Jumaat lalu dua orang pekerja pembersihan kawasan sekolah datang menemui saya. Kedua-duanya berbangsa India, seorang lelaki dan seorang wanita.
Dengan linangan air mata mereka memaklumkan kepada saya bahawa mereka dibuang kerja, setelah berkhidmat selama lebih 10 tahun. Mereka menerima berita malang itu sebaik sampai di sekolah pada pagi 2 Januari lalu.
Dengan tanggungan anak yang masih bersekolah, sewa rumah, bil elektrik, bil air dan pelbagai komitmen asas yang perlu ditanggung, mereka merayu agar sesuatu dapat dilakukan supaya dapat terus menjalani kehidupan sekadar yang ada.
Di wajah kedua mereka saya dapat melihat terpancar keresahan mengenangkan betapa gelapnya masa hadapan yang perlu ditempuh, seolah-olah telah putus harapan dengan kehidupan ini.
Saya difahamkan bahawa perkara ini berlaku di seluruh negara, dan di bawah pentadbiran baru Kerajaan Pakatan Harapan melibatkan ribuan pekerja pengawal keselamatan dan pembersihan kawasan sekolah yang rata-ratanya berpendapatan rendah.
Isunya,
1. Tender permbersihan kawasan dan kawalan keselamatan sebahagian besarnya telah diambil alih oleh kontraktor baru.
2. Ramai pekerja yang terpaksa dibuang kerja. Kebanyakannya tidak diambil semula kerana peruntukan dari Kementerian Pendidikan yang diterima tahun ini lebih kecil dari tahun-tahun sebelumnya.
3. Terdapat sekolah yang sebelum ini pekerja pembersih kawasan seramai 8 orang, dikurangkan menjadi 3 orang sahaja. Contohnya SMK Methodist Tanjung Malim.
4. Sama juga dengan pengawal keselamatan, sebelum ini 9 orang dikurangkan kepada 3 orang sahaja. Contohnya SMK Dato' Zulkifli Muhammad, Slim River.
5. Situasi lebih membingungkan di sekolah-sekolah kurang murid (SKM). Hanya seorang sahaja pengawal keselamatan dikekalkan. Pengawal ini bertugas dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam. Waktu malam tiada pengawal bertugas. Keselamatan sekolah-sekolah SKM amatlah terancam di waktu malam. Pengawal ini sudah pasti akan bekerja tanpa cuti. Contohnya SK Felda Besout 5 dan beberapa SJK Tamil.
6. Gaji pengawal keselamatan turut berkurangan dari RM1,800 menjadi RM1,100 sahaja sebulan. Dahulu mereka bekerja dua syif membolehkan mereka dibayar gaji lebih masa. Kini dengan bilangan pekerja semakin berkurangan, mereka melakukan tiga syif, tiada peluang untuk kerja lebih masa.
7. Pengetua dan guru besar pula menjadi serba salah, kerana kontraktor yang dilantik meminta pihak sekolah menentukan siapa yang perlu diberhentikan. Mereka tahu bahawa semua pekerja ini adalah dari kalangan masyarakat yang benar-benar susah.
Ada di kalangan mereka yang telah bekerja lebih dari 10 tahun, dan kini hilang sumber pendapatan.
Semoga nasib pekerja-pekerja am rendah ini diberikan pembelaan sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, bukan dinafikan hak mereka untuk terus bernafas di muka bumi ini. Boleh dikatakan semua wang simpanan mereka telah habis menjelang hujung tahun lalu untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anak yang semakin meningkat harganya, termasuk kasut hitam. Malah sistem cukai SST yang menggantikan GST sama sekali tidak mengurangkan beban mereka.



