30 March, 2010

SIVAKUMAR DAN GILA TALAKNYA


Sambil berbaring-baring mahu melelapkan mata untuk mendapatkan sedikit rehat menjelang Sidang DUN Perak pagi esok, rasa nak tergelak membaca kenyataan Adun Tronoh, V Sivakumar di dalam sebuah blog yang terkinja-kinja menjaja surat jawapan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali. 

Tak tahu bahasa apa yang mahu saya gunakan untuk menggambarkan betapa jahilnya bekas Speaker itu dalam menilai satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan. Ketawa besar Sivakumar kerana umpannya dengan menyamar menggunakan kepala surat Speaker sudah mengenai ‘ikan besar’. 

Maka dimanipulasilah oleh Sivakumar kononnya Tajol Rosli mengiktiraf dirinya Speaker kerana menjawab jemputannya untuk menghadiri sidang DUN esok. Dan kononnya Tajol Rosli berpegang kepada prinsip dan mengiktiraf Sivakumar, sedangkan Dr. Zambry pula mengiktiraf R. Ganesan selaku Speaker.

Lalu digambarkan oleh bacaan politik dangkal puak-puak Nizar ini kononnya Dr. Zambry dan Tajol Rosli sudah tidak sehaluan. Berkompanglah mereka meraikannya dengan harapan itu petanda keruntuhan BN di Perak dan Nizar boleh kembali dijulang selaku Menteri Besar dan Ngeh Ko Ham akan terus tersengih sementara Nga Kor Meng akan terus terngaga menunggu udang harimau akuakultur melompat masuk ke mulutnya.

Begitulah lazimnya sikap seorang suami yang gila talak terhadap isterinya. Isteri membuka pintu untuk melihat bulan mengambang disangkanya mahu membenarkan dirinya masuk ke rumah. Tulang ikan yang dibaling isterinya tersilap sasaran disangka mahu mengguraui dirinya minta dirujuk semula.

Kasihanlah saya melihat sikap politikus yang gila talak seperti Sivakumar ini. Tak hairan jika dia terus meracau dalam Sidang DUN pagi esok. Sabar sajalah yop!

27 March, 2010

SIDANG DUN PERAK - LAKONAN NIZAR


Bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan Adun-adun pembangkang lain mahu berselindung lagi. Kononnya atas jemputan bekas Speaker, V. Sivakumar, maka beliau dan kuncu-kuncunya bersetuju menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perak bermula pada 30 Mac nanti.

Ironinya, jemputan yang dibuat oleh Sivakumar itu sama tarikh dengan perkenan yang telah diberikan oleh DYMM Sultan Perak kepada Speaker yang sah, Dato’ R. Ganesan untuk mengadakan sidang DUN. Ini kali kedua Sivakumar bertindak serupa itu setelah kali pertama ia berbuat demikian menjelang sidang 28 Oktober 2009.

Hakikatnya mereka bimbang kerusi yang disandang ketika ini menjadi kosong sekiranya tidak menghadiri Sidang DUN. Maka berselindunglah dengan apa cara sekalipun, asalkan mereka dapat memasuki Dewan dan menandatangani borang kehadiran.

Atas sifat mahu menjaga air muka dan tidak dimalukan sekiranya menjawab surat jemputan Speaker Ganesan, maka jemputan palsu Sivaji Sivakumar dijadikan galang ganti. "Kami buat keputusan untuk hadir berdasarkan surat Speaker yang sah YB V. Sivakumar pada perasmian dan perbahasan 31 haribulan,” kata Nizar dalam sidang akhbarnya.

Nizar lupa agaknya, apabila beliau menghantar surat kepada Dato’ Seri Dr. Zambry bagi memohon diadakan satu mesyuarat dengan Menteri Besar itu dan Ganesan pada 29 Mac jam 9.00 pagi di Dewan Bandaraya Ipoh dengan tujuan “untuk kepentingan negeri perak yang lebih cemerlang”, itu bermakna beliau telahpun mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker yang sah.

Apakah perlunya Nizar menjemput Ganesan bersama dalam mesyuarat itu jika beliau tidak mengiktirafnya sebagai Speaker yang sah?

Nizar, Ngeh Ko Ham, Nga Kor Meng dan lain-lain Adun dari parti pembangkang sepatutnya tidak perlu risau dengan perjalanan sidang DUN pada 30 Mac nanti, selagi diri mereka sendiri tidak mula mencetuskan huru-hara sebagaimana yang berlaku dalam dua sidang sebelum ini. Rakyat sebenarnya sudah muak dengan perlakuan sumbang mereka meladeni persidangan.

Dua sidang sebelum ini sepatutnya berlangsung selama lebih dari dua hari, tetapi atas sikap luar batasan Adun-adun pakatan pembangkang maka ianya hanya mampu bertahan selama sehari. Apakah mereka yakin bahawa sikap mereka akan lebih bertamadun untuk mengheret persidangan selama lima hari sebagaimana Nizar harapkan?

Nizar mengatakan bahawa Adun pakatan pembangkang telah menghantar 216 soalan untuk sidang DUN nanti tetapi kepada siapakah soalan-soalan itu dihantar? Soalan itu tidak dihantar melalui prosedur yang telah ditetapkan oleh Speaker dan Setiausaha Dewan, sebaliknya dihantar kepada Sivakumar. Adun Tronoh itu pula bertindak seperti posmen menghantar soalan-soalan itu kepada Setiausaha Dewan.

Menurut Ganesan, hanya 7 daripada 28 Adun pembangkang yang menghantar soalan melalui e-mail yang telah ditetapkan, maka sewajarnya hanya soalan-soalan itu yang perlu dimasukkan dalam senarai soalan yang sah.

Dewan tidak perlu terjerat dengan perangkap yang dibuat oleh Sivakumar, Nizar, Ngeh dan Nga. Memasukkan kesemua 216 soalan itu ke dalam senarai bermakna Dewan secara tidak langsung mengiktiraf Sivakumar sebagai Speaker kerana soalan-soalan itu dihantar kepada beliau.

Sivakumar perlu akur bahawa dirinya bukan lagi Speaker setelah dilucutkan oleh Sidang DUN pada 7 Mei 2009. Apa lagi mahu ditegakkan benang yang basah dengan membangkitkan persoalan yang tidak masuk akal semata-mata mahu mengekalkan jawatan yang sudah tiada?

Mahu mengatakan bahawa perlucutan jawatannya tidak sah kerana ianya turut diundi oleh 10 Adun yang dikatakan tidak layak memasuki Sidang DUN ketika itu? Siapakah yang memutuskan bahawa mereka tidak layak memasuki Dewan? Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan? Keputusan jawatankuasa itu yang menggantung Dr. Zambry dan enam exco lain adalah tidak berkuatkuasa selagi ianya tidak dibawa ke dalam Sidang Dewan untuk disahkan.

Mengatakan tiga Adun bebas sudahpun meletakkan jawatan dan tidak layak memasuki Dewan ketika itu? Mahkamah Tinggi sudahpun memutuskan bahawa surat perletakan jawatan tidak bertarikh yang mereka tandatangani adalah tidak sah dan kedudukan ketiga-tiganya selaku Adun adalah dikekalkan.

Jadi tidak timbul tuduhan Sivakumar mengatakan Timbalan Speaker tidak boleh mengambil alih peranan dalam pengundian usul undi tidak percaya terhadap Speaker yang dibawa oleh Menteri Besar. Hee Yit Foong berhak atas kedudukannya selaku Timbalan Speaker mengambil tugas itu ketika Speaker gagal memainkan peranannya mengawal suasana Dewan.

Mahkamah juga telah membuat keputusan bahawa Ganesan adalah Speaker yang sah. Jadi apa lagi yang mahu dipertikaikan oleh Nizar dan kuncu-kuncunya?

24 March, 2010

HAPPY BIRTHDAY NOI

Malam ini saya balik awal ke rumah. Singgah di KFC dan Secret Recipe di Tanjong Malim. Hari jadi ke-7 puteri bongsu, Nur Khamelia. Dari semalam Noi pesan minta saya balik awal. Pagi tadi sebelum ke sekolah, Noi mengomel pasal kek harijadinya.

Sejak petang tadi dia menahan perut menunggu saya membawa pulang makanan kegemarannya, KFC dan sebiji kek. Badan Noi agak montel. Saya dapat melihat betapa laparnya dia mengadap juadah kegemarannya itu selepas meniup lilin harijadi.

Selamat harijadi, Noi. Papa sayang Noi.

19 March, 2010

PERIHAL SIDANG DUN PERAK 30 MAC

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan bersidang lagi bermula 30 Mac nanti. Lama benar rasanya persidangan DUN Perak tidak dapat memainkan peranan sebagai tempat untuk wakil-wakil rakyat membawa dan membahaskan masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan mereka.

Persidangan pada 7 Mei 2009 diwarnakan dengan tindakan Adun-Adun pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS menimbulkan huru-hara dengan menceroboh ke tempat duduk Adun-Adun Barisan Nasional (BN) dan melakukan provokasi sehingga menyebabkan Pemangku Raja Perak ketika itu, DYMM Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah menunggu lebih lima jam di Kamar Diraja untuk menyampaikan titah perasmian.

Persidangan itu juga menyaksikan Speaker V. Sivakumar dilucutkan jawatannya oleh majoriti ahli Dewan kerana gagal menjalankan tugas mengawal perjalanan sidang Dewan dan tidak dapat membendung sikap Adun-Adun pembangkang yang seolah-olah telah dirasuk makhluk halus itu. Dewan telah memilih Dato’ R. Ganesan selaku Speaker yang baru. Lihat di sini.

Sidang DUN pada 28 Oktober 2009 pula menyaksikan Adun-Adun pembangkang mengadakan sidang haram ketika sidang sebenar berhenti rehat. Sebelum itu, ketika Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir membentangkan Bajet 2010 Negeri Perak, Adun-Adun pembangkang tidak berada di dalam sidang kerana sedang bergelut dengan pasukan keselamatan di luar dewan untuk mempertahankan jubah yang dilarikan oleh Sivakumar. Jubah itu lebih penting bagi mereka daripada mendengar dan meneliti bajet yang dibentangkan untuk pembangunan negeri dan rakyat Perak. Lihat di sini.

Ketika Speaker R. Ganesan membuka perbahasan terhadap bajet berkenaan, Adun-Adun pembangkang mengganggu dengan berbuat bising sehingga menyebabkan tiga Adun BN (Pengkalan Hulu, Temenggor dan Slim) gagal membahaskan bajet dan menyampaikan permasalahan rakyat di kawasan mereka. Adun-Adun pembangkang kemudiannya bertindak keluar dewan.

Dua persidangan itu hanya dapat berlangsung sehari dan tiada soalan lisan yang kebanyakannya bersangkutan dengan masalah rakyat dapat dibentang dan dijawab oleh pihak kerajaan. Semuanya angkara sikap Adun-Adun dari DAP, PAS dan PKR yang tidak dapat menerima hakikat bahawa kerajaan pakatan mereka sudah ditumbangkan oleh bilangan majoriti anggota Dewan yang memihak kepada BN.

Hampir kesemua Adun (kecuali Exco) telahpun menghantar soalan lisan dan bertulis sebelum 15 Mac lalu dengan harapan masalah rakyat dapat dibentang dan dijawab oleh pihak Kerajaan Negeri dalam sidang DUN akan datang. Soalan-soalan itu hanya boleh dijawab sekiranya wujud situasi normal dalam persidangan, tiada gangguan keterlaluan dari Adun-Adun dan dijalankan bukan sekadar sehari seperti dua persidangan sebelumnya.

Saya selaku wakil yang dipilih oleh rakyat dalam DUN Slim telahpun menghantar 3 soalan lisan dan 5 soalan bertulis. Dua daripada tiga soalan lisan saya berkaitan dengan kepentingan rakyat di kawasan DUN Slim iaitu isu pemberhentian projek pembinaan jalan Felda Gugusan Besout ke Kuala Slim sejauh 11 km bernilai RM46 juta dan kegiatan pembalakan dan penerokaan tanah secara haram di Hutan Simpan Changkat Ramu.

Satu lagi berkaitan dengan hasil misi dagang Menteri Besar ke Amerika Syarikat pada Disember lalu bertemu kumpulan pelabur di Silicon Valley, San Francisco dan Boston dan tindakan yang telah dan akan diambil terhadap Suara Keadilan yang menyiarkan berita kononnya Dr. Zambry ditahan di Lapangan Terbang San Francisco kerana namanya berada dalam pangkalan data pengganas.

Soalan bertulis pula berkisar mengenai penempatan generasi kedua Felda, gagasan Perak Amanjaya, isu jawatankuasa khariah masjid, kemudahan frasarana Sekolah-Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan dasar hak milik tanah.

Selaku Adun, saya berharap sangat supaya soalan-soalan ini dapat dijawab oleh pihak Kerajaan Negeri dan saya juga akan membawanya dalam sessi perbahasan. Rakyat sentiasa berharap supaya masalah mereka dapat dibincangkan dalam sidang dewan kerana di situlah wadah paling berkesan untuk wakil-wakil mereka menyampaikan permasalahan itu kepada kerajaan.

Namun segalanya bergantung kepada situasi persidangan. Ura-ura pakatan pembangkang DAP-PAS-PKR mahu sekali lagi menimbulkan huru-hara dalam sidang DUN pada 30 Mac nanti hendaklah mereka elakkan. Sivakumar sekali lagi bertindak menghantar surat menggunakan kepala surat Speaker menjemput Adun-Adun menghadiri Sidang DUN seolah-olah beliau masih lagi Speaker. Tindakannya terdahulu telah dilaporkan kepada pihak polis. Lihat di sini.

Pakatan pembangkang perlu menerima hakikat bahawa BN adalah kerajaan yang sah mentadbir negeri dan R. Ganesan adalah Speaker yang telah dipilih oleh Dewan pada sidang 7 Mei 2009. Selagi hakikat itu tidak dapat mereka terima, maka selagi itulah perasaan hasad dengki akan membuak-buak dalam jiwa mereka menyebabkan berlakunya tindakan-tindakan yang merugikan rakyat.

Negeri Perak dan rakyatnya mahu melihat Persidangan Dewan Undangan Negeri kembali menjadi tempat bagi wakil-wakil rakyat membincangkan hal-hal berkaitan masalah rakyat, kemiskinan, setinggan, pembangunan ekonomi, pelaburan, pelancongan, pertanian, belia dan sebagainya. Sudah lebih daripada setahun masalah-masalah ini tidak dibincangkan dengan berkesan di dalam sidang DUN.

Saya mengucapkan selamat bersidang demi kepentingan rakyat dan pembangunan Negeri Perak Darul Ridzuan.

15 March, 2010

LAWATAN ZAMBRY KE TUARAN

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan ke bahagian angkat, Tuaran pada 13 Mac lalu disambut oleh Ketua Umno Bahagian yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Haji Nor.

Program itu dinamakan Gotong Royong 1 Malaysia dihadiri oleh lebih 3,000 masyarakat di sekitar Kampung Gayang, Tuaran tempat di mana program itu diadakan.

Dr. Zambry diiringi oleh isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli beserta beberapa Ketua Umno Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Negeri.

Foto-foto oleh Haji Salim Haji Ibrahim (rakan FB dari Sabah) menceritakan segalanya.

10 March, 2010

SAIPOL JAWAB PEMUDA PAS PERAK


Jawapan kepada pertanyaan bertulis  Salman Saleh (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak) terhadap penggunaan masjid sempena program Juara Rakyat pada 5 Mac hingga 7 Mac 2010
(Rujukan : Sinar Harian- Selasa – 09 Mac 2010 – Edisi Negeri Perak – Halaman PK5 – Guna masjid: Salman minta Maipk beri penjelasan)

Dari:                      Saipol Bahrin b Hj. Sulaiman
                                Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bhgn. Tg. Malim

1                     UMNO tidak mempolitikkan institusi masjid

Merujuk kepada pertanyaan Salman adakah UMNO telah membenarkan parti politik menggunakan  masjid, ia merupakan pertanyaan yang lebih cenderung kepada  dakwaan yang sengaja dibuat untuk mencari isu bagi menimbulkan rasa kebencian rakyat kepada kerajaan negeri setelah dibaca keseluruhan artikel tersebut.

Secara tepatnya program yang diadakan iaitu qiamulail merupakan salah satu pengisian program Perak Aman Jaya cetusan fikiran Dato` Seri Zambry – Menteri Besar Perak (MB). Program ini adalah kesinambungan kepada pelancaran Program Juara Rakyat yang telah dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM) pada 6.3.2010. Program qiamulail ini lebih merupakan ibadah kepada Allah s.w.t. tanpa ada niat untuk menunjuk-nunjuk kepada sesiapa. Ia bukanlah kali pertama  MB bersama rakyat mengikuti program qiamulail ini, bahkan rakyat telah sinonim dengan pengisian seperti ini di mana sahaja MB berkesempatan berbuat begitu.

MB Perak bersama Ketua Bahagian UMNO Tg. Malim Dato` Khusairi dan beberapa orang pemimpin UMNO peringkat negeri serta rakyat sekitar  menghadirkan diri ke Masjid Sultan Idris Shah II, Slim River mulai jam 12.00 tengah malam. Pada jam 3.00 pagi program Qiamullail dijalankan yang diketuai Al-Fadhil Utz Putra Tezzaruddin dari Intim, diikuti solat subuh dan kuliah subuh dijalankan seperti kebiasaan di masjid tersebut dan ia disampaikan oleh pensyarah dari UPSI. Selesai kuliah subuh MB Perak terus meninggalkan masjid untuk bertemu rakyat di kedai kopi di pekan Slim River dan di Pasar Minggu Slim River pada hari tersebut.

Jelas tiada langsung unsur-unsur penyebaran fahaman politik dimasukkan atau diselitkan sepanjang program tersebut. MB sendiri tidak berucap walau pun beliau boleh berbuat begitu.

        Untuk membuktikan ketelusan program ini Kita telah menjemput semua masyarakat tanpa  mengira fahaman politik  untuk turut bersama dalam program mengimarahkan masjid tersebut, namun   di kalangan ahli PAS  tidak hadir dan kemudian membuat dakwaan bahawa ia adalah program politik. Persoalannya, dimanakah lagi tempat yang paling sesuai untuk menjalankan program sebegitu jika tidak di masjid?

Sebagai perbandingan, dua bulan yang lalu, Nizar sendiri telah dinaikkan sebagai imam solat Jumaat oleh pengikut PAS yang menjadi AJK di masjid yang sama di Slim River secara mengejut tanpa ada perbincangan dengan sesiapa..  Setelah selesai solat Jumaat seluruh makmum tertanya-tanya mengapa Nizar yang mengimamkan solat tersebut?  Tiada apa istimewanya Nizar sama ada dari segi bacaan, kedudukan atau keutamaan untuk dijadikan imam pada hari itu, bahkan dari segi bacaan imam tempatan lebih baik dari Nizar sendiri.

Tapi UMNO tidak mahu mempolitikkan isu tersebut demi menjaga keharmonian kawasan Slim River.  Mengapakah apabila UMNO mengadakan program untuk mengimarahkan masjid Salman mendakwa UMNO mempolitikkan masjid?

 MB Perak hadir ke masjid Jamek Kuala Slim, bukan atas permintannya tetapi atas inisiatif penduduk kampung yang memikirkan ia adalah tempat terbaik untuk menyambut pemimpin tertinggi peringkat negeri dan pusat.

Kehadiran MB mulai jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari hanya untuk  majlis makan tengahari secara santai bersama ratusan penduduk. Sebelum itu MB telah bersama masyarakat setempat untuk membina rumah warga miskin dan bertemu dengan penduduk kampung yang uzur. Tiada pembesar suara, tiada ucapan dari mana-mana pemimpin. Hanya yang ada program ramah mesra pemimpin bersama rakyat dan makan tengahari.

3.            Sangsi sama ada Salman benar-benar mahu bertanya atau sebagai cara ingin menimbulkan rasa kebencian rakyat terhadap kerajaan BN.

                Saya merasa agak janggal melihat pertanyaan bertulis Salman apabila ia turut memuatkan kenyataan bahawa semasa Pakatan DAP, PKR dan PAS memerintah dahulu penggunaan institusi masjid dilarang dari sebarang aktiviti politik. Apa yang diketahui oleh umum semasa mereka berkuasa, mimbar-mimbar masjid digunakan secara berterusan memaksa jemaah Jumaat yang tiada pilihan untuk terus mendengar khatib mereka membacakan khutbah yang secara terang tanpa berselindung berkenaan politik. Sedangkan perkara ini tidak dilakukan dibawah pemerintahan kerajaan BN sekarang.

                Dakwaan Salman bahawa rakyat cukup terkejut kerana UMNO menggunakan masjid  juga menggambarkan daya pemikiran Salman dan kepimpinan DPPNP yang telah didik untuk berhujah  dan mengeluarkan kenyataan secara  sewenangnya tanpa bersandarkan pada fakta yang  sahih. Pertanyaan Salman lebih didorongi mendengar khabar dari jauh. Salman sepatutnya hadir sendiri ke program tersebut, barulah beliau mempunyai autoriti untuk bertanya atau memberi komen berkenaan program tersebut.

 UMNO secara jelas dan konsisten tidak mahu masjid dijadikan medan politik. UMNO mahu melihat masjid diimarahkan dan disuburkan dengan roh Islam, dipenuhi dengan majlis-majlis ta`mir dan sebagainya.  Semua rakyat dapat menjalankan ibadah dengan selesa tanpa perasaan syak wasangka sesama masyarakat.

                Saya kurang pasti rakyat mana yang terkejut seperti dakwaan Salman. Apa yang dapat disimpulkan bahawa yang buat-buat terkejut hanyalah ahli-ahli PAS sahaja kerana mereka merasakan bahawa rakyat semakin menerima kepimpinan UMNO dan BN yang diterajui oleh YAB Dato` Seri Dr. Zambry. Pada saya   Maipk tidak perlu untuk menjawab apa yang dilontarkan oleh Salman, kerana apa yang dilakukan oleh UMNO  hanyalah tugas manusia sebagai hamba Allah, dan tugas pemimpin menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada orang yang dipimpinnya.