28 November, 2009

KORBAN PERDANA DI SLIM RIVER


Bergotong-royong bersama rakyat dalam majlis Korban Perdana di Masjid Sultan Idris Shah 2 di Slim River. Tahniah kepada jawatankuasa Masjid yang menjalankan program yang dihadiri ramai penduduk setempat. Semangat kerjasama dan bergotong-royong juga nampak begitu baik sekali, tanpa mengambil kira fahaman politik masing-masing. Tahniah saya ucapkan.

BERGAMBAR BERSAMA JAWATANKUASA PELAKSANA. DUDUK DI TENGAH YDP MDTM YANG JUGA PENGERUSI MASJID.





23 November, 2009

TOK GURU BIDAS NIK AZIZ


TUMPAT 22 Nov. - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu bertanggungjawab terhadap kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan mengenai agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah, 64, berkata, beliau membuat teguran secara terbuka itu biarpun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Mursyidul Am Pas itu sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan berkata, banyak kenyataan Nik Abdul Aziz tidak bersandarkan ijtihad ulama dan beliau mentafsirkan al-Quran berdasarkan pemahaman sendiri yang sentiasa disesuaikan dengan kepentingan tertentu.

''Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di madrasahnya di sini baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, teguran yang dibuat oleh Persatuan Pondok Kelantan ditolak mentah-mentah oleh Menteri Besar Kelantan itu termasuk memorandum yang dihantar kepadanya pada penghujung tahun lepas.

"Teguran dibuat agar beliau lebih berhati-hati supaya tidak memesongkan akidah, tetapi beliau seolah-olah menyamakan kami dengan ahli UMNO sedangkan kami berjumpa dengannya penuh rasa hormat.

"Malah, saya sendiri pernah dua kali mengunjungi rumahnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi semasa tetapi gagal menemuinya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelbagai kenyataan yang dikeluarkan Nik Abdul Aziz sebelum ini dalam memberi gambaran terhadap sifat Allah dan Nabi Muhamad SAW.

Ia juga berhubung penolakan Nik Abdul Aziz terhadap pembentukan kerajaan perpaduan, penghargaan terhadap orang bukan Islam membaca al-Quran dan isu penjualan arak yang berleluasa di Selangor.

Terbaru ialah mengenai isu Nik Abdul Aziz menerima tajaan untuk menunaikan haji pada musim ini dan soal orang ramai cuba mengambil keberkatan melalui dirinya.

Abdullah menarik perhatian bahawa kebanyakan kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz tidak selari sama sekali dengan aliran Sunnah Wal Jamaah malah lebih bersifat Wahabi.

"Nik Abdul Aziz berasa alim disebabkan dia mempunyai ijazah sarjana tetapi bab keseluruhan agama seperti akidah, tasawur, fikah dan usuluddin (dia) terlalu jahil, dia bukan Mursyidul Am," katanya.

"Madrasah saya terikat kerana masalah dasar saja iaitu al-Quran dan hadis. Dari situ saya muafakat (dengan Pas) tetapi pembawaan Nik Abdul Aziz dari segi akidah dan fikah saya menentang selama-lamanya dan habis-habisan.

"Bukan saya suka nak memecah-belah atau menghuru-harakan masyarakat, kita berani dan bersedia nak berdebat dengannya seperti dalam ceramahnya sebelum ini yang menyatakan Nabi Muhammad SAW masa kecil sama dengan orang kampung seperti kita," katanya.

Beliau juga amat kecewa dengan tindakan melulu Nik Abdul Aziz menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan sedangkan ia menyentuh kepentingan umat Islam dan kuasa politik Islam.

Katanya, dalam keadaan sebegini, tentunya wajib bagi Pas dan UMNO bekerjasama bagi menjaga kedaulatan agama kerana situasi politik pada masa kini amat membimbangkan apatah lagi rakan politik Pas secara terang-terangan menolak pemerintahan Islam.

"Beliau terlalu takbur, tanpa sebarang perbincangan beliau telah menolak cadangan kerajaan perpaduan kerana syak wasangka. Perkara yang lepas (Pas keluar dari UMNO) biarlah berlalu, sekarang orang lain yang menerajui UMNO.

"Kita wajib mempertahankan kedaulatan orang Islam walaupun kita kata mereka (UMNO) tidak berdasarkan Islam.

"Dasar UMNO begitu disebabkan terdesak pada mula-mula penubuhannya disebabkan tekanan British dan kurang pengalaman dalam agama,'' ujarnya.

Menurutnya, selepas 50 tahun mentadbir negara, UMNO yang menjadi tulang belakang perkembangan Islam di Malaysia terus berada di barisan hadapan pemerintahan. - UTUSAN MALAYSIA

18 November, 2009

MESIN JAHIT, JARUM DAN GINCU


Kerajaan Persekutuan melalui Giatmara membelanjakan RM54 juta tahun ini untuk melaksanakan program latihan menjana pendapatan bagi membasmi kemiskinan, melalui Kursus Jahitan Pakaian Wanita dan Kursus Solekan dan Andaman Pengantin.

Di Negeri Perak sahaja, seramai 1,246 orang dilatih dengan kos RM5.9 juta, termasuk memberikan setiap peserta peralatan menjahit dan solekan yang serba lengkap, dari mesin jahit yang moden, kit solekan sehinggalah ke jarum, benang, gincu dan putik kapas.

Sehingga kini, seramai 1,085 orang telah dilatih melalui 36 program latihan di seluruh negeri ini. Peserta dipilih dari senarai E-Kasih, selain yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Kebanyakan mereka tergolong di kalangan kategori miskin tegar, miskin dan mudah miskin.

Begitulah antara usaha Kerajaan BN yang sentiasa serius mahu membasmi kemiskinan di kalangan rakyat. Bukannya secara memberikan ikan, tetapi menyediakan peralatan menangkap ikan.

Menurut Pengurus Giatmara Negeri Perak, Encik Nazudin Osman, setiap peserta kursus akan mendapat elaun RM35 sehari serta RM50 untuk wang tambang ke tempat kursus. Mesin jahit pula akan dihantar sehingga ke tangga rumah, setelah tamat kursus.

Katanya, di Perak terdapat 23 pusat Giatmara yang menyediakan 56 jenis kursus termasuk membaiki kereta dan motosikal, kimpalan, pendawaian elektrik, jahitan, masakan, solekan dan sebagainya.

Di bawah program Giat Dekat Rakyat (GDK) pula, Giatmara menyediakan perkhidmatan pergi ke rumah bagi membantu membaikpulih rumah serta membaiki motosikal yang rosak.

Pagi tadi saya menyampaikan sijil dan peralatan kepada 60 peserta kursus dari Parlimen Tanjong Malim dan Parit di Residence Trolak Resort, Trolak. Kursus itu berlangsung selama enam hari bermula Isnin lalu dan akan berakhir Sabtu ini.






17 November, 2009

DARI BAGAN KE KOTA


Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, Umno menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah menjadi kosong, semalam. Tambahnya, Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi pilihanraya kecil di kawasan berkenaan.

Ketika ini, Umno dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Sekiranya Mahkamah Rayuan menolak, maka akan berlakulah pilihanraya kecil di DUN Kota Siputeh. Maka buat sekian kalinya sejak PRU12 lalu, jentera parti-parti yang bertanding dari seluruh negara akan sekali lagi berkhemah bagi memastikan kemenangan calon masing-masing.

Rasanya demam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang di Negeri Sembilan masih belum kebah. Jika PRK itu berlaku, maka berpindahlah pula tumpuan jentera dari bagan (Bagan Pinang) ke kota (Kota Siputeh), setelah sebelum itu berenang di kuala (Kuala Terengganu), direndam di permatang (Permatang Pauh), berdakian di bukit (Bukit Gantang), bertitian di batang (Batang Ai), berebut butir-butir manik (Manik Urai) dan sekali lagi berkubang di permatang (Permatang Pasir). Cuma BN tidak ikut berjoget rentak Anwar di Bukit Selambau.

Apapun, BN tidak pernah gentar untuk menghadapi pilihanraya. Ini dapat dilihat dari kenyataan Dato’ Seri Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno. Rayuan ke mahkamah untuk menangguhkan keputusan bukan bermakna kita takut. Rayuan itu sekadar mengikut prosedur biasa.

DUN Kota Siputeh terletak di utara negeri Kedah, bersempatan Thailand. Terletak dalam Parlimen Jerlun. Mempunyai sejumlah 19,771 pengundi dengan 91.7 peratus daripadanya kaum Melayu, 7.5 peratus Cina, 0.2 peratus India dan 0.6 peratus lain-lain kaum terutamanya suku kaum Siam.

Dalam PRU12 lalu, calon BN Dato' Abu Hassan Sarif (Umno) memperolehi 8,160 undi mengalahkan calon Pas Ismail Wan Teh dengan majoriti 495 undi. Dalam PRU sebelum itu, Dato' Abu Hassan menang dengan majoriti 1,573 undi mengalahkan calon Pas Abdul Wahab Rahman.

Tunggulah apa keputusan Mahkamah Rayuan. Baik apa juga yang diputuskan, BN akan akur dan sedia menghadapi apa juga cabaran. Jentera Pilihanraya BN dan Umno Negeri Perak sentiasa bersiap sedia membantu.

Semangat di Bagan Pinang masih membara. Lawan tetap lawan.

14 November, 2009

KHIDMAT BERGERAK DI FELDA TROLAK SELATAN


Program Khidmat Bergerak Untuk Masyarakat Dun Slim diteruskan di pasar sehari Felda Trolak Selatan pada 10 November lalu. Alhamdulillah, program mendapat sambutan yang menggalakkan dari rakyat di sana, termasuk dari Felda Trolak Timur. Seramai 25 pengundi baru dapat didaftarkan.

Terima kasih kepada warga Felda Trolak Selatan, khususnya kepada Ketua Umno Cawangan, Encik Arshad bin Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Chat.

Terima kasih juga kepada jabatan-jabatan yang sekali lagi terlibat - Jabatan Tekun Nasional, Jabatan Kesihatan, Jabatan Belia dan Sukan, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.














10 November, 2009

ORANG ASLI KUALA BIL


Dahulu masyarakat orang asli Kampung Orang Asli Kuala Bil berhampiran Ladang Clunny dalam DUN Behrang mengadu kepada saya masalah anak-anak mereka yang tidak boleh ke sekolah jika paras air sungai naik. Penduduk kampung juga terpaksa mengharung sungai jika mahu menyeberang. Ada yang terpaksa memikul basikal menyeberangi sungai.

Aduan itu saya terima sekitar tahun 2005, ketika saya menganjurkan majlis berbuka puasa dan solat tarawih di kampung itu bersama masyarakat orang asli beragama Islam. Semuanya kerana jambatan gantung sudah tidak selamat digunakan sedangkan itulah laluan mereka untuk keluar ke sekolah dan pekan.

Beberapa kali Tok Batin datang ke pejabat saya mengadukan hal itu. Akhirnya pada awal 2006, saya mendapatkan sedikit peruntukan di bawah PIAS sebanyak RM60,000 bagi pembinaan jambatan baru bagi mengatasi masalah itu.

Pembinaan jambatan itu siap dibina pada pertengahan tahun 2006. Sejak itu, beberapa kali Tuan Haji Junid, Ketua Kampung Rasau memberitahu saya hasrat penduduk Kampung Kuala Bil meminta saya merasmikan jambatan baru itu. Saya gembira kerana masalah mereka selesai, tetapi tertangguh dari bulan ke bulan untuk memenuhi hasrat mereka itu.

Pada 7 November lalu, saya dapat meluangkan masa ke kampung itu. Senang hati saya melihat jambatan itu. Dan saya tahu hati masyarakat Orang Asli kampung itu juga lapang dan tidak bimbang lagi untuk menyeberangi sungai. Kegembiraan itu dapat saya lihat dari gerak tarian Sewang dan buah tangan petai yang saya terima.

Turut sama dalam majlis itu Ahli Parlimen Tanjong Malim, Dato' Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Wanita Bahagian yang juga Adun Hulu Kinta, Dato' Rusnah Kassim.