03 January, 2012

UPSI TETAP BICARAKAN ADAM ADLI



SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kekal dengan pendirian 9 Januari ini untuk sesi pendengaran hukuman tatatertib terhadap pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim (foto) yang menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 17 Disember lalu. 

Walaupun desakan pelbagai pihak supaya Adam Adli tidak diambil tindakan tatatertib oleh Upsi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk  Dr Junaidi Abu Bakar berkata, ia akan tetap diadakan jam 3 petang, 9 Januari ini. 

Menurutnya, meskipun perhimpunan di perkarangan Upsi pada malam tahun baru lalu bertujuan  mendesak supaya Adam Adli dibebaskan, pihaknya tidak berganjak dengan keputusan tindakan tatatertib terhadapnya. 

“Adam Adli sedia maklum bahawa pendengaran hukuman akan diadakan pada 9 Januari ini atas tindakannya menurunkan bendera, namun penyertaannya pada demonstrasi di hadapan perkarangan Upsi juga akan dikenakan tindakan tatatertib sekali lagi oleh pihak Upsi ,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, notis tindakan tatatertib kepada Adam Adli akibat penyertaannya pada demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh 10 ke 14 hari lagi. 

Junaidi berkata, selain Adam Adli, seorang lagi mahasiswi Upsi, yang turut ditahan polis pada malam kejadian itu, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim, pelajar tahun ketiga juga tidak terlepas dengan hukuman tatatertib. 

Dalam pada itu katanya, Upsi kini sedang menyiasat pembabitan beberapa mahasiswanya pada demonstrasi menuntut pembebasan Adam Adli  dan penghapusan Akta Universiti dan Kolej (Auku) pada malam tahun baru lalu. 

Junaidi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman video dalam kejadian terbabit bagi memastikan identiti mahasiswa yang terlibat.

“Kami dimaklumkan terdapat beberapa mahasiswa Upsi yang terlibat. Jika terdapat bukti sahih pembabitan itu, mereka juga tidak akan terlepas dengan tindakan tatatertib oleh pihak Upsi,” katanya.

01 January, 2012

11.15 PM - UPSI NAMPAK TENANG

Lengang jalan di depan UPSI, tempat SMM berdemontrasi dan berbaring di atas jalan awal pagi tadi

Klinik Syifa ditutup rapat

Pintu utama UPSI

Pintu masuk di belakang UPSI

Walaupun dikhabarkan kumpulan mahasiswa pro-SMM mahu berdemontrasi dan menyerbu UPSI lagi malam ini, namun tinjauan di sekitar pusat pengajian tinggi terulung negara yang terletak di Tanjong Malim itu nampak tenang pada jam 11.15 tadi.

Suasana di sekitar pintu utama UPSI agak sepi. Begitu juga di pintu masuk belakang.  Klinik Syifa, klinik keluarga saya, yang dipecah masuk oleh penunjuk perasaan awal pagi semalam ditutup rapat, biarpun kebiasaannya dibuka selama 20 jam setiap hari.

Harapan kita semua supaya tidak ada lagi demontrasi seumpamanya di sekitar UPSI yang sebelum ini sentiasa damai. Semoga siswa-siswi yang berdemontrasi awal pagi tadi telah sedar bahawa sikap mendesak keterlaluan seperti itu tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. 

Kembalilah kepada tujuan hakiki sebagai mahasiswa, menimba ilmu secukupnya di menara gading dan keluar sebagai graduan cemerlang dan bermaruah bagi sama-sama membangunkan negara di bawah kepimpinan Barisan Nasional yang sentiasa adil dan saksama.

Jauhkan diri daripada menjadi alat pemimpin pembangkang yang sudah lemas dengan isu dalaman parti dan peribadi. 

Salam TSB untuk semua!!

VIDEO PANAS DEMO DI UPSI - SIAPA GANAS?


Ganaskah polis atau sebaliknya aktivis mahasiswa SMM yang didalangi pembangkang ini melakukan provokasi-provokasi seperti skrip yang telah diajarkan?

SMM BERDEMO DI IPD TANJONG MALIM PULA


Sekumpulan 30 aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sedang berdemontrasi di depan Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanjong Malim yang terletak di Slim River bermula kira-kira jam 1.45 tengahari tadi. Mereka menuntut supaya pihak polis membebaskan 14 rakan mereka yang ditahan awal pagi tadi dalam satu lagi demontrasi di depan pintu utama UPSI.

Selain itu mereka membawa kain rentang mendakwa seorang mahasiswa, Safwan Anang dipukul oleh pihak polis dalam demontrasi di UPSI itu sehingga kononnya beliau cedera parah.

Beberapa penyokong PKR kelihatan berada dalam kumpulan demontrasi mahasiswa di IPD Tanjong Malim itu, ada antaranya membawa bendera parti itu di kenderaan hilux yang dipandu. Lagi bukti gerakan segelintir mahasiswa ini didalangi oleh parti pakatan haram pembangkang.

Sumber dalam kumpulan itu berkata, mereka mendesak pihak polis segera membebaskan 14 rakan yang ditahan. Sebaliknya, sekiranya 14 mahasiswa itu dibebaskan, kumpulan SMM ini akan membuat satu lagi demontrasi mewar-warkan bahawa pihak polis tunduk atas desakan mereka kerana tindakan penahanan itu kononnya tidak mengikut undang-undang.

Kepada pihak polis, fikirkanlah apa yang terbaik buat mententeramkan keadaan. Tindakan tegas awal pagi tadi adalah wajar bagi membendung sikap mahasiswa pro-SMM itu yang semakin mengganas.

DEMONTRASI SMM DI UPSI - KESAN MAHASISWA DIPERALATKAN

Lihatlah penghinaan mahasiswa ini terhadap foto Perdana Menteri yang diterbalikkan. Sikap biadap ini adalah kesinambungan kebiadaban Adam Adli menurunkan bendera memaparkan wajah Dato' Seri Mohd Najib di PWTC pada 17 Disember lalu.

Anak-anak siapalah ini? Saya selaku bapa berasa amat sedih jika anak-anak saya yang sedang menuntut di universiti bersikap sebegini dan mengabaikan tugas hakiki mereka menimba ilmu di menara gading.

Seramai kira-kira 50 mahasiswa pro-Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menjadi alat pakatan pembangkang berkumpul dan berdemontrasi di pintu masuk utama UPSI bermula kira-kira jam 1.30 pagi tadi. Turut serta Adam Adli dan pemimpin-pemimpin kanan kumpulan itu.

Sepasukan anggota polis dan FRU yang berkawal di sekitar UPSI sejak pagi tadi telah memberi amaran supaya kumpulan mahasiswa itu bersurai kerana demontrasi tersebut tidak mempunyai permit. Namun penunjuk perasaan bukan sahaja berdegil, malah mencabar pihak polis dan bertindak agresif mahu memecahkan pintu masuk utama UPSI.

Tindakan itu memaksa pihak polis bertindak segera menyuraikan mereka dengan menyerbu kumpulan itu dan menangkap seramai 17 pemimpin SMM, termasuk Adam Adli dan seorang mahasiswi UPSI, Yuyu Luna pada kira-kira jam 2.15 pagi. Mereka dibawa ke Balai Polis Tanjong Malim.

Inilah akibatnya apabila mahasiswa membenarkan diri mereka menjadi alat pemimpin politik pembangkang. Terbukti mereka bukan sangat memperjuangkan isu kebebasan akademik, tetapi lebih kepada gerakan politik kepartian dan pembebasan individu bernama Adam Adli. Mereka turut melaungkan slogan-slogan politik kepartian seperti 'hancur, hancur, hancur UMNO'. Gaya sorakan mereka itu samalah seperti yang selalu dilaungkan oleh demonstran PKR dan PAS ketika menunjuk perasaan.

Bukti lain mereka diperalatkan apabila dilihat beberapa pemimpin PKR turut memberi arahan dan tunjuk ajar kepada kumpulan mahasiswa itu, termasuk mengarahkan mereka berbaring di atas jalan raya ketika pasukan FRU tiba di lokasi tunjuk perasaan. (Blog Bersama Mazidul melaporkan pasukan seramai 7 orang anggota ini bukanlah FRU, tetapi Light Strike Force, LSF dari IPD Tanjong Malim).

Tetapi malangnya, apabila pihak polis memberi arahan supaya kumpulan itu bersurai, pemimpin-pemimpin PKR inilah yang terlebih dahulu menjauhkan diri dan meninggalkan mahasiswa itu berbaring di atas jalan raya. Mereka hanya melihat dari jauh ketika pemimpin-pemimpin SMM ditahan pihak polis. Tiada rayuan atau perbincangan dibuat oleh mereka dengan pihak polis bagi membela nasib mahasiswa yang ditinggalkan berhadapan situasi kelam kabut itu.

Ternyata kumpulan SMM ini hanya segelintir kecil di kalangan ribuan mahasiswa di negara ini. Mereka sebenarnya tidak mewakili suara majoriti mahasiswa, jauh sekali suara orang muda yang menjadi tag line mereka. Malahan ketika pihak polis berjaya menyuraikan demontrasi itu, sekumpulan mahasiswa UPSI yang menonton sejak awal telah bertepuk tangan sebagai tanda sokongan terhadap tindakan tegas pasukan keselamatan itu.

Hampir kesemua mahasiswa yang berdemontrasi itu bukanlah pelajar UPSI, tetapi datangnya dari universiti lain, terutamanya dari ibunegara. Beberapa pelajar UPSI yang saya temui memberitahu, mereka tinggal di luar kampus dan datang sekadar mahu melihat dari jauh aksi aktivis-aktivis SMM berdemontrasi.

(Saya berada di sekitar UPSI bermula jam 12.48 malam tadi dan menyaksikan sendiri peristiwa ini sehingga keadaan agak terkawal pada jam 2.48 pagi.)

Adam Adli (baju merah)
Pintu cermin sebuah klinik berhadapan UPSI dipecahkan oleh penyokong SMM kononnya mahu mendapatkan rawatan terhadap seorang rakan mereka yang cedera semasa pihak polis menyerbu dan menangkap pemimpin-pemimpin kanan kumpulan itu. Skrip lakonan yang sama seperti dilakukan oleh sifu mereka semasa Bersih 02. Harta benda menjadi mangsa mereka.
Adam Adli dibawa menaiki black maria.

30 December, 2011

UGUTAN PELURU - SANDIWARA KOR MING?


Pertamanya saya nak mengucapkan tahniah kepada blogger Sekupangdua, Ahmad Sofian, 47 yang MENDEDAHKAN penglibatan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (foto) dalam urusan pemberian tender menjahit kot Ahli Majlis Perbandaran Ipoh (MBI) melibatkan syarikat di mana isteri ADUN Pantai Remis itu menjadi pengarah. 

Ahmad Sofian dalam blognya pada 16 Disember lalu memuat naik beberapa salinan dokumen yang menunjukkan berlaku salah guna kuasa yang mendedahkan Ethan and Elton, syarikat yang mana isteri Kor Ming, Wong Seow Ching sebagai salah seorang pengarahnya, memenangi kontrak tersebut walaupun menawarkan harga lebih tinggi berbanding pembida lain.

Blog tersebut juga mendakwa, kontrak untuk 24 kot rasmi yang pada asalnya ditawarkan kepada Goodman Tailor pada 3 April 2008 kemudiannya diberikan kepada Ethan and Elton selepas disyorkan oleh kerajaan negeri pada ketika itu. 

Sikap berani kerana benar Ahmad Sofian ini ditonjolkan lagi melalui tindakannya PERGI ke Pejabat DAP Perak di Jalan Medan Istana, Ipoh untuk mendapatkan surat saman Kor Ming terhadapnya beberapa hari lalu. Malangnya bukan sahaja Kor Ming tiada di pejabat, malahan surat saman itu juga belum wujud.

Kor Ming sebaliknya memberi tempoh 48 jam dari semalam (Khamis) kepada Ahmad Sofian untuk meminta maaf atau berhadapan dengan tindakan saman. Rupanya ucapan Kor Ming dalam siri ceramahnya yang mahu menyaman Ahmad Sofian sejak isu 'kot MBI' ini timbul hanyalah menjadi halua telinga pendengar.

Kor Ming juga didesak oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya menjelaskan isu pemberian tender itu bagi membersihkan nama parti. Sebelum ini juga Karpal menempelak Kor Ming yang menghina warna kulit Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam isu 'hitam metalik'.

Isu-isu ini yang membabitkan Kor Ming, pemimpin muda DAP yang lantang itu, ternyata telah membuatkan DAP panas punggung. Isu 'hitam metalik' dan 'kot MBI' ini telah menjejaskan nama parti DAP dengan begitu teruk sekali. Punggung yang paling panas sekali habanya sudah tentulah dirasai oleh si empunya diri, Nga Kor Ming, rakan sejawatan saya.

Begitu cepatnya kedua-dua isu ini menghantui DAP, maka begitu cepat jugalah Kor Ming membalas dengan menimbulkan isu peluru yang kononnya telah dihantar oleh individu tertentu ke rumah ibu bapanya di Ayer Tawar. Ternyata Kor Ming berjaya mengalihkan perhatian rakyat buat seketika, terutamanya pemimpin-pemimpin pakatan haram di Perak yang berkumpul bagi menyatakan simpati kepada Ahli Parlimen Taiping itu semalam. 

Kor Ming telahpun membuat laporan polis mengenai apa yang disifatkannya satu ugutan. Sememangnya ugutan seumpama ini tidak wajar dilakukan oleh individu atau kumpulan terhadap sesiapa juga. Jika benarlah perkara ini berlaku, pihak polis perlu membuat siasatan rapi bagi mencari siapa yang melakukan ugutan tersebut. Nampaknya Kor Ming masih percaya dengan kewibawaan PDRM dalam menangani isu-isu keselamatan di negara ini, biarpun sebelum ini beliau sering menghina peranan pihak polis.

Apa yang menimbulkan tandatanya, nota ugutan berbahasa Melayu yang diterima oleh Kor Ming seperti yang saya petik dari blog Brojinggo berbunyi begini : 'Cina kurang ajar Yeop, bagi tiga pilihan: 1 mampus cepat dengan Peluru 2   Mampus perlahan-lahan dengan asid yang disimbah muka  3 mampus  Mampus perlahan-lahan dilanggar dengan sebuah kereta. Gunakan kerusi roda. -  Ini adalah amaran dari orang Melayu jangan kurang ajar.' 

Pertamanya, perkataan 'Cina kurang ajar Yeop, bagi tiga pilihan' - sama ada pengugut memanggil Kor Ming dengan nama 'Yeop' (ganti nama diri bagi sebahagian besar orang Perak) atau pengugut membahasakan dirinya sendiri 'Yeop'. Bagi orang Melayu Perak, jarang sekali mereka memanggil orang Cina dengan ganti nama 'Yeop', samada orang Cina itu kawan atau seterunya. Jika ganti nama 'Yeop' itu merujuk dirinya sendiri, rasanya orang Melayu Perak, dalam keadaan marah, tidak akan membahasakan dirinya 'Yeop', melainkan perkataan aku atau teman, kecualilah dia memarahi adik-beradiknya kerana dia anak yang sulong. Penulis ugutan itu sebenarnya tak tahu di mana nak letakkan ganti nama 'Yeop' itu, melainkan dengan niat nak menunjukkan bahawa ugutan itu kononnya dilakukan oleh orang Melayu Perak. Niatnya mahu mamancing hati kaum Cina supaya segera bersimpati terhadap Kor Ming, sebaliknya membenci seorang individu Melayu.

Perkataan 'Cina kurang ajar' nampaknya menjurus ke arah perkauman yang mahu menunjukkan bahawa pengugut bukan kaum Cina. Kaum Cina sekali lagi segera bersimpati terhadap Kor Ming yang diugut.

Perkataan 'Ini adalah amaran dari orang Melayu' dengan jelas menampakkan niat pengugut mahu memberitahu Kor Ming bahawa dia berbangsa Melayu. Kaum Cina akan terus bersimpati terhadap Kor Ming, dan sedikit sebanyak akan meluapkan rasa marah mereka kepada kaum Melayu, taktik yang biasa digunakan oleh para pemimpin DAP dari kaum Cina terhadap penyokong sebangsa mereka. 

Logiknya, pengugut tidak akan mendedahkan apakah ras atau suku kaumnya. Itulah yang menimbulkan kekeliruan bagi saya terhadap betapa janggalnya ayat ugutan itu. Tambah janggal lagi apabila adanya laporan mengatakan peluru tersebut dibungkus dengan akhbar Tamil. Apakah kaum India juga mahu diheret dalam isu ini?

Mungkinkah 'ugutan' ini hanya rekaan dan sandiwara Kor Ming sahaja, semata-mata bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada tertumpu kepada isu 'hitam metalik' dan 'kot MBI' yang dihadapinya? Kita serahkan perkara ini kepada kebijaksanaan pihak polis untuk membuat siasatan.

Apa yang penting buat Kor Ming, beliau perlu menjelaskan segera isu 'kot MBI' itu. Bercakap lantang di sidang DUN Perak, sidang Parlimen dan ceramah-ceramahnya menghentam Kerajaan Barisan Nasional sebagai tidak telus, menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah, tetapi diri sendiri menjuarainya. Bak kata pepatah, 'berkokok berdegar-degar, ekor sendiri bergelumang najis'. 

Di manakah slogan CAT - 'Competency, Accountability and Transparency' yang dilaung-laungkan oleh DAP dan Kor Ming selama ini?