02 August, 2010

SIDANG DUN PERAK : KEHAIRANAN PEMBANGKANG


Pagi esok Dewan Undangan Negeri Perak akan bersidang semula. Seperti lazimnya, pihak pembangkang cuba memutar-belitkan fakta bagi mengelirukan rakyat. Kali ini mereka membangkitkan pula kononnya Kerajaan Negeri telah menyekat hak mereka dalam Sidang Dewan. Soalan lisan dan bertulis yang mereka kemukakan kononnya tidak dilayan. Mikrofon ditutup bagi menghalang mereka dari bercakap.
Mereka mendakwa lagi persidangan sebelum ini berlangsung dalam tempuh yang cukup singkat sehingga mereka gagal membahaskan masalah-masalah rakyat. Ditambah pula Adun pembangkang diarahkan memasuki Dewan melalui pintu yang berasingan dari Adun Kerajaan, dan mereka dikenakan pemeriksaan keselamatan yang ketat. Pihak polis pula ditempatkan di dalam Dewan kononnya bagi mengawasi tingkah laku mereka.
Mudah sangat nampaknya Ngeh Ko Ham, Nga Kor Meng, Nizar Jamaluddin, V. Sivakumar dan kuncu-kuncunya lupa kenapa perkara itu boleh berlaku. Itu semua adalah kesan daripada sikap biadab dan provokasi terlampau dari mereka sendiri, yang tidak pernah terbayang oleh minda manusia bertamadun di zaman serba moden. Tetapi itulah yang berlaku semasa Sidang DUN pertama selepas peralihan kuasa, malahan berulang dalam dua sidang berikutnya.
Telah banyak yang dipertonton dan diperkatakan terhadap sikap biadap, kasar dan kebudak-budakan Ahli-Ahli Yang Berhormat dari pihak pembangkang di Perak selepas Sidang Dewan itu berlangsung. Merempuh masuk ke dalam Dewan dan merampas tempat duduk wakil Kerajaan, menyeberang ke tempat duduk parti lawan, menjerit kata-kata lucah, tolak-menolak, memanjat meja, merosakkan harta benda awam dan berbagai sikap yang tidak menggambarkan manusia beradab di dalam Dewan yang mulia.
Mereka sedar ketika itu DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah sedang berada di luar Dewan untuk menyampaikan titah perasmian, sehingga menyebabkan baginda menunggu selama hampir lima jam di Kamar Diraja dengan berpakaian istiadat.
Dalam sidang berikutnya sekali lagi mereka memperlihatkan sikap yang sama sekali tidak menggambarkan kelayakan mereka untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Bagi mereka, mempertahankan jubah Speaker yang dilarikan oleh Sivakumar di perkarangan Bangunan SUK adalah lebih utama dari mendengar dan mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Menteri Besar di dalam Dewan.
Pada Sidang Dewan Mac lalu, mereka hadir pula dengan membawa poster dengan niat menjadikan Dewan yang mulia setaraf pinggir jalan tempat berdemonstrasi. Beberapa Adun pembangkang enggan mengemukakan soalan lisan apabila tiba giliran mereka, sebaliknya menyalahgunakan peluang itu untuk mempertikaikan kedudukan Dato’ R. Ganesan sebagai Speaker. Apakah mereka hairan kenapa mikrofon dihadapan mereka ditutup, sedangkan suatu ketika dahulu harta awam itu mereka rosakkan sama seperti sikap budak nakal yang suka melakukan vendalisme?
Belumpun Sidang berakhir, mereka menghampiri tempat duduk Exco dan salah seorang daripada mereka cuba menghayun fail tebal yang dibawa ke tubuh Menteri Besar. Apakah mereka perlu hairan terhadap pemeriksaan keselamatan yang dikenakan terhadap mereka, sedangkan failpun boleh dijadikan senjata untuk mencederakan orang lain?
Mereka memboikot kedua-dua Sidang Dewan sebelum ini tanpa menunggu ianya ditangguhkan. Masa yang sepatutnya digunakan untuk berbahas dan membawa masalah rakyat tidak digunakan. Tugas hakiki mereka sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat dalam Pilihanraya Ke-12 lalu diabaikan. Apa perlu mereka hairankan sekiranya tempoh persidangan menjadi singkat jika mereka sendiri enggan mengambil bahagian?
Harapan semua rakyat di Perak kepada Adun-Adun pembangkang ini, bersikaplah seperti pemimpin yang berwibawa untuk membawa dan membahaskan masalah rakyat. Terimalah hakikat bahawa benang yang basah tidak boleh ditegakkan lagi. Berdebatlah menggunakan akal fikiran, bukannya menggunakan khudrat tubuh sesasa Thomas Su.
Oleh itu, pembangkang jangan pura-pura hairan kenapa situasi sarkas wujud dalam Sidang DUN Perak kebelakangan ini, sebab merekalah pengarah dan pelakon-pelakon utama yang mencetus dan melakonkan skripnya.

No comments: