![]() |
| Anak-anak siapalah ini? Saya selaku bapa berasa amat sedih jika anak-anak saya yang sedang menuntut di universiti bersikap sebegini dan mengabaikan tugas hakiki mereka menimba ilmu di menara gading. |
Seramai kira-kira 50 mahasiswa pro-Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menjadi alat pakatan pembangkang berkumpul dan berdemontrasi di pintu masuk utama UPSI bermula kira-kira jam 1.30 pagi tadi. Turut serta Adam Adli dan pemimpin-pemimpin kanan kumpulan itu.
Sepasukan anggota polis dan FRU yang berkawal di sekitar UPSI sejak pagi tadi telah memberi amaran supaya kumpulan mahasiswa itu bersurai kerana demontrasi tersebut tidak mempunyai permit. Namun penunjuk perasaan bukan sahaja berdegil, malah mencabar pihak polis dan bertindak agresif mahu memecahkan pintu masuk utama UPSI.
Tindakan itu memaksa pihak polis bertindak segera menyuraikan mereka dengan menyerbu kumpulan itu dan menangkap seramai 17 pemimpin SMM, termasuk Adam Adli dan seorang mahasiswi UPSI, Yuyu Luna pada kira-kira jam 2.15 pagi. Mereka dibawa ke Balai Polis Tanjong Malim.
Inilah akibatnya apabila mahasiswa membenarkan diri mereka menjadi alat pemimpin politik pembangkang. Terbukti mereka bukan sangat memperjuangkan isu kebebasan akademik, tetapi lebih kepada gerakan politik kepartian dan pembebasan individu bernama Adam Adli. Mereka turut melaungkan slogan-slogan politik kepartian seperti 'hancur, hancur, hancur UMNO'. Gaya sorakan mereka itu samalah seperti yang selalu dilaungkan oleh demonstran PKR dan PAS ketika menunjuk perasaan.
Bukti lain mereka diperalatkan apabila dilihat beberapa pemimpin PKR turut memberi arahan dan tunjuk ajar kepada kumpulan mahasiswa itu, termasuk mengarahkan mereka berbaring di atas jalan raya ketika pasukan FRU tiba di lokasi tunjuk perasaan. (Blog Bersama Mazidul melaporkan pasukan seramai 7 orang anggota ini bukanlah FRU, tetapi Light Strike Force, LSF dari IPD Tanjong Malim).
Tetapi malangnya, apabila pihak polis memberi arahan supaya kumpulan itu bersurai, pemimpin-pemimpin PKR inilah yang terlebih dahulu menjauhkan diri dan meninggalkan mahasiswa itu berbaring di atas jalan raya. Mereka hanya melihat dari jauh ketika pemimpin-pemimpin SMM ditahan pihak polis. Tiada rayuan atau perbincangan dibuat oleh mereka dengan pihak polis bagi membela nasib mahasiswa yang ditinggalkan berhadapan situasi kelam kabut itu.
Ternyata kumpulan SMM ini hanya segelintir kecil di kalangan ribuan mahasiswa di negara ini. Mereka sebenarnya tidak mewakili suara majoriti mahasiswa, jauh sekali suara orang muda yang menjadi tag line mereka. Malahan ketika pihak polis berjaya menyuraikan demontrasi itu, sekumpulan mahasiswa UPSI yang menonton sejak awal telah bertepuk tangan sebagai tanda sokongan terhadap tindakan tegas pasukan keselamatan itu.
Hampir kesemua mahasiswa yang berdemontrasi itu bukanlah pelajar UPSI, tetapi datangnya dari universiti lain, terutamanya dari ibunegara. Beberapa pelajar UPSI yang saya temui memberitahu, mereka tinggal di luar kampus dan datang sekadar mahu melihat dari jauh aksi aktivis-aktivis SMM berdemontrasi.
(Saya berada di sekitar UPSI bermula jam 12.48 malam tadi dan menyaksikan sendiri peristiwa ini sehingga keadaan agak terkawal pada jam 2.48 pagi.)
![]() |
| Adam Adli (baju merah) |
![]() |
| Adam Adli dibawa menaiki black maria. |










