17 April, 2012

CALON BN PERAK SUDAH SEDIA - DR ZAMBRY


Barisan Nasional (BN) Perak kini bersedia menyerahkan senarai nama calon yang bakal bertanding di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk diberi penilaian dan pertimbangan sewajarnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau juga tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pegawai kanan kerajaan, ketua jabatan dan tokoh masyarakat tempatan untuk menjadi calon PRU-13 selain calon yang mewakili parti BN itu sendiri.

“Hak calon mengikut hieraki parti untuk disenaraikan tidak boleh dinafikan tetapi kita tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan pegawai kanan kerajaan, ketua jabatan atau tokoh masyarakat untuk menjadi calon.

“Untuk setiap kerusi DUN dan Parlimen, kita akan menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga calon untuk diberi penilaian pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Mungkin calon yang kita senaraikan itu mengejutkan sesetengah pihak luar tetapi sebaliknya bagi rakyat tempatan kerana calon ini memiliki faktor disukai ramai dan calon boleh menang.

“Sebelum senarai ini dihantar, calon ini juga akan ditapis terlebih dahulu untuk memastikan mereka ini bersih dan bebas daripada kes jenayah atau bankrap bagi melayakkan mereka bertanding,” katanya kepada pemberita selepas Program Bersama Pelanggan di Bangunan SUK, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, era dan zaman glamour yang sebelum ini sering dikaitkan dengan wakil rakyat sudah berakhir sebaliknya mereka kini perlu kembali kepada tugas asal yang diamanahkan iaitu berkhidmat kepada rakyat.

“Kita perlu kembali kepada tugas asal wakil rakyat iaitu memberi khidmat kepada rakyat.

“Zaman glamour wakil rakyat dan kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir,” katanya lagi.

Sumber : Perak Today

No comments: