02 June, 2017

ZIARAH RAMADHAN DI TROLAK UTARA

Alhamdulillah petang tadi dapat menziarah empat keluarga di Felda Trolak Utara dan menyampaikan sedikit sumbangan. Selebih enam rumah lagi diteruskan oleh Pengarah Seranta Perak, Puan Salina Shamsuddin, kerana saya bergegas pula ke masjid untuk menyerahkan sumbangan beras kepada 40 keluarga yang menunggu.

Sempat juga meninjau ke belakang masjid melihat team memasak menyediakan juadah berbuka puasa. Menu yang saya suka tiap kali berbuka di sini pun ada, daging rebus cicah sambal air asam.

Berbuka pula bersama khariah masjid disertai pegawai-pegawai ibupejabat Felda termasuk Timbalan Pengarah Besar (Komuniti) Encik Anuar Malik.

Terima kasih kepada semua warga Felda Trolak Utara atas layanan mesra.

31 May, 2017

TERKINI - ASTRO TARIK KELUAR TAYANGAN DRAMA MAGNIFICENT CENTURY

Astro menarik keluar siaran drama bersiri, Magnificent Century setelah mendapat bantahan umat Islam di negara ini. 

Drama Turki ini diadaptasi dari abad kejatuhan Khilafah Islam yang terakhir, Uthmaniyah. Beberapa negara Islam sebelum ini telah mengharamkan penayangan drama tersebut atas alasan ianya menghina Islam kerana memaparkan adengan-adengan lucah, berlaku penyeleweng fakta dan fitnah ke atas sejarah Uthmaniyah dan dikatakan sebagai suatu cara meraikan tumbangnya Khilafah.

"Yes we already removed the programme. Will update you further," mesej Astro kepada orang penting KKMM sebentar tadi.

Syabas atas keprihatinan Astro.

#astro #magnificentcentury

26 May, 2017

HOSPITAL SLIM RIVER TERIMA 5 MESIN HEMODIALISIS BARU

TANJUNG MALIM, 25 Mei (Bernama) -- Hospital Slim River menerima tambahan lima unit mesin hemodialisis baharu bernilai keseluruhan RM225,000 bagi menyediakan rawatan kepada lebih ramai pesakit buah pinggang pada hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib berkata lima mesin hemodialisis itu merupakan sumbangan tiga badan korporat iaitu masing-masing dua unit daripada Kumpulan UEM dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) manakala satu unit daripada Kumpulan Sime Darby.

Menurut beliau sumbangan itu hasil daripada satu program UMNO Tanjung Malim yang diadakan pada 4 Feb lalu di Glenmarie, Shah Alam. (Kejohanan Golf Amal UMNO Bahagian Tanjong Malim kali ke -10 yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk SerI Mohd Najib Tun Razak).

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan lima unit mesin dialisis kepada Pengarah Hospital Dr Mohd Yassim Abd Rahman di hospital kerajaan itu.

Turut hadir, Naib Presiden Bahagian Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PNB Zamani Abdullah dan Jurutera Awam UEM Wilayah Ipoh Ashmil Fanaz yang mewakili Pengurus Wilayah UEM Perak.

Dalam pada itu, Mohd Khusairi berkata pihaknya menyedari bebanan ditanggung bagi setiap pesakit buah pinggang yang memerlukan perbelanjaan rawatan bulanan kira-kira RM2,500 seorang atau RM30,000 setahun.

"Ini sudah pasti membebankan, terutama mereka yang berpendapatan rendah. Dalam apa jua keadaan pun, mereka perlu mendapatkan rawatan dialisis sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu. Maka kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.

(Tambahan mesin yang ditempatkan di Hospital Slim River juga dapat menjimatkan kos perjalanan sebahagian pesakit dari sekitar Slim River dan ke utara yang sebelum ini terpaksa ke Pusat Kesihatan Tanjong Malim yang agak jauh ke selatan, katanya.)

Sementara itu Dr Mohd Yassim berkata penambahan kemudahan rawatan itu menjadikan jumlah mesin hemodialisis di hospital itu sahaja bertambah kepada tujuh unit buat masa ini.

"Kita ada 16 unit mesin yang beroperasi sedia ada di mana dua daripadanya adalah di Hospital Slim River manakala selebihnya beroperasi dan ditempatkan di Pusat Kesihatan Tanjung Malim di Tanjong Malim.

"Justeru kita sangat berbesar hati dengan sumbangan diberikan oleh pihak-pihak korporat bagi membantu pesakit di Hospital Slim River ini bagi mempercepatkan masa menunggu bagi mendapatkan rawatan dialisis," katanya.

Katanya ketika ini terdapat 44 pesakit yang menerima rawatan selain terdapat 30 orang lagi dalam senarai menunggu di hospital itu.

Selain itu, pihaknya juga berusaha untuk memastikan rawatan hemodialisis itu dilakukan sebanyak tiga syif sehari bagi memastikan pesakit baru turut mendapat rawatan.

-- BERNAMA


11 May, 2017

BERHATI-HATILAH KEPALA AIR

Jika berkelah di sungai, berhati-hatilah dengan kejadian kepala air, lebih-lebih lagi jika kita tak biasa atau pertama kali mandi di situ. 


Lewat petang tadi seorang pemuda berusia 21 tahun dari Sungai Besar, Selangor dihanyutkan kepala air ketika sedang mandi di sebatang sungai di Tanjong Malim. Rakannya dapat menyelamatkan diri dengan memanjat ke tebing sungai, sementara pemuda itu terus lenyap dalam arus deras kepala air yang datang mengejut.

Usaha mencari dan menyelamat dilakukan oleh pihak polis, bomba, APM dan Rela sebaik menerima laporan. Jenazah pemuda malang itu ditemui kira-kira jam 10.00 malam.

Saya pernah melalui detik cemas berhadapan kepala air di usia 17 tahun ketika mengikut rombongan sekolah berkelah di sungai berhampiran Tanjong Rambutan, Ipoh. Kejadian pada 1978 itu menjadi kenangan menakutkan dalam hidup saya. Ketika rakan-rakan sekolah selesai mandi manda, salah seorang pelajar perempuan mengadu bekas menyimpan makanannya tertinggal di seberang sungai. 

Saya segera menawarkan diri untuk mengambilnya. Ketika berpatah balik, secara tiba-tiba datang air besar yang deras. Nasib saya diselamatkan oleh seketul batu yang menjadi tempat berpaut. 

Guru pengiring dan rakan-rakan menjeritkan pelbagai arahan kepada saya, yang saya sendiripun tak dengar dengan jelas kerana deruan air hampir menutup corong telinga. Saya berpaut dengan kuat, sehinggalah arus kepala air menjadi reda dan saya mengisut pelahan-lahan ke tebing.

Alhamdulillah. Tuhan  melindungi saya ketika itu daripada dihanyutkan kepala air. Hairannya saya dapat menyerahkan bekas menyimpan makanan itu dengan selamat kepada rakan pelajar.

Al Fatihah kepada arwah pemuda itu, dan takziah kepada keluarganya.

#kepalaair 

23 April, 2017

SINAR CAHAYA DI SUNGAI TERAS

Waktu sudahpun menunjukkan jam 7.00 petang. Suasana semakin gelap dalam dewan orang ramai Kampung Orang Asli Sungai Teras, Slim River. Pusat, seorang lelaki penduduk kampung menghulurkan buku lawatan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakub untuk ditandatangani. Seorang pegawai TNB segera menyalakan lampu suluh daripada telefon bimbitnya supaya Menteri boleh menulis di buku tersebut.

Sepuluh minit sebelum itu, Dato' Sri Ismail Sabri telah mengumumkan kelulusan peruntukan RM1.5 juta bagi membolehkan TNB melaksanakan projek pembekalan elektrik di kampung itu.

Pertama kali saya masuk ke Kampung Sungai Teras ialah pada 1998 ketika saya mula menjawat Ketua Pemuda UMNO Bahagian. Untuk ke sana ketika itu, saya melalui jalan estet berlopak tanpa tar dan merentasi ladang sawit. 

Wajarlah ketika itu Kerajaan sukar membekalkan elektrik kerana hendak mencacak tiangpun bukan sahaja jauh, malah perlu mendapat kebenaran tuan punya tanah. Apa yang mampu saya lakukan ketika itu bagi membantu hanyalah memberikan sedikit wang kepada Tok Batin untuk membaikpulih generator yang telah lama rosak. Tak lama selepas itu generator itu rosak kembali. 

Sejak projek jalan baru Kuala Slim ke Besout yang kerjanya bermula pada 2008 siap pada 2014, kedudukan Kampung Sungai Teras hanyalah kira-kira 50 meter dari jalan tersebut. Melalui peruntukan Marris, seluruh jalan di kampung itu telah ditar. PLB juga memasang lampu jalan solar yang menerangi bahagian luar rumah.

Dengan peruntukan yang diumumkan oleh Dato' Sri Ismail Sabri semalam, maka bakal berakhirlah kegelapan hidup 203 penduduk dari 27 buah rumah dibawah pentadbiran Tok Batin Kuloh Bah Rintih.

Terima kasih BN.

#kklw #dsis #adunslim #plb #tanjongmalim #sungaiteras

18 December, 2016

GETAH DAH NAIK HARGA YEOP!


"Maaf Dato'. Pagi ni tak ramai orang lelaki tunggu. Depa masuk kebun menoreh. Harga getah mahal. Lepas menoreh depa join," bisik Ketua Kampung Kuala Slim, Shukeri Radzi Said sebaik saya turun kereta untuk merasmikan program Sukan Komuniti KRT kampung itu pagi tadi.



"Berapa harga sekerap sekarang?" tanya saya.





"Dah lebih RM4.00 sekilo, Dato'. Memang mahal sekarang," balas Shukeri.



Setibanya di khemah, Haji Shuhaimi Said, Ketua UMNO Cawangan yang juga abang kepada Shukeri juga membisikkan perkara yang sama kepada saya.



"Dah lebih 5 tahun harga getah sekerap di bawah RM2.00 sekilo. Sekarang ni harga sekerap tengah mahal. Depa rasa rugi kalau tak pergi menoreh," kata Haji Shuhaimi.



Ketika nak sebut harga getah sekerap dalam ucapan saya, seorang wanita di depan saya mengangkat tangan dan menunjukkan lima jari. "Wah! RM5.00 sekilo," kata saya dalam hati.



Syukurlah. Harga getah dah mahal di pasaran. Saya selaku anak peneroka Felda yang pernah menoreh pokok getah, memungut sekerap di pot getah dari pokok ke pokok, menjinjing baldi berisi sekerap menaiki bukit dari teres ke teres, memikul guni basah berbau 'harum' berisi sekerap naik ke motosikal tua, dan lain-lain aktiviti berkaitan getah, berasa bersyukur dengan kegirangan hati pekebun kecil dan penoreh getah ketika ini.



Berdasarkan bancian Risda pada 2013, terdapat 590,000 keluarga di Malaysia (purata 3.1 ahli keluarga) menjadikan jumlah seramai 1.829 juta orang bergantung kehidupan kepada sektor getah.



Mengikut bangsa: Melayu - 77%, Cina -  20%, India -  1%, Org Asli - 0.4 % dan lain-lain -  0.9%.



Apapun ingatlah, harga komoditi getah sentiasa tidak stabil di pasaran. Semasa harganya tinggi ketika ini, berhemahlah ketika berbelanja dan jangan lupa menyimpan.



Jangan juga lupa. Ketika harga getah meningkat, aktiviti 'hiliran' juga meningkat. Ada pihak-pihak tertentu yang secara sukarela membantu mengutip sekerap dari pokok ke pokok di waktu petang dan malam.



Jangan sampai pot kosong ketika turun pagi untuk menoreh dan mengutip sekerap.



Semoga pekebun-pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara mendapat keberkatan daripada rezeki yang dilimpahiNya. Amin