05 March, 2016

TG MALIM PERTAHAN NAJIB

KENYATAAN MEDIA
JAWATANKUASA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM

1. UMNO Bahagian Tanjong Malim dalam mesyuarat Ahli Jawatakuasa malam ini (Jumaat 4hb Mac 2016) melafazkan taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak untuk terus menerajui kepimpinan negara.

2. UMNO Bahagian Tanjong Malim juga mengambil ketetapan untuk terus menyokong dan membantu YAB Presiden Parti dalam mengemudi parti UMNO.

3. Melahirkan rasa kesal dan kecewa atas sikap segelintir pemimpin dan bekas pucuk pimpinan parti UMNO yang hari ini bersekongkol dengan parti pembangkang dalam agenda untuk menjatuhkan Dato' Sri Najib dari jawatan Perdana Menteri secara tidak demokratik.

4. Menggesa Majlis Tertinggi UMNO untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengambil tindakan tegas terhadap pimpinan dan ahli parti yang telah melanggar etika parti kerana bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Presiden parti.

5. Mengemaskini seluruh jentera parti di semua peringkat supaya mempersiapkan segala kemungkinan dalam memperteguhkan parti.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

29 January, 2016

TERIMA KASIH PECACAI POSTER

Terima kasih kepada pihak yang mempromosikan pemimpin kerdil seperti saya melalui poster di atas untuk membersih air muka tokoh-tokoh besar mereka terhadap pelbagai fitnah berkaitan dana RM2.6b yang telah disebarkan sebelum ini.

Apalah sangat kenyataan saya itu jika dibandingkan dengan fitnah dan syak wasangka tak masuk akal dan berniat jahat terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berkaitan dana politik sumbangan keluarga diraja Arab Saudi itu.

Kenapalah mereka tidak mahu membandingkan kenyataan Peguam Negara itu dengan tohmahan-tohmahan pihak lain yang tersebar luas di akhbar, portal dan laman sosial pro-pembangkang sebelum ini.

Antara kenyataan lain yang pernah dicanangkan adalah kononnya "wang dari tabung 1MDB milik rakyat berjumlah RM2.6b disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib", "Najib mendepositkan sebahagian besar daripada RM2.6b ke bank Singapura", "Najib dan UMNO-BN menggunakan wang RM2.6b milik 1MDB untuk membeli undi dalam PRU13", "wang 1MDB sebanyak RM2.6b yang masuk dalam akaun peribadi Najib adalah rasuah terbesar negara", "Pegawai kanan SPRM ditukar ke jabatan lain bertujuan menutup skandal wang 1MDB berjumlah RM2.6b" dan banyak lagi fitnah pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan Najib.

Sewajarnya kenyataan-kenyataan tersebutlah yang pecacai ini patut bandingkan dengan keputusan Peguam Negara dalam isu dana RM2.6b itu kerana tuduhan dan fitnah di atas dilontarkan oleh pakar-pakar manipulasi politik negara yang ternama, berbanding pemimpin tak popular seperti saya. Ramai yang terkantoi dan cuba menahan malu berikutan kenyataan Peguam Negara itu.

Kenyataan saya yang diviralkan adalah berdasarkan temubual seorang wartawan melalui telefon ketika saya menunggu pesawat pulang dari Tawau ke Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2015. 

Saya ke sana kerana menemankan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Dato' Fatmi Che Salleh merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tawau. Pada malam sebelumnya, saya menghadiri majlis makan malam UMNO Bahagian Tawau dan menyampaikan ceramah isu semasa.

Hari yang sama juga, iaitu pada 15 Ogos, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Semporna yang diterajui Dato' Seri Shafie Afdal, tak jauh dari Tawau.

Beberapa perkara yang disiarkan tidak sama seperti apa yang telah saya nyatakan kepada wartawan berkenaan. Saya tidak mengeluarkan perkataan "yakin wang RM2.6b telah dibelanjakan sepenuhnya untuk UMNO". Sebenarnya apa yang saya katakan adalah tidak mustahil wang itu telah dibelanjakan untuk kempen BN menghadapi PRU13 berdasarkan sikap amanah Najib menunaikan tanggungjawab yang dipikul.

Selaku Pengerusi BN, Najib bukan sahaja menjaga UMNO, tetapi juga parti-parti komponen lain bagi memastikan jentera pilihanraya berjalan lancar. Itu belum diambil kira sebilangan besar NGO yang juga mengharapkan sumbangan dana daripada beliau.

Bukan perkara mustahil dana politik sebelum ini diselewengkan oleh pemimpin parti politik atau individu kepercayaan mereka samada dari parti UMNO dan komponennya, mahupun parti-parti pembangkang terutamanya DAP, PAS dan PKR.

Dalam kes UMNO, tidak hairan kenapa keluarga diraja Arab Saudi mahukan supaya dana itu disalurkan terus ke akaun peribadi Najib, atas keyakinan mereka terhadap sikap amanah beliau. Mungkin sebelum ini mereka pernah berurusan perkara yang sama dengan pemimpin lain, dengan menyalurkan dana melalui individu perantara yang akhirnya lesap entah ke mana.

Kepada pencipta poster di atas, cubalah cari wajah tokoh-tokoh besar dan pakar-pakar manipulasi berserta fitnah-fitnah terhadap Najib yang telah mereka sebarkan berkaitan isu dana RM2.6b untuk diposterkan. Tentu ramai yang akan gelak terguling-guling.

Apapun, terima kasih kerana sudi mempromosikan pemimpin kerdil seperti saya.     Khusairi Talib  29 Januari 2016      

29 December, 2015

APA SALAHNYA WANITA JADI KETUA KAMPUNG?

KENYATAAN AKHBAR  DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB  KETUA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM  BERKAITAN PERLANTIKAN PUAN ESAH BINTI AHMAD SELAKU KETUA KAMPUNG BALUN, PERAK

Saya ingin merujuk kepada berita yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini berkaitan bantahan sebilangan penduduk membantah perlantikan Puan Esah bte Ahmad selaku Ketua Kampung Balun.

Tidak ada syarat perlu mendapatkan  pandangan penduduk dalam soal perlantikan Ketua Kampung. Namun begitu, dalam kes Kampung Balun, pandangan pihak tertentu telahpun diambilkira sebelum nama Puan Esah diajukan ke peringkat negeri untuk perlantikan.

Saya sendiri berjumpa beberapa lelaki yang saya fikirkan layak dari Kampung Balun untuk dilantik menjadi ketua kampung, namun mereka menolak atas pelbagai alasan. Ada juga yang menawarkan diri, tetapi berdasarkan penilaian, mereka tidak sesuai atas sebab-sebab tertentu.

Jika mengikut sejarah, perlantikan seseorang ke jawatan Ketua Kampung Balun sebelum ini tidak pernah diterima oleh semua penduduk. Siapa sahaja yang dilantik, akan ada pihak lain di kampung itu yang membantah dengan pelbagai cara. Jadi tidak salah jika kali ini wanita dipilih untuk meredakan keegoan lelaki di kampung itu, selain diharapkan dapat menyatupadukan semula hubungan penduduk kampung.

Saya harap penduduk lelaki di kampung itu tidak memandang rendah kebolehan seorang wanita. Berdasarkan kebolehan, Puan Esah telah banyak berkorban menggerakkan aktiviti kampung atas jawatannya selaku Ketua Wanita UMNO Cawangan.

Saya yakin, tidak semua lelaki di Kampung Balun menentang perlantikan Puan Esah. Berdasarkan pertemuan saya dengan beberapa pemimpin lelaki lain dari kampung itu, mereka tidak membantah malah akur dengan keputusan Kerajaan Negeri dan bersedia untuk memberi kerjasama kepada Puan Esah selaku Ketua Kampung.

Saya menasihatkan penduduk supaya bertenang dan berilah sepenuh keyakinan dan kerjasama kepada Puan Esah dan Jawatankuasa Kemajuan fan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bakal dibentuk demi memastikan proses pembangunan dapat diteruskan di kampung itu.


04 November, 2015

KEMELUT DAP, PKR DAN PAS DI SELANGOR

Saya siarkan tulisan Azman Abas di MediaUMNO.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari percaya Dap akan terus memberi tekanan kepada PKR di Selangor khususnya terhadap kepimpinan Menteri besar, Azmin Ali untuk memecat Pas daripada kerajaan negeri berkenaan.

Menurut beliau pelbagai tekanan akan diberikan sehinggalah mereka dapat melihat di depan mata Pas terpelanting daripada pimpinan kerajaan negeri yang hari ini dibentuk menerusi gabungan PKR, Pas dan Dap.

"Cuma yang timbul persoalan adalah mampukah PKR menahan asakan berkenaan. Jika ditanya kepada saya persoalan ini, bukannya PKR yang akan memberikan jawapan tetapi adalah Menteri Besar Azmin Ali.

"Jika senario hari ini berterusan, percayalah segalanya akan dilondehkan dan kepada Azmin bersedialah untuk menanti pelbagai serangan daripada rakan sekutunya sendiri dalam memastikan agenda untuk melihat Pas terpelanting berjaya.

"Jika melihat hari ini, nampaknya Dap bersunguh-sungguh untuk melihat perkara berkenaan dan jawapannya sepertimana yang diperkatakan tadi bukannya bergantung kepada PKR tetapi terletak di bahu Azmin.

Sejauh mana Azmin mampu menahan asakan berkenaan kita lihat dalam masa terdekat," katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dilaporkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menerima tamparan apabila Dap Selangor memberi kata dua untuk memecat wakil rakyat Pas dari pentadbirannya.

Ini berikutan seorang perwakilan pimpinan tertinggi parti itu memberi tempoh memecat wakil rakyat Pas daripada Kerajaan Selangor atau Dap sendiri akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pengerusi Dap Kajang Baru, Chiong Yoke Kong berkata, Pas sudah memungkiri janji dalam Pakatan Harapan dan mahu pimpinan tertinggi Dap memberi tempoh kepada Mohamed Azmin untuk pecat wakil rakyat Pas atau Dap keluar dari pentadbiran kerajaan negeri.

"Sekiranya Azmin gagal memecat wakil rakyat Pas Selangor, pimpinan Dap harus tidak teragak-agak keluar daripada Kerajaan Selangor", kata Chiong.

Anuar Shaari seterusnya menambah kerusi panas menteri besar akan terus menghantui Azmin sekiranya beliau tidak mampu menangani perkara terbabit dengan sebaik mungkin.

"Apa pun dalam situasi ini rasanya Azmin serba salah untuk melakukan sebarang keputusan. Cuba kita sorot kembali bagaimana Azmin naik sebagai menteri besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sejurus langkah Kajang yang tidak menjadi.

"Di sebelah kiri adalah Dap dan di sebelah kanan Azmin adalah Pas…bagaimana beliau mahu mengatasi kemelut berkenaan kerana sejarah perlantikan menteri besar sebelum ini tentunya menghantui beliau.

"Takkanlah beliau sudah lupa kepada sejarah berkenaan. Kita tunggu dan lihat bagaimana Azmin mengatasi kemelut terbabit. Apakah beliau benar-benar mampu menahan asakan daripada rakan sekutu sendiri untuk menyingkirkan rakan sekutunya juga," katanya.

29 August, 2015

Sajak : OH BERSIH 04

OH BERSIH 04

Oh Bersih 04
Dataran Merdeka dijadikan lapangan
Tumpuan warga menjelang kemerdekaan
Tempat untuk menyatakan sanjungan
Kepada perajurit pertahankan watan
Kini lokasi nak jatuhkan kerajaan

Dulu komunis bantah merdeka
Usaha Tunku keras disanggah
Masuk hutan menggalas senjata
Sebar dakyah negara masih dijajah

Komunis itu pengganas belantara
Merayap ke pinggir kota dan desa
Membunuh warga tidak berdosa
Membakar hangus harta benda
Peras ugut demi makanan dan senjata

Bertahun kamu jadi buruan
Dek perajurit berhati watan
Menerjah hingga ke gunung dan hutan
Demi menjaga keamanan dan negara merdeka
Lumpuhkan pengganas yang bermaharaja lela
Hingga komunis meletak senjata

Oh Bersih 04
Kamu tawan Dataran Merdeka
Masih terbayang kejamnya komunis
Balai Polis Bukit Kepong jadi sasaran
Dikepung, diserang, ditawan, dibakar
Anggota dan keluarga penghuni dibunuh semua

Oh Bersih 04
Kamu nyahkan warga ke Bukit Jalil
Dataran Merdeka dah umpama Bukit Kepong
Kamu melalak nak jatuhkan kerajaan
Seperti komunis nak jatuhkan Perikatan
Malangnya kini perajurit berdiplomasi
Sedangkan dulu PKM mencicit lari

Oh Bersih 04
Komunis kini berada di mana-mana
Warisan pengganas terus dibawa
Ideologi diserlah semakin nyata
Pegangan tok nenek dan ibubapa
Di kota, desa hingga ke Dewan Rakyat yang mulia
Hingga menerjah ke Dataran Merdeka
Berselindung atas nama politik kepartian kononnya
Cuba menutup komunisme dan chauvinisme
Yang menjadi doktrin sejak berzaman
Penuh hasad dendam terhadap kerajaan

Ayuhlah semua warga
Demi rasa cintakan negara
Pertahankanlah tanah watan merdeka
Padamkan niat jahat ideologi komunisma
Menjatuhkan kerajaan bukan ini caranya
Kita masih ada sistem pilihanraya
Yang dijunjung sejak 1955
Menentukan teraju pentadbiran negara
Bukan meroboh secara durjana

Khusairi Talib
29 Ogos 2015



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

116 KETUA UMNO BAHAGIAN SOKONG KETUA PEMUDA MCA DIPECAT

Sikap tidak beretika Ketua Pemuda MCA,
Chong Sin Woon yang seolah-olah menggalakkan pemuda partinya dan pelajar IPT menyertai perhimpunan haram Bersih 4 terus mendapat kritikan pelbagai pihak.

Sehingga jam 1.30 pagi ini, seramai 116 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara telah menyokong satu survey yang mahukan Chong dipecat dari jawatan Timbalan Menteri Pelajaran.

Survey yang bermula sejak jam 6.20 petang Jumaat itu disiarkan di dalam group Telegram Ketua UMNO Bahagian Malaysia yang mengandungi 177 ahli.

Pelbagai kritikan dilemparkan oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian terhadap Chong dalam group tersebut. Antaranya :

"Tak payah suruh tarik balik, tetap jadi musuh dlm selimut, pecat aja!"

"Penat nak menjawab statement mcm tu, tak setuju dgn dasar parti, tak sealiran dgn PM tapi jawatan yg PM lantik pegang juga..."

"Timbalan menteri pelajaran MCA  menjadi duri dlm daging..Setuju dipecat..bukan sekali, byk kali...sering mempersoal hak kepentingan Melayu.."

"Saya tak hormat langsung org2 mcm tu, tak setuju lepas jawatan terutama jawatan yg dilantik, lepas tu lawan terang2, baru ada prinsip dan maruah..."

Survey itu masih dibuka, dan dijangka lebih ramai Ketua UMNO Bahagian akan menyatakan sokongan supaya Chong dipecat daripada jawatan Timbalan Menteri yang disandangnya.






Sent from my Samsung Galaxy smartphone.