26 May, 2017

HOSPITAL SLIM RIVER TERIMA 5 MESIN HEMODIALISIS BARU

TANJUNG MALIM, 25 Mei (Bernama) -- Hospital Slim River menerima tambahan lima unit mesin hemodialisis baharu bernilai keseluruhan RM225,000 bagi menyediakan rawatan kepada lebih ramai pesakit buah pinggang pada hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib berkata lima mesin hemodialisis itu merupakan sumbangan tiga badan korporat iaitu masing-masing dua unit daripada Kumpulan UEM dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) manakala satu unit daripada Kumpulan Sime Darby.

Menurut beliau sumbangan itu hasil daripada satu program UMNO Tanjung Malim yang diadakan pada 4 Feb lalu di Glenmarie, Shah Alam. (Kejohanan Golf Amal UMNO Bahagian Tanjong Malim kali ke -10 yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk SerI Mohd Najib Tun Razak).

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan lima unit mesin dialisis kepada Pengarah Hospital Dr Mohd Yassim Abd Rahman di hospital kerajaan itu.

Turut hadir, Naib Presiden Bahagian Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PNB Zamani Abdullah dan Jurutera Awam UEM Wilayah Ipoh Ashmil Fanaz yang mewakili Pengurus Wilayah UEM Perak.

Dalam pada itu, Mohd Khusairi berkata pihaknya menyedari bebanan ditanggung bagi setiap pesakit buah pinggang yang memerlukan perbelanjaan rawatan bulanan kira-kira RM2,500 seorang atau RM30,000 setahun.

"Ini sudah pasti membebankan, terutama mereka yang berpendapatan rendah. Dalam apa jua keadaan pun, mereka perlu mendapatkan rawatan dialisis sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu. Maka kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.

(Tambahan mesin yang ditempatkan di Hospital Slim River juga dapat menjimatkan kos perjalanan sebahagian pesakit dari sekitar Slim River dan ke utara yang sebelum ini terpaksa ke Pusat Kesihatan Tanjong Malim yang agak jauh ke selatan, katanya.)

Sementara itu Dr Mohd Yassim berkata penambahan kemudahan rawatan itu menjadikan jumlah mesin hemodialisis di hospital itu sahaja bertambah kepada tujuh unit buat masa ini.

"Kita ada 16 unit mesin yang beroperasi sedia ada di mana dua daripadanya adalah di Hospital Slim River manakala selebihnya beroperasi dan ditempatkan di Pusat Kesihatan Tanjung Malim di Tanjong Malim.

"Justeru kita sangat berbesar hati dengan sumbangan diberikan oleh pihak-pihak korporat bagi membantu pesakit di Hospital Slim River ini bagi mempercepatkan masa menunggu bagi mendapatkan rawatan dialisis," katanya.

Katanya ketika ini terdapat 44 pesakit yang menerima rawatan selain terdapat 30 orang lagi dalam senarai menunggu di hospital itu.

Selain itu, pihaknya juga berusaha untuk memastikan rawatan hemodialisis itu dilakukan sebanyak tiga syif sehari bagi memastikan pesakit baru turut mendapat rawatan.

-- BERNAMA


No comments: