22 May, 2012

TRAGEDI TANAH RUNTUH DI BESOUT


Mangsa tanah runtuh tengahari tadi, Mohd Nor Fitri Musa, 25 bersama dua rakannya melakukan kerja-kerja pemasangan kabel telekom di tapak projek membaikpulih jalan yang sebelum ini hampir terputus berhampiran masjid Felda Besout 2.

Kerja-kerja membaikpuih jalan berkenaan telah dimulakan sejak lebih sebulan lalu dengan peruntukan kira-kira RM140,000, dan hampir siap. Jalan yang sudah ditambak sepenuhnya dan menunggu untuk ditabur batu dan diturap oleh pihak kontraktor, terpaksa dikorek semula oleh pihak Telekom Malaysia untuk membaiki kabel yang dikatakan terputus.

Ketika tiga pekerja syarikat pembinaan itu memasang kabel di dalam lubang yang baru dikorek sedalam kira-kira empat meter, runtuhan tanah yang dikorek berlaku dan telah jatuh menimpa mereka.

Tubuh Mohd Nor Fitri tertimbus sepenuhnya, dan bantuan orang ramai untuk mengeluarkannya segera dari timbunan tanah menjadi buntu kerana dihalang oleh seketul batu besar, sehinggalah pihak bomba tiba.


Dua lagi rakannya hanya tertimbus di paras pinggang dan lutut, dan diberikan rawatan pesakit luar di Pusat Kesihatan Felda Besout 3. Bagaimanapun Mohd Nor Fitri gagal diselamatkan.

Mohd Nor Fitri yang berasal dari Kampung Mak Teh, Tapah Road adalah anak ke-8 daripada sembilan adik beradik. Ibu dan bapanya yang ditemui di Pusat Kesihatan Felda Besout 3, sempat menceritakan petanda anih pagi tadi kerana gayung yang digunakan oleh allahyarham patah ketika mandi.

"Mak cik dah tiga hari rasa berdebar-debar. Bila tanda itu berlaku ke atas anak makcik pagi tadi, mak cik dah dapat rasa sesuatu," katanya dengan nada sugul.

Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan roh allahyarham dan semoga ditempatkan di kalangan para solehin. Al-Fatihah.

Menemui bapa Mohd Fitri dan ibunya yang bergegas ke Pusat Kesihatan Felda Besout 3

Bernama melaporkan :

IPOH : Seorang pekerja sebuah syarikat pembinaan maut, manakala dua lagi cedera apabila tertimbus dalam timbunan tanah sedalam empat meter ketika melakukan kerja-kerja mengorek lubang di Jalan Masjid, Felda Besaut 2, Sungkai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Osman Nayan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika mangsa yang meninggal dunia, Mohd Nor Fitri Musa, 25, serta dua lagi rakannya Nuzul Mohamad Shaari, 25, dan Mohd Shahril Zaidi Mohd Ismail, 24, sedang melakukan kerja-kerja mengorek lubang untuk menanam kabel di kawasan berkenaan.

Beliau berkata Mohd Nor Fitri meninggal dunia di Klinik Kesihatan Felda Besaut akibat cedera parah di bahagian kepala manakala dua lagi rakannya yang cedera turut dirawat di klinik yang sama.

Katanya ketiga-tiga mangsa tertimbus apabila tanah di bahagian tepi tebing lubang yang dikorek runtuh.

Dua pekerja Telekom Telekom Malaysia Bhd yang berada di tempat kejadian bagi memantau pekerja terbabit yang melakukan kerja-kerja mengorek lubang untuk syarikat berkenaan cuba membantu mangsa tetapi gagal. Mereka kemudiannya menghubungi pihak polis.

Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan mengunakan jentera pengorek dan kesemua mangsa dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan.

Mayat Mohd Nor Fitri kemudiannya di hantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut. - Bernama


3 comments:

Rumah Impianku said...

"Sudah Terantuk Baru Mengadah".
Tanah jerlus, mendap dijalan masjid telah lama berlaku,sejak setahun yang lalu. mendapan semakin serius 5 bulan kebelakang ini. keadaan semakin parah ketika hujan lebat yang menyebabkan banjir, air dan binatang berbisa memasuki rumah.

Perkara ini pernah dilaporkan kepada pengurusan dan JKKK Felda Besout 2. email ke Aduan Rakyat jua pernah dihantar pada Sun, May 15, 2011 at 10:02 PM
subject: Tanah runtuh jalan nak putus diFelda Besout 2. Namun tindakan teramat perlahan dan sentiasa tuding-menuding kepada sesama mereka, Felda dan JKR. Sementara menunggu tindakan rakyat, pengguna terdedah kepada risiko keselamatan dan kerosakan harta-benda. Dan kemuncaknya kehilangan nyawa.

Saya akan forwardkan email tersebut untuk rujukan tuan.

Saya sebagai pengguna dijalan tersebut teramat sedih bila perkara ini berlaku yang berpunca daripada ketidaktelusan, ketidakcekapan dan sikap sambil lewa berkaitan dengan urusan kebajikan masyarakat. sikap ini tidak harus pada pemimpin masyarakat.

Fairos.Mohamad

Anonymous said...

ALFATIHAH UNTUK MANGSA DAN TAKZIAH UNTUK AHLI KELUARGANYA...

Unknown said...

Saya harap Sdr Fairos dapat selidik betul-betul apaakaah punca kemalangan di atas. Adakah disebabkan tidak ada usaha untuk membaiki jalan berkenaan, atau sebab kelalaian manusia untuk meletakkan faktor keselamatan sebagai keutamaan ketika melakukan kerja-kerja berisiko. Sebaimana yang saya tulis di atas, projek membaikpulih jalan Besout 2 ini sudah di peringkat akhir dengan kos RM140,000. Hanya menunggu untuk menabur batu dan menurap. TM melakukan pengorekan semula ke ataas tanah yang baru saja ditambak untuk memasang kabel. Saya dapati cara kerja dilakukan oleh pekerja syarikat TM itu tidak mengutamakan keselamatan. Bila-bila masa tanah yang dikorek dan ditimbun boleh runtuh dan menutup tempat yang curam. Itulah yang berlaku. Bukannya disebabkan tidak ada yang mengambil peduli masalah jalan ini, maka kemalangan itu berlaku.

Apapun ini semua sudah ditakdirkan oleh Allah swt. Didoakan rohnya dirahmati.