09 March, 2011

PAS PERAK ANGKUH - HARUSSANI

BANGI (4 Mac 2011) - Setelah berdiam diri hampir dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini meluahkan apa yang terbuku di hati. Beliau menceritakan keangkuhan Pas Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu, walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

"Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP)."Saya tanya hadis dan ayat mana yang dipakai kerana setahu saya ada hadis mengatakan tolonglah saudara kamu yang zalim dan dizalimi.

Saya kata jika BN ini zalim, saya tawarkan wakil rakyat Pas menjadi Menteri Besar dan yang lain akan jadi Exco bersama BN."Sultan secara dasarnya berkenan dengan cadangan ini, tetapi dia (Ahmad) masih berkeras menolaknya. Saya kata al-Quran menyebut jika sayang kepada kafir maka kita adalah kafir, beliau (Ahmad) kata dia menggunakan kaedah fikah dalam perkara itu."Kemudian saya kata mana boleh kaedah fikah digunakan apabila ia bertentangan dengan nas al-Quran, ia tidak boleh dipakai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Za'ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini yang dipengerusikan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Dr. Idris Zakaria.Panelis lain yang turut menyertai program itu ialah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Madya Datuk Abdul Halim Sidek.
 
Mengimbas kembali perkara itu, Harussani berkata, cadangan itu bermula selepas pilihan raya umum apabila DAP dan BN masing-masing mendapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermaksud Pas akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan dibentuk.

Katanya, beliau dilantik sebagai orang tengah dan persoalan yang timbul ialah daripada 28 wakil rakyat BN hanya seorang Cina."Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.
 
"Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang."Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi.

Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu."Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju," katanya.

Jelas Harussani, semasa sampai di Ipoh beliau yang optimis dengan cadangan itu yang turut disokong kepimpinan tertinggi Pas telah menghubungi Ahmad, tetapi malangnya jawapan yang diterima amat mendukacitakan.

Beliau mendakwa, Pas Perak sebenarnya telah diperalatkan oleh DAP bagi memenuhi kepentingan tuntutan politik mereka."Contohnya semasa orang Melayu berbaring di atas jalan raya bagi menghalang laluan kereta Sultan Perak pada masa itu, langsung tiada orang DAP turut serta dan apabila saya tanya, mereka (orang Cina) berkata itu kerja Melayu, kami banyak lagi kerja lain nak dibuat," katanya.
 
Artikel daripada blog PEMUDA PARIT

06 March, 2011

TUAN IBRAHIM (PAS) ANIAYA PENEROKA FELDA


Sebagai anak peneroka Felda, saya berasa amat sedih dan kesal apabila ada pemimpin yang menganiayai peneroka. Tapi itulah hakikat yang dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bukan sahaja mengambil kesempatan atas kesempitan, malahan membiarkan peneroka malang, Encik Mahmud A. Rahman berusia 54 tahun, hidup melarat dan terpaksa pulang ke kampung asalnya di Luit Maran, Pahang.

Mahmud menyertai Felda Jengka 13, Pahang sekitar awal 1980an. Setelah hampir 27 tahun memerah keringat dan air mata di tanah rancangan Felda, beliau terpaksa tunduk terhadap tekanan kewangan sehingga membuka jalan kepada seorang pemimpin kanan PAS mengambil kesempatan atas keadaan sulit peneroka berkenaan.

Atas nama isterinya, Tuan Ibrahim membeli tanah kebun seluas kira-kira 10 ekar dan rumah serta tapaknya sekali seluas suku ekar milik Mahmud pada 1 Januari 2008 dengan harga hanya RM80,000. Harga itu terlalu rendah jika dibandingkan dengan nilai pasaran, lebih malang lagi bayaran bukan dibuat sekaligus, tetapi secara berperingkat-peringkat menyebabkan hidup Mahmud lebih merana dan tertekan.

Perkara ini dilaporkan kepada Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka oleh Pengurus Felda Jengka 13, Encik Hazizan Abdul Malek.

Jika mengikut peraturan Felda, seseorang individu lain tidak boleh membeli atau memiliki tanah peneroka kecuali dengan kebenaran Menteri Besar. Itupun pertukaran nama hanya boleh dilakukan kepada waris terdekat sahaja. 

Tetapi Tuan Ibrahim mengikat Mahmud dengan satu perjanjian berasingan melibatkan khidmat guaman dengan niat menguasai kebun dan rumah Mahmud dengan harga yang cukup murah. Malahan kos guaman juga dipotong daripada wang RM80,000 itu, iaitu sebanyak RM5,000. Mahmud hanya mendapat RM75,000, itupun dengan tiga kali pembayaran.

Sebagai pemimpin, Tuan Ibrahim sepatutnya membantu Mahmud keluar daripada masalah yang dihadapinya, bukan mengambil kesempatan secara tidak bermoral seumpama itu. Beliau sepatutnya menasihatkan Mahmud bahawa tindakannya mahu menjual tanah dengan harga RM80,000 amat merugikan. Sepatutnya Tuan Ibrahim mengingatkan Mahmud terhadap peraturan Felda yang tidak membenarkan tanah peneroka bertukar milik kepada orang ketiga yang bukan waris terdekat.

Sekarang rakyat nilaikanlah sendiri sikap PAS dan pemimpinnya. Mereka bercakap pasal Islam, tetapi tidak berpegang kepada semangat Islam yang menuntut ummahnya membantu saudara seagama.

Baca juga di SINI.

25 February, 2011

IDHAM LIM TAK HADIR

ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah gagal hadir sessi soal jawab Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak pagi ini bagi membela dirinya berkaitan isu bomoh yang dibangkitkannya dalam sidang DUN pada 2 Disember lalu.

Notis telahpun dihantar kepada beliau pada 7 Februari lalu, tetapi dalam blognya Cina Islam, Idham menyebut bahawa beliau tidak akan hadir dalam sessi soal jawab ini.

Beliau diminta hadir jam 10.30 pagi tadi, tetapi hingga kini tiada tand-tanda kehadirannya.

Jawatankuasa telahpun membuat keputusan terhadap Idham dan akan dilaporkan dalam Sidang DUN Perak akan datang untuk diperakukan.

BERDEPAN IDHAM LIM

Pagi ini Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak akan bersidang di Bangunan SUK Ipoh. Speaker DUN, Dato' R. Ganesan mempengerusikan mesyuarat. Inilah kali pertama jawatankuasa ini bermesyuarat sejak BN menerajui semula pentadbiran Kerajaan Negeri Perak pada Februari 2009. Saya menjadi salah seorang ahli jawatankuasa ini.

Antara agenda mesyuarat pagi ini adalah untuk mendapatkan penjelasan daripada Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah dari parti Pas yang menimbulkan isu bomoh dalam Sidang DUN Perak yang lalu. Beliau telah mendakwa ada ADUN Bn yang membawa masuk bomoh ke dalam dewan mesyuarat ketika persidangan yang menyaksikan episod haru-biru dan penyingkiran Sivakumar dari kerusi Speaker DUN.

Idham dalam sidang DUN lalu enggan menamakan Adun yang didakwanya membawa bomoh, walaupun didesak oleh ADUN-ADUN BN supaya menyebut nama Adun berkenaan. Disebabkan sikapnya itu, satu usul telah dikemukakan oleh ADUN Kemunting, Dato' Zahir supaya Idham dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dan undian selepas itu menyokong usul berkenaan.

Ironinya, hanya orang yang biasa berurusan dengan bomoh yang mengenali siapa bomoh dan karektornya. Satu persoalan di luar agenda mesyuarat, apakah Idham menggunakan khidmat bomoh untuk menang di Titi Serong pada 2008?

Apapun, selamat berdepan dan jawablah soalan dengan penuh hemah dan bijaksana, wahai Cina Islam (nama blog Idham Lim).

11 February, 2011

SIASAT AGENDA TONY PUA DAN DAP


Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyiasat secara terperinci samada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua (foto) menjadi dalang negara jiran di selatan tanahair bagi menggagalkan usaha Kerajaan Malaysia mahu memperkukuhkan pertahanan negara melalui projek pembinaan enam buah Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Sikap pemimpin DAP itu yang mempertikaikan usaha kerajaan ini seolah-olah mahu membiarkan pertahanan negara berada dalam situasi mudah dicerobohi dan dikalahkan oleh pihak musuh dari luar negara yang mempunyai senjata peperangan laut lebih canggih.

Bukan rahsia lagi bahawa Kerajaan Singapura sedang memberi tumpuan serius membangunkan sistem pertahanan negaranya, dengan menyediakan dana RM35.5 billion pada 2010 untuk tujuan itu, termasuk membeli kapal friget kelas Delta dengan harga US700 juta yang diiktiraf sebagai kapal perang tercanggih di rantau ini.

Dana yang digunakan oleh Kerajaan Malaysia adalah jauh lebih rendah daripada apa yang digunakan oleh Singapura, iaitu sekitar RM11.012 billion pada 2010 bagi tujuan pertahanan negara. Malangnya ada rakyat di negara sendiri yang berkokok kononnya perbelanjaan RM6 billion untuk tujuan membina enam buah LCS itu sebagai satu pembaziran.

Sebagaimana kata sumber TLDM, model baru LCS itu mempunyai reka bentuk halimunan termoden yang setanding dengan keupayaan halimunan kapal friget milik Singapura.

"Kita memilih kapal ini kerana ia mempunyai keupayaan tempur termoden sesuai dengan kehendak TLDM memandangkan kapal-kapal perang negara serantau juga sudah memiliki teknologi terkini dan langkah ini bertujuan bagi menjaga perairan negara terutama di Laut China Selatan," kata sumber itu.

Apakah sebenarnya agenda DAP dan Tony Pua bersungguh-sungguh membantah usaha Kerajaan Malaysia mahu memperkukuhkan pertahanan negara, kalau bukan dengan niat jahat hendak membantu anasir luar ke arah kehancuran martabat dan kedaulatan negara sendiri yang sedang mengecapi nikmat merdeka.

Sejarah Tanah Melayu telah mencatatkan betapa musuh luar begitu mudah menerobos masuk dan menjajah watan hanya kerana adanya sikap ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘api dalam sekam’ sebagaimana ditunjukkan oleh Si Kitul dan Raja Mandeliar.

Tony Pua jangan mahu menjadi Si Kitul moden!. Pemimpin DAP lain juga jangan mahu mengambil tempat Raja Mandeliar!.

Malangnya atas dasar keintiman politik dalam pakatan pembangkang, ada di kalangan pendokong parti PAS dan PKR yang sedia bersekongkol dengan DAP dan Tony Pua, sehingga sanggup tumpang sekaki bagi menggagalkan usaha Kerajaan Malaysia hendak memperkukuhkan pertahanan negara.

Atas alasan kononnya perbelanjaan RM6 billion itu membazirkan wang rakyat, mereka menjadikan isu yang bukan isu ini sebagai senjata untuk menghentam parti politik lain yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk mentadbir negara ini sejak lebih setengah abad lalu.

Apakah mereka beranggapan bahawa keamanan dan kestabilan politik yang dikecapi negara sejak sekian lama akan terus kekal tanpa ada usaha untuk mempertingkatkan sistem pertahanan darat, udara dan laut bagi mengelakkan negara daripada diceroboh oleh anasir-anasir luar?

Biar setinggi mana kejayaan dalam bidang ekonomi dicapai oleh sesebuah negara, tetapi akhirnya kestabilan ekonomi itu perlu berpaksikan kepada tahap keselamatan dan ketahanan negara berkenaan mendepani pencerobohan. Ekonomi negara yang kukuh akan lebur juga akhirnya jika negara berkenaan diceroboh dan dijajah.

Kita tidak mengatakan bahawa sistem pertahanan negara ketika ini berada pada tahap boleh bersaing dengan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Rusia, tetapi sekurang-kurangnya negara perlu berada pada tahap setanding dengan negara-negara serantau, khususnya negara sekangkang kera seperti Singapura.

Itulah yang nampaknya cuba digagalkan oleh Tony Pua dan parti yang didokongnya, DAP. Sesungguhnya niat tersembunyi DAP ini hanya boleh dicapai sekiranya mereka diberi ruang mengambil-alih tampuk pemerintahan negara. Ketika itu pastinya mereka akan bertepuk gembira melihat satu persatu kubu negara dirobek oleh 'sekutu' mereka sendiri.

Selagi Barisan Nasional dan UMNO diberikan amanah mentadbir negara, mimpi Si Kitul dan Raja Mandeliar moden akan terus tersangkut di dalam lipatan sejarah sebagaimana tercatat di dalam ‘Sejarah Melayu’.

04 February, 2011

EVAKUASI MEMBAWA PULANG PELAJAR DI MESIR KE TANAH AIR


Berikut adalah modus operandi program evakuasi bagi membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir ke tanah air sebagaimana diumumkan oleh Malaysian Student Department, Kaherah.

Tarikh bermulanya Operasi: 2 Februari 2011

Modus Operandi

1. Penerbangan dengan pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM):
a) Kaherah – Jeddah (Tempat Berkumpul: Kompleks Haiyyu Ashir dan DMAK)
b) Iskandariah – Jeddah (Tempat Berkumpul: Rumah MARA)
c) Mansourah – Iskandariah – Jeddah (Tempat Berkumpul: Hotel New Mansourah @ 5th February, 1000 hrs)

2. Pelayaran:
a) Pelabuhan Al-Adabiyah – Pelabuhan Jeddah (Tempat Berkumpul: Kompleks Haiyyu Ashir)

3. Jeddah adalah pusat transit (penginapan di asrama Tabung Haji) untuk tempoh tidak melebihi sebulan, penginapan dan makan minum ditanggung oleh Kerajaan Malaysia.

4. Pelayaran dari Pelabuhan Jeddah ke Pelabuhan Pulau Pinang atau Pelabuhan Port Klang.

5. Kos perjalanan balik ke Mesir adalah di atas tanggungan sendiri.

6. Perjalanan dari tempat penginapan ke pelabuhan atau lapangan terbang disediakan.

7. Setiap peserta hanya dibenarkan membawa hand luggage kecil tidak melebihi 7 kilogram.

8. Peserta diingatkan untuk membawa passport/dokumen perjalanan yang sah.
9. Peserta hendaklah mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Sekretariat dari masa ke semasa.

Jadual Perjalanan

Penyelaras hendaklah mengatur perjalanan dari tempat berkumpul ke lapangan terbang (Rujuk Jadual Penerbangan).

Waktu untuk berkumpul di tempat berkumpul sebelum bertolak ke lapangan terbang adalah seperti berikut:

a) Kaherah – 2nd February, 1100 hrs
3rd, 4th dan 5th February, 1000 hrs
b) Alexandria – 4th, 5th and 6th February, 0900 hrs

Kriteria Pemilihan Pelajar-Pelajar

1. Pelajar wanita
2. Pelajar berkeluarga
3. Pelajar yang uzur dan sakit
4. Berada di zon risiko tinggi
5. Pelajar tahun pertama
6. Pelajar sekolah rendah/sekolah menengah

Tindakan Yang Perlu Diambil

Sila isi borang makluman pelajar yang disertakan. (sila rujuk pegawai Negeri, Alex, MARA masing-masing atau klik terus di sinihttp://jpmk.info/wp-content/uploads/Borang-Peribadi-Pelajar_2011-utk-Evakuasi1.pdf)

Jadual Penerbangan dan Pelayaran Kaherah ke Jeddah

Tarikh Flight 1 (3 aircrafts) Flight 2 (3 aircrafts) Bunga Emas 5
3rd February (delayed)
4th February 0600 hrs 1300 hrs
5th February 0600 hrs 1300 hrs 1400 hrs
6th February 0600 hrs 1300 hrs

Jadual Penerbangan Alexandria/Mansourah ke Jeddah
Tarikh Flight 1 (2 aircrafts) Flight 2 (2 aircrafts)
5th February 0600 hrs 1300 hrs
6th February 0900 hrs 1600 hrs
7th February 0900 hrs 1600 hrs
*TBC

Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini sila berhubung dengan pegawai-pegawai Kedutaan seperti di bawah:
1. En. Saharudin Hassan (+2010-5005338)
2. En. Wan Ahmad Tarmizi Wan Idris (+2010-1101004)
3. En. Muhammad Hazam Hajanan (+2010-8714264)
4. En. Samsul Kahar Kamarudin (+2010-5382715)
Kedutaan Besar Malaysia Kaherah
2 Februari 2011

Disediakan oleh - SQUAD PERHUBUNGAN SEMENTARA MESIR-MALAYSIA