KENYATAAN AKHBAR DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB KETUA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM BERKAITAN PERLANTIKAN PUAN ESAH BINTI AHMAD SELAKU KETUA KAMPUNG BALUN, PERAK
Saya ingin merujuk kepada berita yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini berkaitan bantahan sebilangan penduduk membantah perlantikan Puan Esah bte Ahmad selaku Ketua Kampung Balun.
Tidak ada syarat perlu mendapatkan pandangan penduduk dalam soal perlantikan Ketua Kampung. Namun begitu, dalam kes Kampung Balun, pandangan pihak tertentu telahpun diambilkira sebelum nama Puan Esah diajukan ke peringkat negeri untuk perlantikan.
Saya sendiri berjumpa beberapa lelaki yang saya fikirkan layak dari Kampung Balun untuk dilantik menjadi ketua kampung, namun mereka menolak atas pelbagai alasan. Ada juga yang menawarkan diri, tetapi berdasarkan penilaian, mereka tidak sesuai atas sebab-sebab tertentu.
Jika mengikut sejarah, perlantikan seseorang ke jawatan Ketua Kampung Balun sebelum ini tidak pernah diterima oleh semua penduduk. Siapa sahaja yang dilantik, akan ada pihak lain di kampung itu yang membantah dengan pelbagai cara. Jadi tidak salah jika kali ini wanita dipilih untuk meredakan keegoan lelaki di kampung itu, selain diharapkan dapat menyatupadukan semula hubungan penduduk kampung.
Saya harap penduduk lelaki di kampung itu tidak memandang rendah kebolehan seorang wanita. Berdasarkan kebolehan, Puan Esah telah banyak berkorban menggerakkan aktiviti kampung atas jawatannya selaku Ketua Wanita UMNO Cawangan.
Saya yakin, tidak semua lelaki di Kampung Balun menentang perlantikan Puan Esah. Berdasarkan pertemuan saya dengan beberapa pemimpin lelaki lain dari kampung itu, mereka tidak membantah malah akur dengan keputusan Kerajaan Negeri dan bersedia untuk memberi kerjasama kepada Puan Esah selaku Ketua Kampung.
Saya menasihatkan penduduk supaya bertenang dan berilah sepenuh keyakinan dan kerjasama kepada Puan Esah dan Jawatankuasa Kemajuan fan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bakal dibentuk demi memastikan proses pembangunan dapat diteruskan di kampung itu.
No comments:
Post a Comment