14 April, 2011

WANTED - DI MANA NGA KOR MING?

WANTED!!

Di mana ADUN Pantai Remis dari DAP, Nga Kor Ming? 

Setelah hadir ke Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang DUN Perak pada Selasa lalu tanpa mengenakan pakaian rasmi No-1 dress, beliau terus menghilangkan diri dan tidak hadir Sidang DUN dua hari berturut-turut, termasuk hari ini.

Dengarnya dia kini sedang rancak berkempen di Sarawak. Tugas hakiki sebagai wakil kepada rakyat Pantai Remis diabaikan, nasib parti DAP di Sarawak diutamakan.

Berita utama dalam akhbar New Straits Times muka surat 6 hari ini, ada disiarkan : "Regent of Perak Dr Nazrin Shah is said to be upset by the lack of decorum shown by assemblyman Nga Kor Ming when he did not wear the ceremonial uniform and songkok at the opening of the legislative assembly on Tuesday. Instead, the Pantai Remis DAP representative was dressed in a grey suit and tie". 


Nga Kor Ming berada di ceruk mana di Sarawak sekarang? Pengundi Pantai Remis sedang mencari anda.

10 April, 2011

DUN PERAK : NASIB HASBULLAH, KHALIL IDHAM SELASA INI

Nasib Adun Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dijangka diketahui pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadual bermula Selasa ini.
 
Sebelum ini, pengerusi jawatankuasa itu yang juga merangkap Speaker, Datuk R Ganesan, berkata keputusan jawatankuasa akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak ke-12 sebelum dibahas dan dibuat undian dalam dewan sebelum mana-mana tindakan boleh diambil terhadap kedua-dua wakil rakyat terbabit.

Pada awal Mac lalu, kedua-dua wakil rakyat itu dipanggil untuk memberi keterangan tetapi Khalil Idham tidak hadir tanpa memberi alasan kepada jawatankuasa terbabit. Namun, keputusan sudah dibuat selepas meneliti secara mendalam isu yang dirujuk kepada jawatankuasa terbabit.

“Keputusan sudah diambil hari ini dan ia akan dilaporkan pada dewan yang akan bersidang mengikut mengikut Fasal 72 (2) Perintah-Perintah Tetap sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadap wakil rakyat berkenaan.

“Khalil Lim dirujuk kepada jawatankuasa ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet 2011 pada 2 Disember lalu apabila mengeluarkan kenyataan ada bomoh dibawa masuk ke dewan pada sidang Mei 2009,” kata Ganesan.

Selain Ganesan, jawatankuasa itu turut dianggotai Adun Bota; Datuk Nasaruddin Hashim, Adun Slim; Datuk Khusairi Talib; Adun Hulu Kinta; Datuk Rusnah Kasim manakala dua lagi ahli jawatankuasa iaitu Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow tidak hadir.

Hasbullah yang hadir memberi keterangan pula dirujuk kepada jawatankuasa itu selepas mengeluarkan kenyataan ada exco Selangor menerima rasuah pada tarikh, masa dan tempat sama.

“Pada 2 Disember itu juga, selepas usul dirujuk pada jawatankuasa itu, Khalil Lim mengatakan beliau akan memberi keterangan kepada jawatankuasa itu berhubung kenyataannya tetapi saya hairan kenapa beliau tidak hadir,” katanya.

Adun Titi Serong, Khalil Lim ketika sesi perbahasan Bajet 2011 mengeluarkan tuduhan ada di kalangan adun tertentu membawa masuk bomoh ke dalam dewan persidangan pada Mei 2009.
Namun, wakil rakyat PAS itu gagal mengemukakan sebarang bukti apabila diminta berbuat demikian oleh Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Ini menyebabkan Adun Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Khalid bangun dan membuat usul supaya Khalil Idham dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana melanggar peraturan mengikut Perintah Tetap 36 (3) (a) dan disokong oleh Adun Pengkalan Hulu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Adun Temenggor pula dirujuk kepada jawatankuasa itu selepas membuat tuduhan seorang exco di Selangor terbabit dengan gejala rasuah.

Beberapa wakil pihak pembangkang menggesa Hasbullah supaya menarik balik kenyataan itu tetapi beliau enggan lalu Adun Teja, Chang Lih Kang tampil membuat usul supaya wakil rakyat BN itu dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan dan disokong oleh Adun Simpang Pulai, Chang Ming Kai.

Sumber PERAK TODAY


28 March, 2011

HINA CAWAT, PAS MASIH BEREBUT KERUSI SARAWAK

 

Kecoh sungguh parti-parti pembangkang berebutkan kerusi menjelang hari penamaan calon Pilihanraya Negeri Sarawak pada 6 April nanti. Perebutan antara PKR dan DAP Sarawak begitu sengit hinggakan Tian Chua yang diutuskan Anwar ke Kuching pulang tanpa kata putus. Ramai pemerhati politik di Sarawak menganggap perkembangan ini sebagai satu lakonan dan strategi pembangkang untuk mengabui mata pengundi Bumi Kenyalang itu.

Tapi yang cukup menghairankan PAS juga mahu berebut kerusi, biarpun Presidennya, Tok Guru Abdul Hadi Awang pernah menghina cawat yang menjadi pakaian tradisi kaum Iban di Sarawak. 

“Semua pilihanraya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Air sahaja, kita kalah sebab mereka ini tidak reti mengundi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina, tetapi tempat yang pakai molek, undi Pas,”  kata Hadi.

BACA DI SINI.

22 March, 2011

VIDEO SEX – KHALID ANTARA YAKIN DAN TIDAK


Anwar Ibrahim dijangka menerima tamparan lagi dari dalam partinya sendiri berikutan pendedahan video aksi seks oleh Dato’ T kepada wartawan semalam. Sudah timbul kenyataan yang tidak begitu meyakinkan oleh pemimpin PKR sendiri samada video itu asli atau tidak.

Semalam Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim tergagap-gagap menyatakan pendiriannya dalam satu sidang akhbar berhubung isu terbaru itu yang melibatkan pemimpin berjawatan Ketua Umum partinya sendiri.

Khalid mengakui bahawa dakwaan terbaru ke atas Anwar Ibrahim berhubung video lucah yang dikatakan membabitkan dirinya sangat serius kecuali jika ia dibuktikan tidak benar. Dalam erti kata lain, Khalid beranggapan habislah Anwar kali ini jika dia tak dapat membuktikan bahawa aktor dalam video lucah itu bukan dirinya. 

“Sekiranya dakwaan itu tidak benar, ia adalah satu hari yang sedih untuk negara kerana politik kotor telah digunakan untuk mencemarkan imej Anwar. Pada pendapat saya, politik kotor memalukan. Berilah kami ruang mencukupi untuk melakukan tugas kami kerana ianya untuk kebaikan semua pihak,” kata Khalid tergagap-gagap.

Ketidakyakinan Khalid ditambah lagi dengan kata-kata begini : “Walaupun ahli politik perlu bersih dalam tingkah lakunya, namun kita juga perlu beri ruang kepada orang dan kita tidak boleh sentiasa ikut (mereka) malahan hingga ke tandas. Terdapat kehidupan peribadi dan kehidupan politik,” katanya.Benarlah kata Khalid bahawa Anwar punya kehidupan peribadinya sendiri.

Ketika ditanya sama ada beliau mempercayai bahawa Anwar terlibat dalam video terbabit, Abdul Khalid SECARA BERSELOROH berkata: “Tidak pernah pula saya dan dia (Anwar) buat perkara ini. Kami ada kerajaan negeri untuk ditadbir.”

Anwar telah ‘ditampar’ sejak proses pemilihan jawatan dalam parti lalu, apabila ramai ahli PKR yang mempersoalkan kenapa beliau memegang satu jawatan dalam parti tanpa perlu bertanding. Ada yang meminta Anwar bertanding jawatan Presiden, dan tak kurang meminta beliau terus mengundurkan diri dari memimpin PKR.

Nampaknya terlalu ramai pemimpin di dalam PKR yang merasakan diri mereka lebih hebat daripada Anwar dan sentiasa menganga menunggu kejatuhan Anwar untuk menerajui pula parti itu.

Klip video hitam putih ini satu peluang kepada mereka untuk menyembelih ‘pemimpin anugerah Allah’ ini. Kalau begitulah keadaannya, besar kemungkinan klip video itu satu perangkap dari dalam parti mereka sendiri.

Saya minat menonton aksi-aksi filem ‘The Godfather’.

19 March, 2011

DUN PERAK - KDN PERLU SIASAT NIZAR


Kesungguhan Adun Pasir Panjang, Nizar Jamaluddin mahu melihat tidak ada kawalan polis semasa Sidang DUN Perak yang akan bermula pada 5 April nanti menebalkan tanda soal dalam fikiran saya. Nampak seolah-olah ada perancangan jahat sedang diatur oleh pakatan pembangkang. Kelihatannya mereka bimbang kawalan polis boleh menggagalkan satu strategi yang tidak dapat dipastikan.

“Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang DUN kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu Ahli Dewan Undangan Negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami,” begitulah amaran Nizar dalam satu sidang akhbar di Parlimen beberapa hari lalu.

Dalam dua persidangan DUN Perak yang lalu, tidak wujud sebarang kacau ganggu pihak polis yang boleh menghalang Adun-Adun memasuki Dewan. Polis hanya mengawal di pintu masuk utama Bangunan SUK, dan memeriksa setiap Adun dan individu di pintu masuk Dewan dengan tujuan mengelakkan barang terlarang dibawa ke dalam Dewan. Setelah berada di dalam Dewan, semua Adun bebas berbahas mengikut peraturan.

Jadi apakah yang ditakutkan sangat oleh Nizar dan kuncu-kuncunya terhadap kawalan polis semasa Sidang DUN nanti? Tebal sungguh tanda soal yang bergayut di sudut minda saya.

Sehubungan itu, saya meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat secara terperinci apakah sebenarnya punca menyebabkan Nizar begitu bimbang terhadap kawalan polis menjelang Sidang DUN nanti. Seolah-olah ada udang di sebalik batu.

Berkaitan dakwaan Nizar kononnya Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Zambry tidak menjawab soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh pihak pembangkang dalam sidang DUN yang lalu, sukalah saya meminta Ahli Parlimen Bukit Gantang itu membaca semula buku peraturan Dewan. Tidak ada satu pun Dewan Undangan Negeri di negara ini, termasuk di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang menjawab semua soalan lisan yang dikemukakan oleh wakil-wakil rakyat. Malahan perkara yang sama berlaku di Dewan Rakyat.

Begitu jugalah semasa Nizar mengepalai Kerajaan Negeri Perak selama 11 bulan. Soalan-soalan lisan wakil BN bukan sahaja banyak tidak dijawab, malahan kebanyakannya diletakkan pada bilangan yang terkebawah dan tidak memungkinkannya dijawab dalam had masa sejam atau lebih sedikit seperti ditetapkan oleh Speaker. Apakah Nizar selaku Menteri Besar ketika itu lupa menjawab soalan-soalan lisan itu?

Janganlah Nizar buat-buat tidak faham, bahawa soalan lisan dalam sessi soal jawab hanya boleh dijawab secara lisan. Tidak ada jawapan bertulis diberikan terhadap soalan lisan. Hanya soalan bertulis sahaja dijawab secara bertulis. Sekiranya masa sessi soalan lisan tamat, maka soalan-soalan lisan berikutnya tidak perlu dijawab oleh wakil Kerajaan Negeri.

Nizar selaku ketua pembangkang telah gagal memberikan kefahaman kepada anak buahnya terhadap peraturan sessi soal jawab. Malah kegagalan itulah yang menyebabkan Speaker Dato’ R. Ganesan memerintahkan ADUN Hutan Melintang, S. Kesavan keluar daripada persidangan kerana terus mendesak wakil kerajaan supaya soalan-soalan lisannya dijawab walaupun masa untuk sessi soal jawab telahpun tamat.

DUN Perak mempunyai 59 anggota. Setiap ADUN diminta mengemukakan tiga soalan lisan dan tidak lebih lima soalan bertulis. Setelah ditolak Menteri Besar dan enam Exco, bermakna 52 ADUN mengemukakan sejumlah 156 soalan lisan, dan sekiranya tidak ada soalan yang ditolak kerana melanggar peraturan-peraturan Dewan. Dalam persidangan selama tiga hari, bermakna 53 soalan lisan perlu di senaraikan setiap hari. 

Masa untuk menjawab soalan lisan adalah antara sejam atau sejam setengah seperti ditetapkan Speaker. Paling banyak yang boleh dijawab oleh wakil Kerajaan dalam tempoh itu adalah 10 soalan, itupun jika tidak ada gangguan terlampau daripada ahli-ahli Dewan. Bermakna 43 soalan lisan lagi tidak dijawab. 

Kebanyakan wakil rakyat mengemukakan soalan bertulis yang sama dengan soalan lisan, dan ditambah dua soalan lain. Ini bertujuan bagi memastikan setiap soalan mendapat jawapan samada secara lisan mahupun bertulis.

Tujuan saya menulis perkara ini bukanlah untuk mengajar Nizar kerana beliau telah faham tetapi buat-buat tak faham. Cumanya tulisan ini diharap boleh memberikan sedikit kefahaman terhadap individu-individu yang cuba diperbodohkan Nizar dalam siri ceramahnya.

Nizar juga faham bahawa sekali berbohong mungkin ada yang termakan, tetapi jika pembohongan itu berulang-ulang, rakyat akhirnya akan tahu siapa diri dia sebenarnya.

Jadi, janganlah terlalu banyak berbohong, wahai Nizar!

18 March, 2011

SIDANG DUN PERAK - NIZAR CARI ALASAN NAK BOIKOT LAGI


Pakatan pembangkang nampaknya mahu buat hal lagi dalam Sidang DUN Perak yang akan bermula pada 5 April nanti. Adun Pasir Panjang, Nizar Jamaluddin sudahpun memberi amaran akan memboikot persidangan itu sekiranya polis campur tangan.

Bercakap di Kuala Lumpur, Nizar berkata setiap kali Sidang DUN, anggota polis bukan sahaja dikerahkan mengawal Bangunan SUK, tetapi berkawal sehingga di dalam dewan, dan menutup laluan dan mengunci semua pintu kecuali pintu utama bagi menghalang ADUN masuk ke dewan.

Saya tak tahu nak cakap apa lagi terhadap tabiat berprasangka yang cukup menebal dan begitu buruk dalam hati ketua pembangkang Perak ini. Dia lupa agaknya bagaimana sejarah hitam dalam persidangan wakil rakyat di negara ini tercetus pada Mei 2009 dalam DUN Perak gara-gara sikap tidak bertamadun wakil-wakil DAP-PAS-PKR.

Tidak dinafikan bahawa pihak polis terpaksa mengambil langkah lebih ketat dan berhati-hati kesan daripada sikap buruk yang ditonjolkan oleh Adun-Adun pembangkang dalam Sidang DUN berkenaan yang mencetuskan kekecohan sehingga Pemangku Raja Perak terpaksa menunggu hampir lima jam untuk menyampaikan titah perasmian. Lihat DI SINI.

Sikap Adun pembangkang ini berlarutan sehingga beberapa Sidang DUN berikutnya yang menyaksikan mereka memboikot dan bertindak keluar daripada dewan. Dalam satu sidang lain, mantan Speaker S. Sivakumar membuat provokasi untuk masuk ke dewan dengan mengenakan jubah Speaker yang beliau larikan sebelum itu. Tindakan Sivakumar ini dibantu oleh Adun-Adun pembangkang lain sehingga memaksa pihak polis menghalangnya. Lihat DI SINI.

Tetapi pihak polis telah mengendurkan kawalannya ketika dua sidang DUN sebelum ini, dengan hanya membuat pemeriksaan di pintu masuk ke Bangunan SUK dan pintu masuk dewan. Langkah ini amatlah wajar bagi memastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini sepanjang sidang DUN, khususnya yang melibatkan tindakan membawa masuk senjata berbahaya ke dalam Dewan. Itu pun ada juga kejadian buruk apabila ADUN Kuala Sepetang (PKR) menghampiri dan cuba mengasari Menteri Besar menggunakan fail tebal dan Nizar pula mengeluarkan kata-kata kesat kesat berbunyi “babi Pangkor” terhadap Dr. Zambry. Lihat DI SINI.

Tidak benar sebagaimana dakwaan Nizar bahawa kawalan keselamatan terhadap Sidang DUN Perak mengatasi Dewan Rakyat sendiri, sedangkan hakikatnya kawalan yang sama wujud di bangunan Parlimen di mana pihak polis membuat pemeriksaan di pintu masuk utama dan ke bangunan Dewan Rakyat. 

Tidak benar juga dakwaan Nizar bahawa pihak polis mahu menghalang Adun daripada memasuki Sidang DUN.  Semua ADUN masuk melalui pintu yang sama, dan melalui pemeriksaan keselamatan yang sama, tanpa mengambil kira mereka ADUN BN, ADUN bebas atau ADUN pembangkang. Apakah mereka dihalang daripada berbahas dengan bebas dalam Sidang DUN yang lalu?

Nampaknya Nizar cuba mencari alasan untuk sekali lagi memboikot sidang DUN dan mengabaikan tanggungjawab hakiki sebagai wakil rakyat, iaitu membawa masalah rakyat untuk dibahaskan. Sekiranya itu berlaku, maka malang bagi rakyat yang mereka wakili. Serta malang juga kerana Sidang DUN kali ini melibatkan majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

Begitulah jadinya apabila seorang pemimpin tidak mahu mengakui hakikat bahawa dirinya bukan lagi berstatus Menteri Besar, sehingga Nizar terbawa-bawa memperkenalkan dirinya sebagai ‘Menteri Besar Rakyat’ dalam setiap ceramah yang dihadirinya.

Yang sudah tu sudahlah wahai Dato’ Seri Nizar. Jangan nanti rakyat mentertawakan sikap YB.