18 March, 2012

AMAH INDONESIA - PERSEFAHAMAN PM DAN BAPAK PRESIDEN JUGA DINODAI...

Isu amah Indonesia menjadi hangat di Malaysia dan mendapat perhatian serius dari segenap peringkat rakyat, sehinggalah ke Perdana Menteri.

Di Ipoh semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kenyataan seorang pegawai buruh Indonesia mengenai konsep satu amah, satu kerja dengan gaji minimum RM700 sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia tidak akan berganjak daripada ketetapan yang sudah dipersetujui dengan Indonesia berhubung penghantaran semula amah dari republik itu ke negara ini yang dijadualkan bermula bulan depan.

Menurut beliau, Indonesia seharusnya kembali kepada persefahaman yang sudah dicapai antara beliau dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini.

PM merujuk kepada kenyataan seorang pegawai buruh Indonesia berjawatan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia sebelum ini yang berkata, terdapat empat kerja khusus amah Indonesia yang bakal dihantar ke Malaysia iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam ketika memberi reaksi terhadap kenyataan pegawai itu menegaskan, Malaysia tidak pernah menyatakan kesediaan untuk menerima amah Indonesia berlandaskan konsep satu amah, satu kerja. “Ini adalah sesuatu yang tidak berasas,” katanya.

Beliau telahpun mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed yang kini berada di Jakarta untuk menyelesaikan perkara berbangkit.

''Kita sudah minta Indonesia supaya jangan terlalu ramai yang membuat kenyataan. Sebelum ini pun, ada pegawai kedutaan mendakwa ada kes penderaan amah oleh pegawai kerajaan, tetapi apabila kita periksa dan siasat, ia tidak benar.

''Hari ini mereka keluarkan kenyataan lain pula. Sebenarnya, apa yang kita setuju dalam memorandum persefahaman (MoU) antara dua ketua kerajaan sebelum ini masih kekal," katanya.

KOMEN SAYA - Sebaiknya persefahaman dikaji semula dan ikatan perjanjian perlu diikat sekemas mungkin. Bukan perkara luar biasa sebelum ini kes-kes seumpamanya berlaku membabitkan Malaysia-Indonesia. Urusniaga antara pelabur dan peniaga kedua-dua negara sering menemui jalan buntu akibat persefahaman dan perjanjian diputarbelitkan kemudiannya.

Jika persefahaman antara dua teraju negara boleh dinodai, iaitu antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia, apatah lagi persefahaman di peringkat kementerian, jabatan dan pelabur-pelabur.

Indonesia perlu mengubah sikap supaya lebih budiman dan menghargai sesuatu persefahaman, persetujuan dan perjanjian yang telah dicapai dan dimeterai, baik di peringkat atasan mahupun di kalangan peniaga-peniaga antara kedua negara.

Tidak cukup sekadar hidup serumpun, sedangkan enau bercucukan dan berbelit sesama sendiri.

No comments: