01 November, 2018

MAMAT KHALID DAN TEATER MUZIKAL HANTU KAK LIMAH

Pengarah terkenal, Mamat Khalid menghantar kepada saya link sebuah tulisan berkaitan hasrat mahu mencari orang Perak untuk berlakon dalam projek terbarunya, teater muzikal 'Hantu Kak Limah'. 

Menariknya, teater muzikal itu yang digarap daripada filem Hantu Kak Limah arahannya yang meletup di pawagam dengan memecah rekod kutipan sehingga RM36.2 juta, akan dipentaskan di Movie Animation Park Studio (MAPS), Ipoh.

Selaku mantan Pengerusi Finas dan anak Perak, saya amat berbangga dengan usaha Mamat Khalid mahu membawa teater bermutu ke negeri tempat beliau dilahirkan. Beliau juga telah mewujudkan Sarang Art Hub yang menjadi destinasi menarik di Tanjong Malim ketika ini.

Semasa di Finas, antara yang saya impikan adalah wujudnya pementasan teater setiap hari tanpa putus di sekitar tempat tumpuan di ibunegara, Kuala Lumpur sebagaimana di kota-kota besar dunia. Saya pernah membincangkan hal ini bersama pengubah lagu dan aktivis seni, Datuk Wah Idris ketika beliau beberapa kali berkunjung ke pejabat saya. Namun hasrat kami belum kesampaian.

Teater muzikal 'Mamma Mia' di London yang diilhamkan dari kumpulan penyanyi popular Abba bertahan selama 14 tahun sejak 1999, dipentaskan setiap hari dan sentiasa mendapat sambutan hangat, khususnya dari para pelancong. Disebabkan teater itu bertahan sekian lama, para pelakonnya juga silih berganti kerana faktor usia watak di dalamnya. Sehingga berakhir pada 2015, teater itu telah ditonton seramai lebih 60 juta manusia, dengan kutipan kira-kira USD2 billion. 'Mamma Mia' juga menjelajah ke seluruh dunia dan pernah dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Saya mengharapkan Mamat Khalid dapat merealisasikan usahanya mementaskan teater muzikal Hantu Kak Limah ini dengan jayannya, dan membuka lambaran serta dimensi baru dalam industri teater tanahair. 

Teater Hantu Kak Limah boleh menjadi daya tarikan baru pelancong ke Perak, khususnya Ipoh dan boleh menghidupkan lagi kemeriahan MAPS. Pada peringkat awal, mungkin pementasannya tidak perlu dilakukan pada setiap hari sebagaimana persembahan teater di kota besar dunia, cukup pada Sabtu dan Ahad. 

Siapa kata hantu tak boleh menarik pelancong? Ini bukan hantu sebarang hantu. Ini Hantu Kak Limah. Saya yakin Mamat Khalid boleh melakukannya kerana menurut mesejnya kepada saya, "itulah yang dihajati".

http://www.gempak.com/artikel/12904/mamat-khalid-cari-orang-perak-berlakon-teater-muzikal-hantu-kak-limah


No comments: