan tak puas hati dengan putar belit Anwar ketika menjawab soalan wartawan, Benjy mencelah dan mahu mendapatkan jawapan yang lebih tepat daripada ketua pembangkang yang dipujanya selama ini.

Tapi sayang, bukan jawapan yang boleh memuaskan hatinya, mulut lelaki Cina itu segera ditutup, malahan dia dihalau keluar daripada bilik sidang media itu. 

Jelaslah bahawa tidak ada kebebasan bersuara di dalam pakatan pembangkang. Apa bentuk demokrasi yang diamalkan oleh PR jika nak bersuara dan bertanya pun tidak boleh? 

Video ini sebagai buktinya :




Roslan Bian dari Agendadaily juga melaporkan :

"Selain wartawan, sidang media itu sedikit kecoh apabila seorang lelaki Cina mendakwa peserta Bersih 3.0 sergah Anwar depan wartawan sebab dia gagal kawal keadaan himpunan tersebut.

Beliau memarahi Anwar kerana gagal mengawal himpunan sehingga boleh menyebabkan dia dan peserta lain boleh mati begitu saja.

Anwar bagaimanapun macam biasa, terus salahkan polis.

Namun lelaki dikenali sebagai Benjy Lim itu berkeras mengatakan beliau tahu cara operasi polis di negara ini kerana beliau bukan baru sehari hidup sebaliknya rusuhan itu berpunca kerana pembangkang memulakannya.

Benjy mendakwa, beliau hadir untuk menyatakan bantahan secara aman bukan berdepan tindakan ganas dicetuskan pembangkang.

Anwar yang tertekan dengan kehadiran pemuda itu meminta beliau membenarkan wartawan bertanya soalan kerana ini sidang media dan berkata, nak melayan Benjy dalam sesi lain".