12 April, 2010

MB PERAK DI HULU SELANGOR

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah menghadiri majlis suaikenal jentera Perhubungan Umno Perak di empat daerah mengundi dalam kawasan Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor.

Majlis yang diadakan serentak di semua 47 daerah mengundi itu bertujuan bagi memperkenalkan bapa-bapa angkat (Negeri, Ahli Majlis Tertinggi, Menteri dan Bahagian) serta ibu angkat (Wanita), abang angkat (Pemuda) dan adik angkat (Puteri).

Negeri Perak diamanahkan menjadi bapa angkat di daerah mengundi Kawasan SKC, Ladang Lima Belas, Gedangsa, Sungai Selisek dan Kampung Gesir.

Kunjungan Dr. Zambry bermula di SKC Jaya pada jam 9.00 malam dan berakhir di Gedangsa pada jam 11.45 malam. Beliau juga telah berada di Kampung Serigala dalam daerah mengundi Sungai Selisek dan Kampung Gesir Tengah.

Dalam ucapannya Dr. Zambry berkata kehadiran jentera pilihanraya BN Negeri Perak adalah bertujuan untuk membantu jentera pilihanraya setempat bagi mencapai kemenangan dalam PRK P094 Hulu Selangor.

Jentera BN Negeri Perak akan turun sepenuhnya pada 14 April nanti.

06 April, 2010

TUGAS PERAK DI HULU SELANGOR

Perhubungan BN dan Umno Negeri Perak diamanahkan menjadi bapa angkat (negeri) kepada lima daerah mengundi dalam Pilihanraya Kecil (PRK) N094 Hulu Selangor. Daerah-daerah mengundi itu adalah Kawasan SKC melibatkan 573 pengundi, Ladang Lima Belas (677), Gedangsa (2334), Sungai Selisek (801) dan Kampung Gesir (886) yang keseluruhannya berjumlah 5,271 pengundi.
Terdapat 17 cawangan Umno di kesemua lima daerah mengundi itu. Disebabkan keluasan kawasan yang diamanahkan dengan jumlah pengundi yang begitu ramai, Umno Perak membahagikannya kepada tiga sub-zon iaitu Zon 2A melibatkan Kawasan SKC dan Ladang Lima Belas, Zon 2B (Gedangsa) dan Zon 2C (Sungai Selisek dan Kampung Gesir).

Ketua Penyelaras bagi Zon 2A adalah YB Dato’ Saarani Mohamad (Ketua Umno Bahagian Lenggong), Zon 2B oleh YB Dato’ Shamsudin Abu Hassan (Ketua Umno Bahagian Tapah) dan Zon 2C oleh Dato’ Yusoff Kassim (Ketua Umno Bahagian Batu Gajah).
Bahagian-bahagian Umno dalam Negeri Perak pula diberikan tugas membantu setiap sub-zon. Bagi Zon 2A melibatkan bahagian Ipoh Barat, Lenggong, Larut, Padang Rengas, Parit Buntar, Bukit Gantang dan Kuala Kangsar.
Zon 2B melibatkan bahagian Taiping, Tambun, Gerik, Gopeng, Beruas, Tapah, Sungai Siput, Lumut dan Teluk Intan. Sementara Zon 2C pula adalah Bagan Serai, Ipoh Timor, Batu Gajah, Pasir Salak, Parit, Kampar dan Bagan Datoh.
Selaku bahagian yang bersempadan dengan Hulu Selangor, Tanjong Malim terlibat di ketiga-tiga sub-zon.
Terdapat 17 cawangan Umno dalam ketiga-tiga sub-zon berkenaan. Lima cawangan terletak dalam Zon 2A iaitu Kampung Seri Keledang, Alah Batu, Ladang Lima Belas, Changkat Bintang dan SKC Jaya. Lima cawangan dalam Zon 2B iaitu Gedangsa, Kampung Bahagia, Kampung Rahmat, Kampung Keliling dan Kampung Seberang. Tujuh cawangan pula dalam Zon 2C iaitu Sungai Selisek, Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Gesir, Kampung Lalang dan Kampung Tersusun.
Badan Perhubungan Umno Perak telah menganjurkan majlis suaikenal dan ramah mesra dengan kepimpinan di kesemua cawangan berkenaan pada 5 April lalu bertempat di Dewan Orang Ramai Felda Gedangsa. Kemudian pada 6 April, majlis ramah mesra dan gerak tinjau diadakan pula di Zon 2A.
Kesemua jentera pilihanraya Perhubungan Umno Negeri Perak termasuk Wanita, Pemuda, Puteri dan Vateran akan turun sepenuhnya bermula dari 14 April nanti bagi membantu kempen BN di kelima-lima daerah mengundi berkenaan. Penamaan calon PRK P094 akan diadakan pada 17 April bertempat di Pejabat Majlis Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru sementara pembuangan undi akan diadakan pada 25 April akan datang.
Kepada semua petugas Umno Negeri Perak yang telah dipilih, saya mengucapkan selamat berkhidmat dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan calon BN dalam PRK P094 Hulu Selangor nanti.

Di bawah ini foto-foto gerakan awal Umno Perak di Hulu Selangor pada 5 dan 6hb April 2010.

05 April, 2010

SUARA KEADILAN VS DR. ZAMBRY

Suara Keadilan, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun memohon maaf kerana menyiarkan artikel memfitnah Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kononnya Menteri Besar Perak itu dihalang memasuki Amerika Syarikat atas alasan namanya tersenarai dalam pangkalan data pengganas antarabangsa.

Permohonan maaf itu dinyatakan dalam edisi terbaru akhbar tersebut keluaran bertarikh 30 Mac hingga 6 April, yang berbunyi :

“Kami,... Lembaga Pengarang Suara Keadilan, dengan ini secara sepenuhnya menarik balik kesemua tuduhan-tuduhan dan dakwaan bahawa penghantaran dan penglibatan keganasan yang disyaki, yang telah dibuat di bawah artikel tersebut terhadap aksara, reputasi, kedudukan dan perbuatan Datuk Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Negeri Perak.

Penyataan-penyataan tersebut tidaklah disokong oleh sebarang sumber yang berwibawa dan adalah oleh itu, tidak benar dan salah. Justeru, kami mengakui tidak mempunyai asas di dalam pernyataan tersebut. Kami ingin mengambil kesempatan ini menarik balik sepenuhnya artikel tersebut dan kesemua tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaan terhadap Datuk Seri Dr. Zambry bin Abd. Kadir serta melahirkan kekesalan kami atas penerbitan artikel tersebut.

Kami juga dengan ikhlasnya meminta maaf kepada Datuk Seri Dr. Zambry bin Abd Kadir atas keaiban dan kesulitan yang diakibatkan oleh penerbitan artikel tersebut.”

Salah satu soalan saya semasa Sidang DUN Perak pada 30 Mac lalu berkaitan isu ini. Soalan saya berbunyi begini :

"YAB Menteri Besar telah membawa misi dagang Kerajaan Negeri Perak ke Amerika Syarikat pada bulan Disember 2009 dan telah bertemu kumpulan pelabur yang berada di Silicon Valley, San Francisco dan Boston.
a) Apakah kejayaan-kejayaan yang telah dicapai melalui misi dagang itu?
b) Benarkah tuduhan akhbar Suara Keadilan kononnya YAB Menteri Besar telah ditahan di Lapangan Terbang San Francisco kerana nama beliau berada dalam pangkalan data pengganas?
c) Jika tidak benar, apakah tindakan yang telah dan akan diambil terhadap akhbar Suara Keadilan kerana laporan ini telah mengelirukan rakyat dan memberi imej cukup buruk kepada YAB Menteri Besar."

Dan jawapan dari YAB Menteri Besar Perak adalah seperti ini : 

“Saya telah membuat lawatan kerja ke Amerika Syarikat dari 7 hingga 11 Disember 2009 yang lalu untuk bertemu dengan beberapa pelabur perindustrian dan syarikat modal teroka (venture capital companies) yang telah dikenalpasti berpotensi untuk melabur di Negeri Perak

Di antara kejayaan-kejayaan yang telah dicapai melalui misi tersebut ialah pelaburan oleh Twin Creek Technologies Incorporated, sebuah syarikat pengeluaran “solar cell” yang akan melabur secara usahasama dengan syarikat Malaysia dengan pelaburan berjumlah USD 250 juta (RM825 juta).

Syarikat-syarikat modal teroka yang telah saya temui ialah Cross Link Capital dan Artis Capital.
Selain itu saya juga telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha-pengusaha dalam bidang bioteknologi, “medical devices” dan lain-lain termasuk dengan Massachussets Office of International Trade and Investment, Massachussets Medical Devices Council dan Massachussets Life Science Centre.

Antara syarikat-syarikat yang terkemuka di Boston yang telah saya temui adalah Neurodyne Medical Corporation, Fresenius Medical Care, Biogen-Idec Incorporated, Sensata Technologies, JT Venture Partners dan Pratt & Whitney.

Lanjutan daripada lawatan kerja tersebut, dua buah syarikat telahpun datang ke Negeri Perak untuk meninjau dan membuat “site selection”. Antara syarikat-syarikat yang telah membuat demikian adalah American River Nutrition Incorporated dan Diamond Wire Incorporated. Terdapat juga syarikat-syarikat lain yang telahpun menyatakan hasrat mereka untuk datang dalam masa terdekat untuk meninjau sendiri peluang-peluang dan kemudahan-kemudahan pelaburan yang wujud di Negeri Perak.

Tuduhan bahawa saya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco adalah tidak benar sama sekali. InvestPerak telah mengatur kesemua urusan berkaitan dengan lawatan kerja saya ke Amerika Syarikat yang bermula dari 7-11 Disember 2009. 

Pihak Kedutaan Malaysia di Washington telah dimaklumkan melalui surat yang dialamatkan kepada Tuan Yang Terutama Duta Malaysia sendiri mengenai lawatan kerja ini. Surat tersebut mengandungi senarai delegasi, jadual penerbangan dan keseluruhan itinerary misi pelaburan untuk urusan pihak Kedutaan Malaysia berurusan dengan pentadbiran Amerika Syarikat yang berkaitan.

Urusan ini adalah tatacara lazim yang dilakukan oleh mana-mana agensi kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat apabila melibatkan misi-misi pelaburan dan perdagangan yang diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri. Pihak Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) juga telah dimaklumkan.

Lanjutan dari itu pihak Kedutaan Malaysia di Washington telah menghantar dua orang pegawai MIDA untuk menyambut ketibaan delegasi sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang San Francisco pada 7 Disember 2009. Manakala pihak InvestPerak telah menunggu dan menerima rombongan sebaik sahaja urusan imigrasi dan kastam selesai.

Oleh itu tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali. Perkara ini adalah di dalam tindakan peguam saya.” 

Komen saya : Nilaikanlah maruah dan kredibiliti sebuah lidah rasmi parti yang ditunjangi Anwar Ibrahim.

03 April, 2010

PM DAN FELDA DI HULU SELANGOR


Lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ke tanah-tanah rancangan Felda di Hulu Selangor hari ini menimbulkan semula nostalgia manis kepada masyarakat peneroka di sana. Apa tidaknya, kali terakhir seorang Perdana Menteri menjejakkan kaki ke Felda Sungai Dusun adalah pada 1972. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak membawa bersama Presiden Indonesia, Soeharto. Felda Sungai Dusun kemudiannya ditukar nama kepada Felda Soeharto sempena lawatan pemimpin utama negara jiran itu.
Selepas 38 tahun, Dato’ Seri Najib mengikut jejak ayahnya berkunjung ke Felda Soeharto, ketika genap setahun beliau menduduki jawatan Perdana Menteri. Keceriaan masyarakat peneroka Felda Soeharto tidak boleh digambarkan. Mereka bertambah ceria melihatkan pembawaan anak kepada bapa Felda ini saling tak tumpah seperti arwah ayahnya yang begitu mesra dan tidak terlalu mementingkan protokol.
Dato’ Seri Najib tiba di Felda Sungai Tengi Selatan tepat jam 9.15 pagi, iaitu 15 minit lebih awal dari jadual lawatannya. Di situ beliau merasmikan projek Gedung Makanan Negara di mana Felda menerima amanah untuk menjayakan program tersebut. Di situ juga beliau sempat berkunjung ke sebuah rumah peneroka yang sedang melangsungkan kenduri kahwin.
Di Felda Sungai Tengi pula, Dato’ Seri Najib melancarkan Yayasan Kelana Ehsan dan menyampaikan sumbangan kepada 700 pelajar cemerlang dalam Parlimen Hulu Selangor. Dewan Orang Ramai Felda Sungai Tengi penuh sesak dengan kehadiran rakyat berbilang kaum, khususnya dari kalangan masyarakat peneroka Felda.
Kemudian beliau melawat pula Felda Soeharto – melakukan pecah tanah bagi projek perumahan generasi Felda yang menyediakan 298 unit rumah kos rendah, menghadiri majlis perkahwinan dua pasangan adik beradik dan sempat pula ‘menginap’ sebentar ke rumah penerokawati Puan Nafsiah bte Rosli untuk merasakan dinginnya mandi air kolah.
Di Felda Gedangsa pula, Perdana Menteri menunaikan solat Zohor berjemaah, menyampaikan surat pemilikan tanah tambahan seluas dua ekar kepada setiap peneroka dan menziarah jenazah Naib Ketua Pemuda Umno Cawangan yang meninggal dunia pagi itu.
Foto-foto di bawah menceritakan segalanya. Baca juga blog Yeop Parit di sini.


02 April, 2010

PUASNYA SELEPAS SIDANG DUN

Sidang DUN Perak sudah dua hari berlalu. Walaupun diwarnai kekecohan akibat sikap keterlaluan Adun-Adun pembangkang, tetapi hati saya berasa cukup puas. Saya tidur nyenyak dengan penuh kepuasan di sepanjang perjalanan pergi dan balik menaiki bas dari Ipoh ke Sri Perdana di Putrajaya untuk menghadiri majlis jamuan makan malam Perdana Menteri bersama Kelab ADUN BNBBC seluruh negara. 

Longe-suit yang saya pakai sejak pagi semasa persidangan agak merimaskan, tetapi tidak menghalang diri saya tidur lena dengan rasa puas. Hati saya puas bukan kerana mengingatkan sikap pembangkang yang sekali lagi mensarkaskan persidangan, tetapi puas kerana telah dapat meluahkan isihati saya yang terpendam di Dewan yang mulia. Sudah hampir dua tahun saya tidak mendapat peluang berbahas secara berkesan akibat gangguan dan kekecohan dalam dua persidangan sebelum ini.

Dalam Sidang Dewan pada 28 Oktober lalu, saya berpeluang membahaskan Bajet 2010, tetapi diganggu oleh sikap tidak sopan Adun-Adun pembangkang, khususnya Adun Tronoh, V. Sivakumar yang tiba-tiba bangun menyambung semula sidang haramnya ketika Dewan sebenar sedang bersidang. Apa yang dapat saya bahaskan ketika itu hanyalah mendesak Speaker, Dato’ R. Ganesan mengenakan tindakan tegas terhadap Sivakumar kerana cuba menjadikan Dewan seperti sarkas.

Rabu lalu suasana begitu berlainan sekali. Kesemua Adun pembangkang telah keluar meninggalkan Dewan ketika sessi perbahasan terhadap usul menjunjung kasih ke atas titah perasmian DYMM Pemangku Sultan Perak yang dibawa oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir. Dewan menjadi begitu aman dan amat sesuai bagi perbahasan tanpa diganggu oleh pekik lolong pembangkang.

Sebaik sahaja pembahas pertama, Adun Pengkalan Hulu, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali selesai berbahas, saya lantas bangun mencuba nasib dan mata Timbalan Speaker, YB Hee Yit Foong tertumpu tepat ke arah saya walaupun ketika itu Adun Trong, Datuk Rosli Husin juga bangun. Saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk diberi peluang, tetapi berasa lega apabila mulut YB Hee memanggil “Slim”, nama kawasan yang saya wakili.

Ibarat menyambut buah yang sekian lama ditunggu, saya lantas bertekad di dalam hati untuk menggunakan masa 20 minit itu bagi membawa sebanyak mungkin masalah rakyat di Negeri Perak, khususnya dalam kawasan Slim.

Saya mengambil pendekatan untuk tidak menyentuh isu politik negeri kerana telah banyak disentuh oleh Adun Pengkalan Hulu sebelum itu. Lagipun saya merasakan tiada gunanya bercakap soal politik ketika semua Adun pembangkang berada di luar. Hati dan fikiran saya ketika itu meronta-ronta untuk melaksanakan tugas hakiki selaku wakil kepada rakyat, iaitu membawa masalah rakyat dalam Sidang Dewan.

Saya terus menyentuh masalah pelajar lepasan SPM yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Setiap tahun seramai kira-kira 200,000 remaja lepasan SPM di seluruh negara terkandas dalam pelajaran, dan dalam tempoh lima tahun lalu jumlahnya menjangkau sejuta orang. Kebanyakan mereka tiada hala tuju, yang akhirnya boleh mengheret mereka terjebak dalam aktiviti negatif.

Saya mencadangkan supaya Kerajaan menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran samada dalam bidang akademik mahupun kemahiran. Saya memuji langkah UiTM mengadakan kelas pra-diploma dengan kelulusan minima lima kredit bagi pelajar lepasan SPM mengikutinya.

Saya juga menyarankan Kementerian Belia dan Sukan supaya memberikan lebih tumpuan terhadap belia, berbanding situasi semasa di mana acara sukan terlalu difokuskan dengan peruntukan yang begitu besar.

Saya juga meminta Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri supaya segera menaiktaraf kemudahan infrastruktur dan frasarana pembelajaran di sekolah-sekolah luar bandar kerana itulah antara faktor berlakunya kemerosotan pelajar, sama ada di Sekolah Kebangsaan (SK), SJK (Cina) ataupun SJK (Tamil). Kegagalan pelajar akibat kemiskinan keluarga juga perlu diatasi dengan menyediakan lebih banyak peluang mendapat biasiswa di kalangan mereka.

Saya turut menyarankan supaya pelajar-pelajar di kawasan pendalaman yang berpotensi berjaya dalam pendidikan, khususnya di kalangan masyarakat Orang Asli, disediakan kemudahan asrama supaya mereka dapat belajar dengan tekun tanpa memikirkan pelbagai masalah untuk hadir ke sekolah.

Yayasan Perak pula digesa menyediakan lebih banyak dana bagi membantu pelajar-pelajar miskin untuk meneruskan pelajaran, samada untuk tujuan membayar yuran, menyediakan pakaian, buku rujukan dan juga mendapatkan makanan berkhasiat.

Selain isu pendidikan, buat sekian kalinya saya menyentuh masalah penempatan generasi kedua Felda dan meminta Kerajaan Negeri meluluskan tapak bagi membolehkan rumah-rumah dibina untuk mereka. Kerajaan Negeri juga diminta segera melupuskan status tanah GSA di kawasan yang sesuai dibangunkan penempatan anak-anak peneroka di tanah rancangan Felda. Masalah ini sebenarnya begitu menghimpit kehidupan mereka sejak sekian lama. Kebanyakan anak peneroka sudahpun berkeluarga dan begitu mengharapkan tempat tinggal yang selesa di tanah rancangan Felda.


Di dalam kawasan saya, terdapat lapan buah tanah rancangan Felda, tiga di Gugusan Trolak dan lima di Gugusan Besout. Selain itu dua lagi terletak dalam DUN Behrang dalam Parlimen Tanjong Malim iaitu kampung saya sendiri Felda Sungai Behrang dan Felda Sungai Klah. Bilangan penduduk keseluruhannya menjangkau hampir 40,000 orang.

Pembinaan jalan baru dari Felda Gugusan Besout ke Kuala Slim yang tertangguh pembinaannya sejak Ogos tahun lalu juga sempat saya sentuh. Jalan sepanjang 11 km dengan kos asal RM46 juta begitu penting kepada masyarakat peneroka di Felda Gugusan Besout untuk keluar berurusan di Slim River. Saya meminta supaya kerja-kerja dapat digerakkan semula bagi kepentingan rakyat di kawasan saya.

Selain itu saya meminta Kerajaan supaya menaiktarafkan Jalan Persekutuan antara Slim River ke Tanjong Malim untuk dijadikan dua lorong sebagaimana jalan antara Bidor ke Slim River.

Isu pembalakan dan penerokaan tanah secara haram di SKC dan Hutan Simpan Changkat Ramu juga saya sentuh. Aktiviti ini yang berlaku secara berleluasa sejak bertahun-tahun lalu perlu dibendung secara tegas oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan negeri kehilangan hasil dan rakyat sekitar menggigit jari melihat kerakusan peneroka haram. Saya meminta supaya bahagian penguatkuasa memainkan peranan lebih berkesan bagi mengheret peneroka-peneroka haram ini ke muka pengadilan.

Saya juga meminta supaya perpustakaan awam dapat dibina secepat mungkin di Tanjong Malim bersesuaian dengan kewujudan UPSI, Politeknik Sultan Azlan Shah, MRSM Felda dan Institut Tadbir Tanah Negara (INSTUN) di kawasan ini.

Nasib masyarakat Orang Asli juga saya sentuh dengan menggesa aganesi-agensi kerajaan dan swasta yang mengusahakan tanah-tanah rezab Orang Asli supaya memberikan pendapatan bulanan yang setimpal dengan hasil yang dikeluarkan. Rata-rata keluarga Orang Asli menerima pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan, sedangkan keluasan tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri membolehkan mereka mendapat lebih dari itu.

Niat murni Kerajaan Negeri mahu mengeluarkan masyarakat Orang Asli dari kepompong kemiskinan tidak akan tercapai sekiranya agensi-agensi berkenaan tidak sama membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan. Dengan pendapatan di bawah RM300 sebulan, mereka masih berada jauh di bawah paras kemiskinan.

Saya juga meminta Kerajaan Negeri mempercepatkan penubuhan Institut Tahfiz bagi kepentingan pelajar-pelajar Islam di negeri ini. Ini adalah langkah murni bagi melahirkan lebih ramai tahfiz di kalangan generasi muda Islam.

Dengan celahan soalan dari rakan-rakan Adun BN yang lain, saya berjaya mencuri masa selama hampir 40 minit membahaskan perkara-perkara di atas. Hati saya benar-benar puas kerana dapat meluahkan permasalahan rakyat di dalam Dewan, biarpun apa yang saya bawa itu tidak mendapat tempat dalam akhbar-akhbar arus perdana keesokan harinya. Kesemua akhbar melaporkan episod kekecohan yang dicetuskan Adun-Adun pembangkang.

Maka tidak benarlah dakwaan pembangkang bahawa persidangan DUN Perak kali ini tidak memberikan tumpuan kepada masalah rakyat. Malahan mereka juga berpeluang membawa masalah rakyat di kawasan yang diwakili jika setiap Adun berkenaan berpegang kepada amanah yang telah diberikan oleh pengundi.

Kekecohan yang mereka timbulkan tidak membolehkan persidangan berlangsung lebih lama. Bagaimanakah mahu mengheret persidangan sehingga lima hari sebagaimana yang mereka kehendaki, sedangkan mereka hanya mampu bertahan selama satu jam dan selepas itu bertindak meninggalkan Dewan? Itulah yang saya persoalkan dalam tulisan saya sebelum ini, apakah mereka yakin bahawa sikap mereka akan lebih bertamadun untuk mengheret persidangan selama lima hari sebagaimana Nizar harapkan? Perlakuan mereka Rabu lalu sudahpun memberikan jawapannya.

Kepada seluruh rakyat Negeri Perak, nilaikanlah sikap Adun-Adun DAP, PKR dan PAS ini. Mandat yang telah diberikan untuk membawa dan menyelesaikan masalah rakyat telah mereka abaikan. Keutamaan mereka ketika ini bukanlah membantu menyelesaikan masalah rakyat, tetapi mereka telah menyukarkan lagi Kerajaan Negeri untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Nilaikanlah sebaiknya sebelum membuat keputusan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

01 April, 2010

DUN PERAK – INSIDEN MELAMPAU


Sidang DUN Perak yang berakhir petang tadi menyerlahkan lagi sikap biadap Adun-Adun pembangkang. Rakyat sudah pasti dapat menilai sikap mereka yang lebih mengutamakan politiking dari memikul amanah yang diberikan untuk membawa masalah rakyat di dalam Sidang Dewan.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan sikap biadap dan tidak mengikut tataetika ketika berada di dalam Dewan. Sikap yang sama telah mereka tunjukkan semasa Sidang DUN pada 7 Mei 2009 dan 28 Oktober 2009. Malahan kebiadaban mereka dalam persidangan kali ini lebih lagi ketara dengan menghamburkan kata-kata kesat dan cuba memukul Menteri Besar.

Apabila Speaker, Dato’ R. Ganesan memulakan persidangan, Adun-Adun pembangkang yang diketuai Ngeh Ko Ham, Nga Kor Meng, Nizar Jamaluddin dan Sivakumar terus mengganggu dengan berbuat bising.
Tujuan mereka hanya satu, mahu menggagalkan Sidang DUN dengan alasan kononnya Ganesan tidak berhak mengendalikan persidangan. Nga Kor Meng bangun untuk memulakan episod buruk itu sebaik sahaja Ganesan mahu membuat pengumuman beliau selaku Speaker.
Bermula dari pengumuman Speaker hinggalah selesai sessi soalan lisan, Adun-Adun pembangkang membuat pelbagai provokasi terhadap Speaker, Menteri Besar dan Adun-Adun BN. Mereka menjerit, bangun tanpa kebenaran dan menunjukkan risalah dengan pelbagai tulisan biadap.

Malahan mereka enggan mengemukakan soalan untuk dijawab oleh wakil Kerajaan Negeri ketika soalan-soalan itu tiba pada gilirannya. Antaranya soalan 3 dari Adun Kuala Sepetang, Tai Sing Ng, soalan 5 dari Chang Lih Kang (Teja) dan soalan 8 dari Yee Seu Kai (Pokok Assam).
Di akhir episod-episod itu, Nizar memulakan langkah meninggalkan Dewan dengan melontarkan kata-kata kesat terhadap Speaker dan Menteri Besar.  Nizar memaki Dr. Zambry dengan kata-kata "BABI! PANGKOR" dan Nga Kor Meng menunjukkan isyarat penumbuk kepada Menteri Besar. 

Sebelum keluar, mereka berlegar-legar di ruang tengah Dewan tanpa menghormati sidang yang sedang berjalan. Mereka juga menerjah masuk ke hadapan meja tempat yang dikhaskan kepada kerajaan. Ketika itu, Exco Dato’ Ramli Zahari sedang membawa usul Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Pindaan) 2010.

Tai Sing Ng (Adun Kuala Sepetang) yang mahu memukul Menteri Besar rakyat Perak, YAB Dato’ Seri Dr. Zambry

Adun Kuala Sepetang, Tai Sing Ng bertindak lebih melampau apabila menuju ke hadapan meja Dato’ Seri Dr. Zambry, berkata sesuatu dan cuba menghempas fail tebal yang dibawanya ke tubuh Menteri Besar. Beberapa orang Bentara Dewan segera menghentikan tindakannya itu dan membuat benteng menghalang Tai dan Adun-Adun pembangkang lain merapati Dr. Zambry. Semalam, Adun Kuala Sepetang inilah juga yang enggan bangun ketika doa dibacakan bagi memulakan persidangan sebelum DYMM Pemangku Raja Perak memasuki Dewan untuk menyampaikan titah perasmian.

 Selaku Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan, saya mencadangkan supaya Tai dihadapkan dalam masa terdekat ke jawatankuasa ini supaya satu keputusan tegas dapat diambil sebagai pengajaran kepada Adun-Adun lain. Perbuatan mahu memukul seseorang anggota Dewan adalah satu tindakan melampau dan amat menyalahi tataetika Dewan, apatah lagi perbuatan itu mahu dilakukan terhadap seorang Menteri Besar yang merupakan ketua eksekutif Kerajaan Negeri.


 
Kesemua Adun pembangkang memboikot dan keluar dari Sidang Dewan pada kira-kira jam 11.00 pagi. Amanah yang telah diberikan oleh rakyat di kawasan mereka telah dikhianati.

LUAHAN HATI DR ZAMBRY TERHADAP SEMUA INSIDEN MELAMPAU INI 
BOLEH DIBACA DI SINI