Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan bersidang lagi bermula 30 Mac nanti. Lama benar rasanya persidangan DUN Perak tidak dapat memainkan peranan sebagai tempat untuk wakil-wakil rakyat membawa dan membahaskan masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan mereka.
Persidangan pada 7 Mei 2009 diwarnakan dengan tindakan Adun-Adun pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS menimbulkan huru-hara dengan menceroboh ke tempat duduk Adun-Adun Barisan Nasional (BN) dan melakukan provokasi sehingga menyebabkan Pemangku Raja Perak ketika itu, DYMM Tuanku Raja Dr. Nazrin Shah menunggu lebih lima jam di Kamar Diraja untuk menyampaikan titah perasmian.
Persidangan itu juga menyaksikan Speaker V. Sivakumar dilucutkan jawatannya oleh majoriti ahli Dewan kerana gagal menjalankan tugas mengawal perjalanan sidang Dewan dan tidak dapat membendung sikap Adun-Adun pembangkang yang seolah-olah telah dirasuk makhluk halus itu. Dewan telah memilih Dato’ R. Ganesan selaku Speaker yang baru. Lihat di sini.
Sidang DUN pada 28 Oktober 2009 pula menyaksikan Adun-Adun pembangkang mengadakan sidang haram ketika sidang sebenar berhenti rehat. Sebelum itu, ketika Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir membentangkan Bajet 2010 Negeri Perak, Adun-Adun pembangkang tidak berada di dalam sidang kerana sedang bergelut dengan pasukan keselamatan di luar dewan untuk mempertahankan jubah yang dilarikan oleh Sivakumar. Jubah itu lebih penting bagi mereka daripada mendengar dan meneliti bajet yang dibentangkan untuk pembangunan negeri dan rakyat Perak. Lihat di sini.
Ketika Speaker R. Ganesan membuka perbahasan terhadap bajet berkenaan, Adun-Adun pembangkang mengganggu dengan berbuat bising sehingga menyebabkan tiga Adun BN (Pengkalan Hulu, Temenggor dan Slim) gagal membahaskan bajet dan menyampaikan permasalahan rakyat di kawasan mereka. Adun-Adun pembangkang kemudiannya bertindak keluar dewan.
Dua persidangan itu hanya dapat berlangsung sehari dan tiada soalan lisan yang kebanyakannya bersangkutan dengan masalah rakyat dapat dibentang dan dijawab oleh pihak kerajaan. Semuanya angkara sikap Adun-Adun dari DAP, PAS dan PKR yang tidak dapat menerima hakikat bahawa kerajaan pakatan mereka sudah ditumbangkan oleh bilangan majoriti anggota Dewan yang memihak kepada BN.
Hampir kesemua Adun (kecuali Exco) telahpun menghantar soalan lisan dan bertulis sebelum 15 Mac lalu dengan harapan masalah rakyat dapat dibentang dan dijawab oleh pihak Kerajaan Negeri dalam sidang DUN akan datang. Soalan-soalan itu hanya boleh dijawab sekiranya wujud situasi normal dalam persidangan, tiada gangguan keterlaluan dari Adun-Adun dan dijalankan bukan sekadar sehari seperti dua persidangan sebelumnya.
Saya selaku wakil yang dipilih oleh rakyat dalam DUN Slim telahpun menghantar 3 soalan lisan dan 5 soalan bertulis. Dua daripada tiga soalan lisan saya berkaitan dengan kepentingan rakyat di kawasan DUN Slim iaitu isu pemberhentian projek pembinaan jalan Felda Gugusan Besout ke Kuala Slim sejauh 11 km bernilai RM46 juta dan kegiatan pembalakan dan penerokaan tanah secara haram di Hutan Simpan Changkat Ramu.
Satu lagi berkaitan dengan hasil misi dagang Menteri Besar ke Amerika Syarikat pada Disember lalu bertemu kumpulan pelabur di Silicon Valley, San Francisco dan Boston dan tindakan yang telah dan akan diambil terhadap Suara Keadilan yang menyiarkan berita kononnya Dr. Zambry ditahan di Lapangan Terbang San Francisco kerana namanya berada dalam pangkalan data pengganas.
Soalan bertulis pula berkisar mengenai penempatan generasi kedua Felda, gagasan Perak Amanjaya, isu jawatankuasa khariah masjid, kemudahan frasarana Sekolah-Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan dasar hak milik tanah.
Selaku Adun, saya berharap sangat supaya soalan-soalan ini dapat dijawab oleh pihak Kerajaan Negeri dan saya juga akan membawanya dalam sessi perbahasan. Rakyat sentiasa berharap supaya masalah mereka dapat dibincangkan dalam sidang dewan kerana di situlah wadah paling berkesan untuk wakil-wakil mereka menyampaikan permasalahan itu kepada kerajaan.
Namun segalanya bergantung kepada situasi persidangan. Ura-ura pakatan pembangkang DAP-PAS-PKR mahu sekali lagi menimbulkan huru-hara dalam sidang DUN pada 30 Mac nanti hendaklah mereka elakkan. Sivakumar sekali lagi bertindak menghantar surat menggunakan kepala surat Speaker menjemput Adun-Adun menghadiri Sidang DUN seolah-olah beliau masih lagi Speaker. Tindakannya terdahulu telah dilaporkan kepada pihak polis. Lihat di sini.
Pakatan pembangkang perlu menerima hakikat bahawa BN adalah kerajaan yang sah mentadbir negeri dan R. Ganesan adalah Speaker yang telah dipilih oleh Dewan pada sidang 7 Mei 2009. Selagi hakikat itu tidak dapat mereka terima, maka selagi itulah perasaan hasad dengki akan membuak-buak dalam jiwa mereka menyebabkan berlakunya tindakan-tindakan yang merugikan rakyat.
Negeri Perak dan rakyatnya mahu melihat Persidangan Dewan Undangan Negeri kembali menjadi tempat bagi wakil-wakil rakyat membincangkan hal-hal berkaitan masalah rakyat, kemiskinan, setinggan, pembangunan ekonomi, pelaburan, pelancongan, pertanian, belia dan sebagainya. Sudah lebih daripada setahun masalah-masalah ini tidak dibincangkan dengan berkesan di dalam sidang DUN.
Saya mengucapkan selamat bersidang demi kepentingan rakyat dan pembangunan Negeri Perak Darul Ridzuan.
5 comments:
..salam tn YB,
moga tn tn YB BN kita akan benar benar mampu berserta ikhlas menegakkan kedaulatan KALIMAH NYA d dlm DEWAN MULIA kita nnt.
mereka adalah pemusnah..pembinasa..anak anak kecil yakjut makjut dr keturunan dajjal.
salam kami dr rakyat jelata buat tn & seluruh anggota tn termasuk MB tn.
Sivakumar sudah sewajarnya dihukum gantung dari menghadiri Sidang DUN atas menghina kemuliaan Dewan Undangan Negeri, menyamar sebagai Speaker dan mencuri pakai letterhead Speaker.
Jika dibiarkan, dia akan lebih teruk meracau. Tidak salah Dato' R. Ganesan menggantung Sivakumar selama 18 bulan kerana Kerajaan Negeri Selangor juga pernah mengambil tindakan sama terdahap ADUN BN atas kesalahan yang tidak masuk akal.
Sivakumar dah meroyan. Jangan dilayan. Buat kerja untuk rakyat.
Apa komen YB pasal statement Sivakumar dalam Sinar Harian hari ini?
Jgn biarkan pembangkang bermaharajalela dlm sidang DUN.. Gunakan kepetahan bertutur dan kebijaksanaan akal dlm membendung sikap dan watak negatif dr pembangkang.. Tunjukkan keberanian anda.. Jgn takut dgn Nizar, apatah lg Ngeh.. Pasal si Sivakumar tu, anggap je mcm budak2 yg x dpt gula atau aiskrim.. Gd luck!
Post a Comment