17 April, 2012

CALON BN PERAK SUDAH SEDIA - DR ZAMBRY


Barisan Nasional (BN) Perak kini bersedia menyerahkan senarai nama calon yang bakal bertanding di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk diberi penilaian dan pertimbangan sewajarnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau juga tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pegawai kanan kerajaan, ketua jabatan dan tokoh masyarakat tempatan untuk menjadi calon PRU-13 selain calon yang mewakili parti BN itu sendiri.

“Hak calon mengikut hieraki parti untuk disenaraikan tidak boleh dinafikan tetapi kita tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan pegawai kanan kerajaan, ketua jabatan atau tokoh masyarakat untuk menjadi calon.

“Untuk setiap kerusi DUN dan Parlimen, kita akan menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga calon untuk diberi penilaian pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Mungkin calon yang kita senaraikan itu mengejutkan sesetengah pihak luar tetapi sebaliknya bagi rakyat tempatan kerana calon ini memiliki faktor disukai ramai dan calon boleh menang.

“Sebelum senarai ini dihantar, calon ini juga akan ditapis terlebih dahulu untuk memastikan mereka ini bersih dan bebas daripada kes jenayah atau bankrap bagi melayakkan mereka bertanding,” katanya kepada pemberita selepas Program Bersama Pelanggan di Bangunan SUK, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, era dan zaman glamour yang sebelum ini sering dikaitkan dengan wakil rakyat sudah berakhir sebaliknya mereka kini perlu kembali kepada tugas asal yang diamanahkan iaitu berkhidmat kepada rakyat.

“Kita perlu kembali kepada tugas asal wakil rakyat iaitu memberi khidmat kepada rakyat.

“Zaman glamour wakil rakyat dan kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir,” katanya lagi.

Sumber : Perak Today

16 April, 2012

DANA PILIHANRAYA - PAS, SATE DAN PELAJAR SEKOLAH


Kecoh di Felda Gugusan Besout hari ini apabila seorang guru (ustaz) yang mengajar di sebuah sekolah menengah di situ mengedarkan kupon kepada pelajar-pelajar sekolah untuk menghadiri majlis makan sate bersama Bob Lokman malam ini.

Seorang ibu menghantar sms mengadukan hal itu kepada saya, bagaimana anaknya menerima kupon daripada seorang ustaz yang amat dikenali pro-PAS. Selepas itu beberapa aduan dan mms saya terima dari penduduk di Besout menunjukkan bentuk kupon yang anak mereka terima.

Oh... nak kutip dana pilihanraya rupanya. Di kupon berkenaan jelas tertera harganya RM15 siap dengan nombor siri.

Kesemua ibubapa yang menghubungi saya menyatakan rasa kecewa dengan tindakan ustaz itu kerana cuba mengheret anak mereka dalam program politik partinya.

Tak salah PAS nak buat apa juga program bagi mengutip dana pilihanraya asalkan ada permit. Lagipun bukan perkara baru PAS mengutip wang daripada rakyat, khususnya pengikut mereka untuk tujuan dana politik. Asal ada program ceramah PAS, maka akan adalah tong yang beredar. Kalau di Kelantan, mereka sebutnya 'jahe'.

Tetapi apa yang tak kena di Felda Besout adalah kerana kupon itu diedarkan kepada pelajar sekolah. Ustaz yang mengedarkannya itu memang sudah lama dikesan membawa unsur-unsur dan fahaman politik ke dalam pagar sekolah.

Sekolah bukan medan untuk berpolitik. Jadi janganlah salahkan pihak jabatan atau pihak-pihak lain jika tindakan dikenakan ke atas ustaz berkenaan.


12 April, 2012

SAH!!! PEMIMPIN PKR MEMANG BIADAP



Selepas peristiwa ADUN Perak daripada parti PKR, Chan Ming Kai memanjat podium menempatkan Speaker di Sidang DUN Perak pada 9 April lalu, negara sekali lagi dikejutkan pula dengan sikap biadap Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali ketika upacara pertabalan DYMM Yang Di-Pertuan Agong semalam.

Cuma selang sehari sahaja, kedua-dua pemimpin PKR ini menunjukkan sikap tidak beradab di majlis rasmi peringkat tertinggi.

Apakah sikap seperti yang mereka tunjukkan ini boleh dijadikan teladan bagi memimpin negara pada masa akan datang? Pemimpin menjadi contoh kepada rakyat jelata. Jika Azmin tidak tahu adab dan adat istiadat ketika berada di Istana, apalah sangat yang diharapkan oleh rakyat dari mereka bagi memelihara institusi beraja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Biadapnya Azmin dicatatkan secara terperinci oleh Dr. Rahman Kadir yang berada dekat dengan Timbalan Presiden PKR itu semasa majlis penuh istiadat itu berlangsung. Baca di SINI.

Di bahagian kesimpulan tulisannya. Dr. Rahman menulis begini : "Nasihat saya kepada Azmin Ali, Tian Chua dan angkatannya, jika menghadiri majlis rasmi, berperangailah sebagai manusia yang bertamadun. Janganlah terbawa dengan sikap murahan jalanan anda ke istana. Lihatlah di sekeling sebelum berkata-kata kerana apa yang dipertuturkan mencerminkan sikap dan jiwa anda. Sebagai rakyat, tunjukkanlah kesetiaan dan rasa hormat anda kepada Raja selaku tonggak negara".

Dan biadapnya ADUN Simpang Pulai dicatatkan di SINI.



UMNO TANJONG MALIM LANCAR JENTERA PRU13


UMNO Bahagian Tanjong Malim telah melancarkan jentera  pilihanrayanya bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Majlis pelancaran diadakan serentak dengan perasmian Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan dan Sayap-sayapnya di Dewan Semai Bakti, Felda Gunung Besout 1 semalam (11 April 2012).

Kesemua kepimpinan 55 cawangan UMNO dalam Bahagian Tanjong Malim dari Bidor di utara hinggalah ke Tanjong Malim di sempadan Selangor di selatan hadir dalam majlis itu.

Di majlis berkenaan, watikah perlantikan kepada Ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah disampaikan. Perlantikan mereka telahpun dibuat pada Jun 2011.

Terdapat sebanyak 48 PDM dalam Parlimen Tanjong Malim, iaitu 17 di DUN Sungkai, DUN Slim (11) dan DUN Behrang (20).

Berdasarkan bilangan daftar pemilih berakhir pada September 2011, terdapat seramai 61,547 pengundi dalam Parlimen Tanjong Malim, di mana 18,859 pengundi berdaftar di DUN Sungkai, DUN Slim (21,098) dan DUN Behrang (21,590).

Dalam PRU12 pada 2008, Barisan Nasional mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Malim (BN-MCA) dengan majoriti 5,524 undi dan DUN Slim (BN-UMNO) dengan majoriti 3,526 undi.

Walaupun begitu, calon-calon BN-MIC gagal mempertahankan dua kerusi iaitu di DUN Behrang yang dimenangi PKR dengan majoriti 1,027 undi dan DUN Sungkai dimenangi DAP dengan majoriti 1,454 undi.








09 April, 2012

ADUN SIMPANG PULAI (PKR) 'SERANG' SPEAKER


Ming Kai menghentak meja Speaker - Foto ehsan Perak Today
Adun Simpang Pulai (PKR), Chan Ming Kai yang pernah menimbulkan kontroversi bertakbir sempena Aidil Fitri di sebuah rumah milik orang Melayu pada 2009, hari ini sekali lagi menunjukkan sikap di luar tabi'i dengan menyerbu naik ke podium Speaker DUN Perak dan menghentak meja Speaker, Dato' R. Ganesan yang sedang mengendalikan persidangan.

Perbuatannya yang dianggap biadap itu amat mengejutkan dan tidak pernah berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak yang mulia.

Kejadian berlaku sebaik persidangan hari ini dimulakan pada jam 10.00 pagi dengan sessi Soalan Lisan, di mana Ming Kai telah bangun menyatakan rasa tidak puas hati kerana soalan lisannya tidak disenaraikan sepanjang persidangan dan empat soalan bertulisnya ditolak. Pada setiap hari terakhir Sidang DUN, wakil-wakil rakyat diberikan jawapan terhadap soalan-soalan bertulis yang mereka kemukakan beberapa minggu sebelum persidangan.

Ming Kai memekik dari tempat duduknya di belakang saya, sebaik sahaja Speaker menjemput Adun Batu Kurau (BN), Kapt (B) Dato' Mohd Najmuddin Elias Al-Hafiz untuk mengemukakan soalan pertama yang ditujukan kepada Menteri Besar berkaitan rancangan untuk menaiktaraf Pekan Batu Kurau.

Beliau dengan nada keras bertanya Speaker kenapakah empat daripada lima soalan bertulisnya ditolak dan tidak dijawab, dan Dato' Ganesan lantas memaklumkan bahawa soalan-soalan yang dikemukakannya itu tidak mengikut Perkara 23(1) Perintah Tetap DUN Perak kerana ada menyebut nama individu.

Ketika Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bangun untuk menjawab soalan Adun Batu Kurau, Ming Kai terus berdiri di tempat duduknya dan bertekak dengan Speaker sehingga mengganggu perjalanan sessi Soalan Lisan. Dato' Ganesan menggesa Ming Kai supaya duduk dan tidak mengganggu agenda persidangan, tetapi arahan itu tidak diendahkan.

Ming Kai yang tidak berpuas hati telah berjalan meninggalkan tempat duduknya dengan membawa sekeping kertas seolah-olah mahu keluar dari Dewan, tetapi sebaik tiba berhampiran tangga menaiki podium menempatkan Speaker, beliau meluru naik ke atas dan menghampiri Dato' Ganesan.


Adun Simpang Pulai itu secara kasar meletakkan kertas yang dipegangnya di hadapan Speaker dan menghentak meja dengan tangan yang menyebabkan suasana Dewan menjadi tegang. Bentara dan beberapa pengawal Dewan meluru naik ke podium dan menarik Ming Kai turun meninggalkan meja Speaker. Speaker mengarahkan Adun Simpang Pulai itu keluar daripada persidangan atas sikap buruknya itu, dan Ming Kai diiringi keluar oleh pengawal Dewan diikuti beberapa Adun pembangkang yang lain.

Apa yang dilakukan oleh Adun PKR ini jelas bertentangan dengan adab dan peraturan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak. Naik ke pentas Speaker ketika Dewan sedang bersidang, baik dengan apa juga niat dan alasan, adalah perbuatan luar tabi'i dan cukup biadap. Perbuatannya telah mencemarkan kemuliaan Dewan. Beliau seolah-olah cuba menimbulkan provokasi supaya peristiwa hitam Mei 2009 persidangan DUN Perak berulang.

Jika beginilah sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin PR, apakah lagi harapan rakyat kepada mereka bagi menjulang sebuah negara bermaruah dan beradab?

Ming Kai dibawa turun oleh Bentara dan pengawal Dewan



Video ADUN ini bertakbir boleh klik di SINI.


06 April, 2012

KOR MING MENIPU DI TWEETER

Kor Ming tweet pada jam 9.08 pagi
ADUN Pantai Remis (DAP), Nga Kor Ming terbukti menipu rakyat melalui laman sosial, Tweeter. 

Dalam tweetnya jam 9.08 pagi ini, beliau berkata sedang berada di Dewan Undangan Negeri Perak yang bersidang. Namun sehingga selesai sessi soalan lisan pada jam 10.10 pagi, bayang beliau pun tidak nampak di tempat duduknya.
Sehingga sekarang (10.35 pagi), beliau masih lagi belum muncul. (Sehingga Sidang DUN ditangguh pada 12.13 tengahari tadi, Nga Kor Ming langsung tidak hadir. Di mana dia sepanjang Sidang DUN hari ini?).

Rupanya DAP ni bukan sahaja menipu di alam nyata, tapi banyak menipu juga di alam maya. Mangsa kepada penipuan DAP ini adalah rakyat yang mengundi mereka semasa Pilihanraya Umum lalu. Jom ubah mereka!!!