03 September, 2010

MAIS DAN RUANG SOLAT DI SELANGOR



Mungkin ramai tidak tahu pada 14 Oktober 1989, Ratu Elizabeth dan suami, Putera Philip melawat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan diiringi oleh Raja Muda Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kini Sultan Selangor.

Menariknya, walaupun Ratu Elizabeth nama yang cukup tersohor, baginda tetap mematuhi peraturan ketika melawat masjid negeri itu.
Baginda memakai jubah khas menutup aurat dan hanya menyaksikan kubah masjid dari pintu utama ruang solat.
Itu seorang yang bergelar Ratu tetapi bagai kata Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguek”.
Maksudnya, seseorang itu kena patuh kepada peraturan di sesuatu tempat beliau berada.


Bagaimanapun, Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching sengaja mencetuskan kontroversi dengan masuk ke ruang solat Surau Al-Huda Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.
Beliau hanya berbaju kebaya, bukannya memakai jubah menutup aurat bahkan tidak memakai tudung kepala.


Tidak hairanlah tindakan itu mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama negeri namun Nie Ching sengaja buat hal lagi dengan muncul di sebuah surau di Bukit Mahkota Ahad lalu.
Cuma yang berbeza, beliau tidak lagi berada di ruang solat sebaliknya di khemah luar surau.
Beliau juga memakai baju kebaya dan bertudung kepala.
Namun, selepas ini jika ada sesiapa bukan Islam ingin masuk ke ruang solat atau mengadakan apa-apa acara mahupun majlis di ruang itu sama ada di surau-surau serta masjid di Selangor, lupakan saja.
Ekoran kontroversi tindakan Nie Ching Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengeluarkan peraturan menegah bukan Islam memasuki ruang solat, dalam masa terdekat ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa memberitahu Agendadaily, peraturan itu bagi menjelaskan larangan kepada bukan Islam masuk ke ruang solat atau melakukan apa-apa aktiviti di ruang berkenaan.
Menurutnya, memang sudah ada peraturan kepada bukan Islam untuk masuk ke masjid tetapi ekoran tindakan Nie Ching serta kekeliruan sesetengah pihak berhubung peraturan itu, MAIS akan menjelaskan peraturan baru dalam beberapa hari ini.
Beliau berharap penjelasan peraturan baru itu akan difahami semua pihak dan dipatuhi.
Sementara itu ditanya mengenai cadangan Dr Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor yang mahu mencadangkan beberapa peraturan baru memasuki masjid dan surau, Mohamad Adzib berkata, Exco itu boleh mengemukakan cadangan kepada MAIS.
“Kita tiada masalah,” katanya.- Agendadaily

29 August, 2010

RASA KEHILANGAN DI FELDA BESOUT 3

Ada rasa kehilangan semasa saya menjalankan program ziarah di Felda Besout 3 petang tadi. Dua kali saya menziarahnya di rumah bernombor 3055 Jalan Cempaka. Petang tadi wajah sayu lelaki itu sudah tiada lagi.

Ramli bin Husin, seorang peneroka Felda telah kembali ke rahmatullah sehari sebelum ketibaan Ramadhan lalu akibat kompilasi pelbagai penyakit. Beliau yang ketika itu berusia 58 tahun meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak. Anak perempuannya pula mengalami down sindrom.

Tak banyak perubahan pada rumahnya sejak kunjungan pertama saya pada Ramadhan tahun lalu, dan kunjungan kedua sempena program Jejak Aspirasi anjuran Seranta Felda pada 29 April lalu. Cuma tangga hadapan ditukar kepada kayu yang lebih kukuh.

Sebagai kenangan, saya paparkan dua gambar terdahulu, dan gambar kunjungan saya petang tadi yang disambut oleh isteri dan dua anak Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

KUNJUNGAN PERTAMA - RAMADHAN TAHUN LALU
KUNJUNGAN KEDUA - APRIL 2010
KUNJUNGAN HARI INI
RASA PILU MENINGGALKAN RUMAH ARWAH


Dan foto-foto lain semasa program ziarah di Felda Besout 3 petang tadi :

24 August, 2010

TRANSFORMASI EKONOMI LUAR BANDAR MELALUI FELDA


Oleh Zuhafizah Ahmad Zaki

SLIM RIVER, 13 Ogos (Bernama) -- Semasa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diwujudkan hasil idea bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, ramai yang ragu sejauh mana rancangan tanah FELDA ini, mampu merubah kehidupan peneroka dan generasi pewarisnya.


Hari ini masyarakat peneroka FELDA di 317 rancangan tanah berjumlah kira-kira 4.8 juta orang dan mewakili 15.6 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Mereka bukan sahaja telah membaiki kedudukan sosio ekonomi mereka, malah turut merubah landskap geografi negara.


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Slim (Perak) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib ialah seorang daripada mereka yang berbangga dengan warisan FELDA ini.


Beliau ialah anak peneroka FELDA Sungai Behrang di Slim River dan memang berbangga dengan apa yang disumbangkan FELDA selama ini terutama untuk mengeluarkan masyarakat luar bandar daripada kepompong kemiskinan.


"Kebanyakan peneroka FELDA datangnya dari perkampungan terpencil di luar bandar yang sebelum ini hidup serba miskin dan melarat. Tidak pernah mereka bayangkan suatu hari nanti pendapatan mereka boleh menjangkau sehingga RM4,000 sebulan, jauh lebih baik berbanding pendapatan anak-anak mereka yang keluar dari pusat pengajian tinggi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Bapa Mohd Khusairi menyertai FELDA Sungai Behrang pada 1968 dan pada masa itu taraf hidup tidak banyak berubah namun ada kerja dan matlamat yang perlu dicapai.


Selepas tujuh tahun apabila getah mengeluarkan hasil, kehidupan warga peneroka yang hanya bergantung kepada barang makanan yang didapatkan dari kedai syarikat, mula meningkat.


KEHIDUPAN BERUBAH


"Sebelum menjadi peneroka, mereka tinggal di kampung tradisi yang ada sebahagian mereka hanya menumpang di rumah saudara-mara dan ada juga yang tiada rumah sendiri. Apabila menyertai FELDA mereka diberikan tanah suku ekar dan sebuah rumah satu bilik dengan tandas di luar rumah.


"Tapi kini perubahan fizikal rumah warga peneroka dapat kita saksikan kerana hasil ladang dan pentadbiran cekap FELDA. Hari ini kebanyakan rumah peneroka lebih besar dan lebih selesa. Ada sesetengah peneroka juga mampu membina rumah banglo hasil berjimat cermat," katanya.


Mohd Khusairi, graduan Psikologi dan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1986 berkata bergantung kepada harga komoditi, pendapatan peneroka kini antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan.


Dalam aspek pendidikan, beliau berkata FELDA menyediakan skim tuisyen percuma kepada anak-anak peneroka di sekolah rendah dan menengah serta memberi RM500 kepada mereka yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan RM1,000 bagi Ijazah Sarjana Muda di mana-mana institut pengajian tinggi.


Generasi baru FELDA juga didedahkan kepada pelbagai kursus kemahiran yang berkaitan termasuk penyelenggaraan pesawat.


TINGKAT SOSIO-EKONOMI


Transformasi sosio ekonomi ini jelas dilihat di semua rancangan tanah FELDA.


" Di peringkat awal kehidupan mereka, mungkin ada di antara generasi FELDA yang malu hendak mengaku sebagai anak peneroka FELDA, tetapi hari ini rata-rata mereka berbangga.


"Anak generasi FELDA hari ini dapat melihat sendiri bagaimana perkembangan taraf sosio-ekonomi ibu bapa dan keluarga mereka. Daripada tinggal di pondok buruk di perkampungan tradisi, berpindah ke rumah FELDA di rancangan tanah dan hari ini rumah berkenaan melalui proses baik pulih atau dibina baru menjadi banglo mewah," katanya.


Kini terdapat 10 buah rancangan tanah FELDA berhampiran -- tiga di Trolak, lima di Besout, masing-masing satu di FELDA Sungai Behrang dan FELDA Sungai Klah dengan bilangan keseluruhan penduduk kira-kira 40,000 orang.


DULU DAN SEKARANG


Abdul Razak Din, 46, anak peneroka dari FELDA Lasah di Sungai Siput mengakui akan keperitan hidup yang dilalui arwah bapanya ketika mula-mula memasuki rancangan tanah itu pada sekitar 70-an.


"Dulu pendapatan ayah sebulan hanya RM69.60 sebelum tiba hasil ladang getah bagi menyara enam anak yang bersekolah. Sekarang masyarakat peneroka boleh meraih pendapatan minimum RM3,000 sebulan dan ada sesetangah kawasan FELDA yang tanahnya agak subur, peneroka boleh memperoleh pendapatan hampir RM8,000 bagi hasil 4.4 hektar tanah," katanya.


Abdul Razak yang kini memegang jawatan Editor akhbar Utusan Malaysia di ibu negara berkata warga peneroka kini rata-rata memiliki motosikal dan kereta sendiri malah ada yang pergi menoreh getah membawa kereta, bukan lagi basikal seperti satu ketika dulu.


Menyentuh aspek pendidikan, Abdul Razak yang memiliki Ijazah Sarjana Komunikasi (Kewartawanan Ekonomi) dari Universiti Putra Malaysia berkata banyak saluran dan bantuan yang disediakan untuk generasi muda FELDA melanjutkan pengajian mereka.


"Anak peneroka yang mendapat 4A dihantar belajar di sekolah terbaik di seluruh negara. Bagi yang tidak cemerlang pula FELDA tetap menyediakan bantuan pendidikan dan menyediakan saluran supaya mereka meneruskan pelajaran. Malah saya turut menerima biasiswa FELDA semasa belajar di universiti," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) Dr Kamari Kasan pula berkata kehidupan warga peneroka dan generasi baru FELDA kini jauh berbeza dan di luar jangkaan sebenarnya.


"Asalnya hanya mahu membasmi kemiskinan dan tidak pernah terbayang rumah besar yang begitu selesa dan memiliki kereta sendiri," katanya.


PROSES TRANSFORMASI


Dr Kamari, pemegang PhD dari United Kingdom, ialah anak peneroka FELDA Cahaya Baru, Masai Johor yang turut mengharungi onak dan duri hidup bersama-sama FELDA apabila arwah bapanya menyertai FELDA pada tahun 1969.


Beliau berkata kehidupan warga peneroka ketika itu bertukar daripada di bawah paras kemiskinan kepada golongan pertengahan dan kini merupakan era untuk FELDA melahirkan generasi baru bergelar jutawan.


"Anak-anak peneroka yang berjaya perlu dikumpulkan dan digerakkan untuk melahirkan lebih banyak jutawan.


"Generasi baru ini tidak perlu hanya menjadi golongan peneroka di rancangan tanah sendiri, mereka perlu keluar meneroka sumber dan sektor perniagaan dan perladangan baru di luar negara," katanya.


Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail yang juga merupakan generasi baru FELDA Gedangsa, Hulu Selangor menyifatkan FELDA berjaya membantu anak peneroka mencapai pendidikan pada tahap tertinggi namun, ia tidak seharusnya terhenti di situ.


"Dalam pendidikan kita telah berjaya tetapi kita mahu berjaya lagi. Kita mahu mewujudkan juga sebuah intitut pendidikan bertaraf universiti khas untuk anak-anak warga FELDA. Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kita sudah ada. Oleh itu kita perlu satu tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu taklimat di FELDA Gunung Besout 1 di Sungkai baru-baru ini.


Rozali dilihat sebagai generasi baru FELDA yang paling berjaya dan beliau menyedari kepentingan tranformasi berterusan untuk masyarakat peneroka. GWGF sedang berusaha merangka cadangan ke arah itu.


"Pelan tranformasi ini ialah bagaimana kita mahu melihat FELDA pada tahun 2020, seiring dengan transformasi ekonomi negara dan bagi 20 hingga 30 tahun akan datang," katanya.


Pewaris masyarakat peneroka perlu pastikan usaha gigih tanpa mengenal kepayahan dan dugaan generasi awal seperti yang dipaparkan di dalam filem 'Bilut' tidak sia-sia!.
-- BERNAMA

21 August, 2010

KARPAL PERLEKEH LAGI 'HUDUD' PAS


Laporan Bernama di bawah memperlihatkan pendirian tidak berubah DAP dan Karpal Singh terhadap prinsip asas acuan Pas :

"Pengerusi DAP Karpal Singh berkata hari ini beliau tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Karpal berkata partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud," katanya pada sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Karpal mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu semalam bahawa adalah wajar untuk berbalik kepada hudud oleh kerana beliau dakwa undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.

Namun, kata Nik Aziz, keutamaan mestilah menerapkan taqwa atau pendidikan agama terlebih dulu di kalangan rakyat.

Karpal berkata beliau amat jelas dalam perkara itu dan tidak mahu berhujah dengan Nik Aziz kerana pandangan beliau (Karpal) berdasarkan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan negara sekular.

Karpal berkata pada 1988, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman mati dalam kes buang bayi, dan menambah adalah lebih baik menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan mengenalpasti punca masalah sebenar. - Bernama"


KOMEN SAYA - Pas nampaknya sekali lagi akan mengikut telunjuk Karpal dan DAP. Sama seperti amaran Karpal suatu ketika dahulu yang mencabar Pas supaya melangkah mayatnya dahulu sekiranya mahu menubuhkan Negara Islam. Sejak berada di bawah ketiak DAP, para pemimpin Pas tidak berani lagi menyentuh soal penubuhan Negara Islam.

Malahan bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin semasa berbahas dalam Sidang DUN Perak ketika beliau berkuasa, dengan tegas meminta Adun-Adun BN supaya menunjukkan bukti samada dalam perlembagaan Pas atau mana-mana transkrip mengatakan Pas mahu menubuhkan Negara Islam.

Semuanya gara-gara Pas takut kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina. DAP bebas untuk memperlekehkan perjuangan asal Pas, khususnya dalam soal penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan Hukum Hudud seperti yang diacu oleh Pas.

DAP dan Karpal pula terus-terusan mempertahankan prinsip menolak idea penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan Hukum Hudud seperti yang pernah dicanangkan oleh Pas, atas faktor untuk menunjukkan kepada pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, bahawa DAP lebih berkuasa daripada Pas walaupun mereka duduk dalam satu pakatan ketika ini. DAP mahu membuktikan bahawa Pas akan terus mengikut telunjuk dan kehendak yang ditetapkan oleh Kit Siang, Karpal dan Guan Eng.

Ini terbukti sebaik sahaja PRU12 lalu, apabila Kit Siang dan Guan Eng dengan angkuh mengingatkan Pas supaya tidak lagi menyentuh soal penubuhan Negara Islam dan Hukum Hudud, khususnya di negeri-negeri yang Menteri Besarnya terdiri dari pemimpin Pas iaitu Kelantan, Kedah dan Perak (ketika itu). Arahan itu nampaknya diikuti sehinggalah Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membuka semula mulutnya beberapa hari lalu mengenai perlaksanaan hukum hudud. Seperti dijangka, DAP melalui Karpal segera menyanggah dan menukul idea tokoh Pas itu.

Apakah Nik Aziz mampu meladeni keangkuhan Karpal kali ini? Yang pasti, Pas sukar untuk melangkah 'mayat' Karpal, gara-gara kemarukkan sokongan politik. Maka terus-terusanlah Karpal ketawa mendengar salakan Pas yang semakin sumbang.

"Hey dog, just follow my instructions!!"

15 August, 2010

ZIARAH DI FELDA BESOUT 2

Program ziarah saya pada bulan Ramadhan ini bermula di Felda Gunung Besout 2 petang tadi. Dari 22 warga uzur yang disenaraikan, saya hanya berkesempatan menziarah lapan sahaja atas faktor hujan lebat dan masa yang terlalu hampir untuk berbuka puasa. Tahun lalu saya dapat menziarah kesemua 23 keluarga.

Terasa kesal juga kerana tidak dapat menziarah kesemuanya. Sumbangan dibawa saya titipkan kepada Ketua Umno Cawangan, Encik Abdul Rahim Malkan untuk diserahkan kepada selebih 14 warga pagi esok.

Di bawah saya siarkan dua foto antara tahun lalu dan tahun ini yang menyentuh perasaan saya.

TAHUN LALU

TAHUN INI
Isteri warga uzur ini (foto atas) baru sahaja kembali kerahmatullah pada 9 Julai lalu. Anaknya pula baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan gadis sekampung.


Dan foto-foto lain :

03 August, 2010

DUN PERAK : RAKYAT DIKHIANATI LAGI


Kerusi Adun-Adun pembangkang kosong

Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini meluluskan perbekalan tambahan sebanyak RM80 juta bagi tujuan pembangunan dan pelaburan. Enakmen itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Sessi perbahasan terhadap enakmen itu agak panas sehingga Adun Pasir Panjang, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin diarah keluar dewan oleh Speaker kerana tidak mematuhi peraturan mesyuarat dan berdegil tidak mahu menamatkan perbahasan setelah masa 15 minit yang diberikan berakhir. Adun-Adun pakatan pembangkang bertindak meninggalkan Dewan  bersama-sama Nizar.
Perbekalan tambahan yang diluluskan itu adalah sebahagian daripada hasil pendapatan luar jangka (extra ordinary income) yang diperolehi Kerajaan Negeri sebanyak RM117.26 juta. Pendapatan luar jangka ini tidak termasuk dalam Bajet 2010 yang ketika itu memperlihatkan defisit RM23.89 juta. Sebahagian besar hasil ini datangnya daripada bayaran premium tanah.
Fakta dari sumber mana peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta itu diperolehi telah menafikan tohmahan dan tuduhan pembangkang sejak seminggu lalu kononnya defisit Kerajaan Negeri akan meningkat kepada RM103.9 juta sekiranya enakmen itu diluluskan. Hakikatnya, RM80 juta itu bukannya diambil dari rezab Kerajaan, tetapi dari sumber luar jangka kesan daripada kecekapan pentadbiran Kerajaan menjana pendapatan.
MB Dr. Zambry dalam Sidang Akhbar selepas Sidang Dewan


Seperti yang diumumkan oleh Dr. Zambry ketika membentangkan enakmen berkenaan, RM30 juta akan digunakan bagi tujuan pembangunan, khususnya yang berkaitan dengan kepentingan rakyat. Antaranya adalah untuk tujuan aktiviti kemasyarakatan, keagamaan, pendidikan, sukan, sosio-ekonomi, bantuan bencana alam, membekal paip air, memasang lampu jalan kampung tradisi dan perkampungan Orang Asli.
Sementara RM50 juta lagi digunakan untuk tujuan pelaburan terpilih yang akan diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar sendiri. Antara lain peruntukan ini akan digunakan bagi pelaburan awam berisiko rendah seperti yang diwujudkan oleh institusi-institusi kewangan Kerajaan. Pengurus-pengurus dana akan dilantik bagi melicinkan lagi pentadbiran peruntukan tambahan ini.
Sejak seminggu lalu, Nga Kor Meng melemparkan pelbagai tuduhan kepada BN dan Dr. Zambry kononnya semakin terdesak dan tidak bijak mentadbir kewangan negeri sehingga terpaksa mendapatkan peruntukan tambahan. Tetapi jawapan Menteri Besar  menyebabkan dia terpinga-pinga. Defisit yang beliau jangkakan akan meningkat kepada RM104 juta, rupanya menjadi surplus kepada RM13.4 juta. 

Pendapatan luar jangka RM117.3 juta apabila ditolak RM23.9 juta (defisit Bajet 2010) menjadi sejumlah RM93.4 juta. Setelah ditolak RM80 juta untuk perbekalan tambahan maka bakinya adalah sebanyak RM13.4 juta. Bagaimana Nga Kor Meng boleh terus-terusan menipu di dalam akhbar dan ceramahnya bahawa Kerajaan Negeri akan mengalami defisit terburuk dalam sejarah sekiranya RM80 juta itu digunakan? 

Setelah Dr. Zambry memberikan fakta sumber perolehan pendapatan tambahan itu, nampaknya Kor Ming dan beberapa Adun pembangkang hilang punca untuk membahaskan enakmen berkenaan. Mereka mula mencari helah untuk melarikan diri dari menyokong perbekalan tambahan yang ternyata untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat, khususnya di luar-luar bandar.
Nizar yang diberi peluang oleh Speaker Dato’ R. Ganesan untuk membahaskan enakmen itu ternyata jauh tersasar daripada topik yang dibincangkan. Apa yang diperkatakannya sama sekali menyimpang daripada topik perbekalan tambahan, sebaliknya lebih kepada penghujahan fakta-fakta songsang yang sering dibawanya dalam ceramah-ceramah politik sebelum ini.
Beliau sengaja melanggar arahan Speaker untuk berhenti berbahas setelah masa tamat, mungkin atas harapan supaya dirinya diarahkan keluar Dewan. Provokasi itu seperti memenuhi kehendak Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Ming yang sudah hilang modal untuk berbahas setelah mendapati tuduhan mereka sebelum ini mengenai defisit negeri tersasar.
Ketika saya membahaskan enakmen berkenaan, Nizar terus berdiri dan berhujah tanpa menghiraukan arahan Speaker supaya duduk. Akhirnya Speaker menerima satu usul dari pihak Kerajaan di bawah Perintah Tetap untuk menggantung Nizar daripada Sidang Dewan hari ini dan mengarahkannya keluar.
Setelah berlaku pertikaman lidah yang agak panjang antara Speaker dan Adun-Adun pakatan pembangkang, akhirnya Nizar keluar Dewan diikuti oleh semua rakan-rakannya.Sebenarnya memang itulah yang mereka idamkan, keluar dari Dewan dan mengelak untuk memberikan sokongan kepada satu enakmen yang memberikan manfaat kepada rakyat.
Maka buat sekian kalinya sejak tiga Sidang DUN yang lalu, Adun-Adun pakatan pembangkang melepaskan peluang untuk membawa dan membahaskan masalah rakyat di kawasan yang mereka wakili, dengan bertindak meninggalkan Dewan.
Suara rakyat yang mereka wakili sekali lagi dikhianati.

Lihat juga DI SINI.