18 March, 2012

AMAH INDONESIA - PERSEFAHAMAN PM DAN BAPAK PRESIDEN JUGA DINODAI...

Isu amah Indonesia menjadi hangat di Malaysia dan mendapat perhatian serius dari segenap peringkat rakyat, sehinggalah ke Perdana Menteri.

Di Ipoh semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kenyataan seorang pegawai buruh Indonesia mengenai konsep satu amah, satu kerja dengan gaji minimum RM700 sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia tidak akan berganjak daripada ketetapan yang sudah dipersetujui dengan Indonesia berhubung penghantaran semula amah dari republik itu ke negara ini yang dijadualkan bermula bulan depan.

Menurut beliau, Indonesia seharusnya kembali kepada persefahaman yang sudah dicapai antara beliau dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini.

PM merujuk kepada kenyataan seorang pegawai buruh Indonesia berjawatan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia sebelum ini yang berkata, terdapat empat kerja khusus amah Indonesia yang bakal dihantar ke Malaysia iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam ketika memberi reaksi terhadap kenyataan pegawai itu menegaskan, Malaysia tidak pernah menyatakan kesediaan untuk menerima amah Indonesia berlandaskan konsep satu amah, satu kerja. “Ini adalah sesuatu yang tidak berasas,” katanya.

Beliau telahpun mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed yang kini berada di Jakarta untuk menyelesaikan perkara berbangkit.

''Kita sudah minta Indonesia supaya jangan terlalu ramai yang membuat kenyataan. Sebelum ini pun, ada pegawai kedutaan mendakwa ada kes penderaan amah oleh pegawai kerajaan, tetapi apabila kita periksa dan siasat, ia tidak benar.

''Hari ini mereka keluarkan kenyataan lain pula. Sebenarnya, apa yang kita setuju dalam memorandum persefahaman (MoU) antara dua ketua kerajaan sebelum ini masih kekal," katanya.

KOMEN SAYA - Sebaiknya persefahaman dikaji semula dan ikatan perjanjian perlu diikat sekemas mungkin. Bukan perkara luar biasa sebelum ini kes-kes seumpamanya berlaku membabitkan Malaysia-Indonesia. Urusniaga antara pelabur dan peniaga kedua-dua negara sering menemui jalan buntu akibat persefahaman dan perjanjian diputarbelitkan kemudiannya.

Jika persefahaman antara dua teraju negara boleh dinodai, iaitu antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia, apatah lagi persefahaman di peringkat kementerian, jabatan dan pelabur-pelabur.

Indonesia perlu mengubah sikap supaya lebih budiman dan menghargai sesuatu persefahaman, persetujuan dan perjanjian yang telah dicapai dan dimeterai, baik di peringkat atasan mahupun di kalangan peniaga-peniaga antara kedua negara.

Tidak cukup sekadar hidup serumpun, sedangkan enau bercucukan dan berbelit sesama sendiri.

16 March, 2012

NASI HUJAN PANAS KENA LARI ...INI RESIPINYA.


Kasihan Encik Md Saad Hasan ini seperiuk nasi hujan panasnya dilarikan pemimpin pembangkang dari parti PKR semasa majlis kenduri perkahwinan dua anak lelakinya di Kampung Pulau Betong dekat Georgetown, Pulau Pinang pada 4 Mac lalu.

Tujuan pemimpin PKR itu melarikan nasi hujan panas milik Encik Md Saad adalah untuk menjamu sekumpulan pemimpin DAP yang membuat program Penang Green Cleaner di kampung berkenaan.

Mungkin pemimpin pembangkang itu tak tahu nak masak nasi hujan panas agaknya untuk dijamukan kepada puak-puak Lim Guan Eng. Marilah kita sama-sama ajarkan dia macamana cara nak memasak nasi hujan panas tu supaya lain kali dia tak melarikan juadah yang sama di majlis kenduri perkahwinan lain pula.


NASI HUJAN PANAS

Bahan-bahan ( for 8 org makan )

  • 6 pot kecil Beras biasa (brasmathi pun boleh)
  • 1 sudu minyak sapi
  • 1 sudu susu pekat
  • Rempah 4 sekawan (bg lawang, kayu manis, buah pelaga, bunga cengkeh)
  • Garam secukup rasa
  • 1 Bawang besar dihiris
  • Minyak untuk menumis
  • 2 helai daun pandan
  • 1 Sudu sos tomato
  • 1 inci halia diketuk
  • Pewarna ikut suka, saya guna hijau, kuning n merah

Cara-cara

  1. Basuh beras & sukat air macam masak nasi biasa
  2. Panaskan minyak untuk menumis
  3. Masukkan bawang & rempah & halia & daun pandan. Tumis sampai naik bau
  4. Kemudian masukkan sos tomato, susu, minyak sapi & garam.
  5. Sudah menggelegak masukkan bahan tadi dalam periuk nasi n kacau sebati
  6. Setelah nasi agak kering cucukan lidi bersama pewarna td ke dalam nasi. Biar sehingga setengah jam baru di kacau. 
Sumber : MY RESIPI

Selamat mencuba wahai pemimpin pembangkang PKR. Jamulah juak-juak Guan Eng sepuasnya hasil masakan sendiri.

12 March, 2012

AL-FATIHAH BUAT NURUL NADIRAH

Rasa sebak membaca laporan berita penemuan mayat rentung yang kemudiannya disahkan seorang anak perempuan kecil berusia 5 tahun, Nurul Nadirah bte Abdullah yang hilang sejak 1 Mac lalu.

Polis hari ini mengesahkan mayat rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di sini adalah kanak-kanak itu, atau nama manjanya Dirang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, pengesahan itu berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat ke atas mayat rentung yang ditemui sebelum ini, dan sampel ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, hari ini..

Menurut polis, mayat rentung tersebut ditemui pada 8 Mac lalu.
"Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, kami menemui serpihan tulang dan berjaya mendapatkan sampel DNA yang kemudiannya dihantar ke makmal dan sepadan dengan DNA ibunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini," katanya lagi.

Nurul Nadirah hilang dan dipercayai diculik pada 1 Mac lalu di bawah Blok A, Pangsapuri Sri Delima, Bandar Seri Alam, Masai, Johor Darul Takzim.

Didoakan roh Nurul Nadirah sentiasa berada di sisi Allah s.w.t. dan semoga keluarga allahyarhamah tabah menghadapi dugaan ini.

Semoga pihak berkuasa segera memberkas manusia kejam yang sanggup memperlakukan perbuatan keji dan zalim itu terhadap seorang anak sekecil Nurul Nadirah.

WANITA UMNO DAN UMMI HAFILDA


Ada kenyataan Ummi Hafilda (foto) yang tak berapa sedap dibaca dalam wawancaranya di dalam akhbar Utusan Malaysia semalam mengenai Wanita UMNO. Secara kebetulan, semalam juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil membuat pengumumannya untuk melepaskan jawatan menteri kabinet berkuatkuasa 8 April nanti.

Saya tidak mengenali Ummi Hafilda secara dekat, dan tidak juga berpeluang mendengar ceramahnya sebelum ini. Saya hanya sekadar membaca di dada-dada akhbar dan cakap rakan-rakan politik mengenai isi kandungan ceramah Ummi yang hebat dan meruntun hati Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sememangnya sudah lama terniat di hati saya hendak menjemput Ummi berceramah di sekitar Tanjong Malim atau di DUN Slim yang saya wakili.

Namun seolah ada sikap riak Ummi dalam wawancaranya di dada Utusan Malaysia semalam yang membuatkan minda saya tertanya-tanya. Memperkecilkan gerakkerja dan usaha yang dilakukan oleh dua juta ahli Pergerakan Wanita UMNO terhadap parti dan negara selama ini bukanlah satu kenyataan tepat dan bijak daripada Ummi.

Rata-rata ahli UMNO mengakui peranan besar yang telah dimainkan oleh Wanita UMNO sejak sekian lama untuk memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap parti. Sekadar menyebut sedikit daripada sebilangan besar sumbangan mereka adalah kesanggupan Wanita merayu undi dari rumah ke rumah pada setiap kali Pilihanraya Umum dan Pilihanraya Kecil. Skuad Sayang Wanita UMNO pula ketika ini bergerak dengan begitu efisyen mendekati rakyat. Sekretariat Jalinan Rakyat yang diterajui oleh Wanita UMNO juga memainkan peranan yang cukup besar memperkukuhkan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya dalam membuat kajian mengenai aliran sikap pengundi.

Mungkin kenyataan Ummi dilihat tertumpu kepada kurangnya usaha Wanita UMNO menyerang Anwar Ibrahim dalam siri ceramah sebagaimana dilakukannya. Itu tanggapan luaran Ummi. Pastinya Wanita UMNO juga ada memainkan peranan itu mengikut acuan dan cara mereka sendiri, cuma kurang mendapat publisiti sebagaimana yang diterima oleh Ummi. Lebihnya Ummi sebab dia mempunyai first hand information mengenai Anwar, berdasarkan rentetan sejarah hubungan beliau dan keluarganya dengan Ketua Pembangkang itu.

Parti menghargai usaha yang dilakukan oleh Ummi. Tetapi dalam masa yang sama, Ummi perlu mengurangkan sikap riak dan bangga diri sehingga mengeluarkan pula kenyataan memperkecilkan kerja pihak lain, apatah lagi terhadap Wanita UMNO yang telah banyak berjasa kepada UMNO sejak parti itu ditubuhkan lagi. Ummi perlu melihat gerakkerja Wanita UMNO dari sudut yang lebih luas secara positif.

Kepada Wanita UMNO, anggaplah kenyataan Ummi ini, selain dugaan yang sedang dihadapi Dato' Seri Shahrizat, sebagai satu cabaran untuk terus terus tekun dan tabah mendekati rakyat melalui gerakkerja yang dilakukan, khususnya menjelang PRU13.

Di bawah ini saya siarkan sedikit kenyataan Ummi yang disiarkan oleh Utusan Malaysia semalam :

"Bagi saya kumpulan wanita dalam sebuah parti ini (UMNO) mesti realistik. Bukannya ‘lembu punya susu, sapi pula yang dapat nama’. Saya lihat pergerakan wanita ini banyak mempunyai kenyataan retorik. Balik-balik kata kita akan serang habis-habisan. Tapi yang siang malam berceramah di seluruh negara sekarang ini adalah Ummi Hafilda.

Di mana dua juta ahli wanita yang lain. Kenapa tak berani serang Anwar. Pengalaman kita kalah pada Pilihan Raya Umum 2008 disebabkan kita tak kerja keras seperti mana Anwar dan Azmin. Dalam strategi pilihan raya kena ada penghapusan hipokrisi Anwar dan gengnya. 

Bila Anwar pergi ke seluruh negara, dia pengaruhi dan psiko rakyat untuk benci kerajaan, UMNO dan akhirnya dia menang lima negeri. Inilah yang kita nak tonjolkan. Kita jangan dibuai mimpi dan sekadar buat kenyataan (retorik) nak serang, tapi apa strateginya. Jujurnya, saya tak pernah dengar mereka serang Anwar sedangkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerja bermatian-matian sampai peluh tak kering turun padang ke seluruh negara.

Tapi Anwar sampaikan lari tak cukup tanah kerana Ummi Hafilda. Yang malam-malam bergadai nyawa adalah Ummi Hafilda. Saya dibaling batu, dicarut dan dimaki. Saya buat ni semua meskipun saya tak pegang satu jawatan pun dalam parti. Saya buat atas kerelaan saya".

Wawancara penuh Ummi Hafilda di Utusan Malaysia boleh dibaca di SINI.

07 March, 2012

DI MANA NURUL NADIRAH?


Kanak-kanak berusia 5 tahun, Nurul Nadirah binti Abdullah, ini hilang dan dipercayai diculik pada 1hb Mac 2012 di bawah Blok A, Pangsapuri Sri Delima, Bandar Seri Alam, Masai, Johor Darul Takzim.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kanak-kanak malang ini, hubungi Noor Rubeena Baharuddin ditalian 012-5997705 atau Hotline Kontinjen Johor ditalian 07-2254422. Semoga Allah memelihara anak ini dan mengembalikannya ke pangkuan keluarganya. Amin.

Ibu bapa Nurul Nadirah yang resah dengan kehilangan anak kesayangan

Dipetik dari blog Cucu Tok Selampit 


01 March, 2012

MUSLIMAT PAS DAN ISU MASJID


Saya terbaca kenyataan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) yang disiarkan oleh HarakahDaily mengenai pembinaan masjid-masjid oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara.

Katanya dalam HarakahDaily : 

“…menyentuh mengenai Umno BN yang mempersoalkan hanya sebuah masjid berjaya didirikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, Siti Zailah berkata, apa yang harus diberi perhatian bukan kuantiti, tetapi cara masjid itu diimarahkan. 

"Kenyataan BN itu menggambarkan betapa jauhnya pemimpinnya dengan ajaran Islam.

"Dalam sejarah dulu, kaum munafik mendirikan Masjid Dirar bagi menyaingi masjid yang didirikan para sahabat dan Rasulullah mengarahkan masjid itu dibakar," katanya. 

Siti Zailah berkata, Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih gemar mendidik rakyat negeri itu agar menginfakkan wang untuk membina masjid.

"Tok Guru Nik Aziz mahu masjid yang didirikan itu hasil kutipan derma daripada rakyatnya sendiri kerana pahala menderma untuk pembinaan masjid itu sampai ke akhirat," katanya”. 

Apakah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ini mahu mengatakan bahawa langkah Kerajaan BN membina sebegitu banyak masjid di negara ini sebagai gambaran bahawa pemimpin BN sudah jauh daripada ajaran Islam. Tidakkah dengan cara membina masjid-masjid dan surau-surau dapat mendekatkan lagi muslimin dan muslimat kepada agama Islam selain menjadikannya sebagai tempat mengeratkan ukhwah Islamiah?

Kerajaan BN membina masjid untuk kemudahan umat Islam beribadah, khususnya bersembahyang secara berjemaah yang begitu dituntut oleh ajaran Islam. Tidak timbul soal pembinaannya untuk menyaingi mana-mana masjid, jauh sekali untuk dimegah-megah. Malahan boleh dikatakan Kerajaan BN membina masjid hampir di setiap ceruk kampung dan taman-taman yang mempunyai ramai penganut beragama Islam.

Munafikkah Kerajaan BN pada fikiran Ketua Muslimat PAS Pusat itu apabila mendirikan rumah-rumah Allah sehingga hendak disamakan dengan pembinaan Masjid Dirar oleh kaum munafikin di zaman Rasulullah? Apakah beliau cuba menghasut supaya masjid-masjid yang sebegitu banyak dibina oleh Kerajaan BN itu dibakar sebagaimana arahan baginda Rasulullah terhadap Masjid Dirar?

Siti Zailah berkata, Nik Aziz lebih gemar mendidik rakyat negeri  itu agar menginfakkan wang untuk membina masjid – soalnya berapa banyakkah wang yang telah dikutip oleh pemimpin-pemimpin PAS daripada rakyat, khususnya setiap kali selepas majlis ceramah politik parti itu, dan berapa banyak pula masjid yang telah didirikan hasil wang infak rakyat di negeri itu?

Kemanakah wang yang dikutip dari rakyat ini dibelanjakan? Isi tabung bina masjid?

Bukan juga rahsia bagaimana PAS menjadikan masjid yang dibina oleh Kerajaan BN sebagai tempat mereka menyebarkan fahaman politik sempit PAS sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan khariah. Masjid sepatutnya dijadikan tempat menyatukan ummah, tetapi PAS sejak sekian lama menjadikan masjid sebagai tempat menyemai dan menyemarakkan perpecahan di kalangan masyarakat, sehingga ke tahap wujudnya sembahyang dua imam.

Kenyataan Ketua Muslimat PAS Pusat itu boleh dibaca di SINI.