16 June, 2009

NIZAR, NGEH, NGA TERUS DERHAKA

NIZAR MELILITKAN DI KEPALA PERKATAAN "BUBAR DUN"

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menghalau Nizar, Ngeh dan Nga serta beberapa Ahli Parlimen lain dari pihak pembangkang kerana melanggar adab dewan yang mulia, apabila mereka melilitkan kain di kepada dengan tulisan BUBAR DUN. Setelah menghuru-harakan sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu, tiga ‘budak’ nakal ini cuba membawa budaya tidak sihat ke Parlimen Malaysia pula.

Sebaik sahaja mengangkat sumpah dan menandatangani watikah selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang, Nizar bangun dan menjerit "Hidup, hidup, hidup rakyat. Bubar, bubar, bubar DUN Perak" berkali-kali sambil mengangkat tangan kanannya. Beliau kemudian menyarungkan kain lilitan 'BUBAR DUN' di songkoknya.

Tidak hairanlah jika Speaker mengarahkan beliau keluar kerana inilah kali pertama berlaku di Dewan Rakyat seorang yang sebaik sahaja mengangkat sumpah, terus melanggar sumpah dengan berkelakuan samseng dan tidak menghormati Speaker dan kemuliaan Dewan.

NIZAR MELAUNGKAN PERKATAAN BUBARKAN DUN

Kepada siapakah Nizar, Ngeh dan Nga tujukan desakan supaya DUN dbubarkan? Yang berhak membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak adalah DYMM Tuanku Sultan Perak. Ternyata ketiga-tiga mereka, serta beberapa ADUN DAP yang hadir di Parlimen semalam, terus-terusan mahu menunjukkan sikap menderhaka terhadap Sultan. Sebelum ini mereka melancarkan mogok lapar untuk mendesak Sultan membubarkan DUN Perak.

Nampaknya Nizar akan terus menjadi puppet kepada DAP. Dia tidak lagi peduli kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu. Titah dan perkenan Sultan Perak terus dia sanggah. Dengan menjalankan kempen bubar DUN secara terbuka sehingga ke dalam Parlimen, Nizar, Ngeh dan Nga tidak lagi memikirkan soal untuk menjaga integriti kuasa Sultan. Mereka mahu menunjukkan kepada dunia akan keberanian mereka menyanggang perintah Sultan.

Ingatlah, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan. Perlembagaan Persekutuan secara jelas meletakkan Yang Di Pertuan Agong, Sultan-Sultan dan Raja-Raja Melayu di bawah satu tahap yang tidak boleh dipertikaikan. Mempertikaikan kuasa Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu ibarat cuba membakar keluhuran parlembagaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Berpada-padalah. Jangan sampai ianya menimbulkan celaka.

NIZAR, NGEH DAN NGA DIHALAU KELUAR DEWAN

15 June, 2009

KENAPA POLIS HERET KELUAR SIVAKUMAR?


Soalan lisan kedua di sidang Dewan Rakyat hari ini akan dikemukakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang meminta Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein memberikan justifikasi undang-undang terhadap tindakan polis ‘menyerbu’ masuk dan mengheret ‘Speaker’ keluar semasa sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu.

Soalan ini sudah tentu akan mengheret pertikaman lidah yang panjang dan suasana tegang antara penyokong kerajaan dan pembangkang, tetapi mungkin tidak sepanjang dan setegang seperti apa yang berlaku dalam Sidang DUN Perak. Tidak mungkin Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membenarkan mana-mana Ahli Parlimen menyerbu ke kawasan parti lawan, seperti yang dibiarkan oleh Speaker DUN Perak, V. Sivakumar.

Malahan punca ketegangan sidang DUN Perak bermula apabila penyokong parti pembangkang keluar dari tempat duduk mereka dan mengenakan tekanan mental dan fizikal terhadap Setiausaha Dewan, Bentara, Setiausaha Kerajaan Negeri, Menteri Besar, Timbalan Speaker dan semua Adun BN, termasuk dua adun bebas.

Apabila Dewan membuat keputusan memilih R. Ganesan sebagai Speaker baru, penyokong-penyokong parti pembangkang telah menjadikan beliau sebagai sasaran sehingga ke satu peringkat yang amat kasar dan boleh mencetuskan kejadian tumbuk menumbuk. Tindakan pihak polis masuk campur adalah disebabkan suasana sudah menjadi tidak terkawal apabila Adun-Adun pembangkang menggunakan kekasaran terlampau untuk menembusi benteng kepungan Adun-Adun BN yang ketika itu cuba mempertahankan Speaker. Pihak polis masuk campur hanya setelah lebih empat jam suasana dalam DUN Perak tidak menentu.

Sepanjang empat jam berlakunya kekalutan itu, V. Sivakumar terus duduk di kerusi Speaker memerhatikan kejadian itu sambil sesekali tersenyum sinis. Beliau terus bertegas tidak mahu berganjak dari kerusi itu, walaupun R. Ganesan sudahpun dipilih oleh Dewan menggantikan tempat beliau sebagai Speaker. Ganesan sepatutnya mengendalikan Sidang dari kerusi Speaker, bukannya dari tempat duduk Adun, tambahan pula beliau diganggu secara kasar oleh penyokong-penyokong pembangkang yang cuba menghalangnya dari menjalankan tugas. Mereka mengoyak kertas aturcara persidangan dari tangan Speaker, meragut cermin mata Speaker, merosakkan setiap mikrofon yang cuba digunakan oleh Speaker, cuba menolak dan mengheret keluar Speaker dan akhirnya cuba mengkasari Speaker secara fizikal. Inilah perbuatan biadap yang sama sekali tidak menghormati Dewan yang mulia.

Sivakumar yang bukan lagi Speaker itu duduk tanpa diganggu sepanjang tempoh empat jam itu, sehinggalah apabila kekasaran terlampau dilakukan terhadap Ganesan. Ketika itulah pihak polis masuk, atas permintaan Bentara Dewan, setelah empat jam mereka memerhatikan gelagat tolak menolak antara penyokong kedua-dua pihak. Percayalah, sekiranya polis tidak mengambil tindakan ketika kekasaran pembangkang memuncak, bukan sekadar tumbuk menumbuk, malahan mungkin berlaku pertumpahan darah.

Tindakan polis mengheret Sivakumar keluar adalah wajar kerana beliaulah punca utama kepada berlakunya kekocahan itu. Selagi beliau duduk di kerusi Speaker yang bukan lagi miliknya, selagi itulah kekecohan itu berterusan, dan menghalang agenda titah perasmian oleh DYMM Pemangku Raja.

Apakah Anwar mahu melihat pertumpahan darah dalam Sidang DUN Perak baru mahu mengakui justifikasi tindakan polis? Apakah imej negara yang hendak ditonjolkannya di mata dunia sekiranya peristiwa berdarah itu berlaku? Hendak mendabik dada mengatakan bahawa demokrasi sudah mati di Malaysia? Hendak meletakkan Negeri Perak dalam darurat? Mahu melihat rakyat Perak bergelut sesama kaum sehingga membawa kepada berulangnya Peristiwa 13 Mei?

Sebenarnya ada hikmah bagi BN mencadangkan Ganesan sebagai Speaker, bukannya Ahmad, Ali atau Abu. Jika tiga nama itu dicadangkan, keadaan lain sudah pasti berlaku dalam Sidang DUN Perak ketika itu, sehingga boleh merebak ke luar Dewan.

Apa yang dilakukan oleh pihak polis ketika itu adalah untuk memastikan soalan-soalan diatas tidak menjadi kenyataan. Tahniah dan tabik untuk polis.

10 June, 2009

MB DATANG SEMUANYA BERES

Semalam Pegawai Daerah dan Ketua-ketua Jabatan Daerah Batang Padang menunjukkan skil luar biasa, memberikan jaminan akan menyelesaikan segera setiap masalah rakyat, setelah rakyat mengemukakan masalah itu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. Ternyata matlamat Menteri Besar turun padang dalam siri program Sehari Bersama Pelanggan mencapai kejayaan luar biasa.

Setelah selesai menyampaikan ucapan kira-kira setengah jam, Dr. Zambry terus membuka majlis untuk rakyat bertanya apa juga perkara yang menjadi masalah mereka. Sesi soal jawab ini berlangsung selama lebih dua jam, dan selama itulah Dr. Zambry berdiri di hadapan rostrum. Bermula dari masalah kuari yang beroperasi berhampiran taman perumahan di Kota Malim Prima sehinggalah soal hak milik tanah di Jalan Ulu Slim yang sudah berpuluh tahun menunggu kelulusan. Nampak gayanya, semua akan beres.

Aneh sungguh, masalah sama yang diperjuangkan oleh wakil-wakil rakyat sejak bertahun-tahun telah dapat diselesaikan hanya dalam tempoh 3 jam. Sudah hampir kering air liur, bergantang dakwat dan sebabun kertas surat digunakan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat, rupa-rupanya masalah itu sekelip mata selesai dengan kehadiran Menteri Besar! Sebahagian besar masalah yang dikemukakan rakyat terhadap MB telah dapat diberikan akujanji oleh Pegawai Daerah dan Ketua-ketua Jabatan untuk diselesaikan seberapa segera yang mungkin. Maka seronoklah rakyat. Rahmatlah kehadiran MB bagi mereka.

Tidak dinafikan masih banyak masalah rakyat yang belum selesai, khususnya berkaitan tanah. Salah satu puncanya adalah sikap sebilangan kakitangan kerajaan yang tidak memberikan sepenuh perhatian bagi menyelesaikan segera aduan dan permohonan rakyat. Mereka mahu menunggu kehadiran Menteri Besar!

Bukanlah menghairankan wujudnya sikap negatif di kalangan sesetengah ketua jabatan dan kakitangan kerajaan terhadap wakil rakyat. Sikap memperlekehkan surat-surat sokongan wakil rakyat sering berlaku, sehingga wujudnya penimbunan fail di atas meja dan di dalam laci. Itu belum diambil kira yang dibakulsampahkan.

Selaku wakil rakyat, kehadiran individu sama membawa masalah yang juga sama beberapa kali ke pejabat bukanlah sesuatu yang asing. Apabila surat sokongan wakil rakyat tidak dilayan oleh jabatan kerajaan, maka rakyat akan merujuk semula masalah itu kepada wakil rakyat. Wakil rakyat membuat follow-up secara menelefon dan menulis surat ingatan, itupun selalunya tidak memberi apa-apa kesan.

Ada kes tanah yang berlarutan sehingga berpuluh-puluh tahun tidak dapat diselesaikan, sedangkan wakil rakyat sudah bertukar ganti. Malahan Ketua Penolong Pegawai Daerah (CADO) yang berperanan selaku Pentadbir Tanah juga sudah bertukar dari seorang ke seorang yang lain. Borang permohonan tanah yang diisi oleh rakyat dan surat sokongan wakil rakyat yang mulanya berwarna putih menjadi lapuk berkulat sehingga kekuningan akibat terlalu lama dibiarkan tanpa sentuhan. Mereka hendak menunggu kehadiran Menteri Besar!

Inilah yang saya bangkitkan semasa membahaskan ucapan terima kasih atas Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Sudah tiba masanya kakitangan kerajaan mengubah sikap. Perubahan yang hendak dibawa oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mencakupi segenap sudut, bukan semata-mata perubahan di kalangan orang politik sahaja. Kakitangan kerajaan merupakan antara mereka yang berada di benteng hadapan bagi memerangi masalah rakyat. Sudah tiba masanya mereka turut dipersalahkan, bukan lagi menunggu hukuman rakyat terhadap parti pemerintah setiap kali pilihanraya.

Ucapan Dr. Zambry siang tadi amat berterus terang dan sudah pasti dapat memuaskan hati rakyat. Rakyat tidak perlu lagi takut untuk berhadapan dengan Pegawai Daerah, Ketua-Ketua Jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan. Yang penting bagi rakyat adalah memastikan masalah mereka dapat diselesaikan mengikut waktu yang munasabah. Ingatan Dr. Zambry kepada kakitangan kerajaan pula adalah supaya mereka segera memproses permohonan rakyat.

Janganlah menunggu sehingga Tuanku Sultan atau Menteri Besar turun ke padang baru masalah itu cepat-cepat diselesaikan. Wakil rakyat adalah wakil kepada rakyat dan wakil kepada Tuanku Sultan dan Menteri Besar.

Dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat.


UCAPAN DR. ZAMBRY DI SLIM RIVER

09 June, 2009

MAHATHIR DAN KONTRAK SOSIAL

Kupasan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di bawah memberi gambaran lebih jelas mengenai kontrak sosial. Elok kita kongsi bersama.

Petikan artikel dari blog Chedet bertarikh 12 Julai 2008.

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.

3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini. Tetapi kerana Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada asasnya kalah dalam pilihanraya 2008 dan sekarang mengetuai Kerajaan yang lemah, pihak ekstrimis dan penyanggah sekarang ini mempersoalkan kontrak sosial ini. Majlis Peguam kini telah menjadi sebuah parti politik yang percaya bahawa kepakarannya dalam undang-undang akan mengecualikan ianya daripada dipersoal tentang kelayakannya dan objektif politiknya.

44. UMNO Abdullah tidak berdaya menangkis apa-apa serangan terhadap kontrak sosial ini. Jika apa-apa terjadi Abdullah dan UMNO harus dipertanggungjawabkan.

MUHAIMIN DAN AMARANNYA

MUHAIMIN

Sabahat saya, Abdul Muhaimin Abdul Rahman Nazri menggunakan nama pena AMARAN. Memang unik nama pena itu, singkatan dari nama penuhnya. Nama pena itu telah digunakan sejak lama lagi, setahu saya sejak dia menjadi Pegawai Khas Ketua Pemuda Umno Malaysia pada 1998.

Dalam Pilihanraya Umum 2004, Muhaimin menang kerusi Dewan Undangan Negeri Semanggol atas tiket Barisan Nasional (BN) mengalahkan Yang Dipertua parti PAS Bagan Serai, Ustaz Sabran Malisi. Kemenangan Muhaimin berkat kempen berterusan yang dilakukannya, walaupun banyak pihak tidak memberikan harapan untuk dia menang. Menaiki motosikal menemui pengundi, membalas hujah calon lawan dengan ayat Al-Quran dan hadis, menyanyi lagu Tamil bila berjumpa pengundi India dan bermacam-macam pendekatan lagi telah dilakukannya. Akhirnya Muhaimin berjaya menang dengan kelebihan 94 undi.

Apabila Muhaimin menjadi wakil rakyat, nama pena AMARAN jarang kedengaran lagi, mungkin kerana tidak mahu nama pena itu menakutkan rakyat. Muhaimin sedar, sebagai wakil rakyat, tidak sesuai baginya memberi apa-apa amaran yang boleh menjejaskan sokongan pengundi. Pengundilah yang sepatutnya menunjukkan tanda-tanda amaran jika wakil rakyat tidak melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Dalam Pilihanraya 2008 lalu, Muhaimin tewas dengan majoriti lebih 2,000 undi kepada Ustaz Ramli Tusin. Kini AMARANnya timbul kembali. Dua blognya menggunakan nama pena AMARAN, iaitu ‘BYB AMARAN’ mengenai politik dan ‘AMARAN Dari Gunung’ mengenai keluarga. BYB itu sudah pasti singkatan 'Bekas Yang Berhormat'. Saya belum berkesempatan membuka blog politiknya, tetapi beberapa jam tadi saya membuka blog yang satu lagi. Ternyata Muhaimin ‘family man’.


MUHAIMIN DAN DR. ZAMBRY


Berbual dengan Muhaimin memang tidak menjemukan, ada topik serius dan tidak kurang melucukan. Dalam apa juga majlis, dia selalu ke depan menarik perhatian rakan. Dalam satu majlis Hari Keluarga Adun BN Perak di Sunway Lagoon Subang Jaya pada Disember 2007, Muhaimin bersama seorang lagi Adun ketika itu, Abu Bakar Mat Ali (Titi Serong) telah menggamatkan majlis. Muhaimin menyanyikan lagu Tamil, Abu Bakar menari dengan pakaian wanita India. Saya sempat merakamkannya melalui kamera digital.

Salam buat Muhaimin. Berilah amaran kepada wakil rakyat PAS di Semanggol. Katakan kepadanya, ”I'll be back”.


MUHAIMIN DAN BAKAR MENGGAMATKAN MAJLIS

05 June, 2009

KINI HANYA BADAI DI PERAK

Undian pendapat dalam blog saya samada perlu diadakan semula Pilihanraya Negeri Perak telahpun ditutup pada 31 Mei lalu. Setelah dua minggu dibuka, 17 pengundi atau 70% mengatakan tidak perlu, sementara 7 (29%) memilih perlu. Bilangan 24 undian bukanlah boleh memberikan jawapan yang paling tepat. Seperti yang saya telah agak, tidak ramai yang membuka blog kerdil ini dan mengambil bahagian dalam undian.

Tetapi saya berpuas hati. Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan undian, samada memilih perlu diadakan pilihanraya di Perak ataupun sebaliknya. Masing-masing mempunyai alasan sendiri untuk membuat tafsiran. Di dalam media serta sembang-sembang kedai kopi, inilah antara topik yang hangat diperkatakan sejak lebih sebulan lalu.

Apapun topik ini sudah tidak relevan lagi untuk dibincangkan. Malahan saya menganggap undian pendapat ini tidak perlu menunggu sehingga 31 Mei untuk ditutup, cukup sehingga 22 Mei sahaja. Sebabnya, pada tarikh itu Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengekalkan Dr. Zambry selaku penjawat Menteri Besar Perak. Sejak itu juga, Negeri Perak sudah semakin aman.

Bukanlah luar biasa jika keamanan yang mula dikecapi oleh Negeri Perak ini dilanda badai, tetapi ianya tidak mungkin lagi menjadi ribut, jauh sekali menjadi taufan. DAP, PKR dan Nizar sudah tentu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Tindakan mengajak penyokong mengadakan mogok lapar bagi mendesak Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri supaya pilihanraya boleh diadakan di Perak hanyalah cubaan mencipta badai, tetapi bukan boleh meributtaufankan.

Biasalah dengan ayat yang mereka terus canangkan – kembalikan kepada rakyat.

Apa yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebenarnya telahpun diputuskan oleh rakyat Perak dalam Pilihanraya Umum 2008 lalu, apabila mereka memberikan Barisan Nasional (khususnya UMNO) kelebihan kerusi berbanding parti-parti lain yang bertanding. Rakyat Perak telahpun memberikan BN kemenangan 28 kerusi, berbanding 18 DAP, 7 PKR dan 6 PAS. Inilah congak paling mudah yang menggambarkan secara jelas siapakah yang dipilih oleh rakyat Perak.

Tidak dinafikan jumlah kerusi yang dimenangi oleh BN ini jauh lebih kecil berbanding apa yang dimenanginya pada 2004 iaitu sebanyak 52 kerusi. Tetapi bilangan 28 adalah lebih besar daripada apa yang diperolehi parti-parti lain. Sewajarnya DAP, PKR dan PAS menghormati kehendak rakyat pada 2008 yang memberi lebih kerusi kepada BN.

Tiada siapa yang merampas kuasa. Tidak juga ianya haram. Tindakan tiga Adun keluar dari parti pakatan pembangkang bukannya kesan dari pengaruh luar, tetapi hasil daripada kepincangan di dalam kerajaan pimpinan Nizar sendiri. Apa dalilnya Nga Kor Ming dengan celupar mengatakan Kerajaan Perak hari ini kerajaan haram? Sebab tiga Adun bebas menyokong BN?

Bagaimana pula jika Anwar Ibrahim berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada 16 September lalu setelah berjaya menarik 31 Ahli Parlimen BN melompat parti. Apakah DAP akan mengatakan tindakan Anwar itu halal, dan kerajaan baru gabungan DAP-PKR-PAS itu tidak haram?

DAP, PKR dan Nizar janganlah semudahnya menyalahkan orang lain, tetapi lihatklah kelemahan sendiri dahulu. Jika tidak pandai menari, janganlah kata tanah tidak rata. Jika tidak pandai tadbir negeri, janganlah kata orang lain rampas kuasa.

Rakyat Perak yang tidak beremosi dan berfikiran waras dapat menilai mana yang terbaik buat mereka. Sudah tiba masanya semua pemimpin dan rakyat Perak menerima hakikat bahawa Perak kini berada di bawah pentadbiran BN. Tidak lagi perlu untuk melakukan sesuatu tindakan bertujuan mengubah kedudukan ini, melainkan melalui Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Tumpuan ketika ini adalah untuk bersama membangunkan Perak dari segenap bidang. Yang sudah tu, sudah lah. Tak guna dikesalkan lagi. Lihatlah ke depan, jangan lagi pandang ke belakang.