01 January, 2012

SMM BERDEMO DI IPD TANJONG MALIM PULA


Sekumpulan 30 aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sedang berdemontrasi di depan Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanjong Malim yang terletak di Slim River bermula kira-kira jam 1.45 tengahari tadi. Mereka menuntut supaya pihak polis membebaskan 14 rakan mereka yang ditahan awal pagi tadi dalam satu lagi demontrasi di depan pintu utama UPSI.

Selain itu mereka membawa kain rentang mendakwa seorang mahasiswa, Safwan Anang dipukul oleh pihak polis dalam demontrasi di UPSI itu sehingga kononnya beliau cedera parah.

Beberapa penyokong PKR kelihatan berada dalam kumpulan demontrasi mahasiswa di IPD Tanjong Malim itu, ada antaranya membawa bendera parti itu di kenderaan hilux yang dipandu. Lagi bukti gerakan segelintir mahasiswa ini didalangi oleh parti pakatan haram pembangkang.

Sumber dalam kumpulan itu berkata, mereka mendesak pihak polis segera membebaskan 14 rakan yang ditahan. Sebaliknya, sekiranya 14 mahasiswa itu dibebaskan, kumpulan SMM ini akan membuat satu lagi demontrasi mewar-warkan bahawa pihak polis tunduk atas desakan mereka kerana tindakan penahanan itu kononnya tidak mengikut undang-undang.

Kepada pihak polis, fikirkanlah apa yang terbaik buat mententeramkan keadaan. Tindakan tegas awal pagi tadi adalah wajar bagi membendung sikap mahasiswa pro-SMM itu yang semakin mengganas.

DEMONTRASI SMM DI UPSI - KESAN MAHASISWA DIPERALATKAN

Lihatlah penghinaan mahasiswa ini terhadap foto Perdana Menteri yang diterbalikkan. Sikap biadap ini adalah kesinambungan kebiadaban Adam Adli menurunkan bendera memaparkan wajah Dato' Seri Mohd Najib di PWTC pada 17 Disember lalu.

Anak-anak siapalah ini? Saya selaku bapa berasa amat sedih jika anak-anak saya yang sedang menuntut di universiti bersikap sebegini dan mengabaikan tugas hakiki mereka menimba ilmu di menara gading.

Seramai kira-kira 50 mahasiswa pro-Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menjadi alat pakatan pembangkang berkumpul dan berdemontrasi di pintu masuk utama UPSI bermula kira-kira jam 1.30 pagi tadi. Turut serta Adam Adli dan pemimpin-pemimpin kanan kumpulan itu.

Sepasukan anggota polis dan FRU yang berkawal di sekitar UPSI sejak pagi tadi telah memberi amaran supaya kumpulan mahasiswa itu bersurai kerana demontrasi tersebut tidak mempunyai permit. Namun penunjuk perasaan bukan sahaja berdegil, malah mencabar pihak polis dan bertindak agresif mahu memecahkan pintu masuk utama UPSI.

Tindakan itu memaksa pihak polis bertindak segera menyuraikan mereka dengan menyerbu kumpulan itu dan menangkap seramai 17 pemimpin SMM, termasuk Adam Adli dan seorang mahasiswi UPSI, Yuyu Luna pada kira-kira jam 2.15 pagi. Mereka dibawa ke Balai Polis Tanjong Malim.

Inilah akibatnya apabila mahasiswa membenarkan diri mereka menjadi alat pemimpin politik pembangkang. Terbukti mereka bukan sangat memperjuangkan isu kebebasan akademik, tetapi lebih kepada gerakan politik kepartian dan pembebasan individu bernama Adam Adli. Mereka turut melaungkan slogan-slogan politik kepartian seperti 'hancur, hancur, hancur UMNO'. Gaya sorakan mereka itu samalah seperti yang selalu dilaungkan oleh demonstran PKR dan PAS ketika menunjuk perasaan.

Bukti lain mereka diperalatkan apabila dilihat beberapa pemimpin PKR turut memberi arahan dan tunjuk ajar kepada kumpulan mahasiswa itu, termasuk mengarahkan mereka berbaring di atas jalan raya ketika pasukan FRU tiba di lokasi tunjuk perasaan. (Blog Bersama Mazidul melaporkan pasukan seramai 7 orang anggota ini bukanlah FRU, tetapi Light Strike Force, LSF dari IPD Tanjong Malim).

Tetapi malangnya, apabila pihak polis memberi arahan supaya kumpulan itu bersurai, pemimpin-pemimpin PKR inilah yang terlebih dahulu menjauhkan diri dan meninggalkan mahasiswa itu berbaring di atas jalan raya. Mereka hanya melihat dari jauh ketika pemimpin-pemimpin SMM ditahan pihak polis. Tiada rayuan atau perbincangan dibuat oleh mereka dengan pihak polis bagi membela nasib mahasiswa yang ditinggalkan berhadapan situasi kelam kabut itu.

Ternyata kumpulan SMM ini hanya segelintir kecil di kalangan ribuan mahasiswa di negara ini. Mereka sebenarnya tidak mewakili suara majoriti mahasiswa, jauh sekali suara orang muda yang menjadi tag line mereka. Malahan ketika pihak polis berjaya menyuraikan demontrasi itu, sekumpulan mahasiswa UPSI yang menonton sejak awal telah bertepuk tangan sebagai tanda sokongan terhadap tindakan tegas pasukan keselamatan itu.

Hampir kesemua mahasiswa yang berdemontrasi itu bukanlah pelajar UPSI, tetapi datangnya dari universiti lain, terutamanya dari ibunegara. Beberapa pelajar UPSI yang saya temui memberitahu, mereka tinggal di luar kampus dan datang sekadar mahu melihat dari jauh aksi aktivis-aktivis SMM berdemontrasi.

(Saya berada di sekitar UPSI bermula jam 12.48 malam tadi dan menyaksikan sendiri peristiwa ini sehingga keadaan agak terkawal pada jam 2.48 pagi.)

Adam Adli (baju merah)
Pintu cermin sebuah klinik berhadapan UPSI dipecahkan oleh penyokong SMM kononnya mahu mendapatkan rawatan terhadap seorang rakan mereka yang cedera semasa pihak polis menyerbu dan menangkap pemimpin-pemimpin kanan kumpulan itu. Skrip lakonan yang sama seperti dilakukan oleh sifu mereka semasa Bersih 02. Harta benda menjadi mangsa mereka.
Adam Adli dibawa menaiki black maria.

30 December, 2011

UGUTAN PELURU - SANDIWARA KOR MING?


Pertamanya saya nak mengucapkan tahniah kepada blogger Sekupangdua, Ahmad Sofian, 47 yang MENDEDAHKAN penglibatan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (foto) dalam urusan pemberian tender menjahit kot Ahli Majlis Perbandaran Ipoh (MBI) melibatkan syarikat di mana isteri ADUN Pantai Remis itu menjadi pengarah. 

Ahmad Sofian dalam blognya pada 16 Disember lalu memuat naik beberapa salinan dokumen yang menunjukkan berlaku salah guna kuasa yang mendedahkan Ethan and Elton, syarikat yang mana isteri Kor Ming, Wong Seow Ching sebagai salah seorang pengarahnya, memenangi kontrak tersebut walaupun menawarkan harga lebih tinggi berbanding pembida lain.

Blog tersebut juga mendakwa, kontrak untuk 24 kot rasmi yang pada asalnya ditawarkan kepada Goodman Tailor pada 3 April 2008 kemudiannya diberikan kepada Ethan and Elton selepas disyorkan oleh kerajaan negeri pada ketika itu. 

Sikap berani kerana benar Ahmad Sofian ini ditonjolkan lagi melalui tindakannya PERGI ke Pejabat DAP Perak di Jalan Medan Istana, Ipoh untuk mendapatkan surat saman Kor Ming terhadapnya beberapa hari lalu. Malangnya bukan sahaja Kor Ming tiada di pejabat, malahan surat saman itu juga belum wujud.

Kor Ming sebaliknya memberi tempoh 48 jam dari semalam (Khamis) kepada Ahmad Sofian untuk meminta maaf atau berhadapan dengan tindakan saman. Rupanya ucapan Kor Ming dalam siri ceramahnya yang mahu menyaman Ahmad Sofian sejak isu 'kot MBI' ini timbul hanyalah menjadi halua telinga pendengar.

Kor Ming juga didesak oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya menjelaskan isu pemberian tender itu bagi membersihkan nama parti. Sebelum ini juga Karpal menempelak Kor Ming yang menghina warna kulit Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam isu 'hitam metalik'.

Isu-isu ini yang membabitkan Kor Ming, pemimpin muda DAP yang lantang itu, ternyata telah membuatkan DAP panas punggung. Isu 'hitam metalik' dan 'kot MBI' ini telah menjejaskan nama parti DAP dengan begitu teruk sekali. Punggung yang paling panas sekali habanya sudah tentulah dirasai oleh si empunya diri, Nga Kor Ming, rakan sejawatan saya.

Begitu cepatnya kedua-dua isu ini menghantui DAP, maka begitu cepat jugalah Kor Ming membalas dengan menimbulkan isu peluru yang kononnya telah dihantar oleh individu tertentu ke rumah ibu bapanya di Ayer Tawar. Ternyata Kor Ming berjaya mengalihkan perhatian rakyat buat seketika, terutamanya pemimpin-pemimpin pakatan haram di Perak yang berkumpul bagi menyatakan simpati kepada Ahli Parlimen Taiping itu semalam. 

Kor Ming telahpun membuat laporan polis mengenai apa yang disifatkannya satu ugutan. Sememangnya ugutan seumpama ini tidak wajar dilakukan oleh individu atau kumpulan terhadap sesiapa juga. Jika benarlah perkara ini berlaku, pihak polis perlu membuat siasatan rapi bagi mencari siapa yang melakukan ugutan tersebut. Nampaknya Kor Ming masih percaya dengan kewibawaan PDRM dalam menangani isu-isu keselamatan di negara ini, biarpun sebelum ini beliau sering menghina peranan pihak polis.

Apa yang menimbulkan tandatanya, nota ugutan berbahasa Melayu yang diterima oleh Kor Ming seperti yang saya petik dari blog Brojinggo berbunyi begini : 'Cina kurang ajar Yeop, bagi tiga pilihan: 1 mampus cepat dengan Peluru 2   Mampus perlahan-lahan dengan asid yang disimbah muka  3 mampus  Mampus perlahan-lahan dilanggar dengan sebuah kereta. Gunakan kerusi roda. -  Ini adalah amaran dari orang Melayu jangan kurang ajar.' 

Pertamanya, perkataan 'Cina kurang ajar Yeop, bagi tiga pilihan' - sama ada pengugut memanggil Kor Ming dengan nama 'Yeop' (ganti nama diri bagi sebahagian besar orang Perak) atau pengugut membahasakan dirinya sendiri 'Yeop'. Bagi orang Melayu Perak, jarang sekali mereka memanggil orang Cina dengan ganti nama 'Yeop', samada orang Cina itu kawan atau seterunya. Jika ganti nama 'Yeop' itu merujuk dirinya sendiri, rasanya orang Melayu Perak, dalam keadaan marah, tidak akan membahasakan dirinya 'Yeop', melainkan perkataan aku atau teman, kecualilah dia memarahi adik-beradiknya kerana dia anak yang sulong. Penulis ugutan itu sebenarnya tak tahu di mana nak letakkan ganti nama 'Yeop' itu, melainkan dengan niat nak menunjukkan bahawa ugutan itu kononnya dilakukan oleh orang Melayu Perak. Niatnya mahu mamancing hati kaum Cina supaya segera bersimpati terhadap Kor Ming, sebaliknya membenci seorang individu Melayu.

Perkataan 'Cina kurang ajar' nampaknya menjurus ke arah perkauman yang mahu menunjukkan bahawa pengugut bukan kaum Cina. Kaum Cina sekali lagi segera bersimpati terhadap Kor Ming yang diugut.

Perkataan 'Ini adalah amaran dari orang Melayu' dengan jelas menampakkan niat pengugut mahu memberitahu Kor Ming bahawa dia berbangsa Melayu. Kaum Cina akan terus bersimpati terhadap Kor Ming, dan sedikit sebanyak akan meluapkan rasa marah mereka kepada kaum Melayu, taktik yang biasa digunakan oleh para pemimpin DAP dari kaum Cina terhadap penyokong sebangsa mereka. 

Logiknya, pengugut tidak akan mendedahkan apakah ras atau suku kaumnya. Itulah yang menimbulkan kekeliruan bagi saya terhadap betapa janggalnya ayat ugutan itu. Tambah janggal lagi apabila adanya laporan mengatakan peluru tersebut dibungkus dengan akhbar Tamil. Apakah kaum India juga mahu diheret dalam isu ini?

Mungkinkah 'ugutan' ini hanya rekaan dan sandiwara Kor Ming sahaja, semata-mata bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada tertumpu kepada isu 'hitam metalik' dan 'kot MBI' yang dihadapinya? Kita serahkan perkara ini kepada kebijaksanaan pihak polis untuk membuat siasatan.

Apa yang penting buat Kor Ming, beliau perlu menjelaskan segera isu 'kot MBI' itu. Bercakap lantang di sidang DUN Perak, sidang Parlimen dan ceramah-ceramahnya menghentam Kerajaan Barisan Nasional sebagai tidak telus, menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah, tetapi diri sendiri menjuarainya. Bak kata pepatah, 'berkokok berdegar-degar, ekor sendiri bergelumang najis'. 

Di manakah slogan CAT - 'Competency, Accountability and Transparency' yang dilaung-laungkan oleh DAP dan Kor Ming selama ini?


29 December, 2011

DEMO TAHUN BARU DI UPSI DEMI ADAM ADLI?


Saya difahamkan oleh sumber dalaman UPSI bahawa group mahasiswa yang menyokong Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dari seluruh negara akan berdemontrasi di pusat pengajian tinggi itu pada malam menyambut tahun baru 31 Disember 2011. 

Tujuannya untuk mendesak pentadbiran UPSI supaya tidak mengambil tindakan terhadap pelajarnya, Adam Adli yang mencemarkan nama baik institusi itu dengan bersikap biadap menurunkan bendera memaparkan wajah Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak di PWTC pada 17 Disember lalu.

Nasihat saya kepada pelajar-pelajar terbabit, jauhkanlah diri daripada aktiviti itu yang boleh merendahkan martabat mahasiswa. UPSI mempunyai autoriti sendiri dalam menentukan apa yang terbaik bagi memelihara imejnya. Sewajarnya mahasiswa, khususnya yang tidak menuntut di UPSI menghormati autoriti institusi terulung dan disegani itu. Biarlah UPSI membuat keputusan yang terbaik baginya dalam kes Adam Adli ini.

Warga Tanjong Malim tidak mahu melihat keharmonian dan kebitaraan UPSI dicemari oleh anasir-anasir yang didalangi oleh satu pihak lain berkepentingan politik. Kebanggaan rakyat di sekitar Tanjong Malim begitu mendalam terhadap UPSI, sebagai institusi yang sejak sekian lama telah melahirkan tenaga pendidik di seluruh tanahair. Tercemar UPSI, maka tercemarlah hati warga di sini.

Mahasiswa yang bijak sepatutnya tidak membenarkan diri mereka diperalatkan oleh pemimpin politik tertentu, apatah lagi daripada pihak pembangkang yang sudah ketandusan modal untuk meraih sokongan rakyat. Sebagai insan terpelajar, mahasiswa sewajarnya mempunyai jatidiri sendiri, apatah lagi pelajar seperti Adam Adli yang dilatih untuk menjadi pendidik anak bangsa.

Disebabkan demontrasi itu akan diadakan di sebelah malam, apakah akan berlangsung satu lagi Candle Light Vigil bagi membela Adam Adli yang melibatkan mahasiswa Melayu-Islam seperti gambar di atas? (Lihat di DI SINI).

Fikirkanlah apa yang terbaik untuk anda semua. Biarpun pengikut SMM amat minoriti di kalangan mahasiswa, tetapi tenaga anda diperlukan untuk turut sama dalam arus transformasi negara yang digagaskan oleh Perdana Menteri kita. Transformasi ini termasuklah sikap terbuka kerajaan mengkaji dan kemungkinan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang kononnya menyekat mahasiswa bersuara dan berpolitik.

Janganlah ada pihak mengambil kesempatan pula atas sikap terbuka kerajaan dan Perdana Menteri itu. Adalah malang jika ada pihak tertentu memperalatkan mahasiswa untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu lebih besar yang bakal diputuskan pada 9 Januari akan datang.

24 December, 2011

NOTIS UPSI TERHADAP ADAM ADLI


Tahniah diucapkan kepada pentadbiran UPSI kerana mengambil langkah segera memanggil pelajarnya, Adam Adli untuk dihadapkan ke jawatankuasa pendengaran tatatertib universiti itu pada 9 Januari 2012. 

Tindakan Adam menurunkan bendera memaparkan wajah Perdana Menteri di PWTC pada 17 Disember lalu telah menjadi isu nasional, menjejaskan imej UPSI dan mengganggu ketenteraman awam. Maka wajar UPSI menyelesaikan isu ini segera.

Notis pendengaran tatatertib telah diterima Adam ketika beliau membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi siang tadi, disampaikan oleh seorang kakitangan UPSI.

Semua pihak mahu isu ini tidak terus-terusan dipolemikkan. UPSI juga pastinya mahu menjaga nama baiknya sebagai sebuah institusi tertua dan terunggul melahirkan tenaga pendidik anak bangsa. Agak malang bagi UPSI kerana mempunyai seorang pelajar bernama Adam Adli yang dididik untuk menjadi pendidik, sebaliknya menjadi pemberontak yang bersekongkol dengan agenda politik parti pembangkang.

UPSI mempunyai integritinya sendiri. Tidak wajar mana-mana pihak menyekat institusi pengajian itu untuk bertindak terhadap pelajar yang telah menunjukkan sikap buruk dan biadap sehingga menjatuhkan integritinya. UPSI berjuang melahirkan tenaga pendidik bermaruah dan bertamadun, bukannya pendidik yang rendah akhlak dan menjunjung undang-undang rimba.

Semoga ketegasan UPSI dalam menangani isu Adam Adli ini dijadi pengajaran betapa pentingnya golongan mahasiswa memelihara adab di dalam negara berdaulat dan bermaruah ini. Adab itulah yang bakal diterapkan kepada anak didik apabila mereka masuk ke dunia persekolahan nanti sebagai seorang pendidik.

23 December, 2011

KENAPA TAK RAMAI HADIR DEMO PR DI UPSI?


Satu tanda soal - ke mana perginya penyokong PKR dan PAS yang diwar-war akan menyerbu pintu utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim dijadualkan pada jam 1.00 tengahari tadi bagi membela Adam Adli? 

Apa yang dilihat, hanya sekitar 30 orang yang hadir, tidaklah lebih seribu seperti yang dijangkakan oleh laman-laman pro-pembangkang. Mesej jemputan melalui SMS tersebar luas sejak pagi semalam (21 Disember), selain promosi melalui laman sosial. Lihat di SINI dan di  SINI.

Pada jam 1.05 minit saya menyusuri jalan di hadapan pintu utama UPSI bagi meninjau situasi di situ. Mulanya saya menjangkakan jalan sesak dan sukar dilalui. Tetapi apa yang saya dapat lihat adalah beberapa orang disyaki dari luar Tanjong Malim sedang mundar-mandir di pinggir jalan membawa belon berwarna hijau. Biarpun begitu, pintu utama UPSI ditutup mungkin bagi mengawal keadaan di luar jangkaan.

Pada jam 2.00 petang sekali lagi saya ke sana. Tidak ada apa-apa yang berlaku dan pintu pagar dibuka seperti biasa. 

Sumber dalaman UPSI memberitahu, sekitar tak lebih 20 orang datang di depan pintu utama institusi itu, dan mereka menghantar satu memorandum melalui ADUN Sungkai (DAP), A. Sivanesan bagi menggesa UPSI tidak terpengaruh dengan desakan UMNO dalam membuat keputusan terhadap pelajarnya, Adam Adli yang telah bersikap biadap menurunkan bendera tertera wajah Perdana Menteri di PWTC pada 17 Disember lalu.

UPSI telahpun memberitahu Sivanesan bahawa pihak mereka tidak akan terpengaruh dengan mana-mana desakan, dan tindakan yang bakal dikenakan terhadap Adam adalah berdasarkan peraturan yang telahpun ditetapkan oleh institusi itu terhadap pelajarnya. Saya menyokong pendirian UPSI ini.

Berdasarkan jumlah kehadiran siang tadi, mungkinkah PR sudah semakin kehilangan penyokong untuk turun berdemonstrasi di jalanan lagi? Jika begitu, saya mengucapkan tahniah kepada mereka kerana telah dapat menilai dengan baik sesuatu isu. Tambahan lagi apabila isu itu melibatkan tindakan biadap seorang pelajar terhadap Perdana Menteri yang tidak wajar berlaku di sebuah negara bertamadun, merdeka dan berdaulat ini.

Kepada warga Tanjong Malim, ayuh kita kekalkan keharmonian pekan bersejarah ini yang menempatkan sebuah institusi tertua dan telah banyak melahirkan tokoh nasionalisme negara.