12 March, 2012
WANITA UMNO DAN UMMI HAFILDA
Ada kenyataan Ummi Hafilda (foto) yang tak berapa sedap dibaca dalam wawancaranya di dalam akhbar Utusan Malaysia semalam mengenai Wanita UMNO. Secara kebetulan, semalam juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil membuat pengumumannya untuk melepaskan jawatan menteri kabinet berkuatkuasa 8 April nanti.
Saya tidak mengenali Ummi Hafilda secara dekat, dan tidak juga berpeluang mendengar ceramahnya sebelum ini. Saya hanya sekadar membaca di dada-dada akhbar dan cakap rakan-rakan politik mengenai isi kandungan ceramah Ummi yang hebat dan meruntun hati Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sememangnya sudah lama terniat di hati saya hendak menjemput Ummi berceramah di sekitar Tanjong Malim atau di DUN Slim yang saya wakili.
Namun seolah ada sikap riak Ummi dalam wawancaranya di dada Utusan Malaysia semalam yang membuatkan minda saya tertanya-tanya. Memperkecilkan gerakkerja dan usaha yang dilakukan oleh dua juta ahli Pergerakan Wanita UMNO terhadap parti dan negara selama ini bukanlah satu kenyataan tepat dan bijak daripada Ummi.
Rata-rata ahli UMNO mengakui peranan besar yang telah dimainkan oleh Wanita UMNO sejak sekian lama untuk memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap parti. Sekadar menyebut sedikit daripada sebilangan besar sumbangan mereka adalah kesanggupan Wanita merayu undi dari rumah ke rumah pada setiap kali Pilihanraya Umum dan Pilihanraya Kecil. Skuad Sayang Wanita UMNO pula ketika ini bergerak dengan begitu efisyen mendekati rakyat. Sekretariat Jalinan Rakyat yang diterajui oleh Wanita UMNO juga memainkan peranan yang cukup besar memperkukuhkan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya dalam membuat kajian mengenai aliran sikap pengundi.
Mungkin kenyataan Ummi dilihat tertumpu kepada kurangnya usaha Wanita UMNO menyerang Anwar Ibrahim dalam siri ceramah sebagaimana dilakukannya. Itu tanggapan luaran Ummi. Pastinya Wanita UMNO juga ada memainkan peranan itu mengikut acuan dan cara mereka sendiri, cuma kurang mendapat publisiti sebagaimana yang diterima oleh Ummi. Lebihnya Ummi sebab dia mempunyai first hand information mengenai Anwar, berdasarkan rentetan sejarah hubungan beliau dan keluarganya dengan Ketua Pembangkang itu.
Parti menghargai usaha yang dilakukan oleh Ummi. Tetapi dalam masa yang sama, Ummi perlu mengurangkan sikap riak dan bangga diri sehingga mengeluarkan pula kenyataan memperkecilkan kerja pihak lain, apatah lagi terhadap Wanita UMNO yang telah banyak berjasa kepada UMNO sejak parti itu ditubuhkan lagi. Ummi perlu melihat gerakkerja Wanita UMNO dari sudut yang lebih luas secara positif.
Kepada Wanita UMNO, anggaplah kenyataan Ummi ini, selain dugaan yang sedang dihadapi Dato' Seri Shahrizat, sebagai satu cabaran untuk terus terus tekun dan tabah mendekati rakyat melalui gerakkerja yang dilakukan, khususnya menjelang PRU13.
Di bawah ini saya siarkan sedikit kenyataan Ummi yang disiarkan oleh Utusan Malaysia semalam :
"Bagi saya kumpulan wanita dalam sebuah parti ini (UMNO) mesti realistik. Bukannya ‘lembu punya susu, sapi pula yang dapat nama’. Saya lihat pergerakan wanita ini banyak mempunyai kenyataan retorik. Balik-balik kata kita akan serang habis-habisan. Tapi yang siang malam berceramah di seluruh negara sekarang ini adalah Ummi Hafilda.
Di mana dua juta ahli wanita yang lain. Kenapa tak berani serang Anwar. Pengalaman kita kalah pada Pilihan Raya Umum 2008 disebabkan kita tak kerja keras seperti mana Anwar dan Azmin. Dalam strategi pilihan raya kena ada penghapusan hipokrisi Anwar dan gengnya.
Bila Anwar pergi ke seluruh negara, dia pengaruhi dan psiko rakyat untuk benci kerajaan, UMNO dan akhirnya dia menang lima negeri. Inilah yang kita nak tonjolkan. Kita jangan dibuai mimpi dan sekadar buat kenyataan (retorik) nak serang, tapi apa strateginya. Jujurnya, saya tak pernah dengar mereka serang Anwar sedangkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerja bermatian-matian sampai peluh tak kering turun padang ke seluruh negara.
Tapi Anwar sampaikan lari tak cukup tanah kerana Ummi Hafilda. Yang malam-malam bergadai nyawa adalah Ummi Hafilda. Saya dibaling batu, dicarut dan dimaki. Saya buat ni semua meskipun saya tak pegang satu jawatan pun dalam parti. Saya buat atas kerelaan saya".
Wawancara penuh Ummi Hafilda di Utusan Malaysia boleh dibaca di SINI.

2 comments:
Teguran yang berhemah!!! Syabasss!!
ummi hafilda tak tak ada jawatan penting pun dalam parti..dia berceramah menghentam anuwar sebab ada kisah antara mereka yg membawa kepada pepecahan dalam keluarganya dan perniagaan beliau,mungkin ada sedikit perasaan dendam..biarlah dia dengan caranya.
bagaimana pula kenyataan ketua bahagian ceras yg buat kenyataan perletakan sharizat adalah sandiwara bollywood.
persoal kenapa tunggu 8 april dan bukan sekarang.
lama sangatkah 8 april dari sekarang?
inilah rupa perangai segelintir pemimpin dalam umno sekarang,ketua bahagian ceras tu bersih sangat kah?
kalau dah melayu,sampai bila pun sifat dengki,dendam dan menjatuhkan sesama sendiri tak bolih dibuang.
pemimpin umno ramai seperti Enau didalam hutan yg mementing diri sendiri.
ahli biasa
Post a Comment